Tuesday, June 28, 2011

Sah, Dian Seri Aishah

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Dian (?) Aishah


Akhirnya slot kedua nama 'Dian' terisi. Semalam, diceritakan dalam siaran blog teman, bahawa nama lengkap 'Dian' tidak dapat ditentukan kerana slot kedua nama anak itu belum dimuktamadkan.

Tadi . . . Halim (bapa 'Dian') telah memberikan jawapan yang kami sekeluarga nanti-nantikan.

Setelah sepuluh hari sejak 'Dian' dilahirkan . . . tadi baru Halim mendaftarkan nama anak sulungnya di Pejabat Pendaftaran Negara cawangan Taman Melawati sebagai Dian Seri Aishah.









Maka . . . sah, Dian Seri Aishah adalah nama cucu perempuan teman yang pertama ini. Dan, teman dengan rasa penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT gembira memasyhurkannya melalui siaran blog hari ini.






Teman pernah menyarankan agar panggilan 'Seri' digunakan dalam slot kedua sebagai pelengkap nama Dian (?) Aishah.


Saranan ini teman buat ketika melawat Dian di PCMC. Sebahagian besar ahli keluarga teman juga hadir menyambut kelahiran Dian di sana ketika itu.


Alhamdulillah. Halim dan Shafini nampaknya bersetuju memberi pertimbangan kepada saranan teman itu. Teman tidak sekali-kali mendesak.


Apapun . . . idea menggunakan nama 'Seri' itu tercetus di minda teman secara tiba-tiba pada hari itu di PCMC.


Sedang teman dan ahli-ahli keluarga yang lain bersembang-sembang di Bilik 6H -08 (melayani rasa gembira kami masing-masing dengan kelahiran Dian) masuk seorang wanita yang cantik lagi bergaya {a pleasant looking woman . . . says my forever 'busybee' omputih neighbour} menuju ke katil Shafini.








Beliau yang kelihatan selamba saja . . . terus menyapa Shafini . . . dan isteri teman Alimah, yang juga berada di situ . . . lantas bertanyakan khabar dan progress Shafini dan anak yang baru dilahirkan.


Teman memerhatikan sahaja gerak dan geri wanita itu. Teman tidak kenal akan beliau kerana tidak pernah bertemu dengannya sebelum ini.





Tetapi . . . dalam hati teman kuat mengatakan beliau mungkin doktor yang merawat menantu dan cucu teman ini. Apatah lagi dengan adanya seorang jururawat yang mengiringi wanita ini. Mesti doktor punya!

"Doktor?" Tanya teman.

 

Wanita itu mengangkat keningnya, tersenyum seraya menjawab," Family physician . . . "





"Ini mesti Dr Seri yang sering teman dengar disebut namanya oleh Mazlyn, anak teman . . . ketika dia menjadi pesakit dan dirawat agak lama juga di PCMC . . . sebelum dan selepas bersalin," fikir teman.


Belum sempat teman habis melayan fikiran teman . . . Mazlyn yang juga ada bersama di situ terus memperkenalkan:


"Abah ini Dr Seri Suniza. Obstetrician . . . hebat! "








Ha ah, faham le teman sekarang. Inilah Dr Seri yang baik budi pekerti. Dr Seri yang juga pernah menjaga dan merawat cucu teman Ahmad Iman Iskandar (Aii) dengan sesempurna mungkin ketika Aii dilahirkan dan berada di pusat perubatan ini dahulu.


Terlintas di hati teman dengan spontan . . . alangkah bersesuaian jika panggilan 'Seri' dapat mengisi slot kedua sebagai pelengkap nama cucu teman yang ini . . . Dian Seri Aishah . . . mengambil sempena nama Doktor Seri Suniza. (Hope it's OK with you Doc . . .)


{Thanks for being a source of inspiration . . . but shh . . . we just cannot afford to pay you the royalty Doc, he he . . . } Menyampuk lagi si omputih jiran teman ni!


Sesungguhnya teman mendoakan mudah-mudahan Dian akan dapat segala yang terbaik daripada nama yang diberikan kepadanya ini. Insya-Allah.





Dian . . . Atuk harap Dian pandai menjaga nama sendiri dan juga nama keluarga sepanjang hayat kelak . . . kerana:



"Gajah mati meninggalkan tulang,
Harimau mati meninggalkan belang;
Pangkat dan harta tiadalah guna,
Manusia mati meninggalkan nama."
















dsuarang.blogspot.com

Monday, June 27, 2011

Dian (?) Aishah







Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Apa Ada Pada Nama?



Mari, mari, mari. Mari dengar cerita teman ni. Cerita tentang bagaimana nama 'Dian' tercipta!

Ketika masih di dalam kandungan ibunya Noor Shafini . . . entah kenapa teman tergerak hati untuk memanggil cucu teman yang bakal dilahirkan . . . 'Dian'.

[Alasan mudah teman: 'dian' bererti 'pelita yang dibuat daripada lilin' . . . lilin yang menerangi kegelapan alam . . . lilin yang lumrahnya 'bersusah payah berbakti' demi keselesaan kehidupan manusia di sekelilingnya . . .]

Sebenarnya . . . pada ketika itu teman tidak pernah tahu pun apakah gender cucu teman yang bakal dilahirkan menantu teman kelak!

Pendeknya . . . teman tak terfikirkan langsung sama ada bayi itu nanti seorang lelaki atau perempuan.

Setelah diberitahu Halim dan Shafini (ketika itu bakal ibu bapa 'Dian') bahawa besar kemungkinan bayi yang di dalam kandungan itu seorang perempuan . . . bertambah yakinlah teman hendak memanggil cucu perempuan teman yang pertama ini . . . 'Dian' . . .

[Teman ada dimaklumkan oleh besan teman Pn Rohani bahawa Halim juga menggunakan nama 'Dian' untuk anaknya yang bakal lahir! Cantiknya . . . teman dan Halim tiada berpakat menggunakan nama yang sama . . . dalam hal ini]

Tapi . . . 'Dian' apa lagi hah? (Sekarang era maju-moden ini , nama yang digunakan biasanya terdiri daripada tiga panggilan . . . he, he) Jadi . . . 'Dian' apa lagi hah? . . .

Apa-apa sajalah ikut suka hati ibu bapa anak yang berkenaan itulah nanti! Teman cukup dengan 'Dian' teman.

Memang nama pangkal 'Dian' juga menjadi pilihan ramai ahli keluarga teman . . . termasuklah Halim dan Shafini . . . pada ketika itu. Semua kami merujuk kepada bayi yang bakal lahir itu dengan panggilan tersebut.

Entah mengapa . . . Allah SWT saja yang maha mengetahui. Pasti ada hikmahnya di mana-mana.

Berbalik kepada soal di atas tadi ( 'Dian' apa lagi hah?):

Setelah cucu teman selamat dilahirkan pada 17 Jun 2011 . . . teman pun bertanyalah kepada Halim dan Shafini tentang dua lagi nama yang akan mereka gunakan sebagai pelengkap panggilan untuk anak sulung mereka ini.

Kedua-dua mereka tersenyum sahaja. Sejurus kemudian Halim menyatakan ingin menggunakan nama 'Aishah' . . . sebagai panggilan di hujung nama 'Dian' (slot ketiga). Shafini lantas menjelaskan 'Aishah' adalah nama pilihannya.

Alhamdulillah. Mengapa tidak . . . 'Aishah' adalah nama isteri junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Nama seorang wanita yang sangat mulia budi pekertinya.

Dan, teman bersyukur seterusnya . . . kerana 'Aishah' juga merupakan nama kedua-dua nenda teman . . . sebelah ibu dan juga bapa teman!

Masih ada tapi lagi . . . Dian (?) Aishah

Bagaimana dengan nama pada slot kedua? Bagaimana cara terbaik untuk mencari dan menentukan panggilan di bahagian tengah nama bayi yang telah lahir ini?

Sekali lagi Allah SWT yang dapat menentukannya . . .

Setakat artikel ini tertulis . . . macam-macam nama telah disyorkan oleh ibu dan bapa saudara serta kaum kerabat 'Dian'.

Dian Dylla Aishah . . . Dian Dahlia Aishah . . . Dian Elena Aisyah . . . Dian Bayu Aisyah . . . Dian Orkid Aishah . . . dsb dsb

Teman gemo nama . . . Dian Seri Aishah!

Tapi apapun terpulanglah kepada pilihan dan keputusan kedua-dua ibu bapa 'Dian' sendiri!

(Catatan: Pada akhir penulisan artikel ini . . . nama lengkap 'Dian' masih menjadi tanda tanya. Teman pun tak akan release artikel ini sehingga teman pasti Halim telah berada di Pejabat Pendaftaran Negara untuk mendaftarkan nama anaknya secara mutlak. Macam tak hendak mempengaruhi judgement mahkamah pulak bunyinya . . . he, he.)





dsuarang.blogspot.com

Saturday, June 25, 2011

Menanti Dian



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Penantian Bukan Penyiksaan


Ungkapan yang sering kedengaran daripada mulut orang sekarang (alahai golongan yang moden-moden tu le) . . . Penantian itu satu penyiksaan. . .








Aku bukan tidak mahu bersetuju dengan ungkapan itu. Aku cuma teringatkan kata ustaz dan tuan guru tempat aku bersekolah agama dan mengaji al-Quran dahulu . . . ketika aku masih kanak-kanak.

Kata ustaz dan tuan guru agama aku itu:

"Apabila kita menantikan atau mengharapkan sesuatu . . . kita perlu banyak berdoa dan bersabar. Doa itu memohon restu Ilahi dan kesabaran pula merupakan separuh daripada keimanan setiap manusia yang beriman. Sambil itu kita bertawakal kepada Allah SWT dan reda dengan kehendak-NYA."








Aku percaya dengan kata-kata ustaz dan tuan guru agama aku dahulu itu. {Perhaps it's due to your old school beliefs and thoughts . . . tiba-tiba berkata si omputih jiranku.}

Aku terpegun sebentar. Hendak aku 'belasah' si omputih ini . . . tak mungkin sesuai. Dia jiran aku. Agamaku mengajar aku berbaik-baik dan menghormati jiran . . . sekurang-kurangnya sehingga 40 buah rumah sekeliling!

Jadi aku hanya mampu beristighfar dan meyakinkan diriku bahawa aku bertindak atas pegangan yang teguh. Insya-Allah semua dugaan dan kerumitan yang dihadapi dapat diatasi dan terurai dengan pertolongan-NYA.

Aku bercerita begini untuk menyampaikan mesej kepada mereka yang sering dalam penantian. Juga mereka yang sering mengalami dugaan. Percayalah penantian itu bukan suatu penyiksaan jika ia dapat dikendalikan dengan waras dan teratur!




Kami sekeluarga telah mengalaminya baru-baru ini dalam peristiwa menanti kelahiran Dian. Alhamdulillah kami, khasnya ibu bapa Dian sendiri, dapat jua bersabar dan tabah melalui dugaan yang dihadirkan Allah SWT mengiringi kedatangan Dian itu . . . walaupun kelahiran Dian terpaksa melalui pembedahan Caesarean.






Dian . . . menanti Dian tiba di sisi kami . . . bukanlah suatu penyiksaan. Sebaliknya penantian itu telah memperkukuhkan pegangan kami terhadap kekuasaan Tuhan dan mempereratkan ikatan kekeluargaan kita sekalian.










 
dsuarang.blogspot.com

Thursday, June 23, 2011

Selamat Datang Dian


Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Dari PCMC ke d'SUARANG


Setelah selamat dilahirkan pada hari Jumaat 17 Jun 2011 dan berada selama tiga hari di Prince Court Medical Centre (PCMC), Dian dibenarkan pulang ke d'SUARANG pada 20 Jun 2011.























Alhamdulillah kesihatan kedua-dua ibu dan 'orang baru' yang berkenaan disahkan baik oleh para doktor yang merawat mereka . . .

"Fit and discharged" . . . And, on behalf of both the newly proclaimed parents and Dian herself, all of us in the family thus convey our heartfelt thanks to each and everyone involved in rendering any kind of assistance to them . . . {meminjam kata-kata dalam lingo si omputih jiran teman tu.}




















Kami sekeluarga juga amat menghargai kunjungan semua yang datang memeriahkan kehadiran Dian ketika di PCMC tempoh hari. Terima kasih.


















Maka . . . setelah bersama-sama meraikan kelahiran Dian . . . dan setelah kami 'berkampung' di PCMC selama beberapa hari . . . pada hari Isnin 20 Jun tibalah masanya kami menjemput dan mengiringi pulang Dian Seri Aishah ke d'SUARANG.
































Dian: So goodbye PCMC . . . at least for a while till I come back for my medical appointments with the doctors. Cheerio!























Dian tiba di rumah teman (Atuknya le weh) pada waktu asar kira-kira jam 4:45 petang. Kami semua terharu dan amat bersyukur atas ketibaan Dian di sisi kami.
 
























Dian cucu perempuan pertama teman dan Alimah isteri teman. Sebelum Dian kami dianugerahkan tiga 'hero' yang juga bergelar cucu. Tentu ramai yang belum lupa akan si Aii, Amb dan Uim.

Tentu ramai juga yang masih ingat bahawa teman ini berpangkat Atuk Sarjan. Ha sekarang dah naik Atuk Sarjan Mejar la pulak! Naik pangkat naik le elaun . . . he, he.






Dan, bila dah naik pangkat ni Atuk kenalah lebih berjaga-jaga dan bijaksana menangani tambahan kerenah 'anak-anak buah' dalam bentuk cucu-cucu ini . . .
{"Surely challenging in many ways, man" . . . says you know who lah!}






"Cool Atuk . . . not to worry . . . we will behave".


Demikian assurance yang diberikan mereka yang berkenaan. OK . . . teman santai aje le. Pasrah dan berserah.


Mengkema di luar sana . . . betul le assurance mereka itu! Tengok saja le betapa santainya teman . . . sebaik saja selepas assurance itu diberikan!











Ada teman kisah! But really . . . not much of a harm done . . . cuma atuk tak dapat le main bola sepak PS3 dengan cukup aman atau penuh konsentrasi!












Ada pemain yang berihat . . . baca buku sambil main bola . . . ada pula yang ambil control stick (steak?) . . . . buat sesuka hati aje . . . hai macam-macam le gayanya.













Namun yang penting . . . teman berasa amat terhibur dan bahagia! Alhamdulillah. Insya-Allah Dian nanti boleh pula main masak-masak ke apa ke . . . merunas segala macam dedaun dan bunga-bungaan tanaman opah Alimah untuk dijadikan bahan masakan . . . he, he . . . baru best!
 



Nak tahu bagaimana pula reaksi parents baru ini ? Kali pertama teman bertanya kepada kedua-dua ibu bapa Dian iaitu Halim Zaharyn Abdul Majid dan Noor Shafini Abdul Hamid tentang perasaan mereka setelah di anugerahkan Allah SWT cahaya mata pertama yang comel ini . . . tiada jawapan yang teman dengar.
 




Kali kedua pun soalan teman tidak berjawab. Dan, pada kali ketiganya . . . masih tiada terdengar sebarang jawapan. Hanya senyuman yang berpanjangan sebagai respons.






Alhamdulillah itu sudah cukup menggambarkan kepuasan di hati dan sanubari dua insan yang bersyukur. Mereka amat gembira . . . tidak syak lagi.






Dan . . . teman juga sempat mengingatkan mereka bahawa . . . ibu bapa mereka juga amat menyayangi mereka . . . Perkara yang serupa berulang sentiasa. Lumrah kehidupan manusia.







Semoga tradisi sayang-menyayangi ini berterusan.



Tahniah diucapkan kepada Halim Zaharyn & Noor Shafini. Mudah-mudahan kasih sayang dan persefahaman antara kalian berdua terikat semakin erat dan berkat dengan kehadiran Dian Seri Aishah ini.




 
dsuarang.blogspot.com