Thursday, December 3, 2009
2 x 5 . . . 5 x 2
Mari kita sambung kisah dalam Nilai Sebuah Cerita . Kali ini kisahnya (petikan daripada cerita lama yang diubahsuai supaya selaras dengan kehendak cerita kita) tentang seorang yang teramat kaya. Efaroji namanya.
Kekayaan Efaroji diketahui semua orang yang tinggal di sekitar Bandar Kolamraya. Malah di seluruh daerah sekelilingnya. Efaroji ada banyak harta. Duitnya ‘berlambak-lambak'. Makan tak habis kata orang. Tetapi perangai bakhilnya teramat tebal. Dia sangat benci bersedekah. Jauh sekali menderma kepada mana-mana pihak.
Efaroji ini bersikap agak pelik. Dia tidak mempercayai mana-mana bank pun. Maka dia tidak menyimpan duit di bank.
Oleh kerana duit terlalu banyak tersimpan di rumahnya, Efaroji takut kalau-kalau pencuri atau perompak datang membuat ‘onar’. Mencuri atau merompak duitnyalah! Dia mencari akal untuk menjaminkan keselamatan duitnya itu.
Fikir punya fikir, dia mendapat jalan keluar. Baik tanam saja semua duitnya. Maka Efaroji pun pergi ke dusun miliknya tidak jauh dari rumahnya.
Dia menggali lubang yang cukup dalam. Dia menanam peti berisi duit yang banyak itu. Selesai kerjanya, dia pun mengambus lubang itu baik-baik . Biar tidak kelihatan pada pandangan orang lain.
Untuk meyakinkan dirinya bahawa orang lain tak akan syak ada tertanam sesuatu di situ, Efaroji mencacak satu papan tanda di atas lubang yang sudah dikambus tadi. Pada papan tanda itu tertulis, “DI SINI TIDAK ADA DUIT”. Efaroji pun beredar dari situ dengan dada yang lapang.
Malang bagi Efaroji. Dia tidak perasan ada dua pasang mata memerhatikan segala perbuatannya tadi. Mata siapa lagi kalau tak si Tok'ad dan si Tekpol yang empunya.
Tok'ad dan Tekpol tidak membuang masa. Mereka terus saja menggali lubang itu. Apa lagi, seketika menggali sampailah mereka kepada peti berisi duit Efaroji tadi. Mereka ambil peti itu. Wah! senangnya hati si Tok'ad dan si Tekpol. Sambil bersiul-siulan, mereka bergerak hendak keluar dari kawasan dusun itu.
Tiba-tiba kedua-dua mereka terhenti. Tok'ad dan Tekpol terfikir elok mereka berselindung sedikit dalam perbuatan ini. Maka mereka pun tulis pula pada papan tanda tadi, “DUIT INI BUKAN TOK'AD DAN TEKPOL AMBIL”.
"Ha, ha … baru padan muka si Efaroji! Siapa yang kena tipu sekarang", kata Tok'ad dan Tekpol dengan bangganya ... ... ..."
[Begitulah resam dunia dan resmi manusia … kadang-kadang kerana perasan terlalu pandai … tak sedar semua boleh tergadai. Inilah kata orang, “Bodoh tidak terajar , pandai tidak terikut!”]
hee haw . . . hee haw . . . hee haw . . .