Monday, June 17, 2013

Bapak Dalam Kenangan






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Hari Bapa 2013


Semalam Ahad 16 Jun 2013 . . . kedengaran banyak ucapan "Selamat Hari Bapa" ditujukan kepada para lelaki yang bergelar 'bapak', 'ayah', 'abah', 'abi', 'dad', 'daddy', 'papa', (papi?) . . . dan yang setaraf dengannya . . .  bergema di seluruh pelosok negara Malaysia. 

Ucap 'selamat' itu lazim terdengar sekali setiap tahun apabila tiba tarikh keramat yang berkenaan. Sudah jadi semacam trend sekarang. 














Seingat aku . . . pada zaman aku kanak-kanak dulu . . . tak pernah ada satu hari diperuntukkan kepada sambutan yang bertujuan khusus seperti untuk hari ini . . . hari memperingati jasa "Bapa".

Tak mengapalah. Kalau sekarang ramai yang sudah sedar bahawa jasa seorang "bapa" harus dikenang dan dihargai. 

Baguslah begitu. Tapi . . . janganlah jasa si "bapa" itu "dilampusorotkan" untuk satu hari ini sahaja! 








Tak payah ada suatu hari khas untuk "bapa" pun tidak mengapa . . . asalkan jasa si "bapa" di mana-mana pelosok dunia sekali pun tetap dikenang secara berpanjangan . . . sepanjang hayat!















. . . dan . . . anak-anak aku tiada pula yang mengucapkan "Selamat Hari Bapa" kepada aku sepanjang "Hari Bapa"  semalam . . . 












. . . cuma tiba-tiba aku dan isteriku dibawa mereka ke "Halia" di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur pada malamnya. Kata mereka untuk berkumpul dan makan-makan sekeluarga. 

















Aku turut pergi saja. Tiada masalah. Tiada pantang. Mereka yang uruskan. Mereka yang belanja dan . . . hmm hmm . . .  mereka yang bayar! 







Rezeki jangan ditolak kata orang tua-tua. Baguslah. Silaturahim kekeluargaan juga dapat dibina dan terus dipereratkan . . . fikirku. Alhamdulillah.
















Ketika di sana kami sekeluarga pun menjamu selera sambil berbual-bual bersama-sama. Banyak juga cerita 'lucu' yang dapat aku dengar daripada anak-anakku. Kisah harian 'zaman lama' juga timbul.

















Aku sentiasa akan berasa ceria dan seronok setiap kali dapat berbicara secara santai dengan semua ahli keluargaku begini.

































































Aku memang biasa dilayani anak-anakku begini. Kami sering keluar makan-makan ke mana-mana . . . walaupun tanpa ada sebarang acara atau peristiwa khas atau istimewa yang hendak disambut atau dirayakan.



















Rupa-rupanya . . . di restoran "Halia" pada ketika itu . . . ada ramai keluarga yang merayakan "Hari Bapa" keluarga mereka masing-masing.










Mudah-mudahan mereka itu tidak hanya 'meraikan'  bapa mereka atau menjaga 'kebajikan' bapa masing-masing  setahun sekali sahaja!

























Aku terasa semacam terbawa-bawa sama mengikut trend menyambut hari bapa setahun sekali ini seperti mereka itu . . . walaupun anak-anakku dari awal lagi . . . tidak mengucapkan "Selamat Hari Bapa" kepada aku . . . jauh sekali menyatakan akan makan-makan untuk menyambut "Hari Bapa" ini.  





















Janggal benar perasaanku di kala itu! Sejak dahulu aku tidak pernah merayakan hari sekhusus ini dengan bapaku. 

Aku cuma pernah merayakan dua hari istimewa dalam kalendar tahunan hidupku . . . bersama 'bapak' . . . (panggilan terhadap bapaku).  Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha.

Walau bagaimana pun, di "Halia" kami sekeluarga langsung menjamu selera dengan nikmat yang diberi Allah SWT.










































Sambil itu . . . jauh di sudut hatiku . . . terpendam semacam rasa terkilan. Kalaulah pada zaman aku dahulu ada hari sambutan istimewa begini untuk "bapa" . . . alangkah berbezanya . . .  

Namun, aku pantas berastaghfar dan mengucapkan syukur kepada Allah SWT, kerana:

Tanpa wujud hari istimewa sebegini pun pada waktu itu . . . aku dan bapaku tetap mempunyai hubungan yang baik lagi mesra sebagai anak dengan bapa . . . dan Alhamdulillah, jalinan silaturahim antara kami terpelihara erat sekali!

Memang jasa bapak tidak terbalas oleh anak. Hanya penghargaan yang berkekalan dan kenangan sepanjang zaman terhadap jasa dan bakti itu yang mampu mengukur sedalam mana kasih dan sayang yang terjalin antara seorang anak dengan bapanya.






Dari arkib puisi lamaku . . .


Al-Fatihah untuk Allahyarham ayahandaku Hj Baharom Mohd Shariff dan juga buat semua bapa yang telah pergi mendahului anak-anak mereka. Amin.

Di penghujung acara makan-makan sekeluarga itu . . .  aku mendapat satu 'kejutan' kecil daripada pihak pengurusan "Halia". A very pleasant surprise indeed







Sebuah kek yang tertera di atasnya ucapan "Happy Father's Day".






Anak-anakku masih tidak mengucapkan kata-kata "Selamat Hari Bapa" kepada aku pada hari yang disambut sebagai "Hari Bapa" . . . dan keadaan itu berkekalan sampai sudah!







Aku tak kisah. Malah aku senang begitu. Aku yakin ada hikmahnya di mana-mana.








Mudah-mudahan mereka menempatkan 'ucapan' itu di kalbu masing-masing saban waktu. Amin.  




Bamuda
dsuarang.blogspot.com