Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Apa Ada Pada Nama?
Jangan sekali-kali kita nafikan bahawa
nama amat mempengaruhi ruang dan suasana hidup seseorang. Sering kita
dengar orang menyatakan, "Apa ada pada nama. Tak penting pun . . . hanya
merupakan panggilan atau sebutan bagi seseorang, sesuatu barang atau
sesutau tempat dsb.
Namun mengapa ramai pula pihak yang
sanggup bermati-matian mencari atau mempertahankan nama? Jawapannya . .
. demi kehormatan, kebaikan, kemasyhuran, pujian dan paling penting
kerana maruah.
Andai seseorang bertanya kepadaku apalah
penting sangat sesuatu nama atau apalah ada pada nama . . . aku akan
jawab, "Macam-macam ada!"
Ada nama hebat ada nama biasa. Ada nama panjang ada nama pendek. Ada nama moden ada nama klasik. Ada nama simple
ada nama bombastik . Ada nama mengelirukan ada juga nama yang
menggelikan hati. Pendeknya ada macam-macam nama yang membawa
macam-macam maksud atau pengertiannya yang tersendiri.
Seorang kawan baik aku punya nama yang
mudah sahaja . . . tetapi namanya itu kerap menyebabkan beliau mengalami
hal-hal yang menarik dalam hidupnya . . . kadang-kadang perkara yang di
luar dugaan . . . semata-mata kerana nama yang dianugerahkan kepadanya
oleh orang-orang tuanya dahulu amat signifikan sifatnya dalam kehidupan
kita sehari-hari.
Nama itu . . . Bahasa. Kawan baik aku
itu bernama Bahasa bin Othman. Memang nama betulnya. Ada beberapa kisah
lucu tentang nama kawan baik aku ini.
Penulis (kiri) dan Tuan Hj Bahasa Othman
Hj Bahasa menyampaikan ceritanya . . .
Siap dengan potongan artikel
daripada akhbar/majalah dsb
Penulis meneliti keterangan/maklumat diberi Hj Bahasa
Pose untuk dsuarang ni Ji
Cerita-cerita itu disampaikan kepadaku ketika Hj Bahasa berkunjung ke rumahku pada hari Khamis 22 Mac 2010.
Kisah 1
Suka kepada pelajaran Bahasa
" Pada usiaku pada peringkat kanak-kanak, keganjilan namaku yang bernama BAHASA
tidaklah menjadi tanda tanya kepada diri saya atau lebih tepatnya
tidaklah menjadi keanehan pada diri saya sepanjang usia muda (peringkat
sekolah rendah).
Jadi saya tidak berasa hairan dan kagum
kenapa kerani sekolah rendah tempat saya mula-mula mengenal huruf dan
seterusnya tahu membaca iaitu di Sekolah Kebangsaan Tapak, Padang Lebar,
Kuala Pilah, Negeri Sembilan, menaipkan di ruang 10. Kebolehan yang istimewa atau kecenderongan yang tertentu . . . dalam SIJIL TAMAT PELAJARAN SEKOLAH RENDAH (1963) bahawa saya ini Suka kepada pelajaran Bahasa. "
Kisah 2
Mencari Kerja di KL
Hj Bahasa bercerita lagi:
" Apabila sudah tamat sekolah menengah
pula, iaitu selepas keputusan SPM diumumkan pada tahun 1969 nasib saya
kurang baik iaitu hanya dapat pangkat 3 sahaja. Jadi saya tidak
berpeluang untuk meneruskan pelajaran ke tingkatan enam.
Memandangkan untuk meneruskan pelajaran tidak ada peluang lagi maka saya pun mencari kerja di Kuala Lumpur.
Apabila sampai di Kuala Lumpur
(Perhentian Bas Pudu Raya) saya pun tahan sebuah teksi untuk hantar saya
ke DBP. Tetapi sebelum teksi mula bergerak dari Pudu Raya, pemandu
teksi itu tanya macam-macam kepada saya.
' Awak dari mana?' Tanya pemandu teksi itu.
'Dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.' Jawabku akan persoalan pemandu teksi itu.
'Apa hal awak hendak pergi ke DBP?' Tanya pemandu teksi itu lagi.
'Saya nak cari kerja.' Jawabku pendek.
'Apa kelulusan kamu. Untuk kerja di DBP itu kamu mesti pandai mengarang. Kamu ni pandai mengarang ke?' Kata pemandu teksi itu.
'Saya berkelulusan SPM sahaja. Saya bukan hendak cari kerja sebagai pengarang.' Kataku lagi.
'Aa . . . Siapa nama awak ni?' Tanya si pemandu teksi itu lagi.
Ketika itu saya terfikir di dalam otak
saya, kenapa pemandu teksi ni banyak tanya. 'Agaknya pemandu teksi di
Kuala Lumpur ini memang peramah.'
'Aa . . . Nama saya Bahasa.' Jawabku pendek.
'Aaa . . . Bahasa! Awak ni siuman ke tidak?' Tanya si pemandu teksi itu.
'Betul!! Nah ini kad pengenalan saya.
Encik lihatlah sendiri,' kataku sambil menunjukkan kad pengenalan saya
itu kepada pemandu teksi itu.
Selepas pemandu teksi itu membelek-belek kad pengenalanku itu maka dia pun berkata:
'Pelik!! Pelik!! Rupa-rupanya ada orang
bernama Bahasa. Kalau begitu kamu memang layak kerja di DBP itu. Saya
doakan kamu berjaya bekerja di DBP itu nanti.' Kata pemandu teksi itu
dan terus bawa saya ke bangunan DBP."
Komen blogger:
1. Aku ingin tahu berapa orang yang
bernama Bahasa di Malaysia ini? Adakah kawan baik aku ini seorang sahaja
yang memakai nama ini? Aku memang tiada kawan atau kenalan lain yang
bernama Bahasa. Memang eksklusif nama ini!
2. Rupa-rupanya nama pun boleh memainkan
peranan atau menjadi kriteria bagi mendapatkan pekerjaan untuk
seseorang di organisasi yang ada sangkut pautnya dengan nama itu. Atau .
. . mungkin juga si pemandu teksi itu merupakan salah seorang daripada
mereka yang doanya terkabul hinggakan Tuan Hj Bahasa dapat bekerja di
DBP itu. Wallahuaklam.
Terima kasih Tuan Haji Bahasa kerana
sudi menceritakan cerita-cerita yang menarik ini. Cerita-cerita
selanjutnya daripada beliau . . . harap para pembaca tunggu terbitnya
ya. ( Bahasa billboard wayang: Next Change . . . Pertukaran Akan Datang . . .)
Bamuda
dsuarang.blogspot.com