Friday, November 20, 2009

Mestikah Semua A?





Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia


Sebenarnya Untuk Siapa?



Keputusan UPSR tahun ini dan pencapaian murid-murid dalam peperiksaan tersebut telah diketahui. Akhbar-akhbar tempatan hari ini (20.11.2009) menyiarkan beritanya.

Saya teruja mencatatkan sedikit kenangan tentang hal peperiksaan sekolah, dahulu dan sekarang. Para pembaca tentu ada kenangan (dan pandangan) masing-masing dalam hal peperiksaan seperti ini.

Apa yang dicatat ini diharap dapat mencetuskan sedikit 'pemerasan' minda. Kesannya boleh dijadikan iktibar (kalau mahu) kepada kita semua dalam usaha mengejar kejayaan yang sebenar dalam hidup ini.

1. (a) Dulu ibu bapa tidak peduli sangat atau tidak mengambil berat sama ada anak mereka mendapat pelajaran yang secukupnya di sekolah. Ibu bapa hanya menghantar anak ke sekolah untuk belajar supaya bila dewasa nanti boleh dapat kerja dan boleh sara hidup sendiri. Ibu bapa juga berharap anak mereka dapat membantu mereka meringankan 'beban' keluarga yang ditanggung (setelah mereka bekerja nanti.)

Apa yang mereka tahu atau ambil berat ialah anak itu mesti lulus periksa. Asal lulus cukup. Tak lulus kena hukum. Dapat hadiah 'roti panjang' (istilah orang dulu-dulu untuk sebatan dengan rotanlah tu!) Tak pernah kecoh di mana-mana fasal dapat berapa banyak A dalam apa-apa peperiksaan pun!

Tahu-tahu anak itu dah habis sekolah. Jadi orang juga! Ramai yang setelah dewasa dan berkeluarga tahu tanggung jawab menanggung dan membimbing ahli keluarga mereka. Ramai orang besar-besar atau orang kenamaan sekarang adalah merupakan hasil didikan keluarga zaman dahulu.

Memang kita akui pendidikan dan pelajaran asas penting untuk memajukan para anggota sesebuah masyarakat. Tak semua mereka yang berjaya sekarang mendapat semua A dalam setiap peperiksaan yang mereka duduki! Dan, tak semua pula mereka yang mendapat berpuluh-puluh A dalam setiap peperiksaan yang mereka ambil berjaya dalam hidup mereka!

Jadi bersederhanalah hendaknya dalam 'meraikan' kejayaan dalam setiap peperiksaan sebegini pada setiap kali tahun berlakunya. Kadang-kadang terasa macam kita terlalu menghebohkan sesuatu 'pencapaian' awal yang belum pasti menjanjikan 'pencapaian' sebenar pada akhirnya!

1. (b) Sekarang anak sekolah mesti pergi kelas tambahan. Mesti pergi tuisyen. Mesti menghafal dengan tepat apa yang dipelajari. Mesti mengulangkaji setiap pelajaran dengan tidak jemu-jemu. Mesti jadi murid terbaik (walaupun di luar kemampuan mereka!) Mesti skor semua A. Mesti bercita-cita tinggi. Mesti jadi doktor, peguam, jurutera atau akauntan ... dan banyak 'mesti-mesti' lagi. Kalau anak malas belajar, ibu bapa yang menggantikan tempat mereka itu !

Rancangkan segala aktiviti pembelajaran anak supaya mereka tiada alasan untuk menolak 'penyiksaan' atau 'penderaan' mengasah minda hingga tajam. Ibu bapa yang tetapkan sasaran yang anak mesti capai (skor paling hebat atau dahsyat ... itu yang ditetapkan oleh ibu bapa moden sekarang ke atas 'ayam sabung' masing-masing.)

Apa tak 'ayam sabungnya'? Berlawan-lawan nak lebih baik daripada anak-anak sekolah yang lainnya. Kadang-kadang kerja untuk aktiviti ko-kurikulum pun ibu bapa yang buatkan ... kadang-kadang tok nenek pun jadi mangsa untuk buat kerja cucu!

Kalau dapat 10 hingga 20A, maka kembang kempislah hidung ibu bapa menahan bangga! Kalau kurang berjaya cuba lagi bermati-matian lain kali. Jangan terkejut, ada ibu bapa yang sanggup 'bertunggu bertangga' kalau pun tidak 'berumah' di sekolah demi kemajuan anak mereka. Tak buat gitu nanti tak berjaya pula. Pada mereka ini, kalau nak berjaya dalam hidup seseorang murid mesti skor 10 atau 20A atau lebih!

Kesimpulannya murid sekarang mesti berhempas pulas 'skor' untuk ibu bapa. Untuk kepuasan ibu bapa mereka, mestinya. Nanti senanglah si ibu bapa itu nak beri tahu orang ... anak mereka bijak ... bolehlah pula buat perbandingan dengan orang lain yang anaknya tak berapa 'skor'. Nanti bolehlah tanya, "Anak U macam mana ... dapat berapa A?" " Anak I ... ... ... tak sangkalah ... dapat semua A ... I ingat habis kuat, dua tiga A saja".

Atau, nanti boleh keluarkan kata-kata simpati atau beri semangat konon kepada orang yang anaknya kurang mendapat berpuluh A ... "Kesian anak si polan itu ... tak tahu macam mana dia tak dapat A ... Dia taklah tak pandai sangat , tau...". "Tak apalah U, cuba lagi pada masa depan... nasib baik anak U dapat B (atau C ...)" " Anak si polan tu lagi teruk ... entah apalah nak jadi nanti..."

Ironinya, mereka yang heboh hendakkan anak mereka maju dalam pelajaran di sekolah (akademik) tidak pula berusaha memastikan anak-anak mereka itu terdidik dalam hal ehwal kerohanian atau kegamaan ... tidak dilatih anak-anak itu berbudi bahasa atau berhemah tinggi. Tidak dilarang anak-anak itu terpengaruh dengan budaya samseng atau budaya kuning. Tidak dibimbing mereka menolak ajaran songsang. Tidak dielakkan mereka daripada pemahaman mendapatkan sesuatu dengan jalan kekerasan ...

Pendeknya, ada banyak kes dalam mana anak-anak yang mendapat berpuluh-puluh A itu tidak diasuh supaya boleh dan pandai menggunakan kecerdikan atau kebijaksanaan mereka dengan cara yang betul untuk menjadi pemimpin masa depan yang benar-benar boleh dipanggil bakal pewaris negara Malaysia (berprinsipkan 1 Malaysia).

Janganlah semakin bijak semakin tidak menghormati orang lain pula. Janganlah kerana sudah terlalu bijak tidak pula sayang kepada agama, bangsa dan negara sendiri. Belajarlah menjadi tukang skor berpuluh-puluh A juga dalam banyak lagi bidang untuk kesempurnaan hidup di dunia ini ... yang akhirnya ... membawa ke akhirat juga!

Fikiran, pandangan, pertimbangan, sikap dan tindakan mesti bertaraf A juga!

Sekian dahulu. terima kasih.


2 comments:


Plastik Maggi said...
Sekolah zaman sekarang ni tidak lagi pentingkan sukan, tiada identiti dan tiada tradisi. Umpama Jasad yang tiada Roh. Tak ada apa-apa yang boleh dicerita kelak pada anak cucu tentang pengalaman di sekolah. Anak-anak serupa robot yang diprogram dengan pelajaran sahaja. Dulu kita lebih bangga kalau jadi juara bolasepak atau ragbi dari sekolah kita dapat keputusan cemerlang dalam akedemik. Tapi masih banyak jugak jadi orang yang berguna.
Bamuda said...
Plastik Maggi
Tkasih atas komen anda.Menarik. Memang diperhatikan sekarang dah ramai sangat murid sekolah yang jadi macam 'robot'. Tugas mereka menghafal dan terus menghafal bermacam-macam mata pelajaran yang wajib atau yang akan mendatangkan markah untuk skor 'baik punya'. Aktiviti lain termasuk bersukan yang boleh membentuk peribadi yang sihat dan matang dan sahsiah yang mantap demi faedah masa depan tidak begitu diambil peduli.Bila tiba masa perlu membuat keputusan penting dalam hidup maka ramailah pelajar yang tidak tahu apa harus dilakukan.Jika buat keputusan pun secara ikut-ikutan sahaja...semua ini kerana minda mereka telah 'diprogramkan ala robot' (sejak awal lagi).Mereka seperti robot yang mesti menerima arahan daripada 'penciptanya' untuk bertindak! Entahlah!

0 comments:


Post a Comment