Tuesday, December 25, 2012

Terkenang Resolusi Tahun Baru




Assalamualaikum dan Salam Sejahtera 


Ubah Pendirian Biar Bertempat


Biar aku ucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua terlebih awal. Semoga apa saja resolusi anda "tahun demi tahun" telah pun tercapai atau sekurang-kurangnya sedang menuju ke arah pencapaian.


Bercakap tentang azam tahun baru, aku sebenarnya sudah jemu dan sesungguhnya hampir-hampir berada di tahap meluat dengan soalan klise:

"Dah tercapaikah azam tahun lepas? Apakah pula azam untuk tahun ini?" 

Penat sungguh memenatkan!

Aku bukan nak cakap sangat fasal azam tahun baru. Aku nak cerita saja. Nak cerita bagaimana dulu aku pernah berazam tahun demi tahun untuk berhenti merokok. Setiap awal tahun aku bina azam. Hujung tahun azam tak pernah tercapai. Macam berniaga buluh kasap ... hujung lepas pangkal lesap! Tak tercapai apa pun.








[Aksi-aksi seorang perokok tegar ketika berada di mana-mana ]


Aku memang perokok tegar. Sudah lebih daripada 30 tahun aku merokok. Setiap hari aku memerlukan paling kurang 4 kotak rokok . . . 20 batang rokok setiap kotak! 

Aku termasuk di dalam golongan 'chain smoker'. Aku menghisap rokok bertali arus terutamanya apabila aku sedang melaksanakan tugas-tugas penerbitan . . . sebagai seorang editor.







[Lagi aksi penulis merokok di mana-mana pada zaman dahulu. Zaman sebelum "Tak Nak"]


Berakhir tahun 1999 . . . menjelang pula tahun 2000. Aku berasa amat gembira. 

Aku gembira kerana sudah mula mendapat kekuatan diri untuk berhenti merokok. Alhamdulillah . . . Tuhan telah membukakan pintu hatiku untuk berbuat demikian pada ketika zaman sedang beralih ke alaf (milenium) baru.  

Dan . . . akhirnya aku behenti merokok. STOP!

Aku bangga dan gembira kerana tahun 2000 itulah juga merupakan tahun aku bebas daripada kongkongan pekerjaan rasmiku.

Dalam pengertian mudah , aku sudah pencen! Mungkin aku gembira sebab nanti aku tak perlu bayar lagi harga yang tinggi untuk rokok ... dan paling penting tak perlu nanti kena bayar harga tertinggi untuk nyawaku!

Aku berhenti di sini dahulu. Nanti aku ceritakan pula cara aku berjaya berhenti merokok. Tu..ng..gu..uuuuuu.

Buat sementara waktu aku tidak malu menunjukkan perubahan pendirian secara mendadak. Aku juga tidak menyesal berbuat demikian. 


Mengapa aku harus malu atau menyesal berubah pendirian?Aku bukan ahli politik . . . atau wakil rakyat . . . yang berubah  kem atau yang melompat parti. Aku bukan pemimpin yang menjual hak. AKU HANYA SEORANG PEROKOK yang sudah insaf . . . seorang perokok tegar yang kini berubah pendirian.

Pesanku kepada yang masih merokok . . .  ubahlah pendirian . . .  kerana perubahan ini kena pada tempatnya!


Renung renungkan . . .












Bamuda 
dsuarang.blogspot.com