Tuesday, August 6, 2013

Sepanjang Jalan Kenangan Ramadan 1979






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Kumpulan Nasyid Kementerian Pelajaran Malaysia



Sudah semakin hampir penghujung Ramadan bagi tahun 2013 (1434H). Dua tiga hari saja lagi akan muncul Syawal 1434H.


Sayu terasa meninggalkan bulan yang serba mulia ini . . . namun tersemat pula rasa puas menyambut kedatangan bulan yang membawa bersamanya erti kegembiraan yang tulen. Gembira kerana . . . kita telah diuji . . . dan mudah-mudahan kita diberikan-NYA kelulusan penuh cemerlang dalam ujian itu. Alhamdulillah.

Penulis teringat Ramadan tahun 1979. Penulis teringat akan suatu peristiwa yang menjadi kenangan manis penulis hingga masa kini.



Ketika itu penulis aktif menganggotai Kumpulan Nasyid Kementerian Pelajaran Malaysia. 

Kumpulan kami telah dipinta menyumbangkan nyanyian nasyid di dalam majlis tahunan yang amat dinanti-nantikan ramai warga Islam Malaysia pada ketika itu . . . "Musabaqah Membaca al-Quran."


Sedikit info tentang majlis yang bertujuan meninggikan syiar Islam. Majlis tahunan yang dianjurkan Kerajaan Malaysia ini pertama kali diadakan dengan nama "Pertandingan Membaca al-Quran". Kemudian nama ini diubah menjadi "Musabaqah Membaca al-Quran". Sekarang dikenali dengan nama,"Ujian Tilawah al-Quran" pula.


Dua buah lagu nasyid telah dapat dipersembahkan dengan jayanya oleh kumpulan kami dalam majlis Musabaqah Membaca al-Quran (Peringkat Antarabangsa) Kali ke-20 . . . pada malam Ramadan 1399H / TM 1979.

Penulis dan teman-teman sekumpulan tentu saja amat teruja apabila nama kumpulan nasyid kami diumumkan dengan lantangnya melalui sistem pembesar suara di Stadium Merdeka yang penuh bersejarah pada malam itu.

Maklum sajalah . . . perjalanan setiap acara dalam majlis berkenaan telah disiarkan secara langsung (live) ke hampir seluruh negara Islam di dunia ini.

[Maka pada saat 'glamour' itu . . . semacam punya perasan jadinya para penyanyi amatur semua . . . he, he, hmm!]

Kumpulan Nasyid Kementerian Pelajaran Malaysia waktu itu dibimbing dua pakar muzik tempatan . . . Allahyarham Tuan Hj Abd Hamid Baharuddin dan Tuan Hj Mahzan Manan.

Allahyarham Abd Hamid Baharuddin ketika itu seorang Nadzir Sekolah (Bhg Muzik) di Jemaah Nadzir Sekolah, Malaysia manakala Mahzan Manan pula seorang Pensyarah Seni Muzik di Maktab Perguruan Islam, Kuala Lumpur.








Peristiwa: Musabaqah Membaca al-Quran (Peringkat Antarabangsa). Tarikh: 9 hingga 14 Ogos 1979. Tempat: Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.



Keterangan gambar: Penulis (bertanda X) bersama Kumpulan Nasyid Kementerian Pelajaran Malaysia beraksi di Stadium Merdeka KL pada Musabaqah al-Quran tahun 1979 . . . dalam foto-foto yang tertera di ruang ini .










Alhamdulillah . . . pengalaman ini cukup indah dan merupakan sesuatu yang tidak mudah terlupakan . . . khususnya apabila hingga sekarang majlis ini terus diadakan setiap tahun. 



------------------------------------------------------
Catatan keputusan Musabaqah Membaca al-Quran 1979: 

Peringkat Kebangsaan


Johan Qari: 
Shafie bin Kati (Selangor)

Johan Qariah:
Rogayah binti Sulong (Terengganu)



Peringkat Antarabangsa


Johan Qari : 
Abbas Salimi Naleeni (Iran)

Johan Qariah:
Sarina binti Abdullah (Indonesia)



Pemenang "Pertandingan Membaca al-Quran (Peringkat Kebangsaan)" yang pertama kali diadakan pada tahun 1960 / 1379H:


Lelaki: Abdul Hamid bin Desa (Kedah)


Perempuan: Saodah binti Hanafi (Perlis) 


----------------------------------------------



bamuda
dsuarang.blogspot.com