Wednesday, November 25, 2009

Siapa Dia Tu!




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera 


Siapa Ingin Dia Kembali?

Pagi ini, setelah membaca berita di muka hadapan akhbar Utusan Malaysia Rabu 25 November 2009,saya rasa terpanggil untuk berkongsi pandangan dengan para pembaca tentang permohonan Chin Peng kembali ke Malaysia.


Menurut berita itu ada pihak-pihak tertentu yang berusaha untuk menjayakan permohonan ini. Berbagai-bagai alasan diberikan. Tidak perlu disebutkan kesemuanya dengan terperinci di sini. Apa yang begitu ketara ialah sudah tentunya soal hak asasi manusia ada dibangkitkan. Saya berasa janggal sedikit apabila dalam hal individu seumpama ini selalu dibangkitkan soal hak asasi.

Hak asasi berhubung dengan ketenteraman dan keselesaan kelompok besar yang terjejas akibat permohonan itu tidak pula diambil kira. Perasaan terguris atau sedih yang membawa kepada kebencian terhadap orang seperti Chin Peng ini seolah-olah tidak mahu dihiraukan.

Ada ramai di antara rakyat jelata di negara tercinta ini yang kematian orang tersayang akibat keganasan dan perbuatan bermaharajalela petualang dalam kumpulan PKM. Siapa lagi yang mengetuai kumpulan haram ini kalau bukan Chin Peng!


Malangnya, Chin Peng ini jugalah yang bermati-matian hendak dipertahankan oleh mereka yang kononnya hendak menjadi jaguh hak asasi manusia. Agaknya mungkin kerana mereka tidak kehilangan sesiapa dalam perjuangan menentang pengganas komunis dahulu! Mungkin juga mereka itu belum pun lahir ke dunia ini ketika peristiwa zaman darurat menghantui kehidupan ramai warga Malaysia yang setia.

Saya sendiri pernah kehilangan sanak saudara akibat keganasan PKM sepanjang zaman itu. Saya tidak memaafkan perbuatan derhaka mereka yang sedemikian rupa terhadap nusa dan bangsa!

Syabas pihak Pemerintah bertegas dalam hal ini. Semoga berterusan pendirian sebegini!




No comments:

Post a Comment