Thursday, March 14, 2013

Menelusuri Sungai Mekong






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Sepetang di Delta Mekong


Sabtu 16 Februari 2013. Hari kedua kami berempat di Saigon. Kami tidak ada rancangan khas atau tertentu untuk ke mana-mana. Kami sekadar mendengar saranan daripada Amin . . . kenalan baru yang kami temui semalam di bandaraya ini.












Amin rupa-rupanya seorang pemandu pelancong persendirian. Beliau juga seorang pengilang dan peniaga berbagai jenis kain dan busana Muslimah. Beliau warga negara Vietnam.

Amin menyarankan bahawa selain daripada membeli belah di Vietnam . . . eloklah juga kalau dapat kami meluangkan sedikit masa menelusuri Sungai Mekong dan berkunjung ke Delta Mekong.

Menurut beliau sebaik-baiknya kami bergerak dari hotel pada sebelah pagi menuju ke destinasi tersebut kerana biasanya kunjungan ke situ mengambil masa hampir sehari.

























Maka pada jam 9:00 pagi itu . . . aku, Jamil, Bakar dan Nadim . . . dengan Amin sebagai pemandu pelancong . . . pun bertolak dengan teksi yang ditempah khas ke daerah yang dimaksudkan.




















Kami dikenakan bayaran USD 40 bersih setiap kepala untuk ke situ. Perjalanan dengan teksi itu mengambil masa dua jam walaupun jarak yang dilalui tidaklah begitu jauh.


























Ini kerana had laju yang dibenarkan di jalan provinsi ke daerah itu lebih kurang 60-80 km sejam.

[Yang cantiknya . . . para pemandu kenderaan di sini amat mematuhi peraturan jalan raya yang ditetapkan pihak berkuasa mereka . . . Yang kurang cantiknya ( menurut salah seorang sahabat penulis) kita 'jenuh' duduk terlalu lama di dalam kenderaan itu! ]































Aku dapati perjalanan melalui jalan-jalan provinsi di kawasan Selatan Vietnam ini merupakan salah satu cara sesuai untuk menikmati pemandangan sawah padi, perkebunan nanas, dusun buah-buahan serta perkampungan yang menarik.





































Setelah tiba di My Tho, kami menaiki bot bermotor . . . milik anak tempatan di sini . . . menelusuri Dragon Island, Unicorn Island, Phoenix Island, Turtle Island sehingga sampai dan berhenti di Unicorn Island yang terkenal itu.
























Menaiki bot bermotor menuju pulau-pulau yang menjadi   destinasi kunjungan para pelancong ke sini merupakan suatu pengalaman yang menarik.






























Di pulau ini kami dibawa ke sebuah ladang pemeliharaan lebah. Kami dijamu madu lebah yang asli . . . juga kerepek pisang , kacang tumbuk dan tapai.












Kami berjalan-jalan di perkampungan pulau ini sambil dapat juga membeli sedikit sebanyak pakaian tradisional Vietnam.





Masih di Pulau Unicorn. Seketika selepas itu kami berempat dibawa Amin ke sebuah dusun buah-buahan pula untuk menikmati buah-buahan tropika.



















































































Sambil memakan buah-buahan itu . . . kami didendangkan lagu-lagu tradisional Selatan Vietnam oleh kumpulan penyanyi dan pemuzik tradisional setempat. Menghiburkan juga.















































Kemudian kami menaiki sampan dayung . . . menelusuri sepanjang-panjang terusan/anak sungai . . . yang memberikan pengalaman seronok campur ngeri . . . sambil melihat-lihat akan aktiviti dan cara kehidupan harian anak tempatan di sekitar delta itu.































































Setelah bersampan di riak air selama kira-kira setengah jam . . . tanpa jaket keselamatan atau sebarang jenis alat pelampung . . . kami pun tiba semula di tempat bot bermotor kami berlabuh tadi . . . di tengah-tengah buaian air deras yang mengalir di Sungai Mekong . . . sungai yang terkenal . . . dalam dan luas itu.














































Bagi diriku . . . keadaan Sungai Mekong dengan airnya yang keruh dan bergerak deras agak menggerunkan. Aku tak tahulah bagaimana perasaan sahabat-sahabat aku yang lain itu. Mereka mungkin jauh lebih berani daripada aku!





































Bot bermotor yang kami naiki itu seterusnya membawa kami ke provinsi Ben Tre untuk melawat bengkel perusahaan gula-gula kelapa (coconut candy) . . . perusahaan yang keseluruhannya dilaksanakan secara manual oleh para pekerja tempatan.






















Sebentar kemudian kami pun melangkahkan kaki menuju bengkel perusahaan gula-gula kelapa yang dinyatakan di atas tadi.








































Ada lagi gerai jualan busana Vietnam di tempat ini! Pendeknya di mana sahaja ada ruang untuk berniaga . . . ruang itu akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh anggota masyarakat tempatan.






Sahabat-sahabatku yang bertiga lagi itu masih sempat berbelanja di gerai-gerai jualan produk kraf di perkampungan ini.

Aku terfikir . . . alangkah baiknya jika kebudayaan dan produk kraf kita juga dapat dipromosikan secara begini . . . di pulau-pulau peranginan kita yang tidak kurang hebatnya!



























Kemudian kami bergerak pula ke daerah lain perkampungan di pulau ini. Kali ini kami menaiki kereta kuda. Rupa-rupanya . . . seronok juga berbuat demikian.

Sebenarnya . . . aku memang belum pernah menaiki kereta kuda sepanjang hayatku!
































Kami berjalan-jalan lagi di pulau ini . . . melihat-lihat suasana sekelilingnya . . . sebelum bergerak ke arah bot bermotor yang akan membawa kami balik ke My Tho.




































Setibanya kami di jeti . . . kira-kira pada jam 2:36 ptg . . . kami menaiki semula teksi yang setia menunggu kami sejak pagi tadi . . . untuk pulang ke bandaraya Saigon.




















Dalam perjalanan ke bandaraya Saigon (Ho Chi Minh City) kami sempat singgah bersolat musafir di sebuah masjid berhampiran pada jam 2:57 ptg . . . dan langsung makan tengah hari di pekarangan masjid itu.

Tuan Imam masjid itu sendiri . . . Hj Nasir (berasal dari Kampuchea) . . . mengendalikan khidmat catering di situ.























































Kami kemudiannya meneruskan perjalanan pulang. Tepat pukul 5:09 ptg kami sudah berada semula di hotel tempat kami menginap.







Alhamdulillah . . . suatu ekskursi yang menarik lagi menginsafkan!


Insya-Allah kita berjumpa lagi di lain entri.






Bamuda
dsuarang.blogspot.com


No comments:

Post a Comment