Friday, August 2, 2013

Jangan Buta Hati






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera




Kisah Gadis Buta



Aku pernah terbaca kisah-kisah begini. Namun kisah yang satu ini tetap menarik hati ku. 

Kisah seorang gadis buta bersama teman lelakinya. 

Aku terfikir . . . mungkin elok kisah ini diulang siar untuk bacaan dan renungan bersama. 

Mungkin kisah ini dapat membuka minda kita bagi mensyukuri setiap nikmat anugerah Allah SWT kepada kita.

Mungkin juga kisah ini dapat menjadikan kita berlapang dada menghargai setiap budi dan jasa bakti orang lain terhadap diri kita.

Paling tidak . . . aku harapkan kisah ini dapat menimbulkan 'keinsafan' dalam diri kita masing-masing . . . 

Moga-moga kita cepat sedar tentang ketidakbaikan sikap mudah berjanji tetapi tidak berkesanggupan menepati janji yang telah dibuat itu!


Marilah kita hayati kisah ini . . . 




Alkisah . . . seorang gadis amat membenci dirinya. Dia membenci dirinya sendiri semata-mata kerana kedua-dua belah matanya buta sejak dia kecil lagi.

Gadis itu (Mawar , bukan nama sebenar) juga tidak menyukai sesiapa pun kecuali seorang teman lelakinya . 

Teman lelakinya itu (Aduka, bukan nama sebenar) amat mengambil berat tentang segala hal dan keperluan diri Mawar. 

Sesungguhnya Aduka sentiasa mendahulukan segala kepentingan diri Mawar yang buta itu melebihi dirinya sendiri.

Disebabkan terlalu akrab dan sayang kepada Aduka , Mawar pernah mengucapkan kata-kata berikut kepada teman lelakinya itu:

"Aduka . . . andainya Mawar dapat melihat dunia ini . . . Mawar tidak akan teragak-agak untuk berkahwin denganmu sayang." 

Hendak jadi cerita . . . pada suatu hari . . . seorang hamba Allah telah mendermakan sepasang matanya buat menggantikan mata Mawar yang tidak dapat berfungsi itu. 

Setelah dilakukan pembedahan terhadap kedua-dua belah mata Mawar yang buta itu . . . dan setelah rawatan susulan yang cukup rapi dilaksanakan, Mawar dapat melihat dengan sempurna.

Mawar dapat melihat keindahan alam ini . . . bersekali dengan dapat menatap wajah Aduka , teman lelakinya itu , buat pertama kalinya.

Aduka dengan girangnya berkata kepada Mawar yang kini sudah pulih penglihatan itu:


"Wah . . . sekarang Mawar sudah dapat melihat. Lihatlah dengan sepuas-puas hatimu akan keindahan dunia ini . . . "

Sebentar kemudian Aduka berkata lagi: 

"Sayang, lihatlah juga kepada aku . . . tataplah puas-puas wajahku ini . . ."

Mawar terkejut apabila mendapati bahawa Aduka juga buta . . . seperti keadaannya dahulu! 

Suasana sepi seketika. Akhirnya Aduka bertanya:  

"Bagaimana sayang ? Sanggupkah kau kotakan kata-katamu sekarang? Segala apa yang telah kau janjikan kepadaku dulu?"  

Mawar lalu menjawab,"Aku tak mahu berkahwin dengan mu, Aduka."

Aduka pun beredar dari situ dalam keadaan sedih dan kecewa. 

Selang beberapa hari . . . Mawar mendapat sekeping nota ringkas bertaip Braille* daripada Aduka. Tercatat kata-kata: 


“Jagalah sepasang mataku itu baik-baik . . . sayang." 


[Persoalannya . . . masihkah mahu atau mampu Mawar membaca sistem* tulisan begini lagi . . . sistem* tulisan yang dengannya dia cukup mahir suatu ketika dahulu . . . ketika matanya buta!

Demikian secebis kisah tentang hati dan perasaan manusia yang sentiasa berubah-ubah. Sentiasa tidak tetap dan sentiasa tidak pernah puas!

Semoga masih ada segelintir insan yang malar hatinya dan mantap pendiriannya.


Biarlah buta mata . . . jangan buta hati!]  



bamuda
dsuarang.blogspot.com