Sunday, August 8, 2010

Nak Panggil Apa Ha?




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Pangkat Bersepupu


Sesetengah orang tidak begitu mengambil berat tentang panggilan "pangkat" dalam hubungan kekeluargaan. Ada pula sesetengah keluarga tidak peduli tentang "susunan" panggilan yang sedemikian walaupun dalam keluarga mereka sendiri. Apatah lagi apabila panggilan itu "cuma" bersangkutan dengan hubungan antara saudara sepupu!

Kepada mereka itu . . . ada nama sudahlah. Panggil sahaja dengan nama itu. Mengapa hendak menyusahkan "kepala"? Begitu yang kerap kita dengar sekarang ini. Dahulu keadaannya tidak sedemikian. Perhubungan antara ahli-ahli keluarga termasuklah sepupu dan dua pupu amat rapat. Hubungan persaudaraan tiga pupu dan seterusnya pupu poyang masih dekat dan mesra.



Dua anak kecil bersaudara sepupu. Azim di kiri manakala Ahmad di kanan.



Aku berpendirian begini. Aku orang Melayu yang masih Melayu. Nak kata apa katalah. Orang Melayu yang belum hilang jati dirinya tetap akan berbangga dengan adat dan tradisi asli bangsanya. Aku bangga dengan akar umbi keluarga aku termasuk keluarga besarku sekali. Aku amat mementingkan "susun atur" panggilan dalam hubungan kekeluargaan. Sekurang-kurangnya ada sedikit perasaan menghormati dan dihormati akan timbul di antara orang yang berhubungan itu. Bukan susah sangat nak panggil seseorang ahli keluarga dengan panggilan Along, Ngah, Alang, Uda, Andak, Anjang, Ateh, Acik, Usu dan lain-lain lagi seumpamanya! Kalau dah dibiasakan dari awal segalanya akan mudah saja. Alah bisa tegal biasa!





Amb & Aii Saudara Sepupu

Kiri
: Opah Alimah dan cucu Amb. Kanan: Atuk Majid dan cucu Aii


Sebelum meneruskan ceritaku dalam entri ini biar aku terangkan sedikit tentang bagaimana orang menjadi bersaudara pupu. Mereka yang dikatakan bersaudara sepupu itu ialah yang ibu atau bapa mereka adik beradik. Mereka ini mempunyai nenek atau datuk yang sama. Adik-beradik sedatuk atau senenek kata orang.



Adik-beradik sedatuk dan senenek. Kiri: Azim Muqry Basrie. Kanan: Ahmad Iman Iskandar


Dua pupu pula ialah orang yang datuk atau nenek mereka adik beradik. Mereka ini mempunyai moyang (lelaki atau perempuan) yang sama. Adik-beradik semoyang kata orang.

Tiga pupu ialah orang yang moyang mereka adik beradik. Berpupu pula ialah mereka yang mempunyai hubungan pupu manakala berpupu-poyang pula ialah mereka yang mempunyai hubungan pupu dan poyang. Pupu-poyang membawa erti keadaan banyak saudara pupu (sudah berlapis-lapis pupu kiranya.)

Penerangan ini ditujukan kepada mereka yang mungkin belum tahu atau jelas sangat tentang hubungan persaudaraan berpupu. Mereka yang sudah mengetahuinya tidak mengapalah . . . aku sekadar ingin berkongsi fakta. Bagi mereka yang tidak mahu tahu . . . lagilah tak mengapa. Masing-masing bebas dengan pegangan sendiri. Cakap omputih sikit, " After all Malaysia is a democratic state. A stable platform to do as one please one should though not as what one wish one could."

Sebenarnya bahan cerita di atas ini tercetus daripada satu soalan yang ditujukan kepada aku baru-baru ini. Ketika itu aku, Alimah, Roy, Anum dan Ahmad sedang dalam perjalanan membawa Azim pulang ke d'SUARANG dari Hospital Ampang. Aku ditanyakan begini oleh menantuku:

Royhai'zam: "Abah, nanti Azim panggil Ahmad apa ha?"

Abah: "Abang Long atau Along le."

Alimah: "Sesetengah orang panggil nama aje."

Abah: "Biarkanlah mereka tu . . . kita panggil ikut pangkat le . . . walaupun Ahmad tua enam bulan saja daripada Azim. Lain le di Barat. Budaya mereka menggalakkan panggilan nama sahaja. Tak kira kalau orang tu dah 100 tahun lebih tua pun!"

Royhai'zam: " Yang lain nanti macam mana?"

Abah: " Kita guna saja panggilan sama ada Wa, Yeop, Chor ke dsb mengikut kesesuaian."


Demikian kisahnya tentang panggil memanggil ini. Walaupun nampak remeh saja kepada sesetengah orang . . . bagiku panggilan yang sedemikian melambangkan keeratan pertalian kekeluargaan dan persaudaraan. Bagiku inilah salah satu tanda kita masih menghargai ikatan perhubungan antara ahli-ahli keluarga. Pada masa sekarang ikatan yang sedemikian sudah menjadi semakin longgar dalam masyarakat kita hingga ada yang membawa ke tahap tiada langsung. Sayangnya!




Mesra Dua Sepupu
Aii & Amb


Memang sesungguhnya secara peribadi aku masih berpegang kepada faham ini. Kepadaku:



It Begins At Home and No Man Is An Island.








dsuarang. blogspot.com

2 comments:

  1. melentur buluh biar dari rebungnya...
    jgn bila dah jadi buluh baru nak melentur..setiap kali nak melentur...buluh tu swing balik kat kita..

    tulang besi urat dawai
    walupun berisi jangan dok mamai

    ReplyDelete
  2. Salam rbassociates,

    Kalau tidak tayar dibasuh,
    Manakan hilang palitan arang;
    Kalau tidak diajar asuh,
    Manakan datang kematangan orang!

    Sebab tempua bersarang rendah,
    Tiada siapa dapat meneka;
    Sebab semua terkarang indah
    Tiada timbul cacat dan cela!

    Lentur buluh dari si rebung,
    Lenturnya terus berkurun-kurun;
    Masyhur sungguh seisi kampung,
    Masyhurnya harus turun-temurun!

    ReplyDelete