Sunday, December 25, 2011

Assalamualaikum Ya Rasulullah



 
Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Bukan Sebarang Salam


Berkirim salam antara ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai sudah menjadi semacam tradisi dalam masyarakat kita. Sering kedengaran orang berkata ," Kirim salam kepada . . . ." atau "Sampaikan salam saya kepada . . . "



Kita pula dengan yakin (walau pun mengucapkan insya-Allah) berkata akan menyampaikan salam itu nanti kepada orang yang dimaksudkan. Apabila kita menyampaikan salam tersebut, kita pasti melakukannya tanpa sebarang rasa terharu, sedih atau beremosi. Salam yang dikirimkan itu kita sampaikan dengan amat bersahaja atau selamba. Kadang kala hampir-hampir macam menyebutkan kata-kata 'kosong' yang tidak membawa makna yang mendalam!






Agak lama teman sudah mengamati keadaan sedemikian. Teman perhatikan orang pun tidak kisah sangat siapa yang berkirim salam dan kepada siapa salam itu hendak ditujukan. Kadang kala teman rasa orang yang berkirim salam itu sambil lewa sahaja atau macam 'melepaskan batuk di tangga' . Si penerima salam pula 2x5. Maka pada andaian teman . . . hilanglah erti keikhlasan atau kemesraan sebenar dalam hal saling berkirim salam seperti ini!









Bagaimana pula keadaannya apabila orang berkata kepada seseorang yang hendak ke Makkah menunaikan fardhu haji, "Tolong sampaikan salam saya kepada Nabi Muhammad". Biasanya, teman perhatikan orang yang berkirim salam itu cukup ikhlas dan beria-ia hendakkan salamnya disampaikan kepada Rasulullah SAW. Pihak yang diminta menyampaikan salam itu pula biasanya kelihatan macam kurang berkeyakinan penuh untuk berbuat demikian. Tidak seperti apabila hendak membawa dan menyampaikan salam orang dalam keadaan biasa!









Mengapa demikian jadinya? Mengapa si tukang yang meminta salamnya disampaikan itu amat ikhlas dan beria-ia benar sikapnya? Mengapa pula si tukang yang diminta menyampaikan salam itu bersikap ragu-ragu atau berhati-hati sangat?

Teman pikio gini aje . . .








Si tukang yang hendakkan salamnya itu disampaikan kepada Rasulullah SAW berasa kali ini salamnya bukan salam sembarangan. Salamnya hendak disampaikan ke pangkuan Rasulullah SAW sendiri (walaupun di hadapan makam baginda sahaja) dengan dibawa 'first hand' oleh seseorang pembawa istimewa yang bergelar 'tetamu Allah'. Perasaan tukang yang berkirim salam tentu amat berbeza ketika dia meminta bakal haji itu menyampaikan salamnya berbanding dengan salam yang biasa ditujukannya sendiri melalui selawat dan salam (dari sini) ke atas junjungan kita itu.







 

Si tukang (tetamu Allah/bakal haji) yang diminta menyampaikan salam itu pula ragu-ragu atau berhati-hati mungkin kerana dia memikirkan sama ada dia benar-benar akan mampu berbuat demikian. Selama ini dia hanya menyampaikan salam kepada insan yang biasa-biasa. Kali ini hendak disampaikan salam secara peribadi kepada insan tersangat mulia dan tinggi darjatnya . . . Nabi Muhammad SAW (bukan sembarangan insan). Sementelahan salam itu perlu disampaikan terus ke pangkuan Rasulullah SAW walau pun sekadar di hadapan makam baginda sahaja. Tentulah emosi yang terkandung dalam perbuatan menyampaikan salam itu tiada tandingannya!

Wallahuaklam. Itu andaian teman aje . . .







Apapun, teman bersyukur ke hadrat Allah SWT, kerana diizinkan-NYA jua menyampaikan salam kepada Rasulullah SAW sebagaimana dihajatkan oleh ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai teman.

Assalamualikum Ya Rasulullah.







 

dsuarang.blogspot.com

No comments:

Post a Comment