Friday, November 22, 2013

Dirgahayu Hajah Maimunah






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Hari UTK ke-86


Selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran ke-86 mak . . . nek . . . nyang.

Didoakan panjang usia, sihat walafiat, hidup penuh berkat, semakin kuat beramal ibadat, murah rezeki, ceria serta berbahagia senantiasa.








Begitulah doa semua anak, menantu, cucu dan cicit Hjh Maimunah bt Mahat untuk beliau bersempena menyambut hari ulang tahun kelahirannya tahun ini.

Maimunah binti Mahat dilahirkan di Pulau Sebang, Melaka pada 19 November 1927.

Beliau berkahwin dengan Yasin bin Ahmad dan dikurniakan lapan orang cahaya mata. Tiga lelaki dan lima perempuan. Isteri penulis Alimah Yasin anaknya yang kedua.
























































Majlis sambutan yang serba sederhana telah diadakan di d'SUARANG pada malam hari Selasa 19 November 2013 bersamaan 15 Muharram 1435H.



















































Bacaan doa ringkas sebagai mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT dan memohon keberkatan yang berterusan daripada-NYA dilakukan cucu-cucu Hjh Maimunah.





















Alhamdulillah . . . ibu mentua penulis ini masih sihat dan kuat dalam menjalani kehidupannya sehari-hari. Hjh Maimunah  masih mampu mendengar dan melihat dengan daya yang cukup sempurna.





















Fikiran dan ingatan beliau juga masih tajam dan kuat. Selera makan beliau tetap baik.








Pergerakan Hjh Maimunah lancar walaupun sekarang beliau berjalan dengan menggunakan tongkat setelah terjatuh tidak berapa lama dahulu.


Apabila ditanya apa rahsianya hingga beliau boleh bertahan sedemikian sihat dan sejahtera, jawapan Hjh Maimunah mudah sahaja:


"Tak tau Nah doh. Sumo tu kojo Allah SWT. Apo yang diboghi omak timo jo lah seadonyo. . . "























Penulis sendiri sudah lama memerhatikan beliau ini jarang-jarang sekali ke klinik dan jarang-jarang juga memakan "ubat spital". . . (istilah yang digunakan orang lama untuk ubat-ubatan dari klinik atau rumah sakit).


Ibu mentua penulis ini masih rajin ke mana-mana mendengar ceramah dan tazkirah keagamaan apabila terbuka sahaja peluang untuk berbuat demikian.


Hjh Maimunah juga gemar berkunjung ke tempat-tempat pelancongan dan percutian . . . khususnya di dalam negara . . . "Bercuti-cuti Malaysia," . . . menurut katanya.


Selain itu ibu kepada 8 orang anak, nenek kepada 31 orang cucu dan moyang kepada 14 orang cicit ini masih aktif melawat dan menziarahi kaum keluarga, sanak saudara dan sahabat handai dalam usaha megeratkan silaturahim kekeluargaan, persaudaraan dan persahabatan.



































Alhamdulillah Hjh Maimunah telah diizinkan Allah SWT pergi menunaikan ibadat Haji di Tanah Suci sebanyak dua kali. Pertama kali pada tahun 1985 dan kali kedua pada tahun 2004.

Beliau juga pernah ke sana menunaikan Umrah dan Ziarah pada tahun 1994. Kini beliau sering menyuarakan hasratnya untuk pergi menunaikan Umrah dan Ziarah lagi andainya masih diizinkan Tuhan.















Kami semua berdoa agar Allah SWT menjadikan realiti hasrat mulia Hjh Maimunah untuk berbuat demikian.


Dirgahayu mak . . . nek . . . nyang. Dirgahayu Hjh Maimunah bt Mahat yang kami kasihi.

Mudah-mudahan semua anak cucu cicitmu juga dianugerahkan Allah SWT gaya hidup sihat dan sejahtera seperti dirimu.

Amin . . . 

[al-Fatihah buat Allahyarham Yasin bin Ahmad, Allahyarham Suleiman (Johari) Yasin dan Allahyarham Zolkeplay (Zol) Madiasin. Amin.] 



bamuda
dsuarang.blogspot.com