Tuesday, April 24, 2012

Perihal Kawanku Bahasa





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Apa Ada Pada Nama?


Jangan sekali-kali kita nafikan bahawa nama amat mempengaruhi ruang dan suasana hidup seseorang. Sering kita dengar orang menyatakan, "Apa ada pada nama. Tak penting pun . . . hanya merupakan panggilan atau sebutan bagi seseorang, sesuatu barang atau sesutau tempat dsb.

Namun mengapa ramai pula pihak yang sanggup bermati-matian mencari atau mempertahankan nama? Jawapannya . . .  demi kehormatan, kebaikan, kemasyhuran, pujian dan paling penting kerana maruah.

Andai seseorang bertanya kepadaku apalah penting sangat sesuatu nama atau apalah ada pada nama . . . aku akan jawab, "Macam-macam ada!"

Ada nama hebat ada nama biasa. Ada nama panjang ada nama pendek. Ada nama moden ada nama klasik. Ada nama simple ada nama bombastik . Ada nama mengelirukan ada juga nama yang menggelikan hati. Pendeknya ada macam-macam nama yang membawa macam-macam maksud atau pengertiannya yang  tersendiri.

Seorang kawan baik aku punya nama yang mudah sahaja . . . tetapi namanya itu kerap menyebabkan beliau mengalami hal-hal yang menarik dalam hidupnya . . . kadang-kadang perkara yang di luar dugaan . . . semata-mata kerana nama yang dianugerahkan kepadanya oleh orang-orang tuanya dahulu amat signifikan sifatnya dalam kehidupan kita sehari-hari.

Nama itu . . . Bahasa. Kawan baik aku itu bernama Bahasa bin Othman. Memang nama betulnya. Ada beberapa kisah lucu tentang nama kawan baik aku ini.



Penulis (kiri) dan Tuan Hj Bahasa Othman 


 Hj Bahasa menyampaikan ceritanya . . . 


Siap dengan potongan artikel 
daripada akhbar/majalah dsb 


Aku cuba turunkan di sini cerita-cerita yang disampaikan oleh Tuan Hj Bahasa bin Othman . . . mantan Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) KL . . . tentang pegalaman beliau menyangkut namanya itu.



 

Penulis meneliti keterangan/maklumat diberi Hj Bahasa




Pose untuk dsuarang ni Ji


Cerita-cerita itu disampaikan kepadaku ketika Hj Bahasa berkunjung ke rumahku pada hari Khamis 22 Mac 2010.

Kisah 1

Suka kepada pelajaran Bahasa 
Hj Bahasa menceritakan:


" Pada usiaku pada peringkat kanak-kanak, keganjilan namaku yang bernama BAHASA tidaklah menjadi tanda tanya kepada diri saya atau lebih tepatnya tidaklah menjadi keanehan pada diri saya sepanjang usia muda (peringkat sekolah rendah).

Jadi saya tidak berasa hairan dan kagum kenapa kerani sekolah rendah tempat saya mula-mula mengenal huruf dan seterusnya tahu membaca iaitu di Sekolah Kebangsaan Tapak, Padang Lebar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, menaipkan di ruang 10. Kebolehan yang istimewa atau kecenderongan yang tertentu . . . dalam SIJIL TAMAT PELAJARAN SEKOLAH RENDAH (1963) bahawa saya ini Suka kepada pelajaran Bahasa. "









Kisah 2

Mencari Kerja di KL
Hj Bahasa bercerita lagi:



" Apabila sudah tamat sekolah menengah pula, iaitu selepas keputusan SPM diumumkan pada tahun 1969 nasib saya kurang baik iaitu hanya dapat pangkat 3 sahaja. Jadi saya tidak berpeluang untuk meneruskan pelajaran ke tingkatan enam.

Memandangkan untuk meneruskan pelajaran tidak ada peluang lagi maka saya pun mencari kerja di Kuala Lumpur.

Apabila sampai di Kuala Lumpur (Perhentian Bas Pudu Raya) saya pun tahan sebuah teksi untuk hantar saya ke DBP. Tetapi sebelum teksi mula bergerak dari Pudu Raya, pemandu teksi itu tanya macam-macam kepada saya.

' Awak dari mana?' Tanya pemandu teksi itu.

'Dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.' Jawabku akan persoalan pemandu teksi itu.

'Apa hal awak hendak pergi ke DBP?' Tanya pemandu teksi itu lagi.

'Saya nak cari kerja.' Jawabku pendek.

'Apa kelulusan kamu. Untuk kerja di DBP itu kamu mesti pandai mengarang. Kamu ni pandai mengarang ke?' Kata pemandu teksi itu.

'Saya berkelulusan SPM sahaja. Saya bukan hendak cari kerja sebagai pengarang.' Kataku lagi. 

'Aa . . . Siapa nama awak ni?' Tanya si pemandu teksi itu lagi.

Ketika itu saya terfikir di dalam otak saya, kenapa pemandu teksi ni banyak tanya. 'Agaknya pemandu teksi di Kuala Lumpur ini memang peramah.'

'Aa . . . Nama saya Bahasa.' Jawabku pendek.

'Aaa . . . Bahasa! Awak ni siuman ke tidak?' Tanya si pemandu teksi itu.

'Betul!! Nah ini kad pengenalan saya. Encik lihatlah sendiri,' kataku sambil menunjukkan kad pengenalan saya itu  kepada pemandu teksi itu.

Selepas pemandu teksi itu membelek-belek kad pengenalanku itu maka dia pun berkata:

'Pelik!! Pelik!! Rupa-rupanya ada orang bernama Bahasa. Kalau begitu kamu memang layak kerja di DBP itu. Saya doakan kamu berjaya bekerja di DBP itu nanti.' Kata pemandu teksi itu dan terus bawa saya ke bangunan DBP."


 Komen blogger: 

1. Aku ingin tahu berapa orang yang bernama Bahasa di Malaysia ini? Adakah kawan baik aku ini seorang sahaja yang memakai nama ini? Aku memang tiada kawan atau kenalan lain yang bernama Bahasa. Memang eksklusif nama ini!

2. Rupa-rupanya nama pun boleh memainkan peranan atau menjadi kriteria bagi mendapatkan pekerjaan  untuk seseorang di organisasi yang ada sangkut pautnya dengan nama itu. Atau . . . mungkin juga si pemandu teksi itu merupakan salah seorang daripada mereka yang doanya terkabul hinggakan Tuan Hj Bahasa  dapat bekerja di DBP itu. Wallahuaklam. 


Terima kasih Tuan Haji Bahasa kerana sudi menceritakan cerita-cerita yang menarik ini. Cerita-cerita selanjutnya daripada beliau . . . harap para pembaca tunggu terbitnya ya. ( Bahasa billboard wayang: Next Change . . . Pertukaran Akan Datang . . .)




Bamuda
dsuarang.blogspot.com