Assalamualaikum
n
Selamat Sejahtera
Airport Baru Medan
Wah . . . Medan ada airport baru! Tidak di Polonia lagi. Kini airport Medan di Kuala Namu.
Airport baru ini menggantikan airport Polonia yang usianya sudah melebihi 70 tahun sekarang.
Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia terletak di tengah-tengah kota Medan.
Para pengunjung ke Medan boleh dengan amat mudah dan cepat pergi ke pusat kota itu dari airport Polonia.
Cuma kira-kira 10-15 minit waktu perjalanan diperlukan untuk sampai.
Jika dibandingkan . . . jarak di antara airport baru di Kuala Namu dengan kota Medan pula lebih jauh . . . kira-kira 23 kilometer.
Perjalanan dari airport baru ini ke kota Medan dijangka mengambil masa kira-kira setengah jam atau lebih.
Jadi persoalannya . . . mengapa pindah?
Penulis berusaha mendapatkan sedikit pandangan daripada beberapa orang warga tempatan biasa yang penulis temui ketika berkunjung ke Medan tidak berapa lama dahulu.
[Lebih tepat penulis ke tapak airport baru Medan di Kuala Namu itu pada Selasa 19 Mac 2013.]
Rata-rata jawapan standard yang penulis terima daripada mereka yang ditemui itu begini:
Pemindahan lapangan terbang dari Polonia ke luar kota Medan telah lama dirancangkan pihak berwajib demi keselamatan penerbangan dan para penduduk yang semakin padat di sekitar lokasi bandara (istilah dalam bahasa Indonesia untuk lapangan terbang).
Walaupun pembinaan sebuah lapangan terbang baru di Kuala Namu telah dirancangkan sejak tahun 1997 lagi . . . namun banyak rintangan (terutamanya yang menyangkut kos / perbelanjaan ) telah dihadapi oleh pihak yang berwajib untuk melaksanakan rancangan itu . . . hingga ada banyak urusan yang telah tergendala atau terlewat.
Bagaimana pun . . . peristiwa pesawat Mandala Airlines jatuh terhempas di sekitar daerah airport Polonia ketika baru berlepas dari airport itu pada bulan September 2005 mungkin merupakan antara faktor yang mempercepatkan keperluan pembinaan lapangan terbang baru yang lebih bersesuaian lokasinya!
Nahas udara yang telah meragut banyak nyawa termasuk Gabenor Sumatra Utara Tengku Rizal Nurdin dan para penduduk yang tinggal di sekitar lokasi lapangan terbang Polonia itu . . . sesungguhnya membawa hikmah dan menjadi pemangkin dalam hal ini.
Maka terbinalah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu (kini dikenali sebagai Lapangan Terbang Baru Antarabangsa Medan) yang berlokasi di Kuala Namu, Desa Beringin, Kecamatan Beringin, Kabupaten Deli Serdang.
Lapangan Terbang Kuala Namu ini dijangka menjadi lapangan terbang transit antarabangsa bagi rantau Sumatera yang kedua terbesar di Indonesia selepas Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta.
Penulis difahamkan bahawa setelah selesai peringkat awalan pembinaannya lapangan terbang yang baru ini dijangka berkeupayaan menampung tujuh hingga 10 juta penumpang dan 10,000 pergerakan pesawat setahun.
Apabila selesai pula peringkat kedua pembinaannya nanti lapangan terbang ini dijangka boleh menampung 25 juta penumpang setahun.
Luas terminal penumpang adalah sekitar 6.5 hektar. Luas kawasan komersilnya 3.5 hektar manakala keluasan kawasan kargonya 1.3 hektar.
Panjang landasan berlepas (runway) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu ini kira-kira 3,750 meter.
Landasan ini mampu menampung pendaratan pesawat berbadan lebar (wide bodied aeroplanes).
Begitulah secara ringkas info yang penulis peroleh ketika menjenguk ke kawasan airport baru di Kuala Namu tempoh hari dengan keizinan dan bantuan pihak keselamatan pembinaan airport tersebut.
Penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang telah memberikan bantuan sepanjang kunjungan penulis ke airport Kuala Namu yang dalam pembinaan ketika itu.
Menjelang petang . . . penulis sudah bergerak semula ke arah kota Medan . . . setelah puas melihat-lihat pembinaan yang berlaku di tapak airport baru Kuala Namu.
Ada kelapangan waktu nanti . . . in shaa Allah . . . penulis akan datang lagi ke sini. Pada kala itu mengunjungi airport ini dalam bentuknya yang sudah siap terbina.
Sehingga waktu itu . . . bye Polonia, Hello Kuala Namu
Bamuda
dsuarang.blogspot.com