Friday, February 7, 2014

Bodoh Sombong






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Renungan Jumaat



Kita sering mendengar perkataan "bodoh" dilemparkan terhadap seseorang yang tidak melakukan sesuatu dengan betul atau yang membuat sesuatu pekerjaan tidak mengikut arahan yang diberikan. 


Kata "bodoh" juga kerap digunakan orang apabila memarahi seseorang atau ketika tidak berpuas hati dengan sikap seseorang itu.

Orang cenderung menghukum seseorang lain 'bodoh' hanya kerana orang yang dikira 'bodoh' itu tidak mengikut kata atau kehendaknya.

Ada individu dicap 'bodoh' semata-mata kerana tidak mahu terikut-ikut dengan pegangan seseorang, sesuatu kelompok atau organisasi yang dianggapnya songsang.

Ada pula individu yang memang betul-betul 'bodoh' tetapi tidak sedar bahawa dirinya  itu 'bodoh'. 

Individu seperti ini masih boleh dimaafkan walaupun dia terlepas pandang akan kekurangan dirinya sendiri!

Ini kerana perkataan "bodoh" membawa maksud "sukar mengerti atau mempelajari sesuatu". 

Ertinya lambat-laun si 'bodoh' ini akan dapat jua memahami apa yang diajarkan kepadanya itu.

Paling tidak menyenangkan ialah apabila berhadapan atau berurusan dengan individu yang menganggap dirinya pandai.

Individu jenis ini merasakan dirinya serba tahu dan bijak dalam segala hal.

Apabila ditegur akan kelemahannya dalam sesuatu bidang ilmu atau kekurangan daya fikirnya tentang pengendalian sesuatu perkara . . . dia tidak menerima teguran itu dengan berlapang dada.

Malah besar kemungkinan dia akan 'melenting'!

Mengapa jadi begini? Penulis bukan hendak 'memperbodohkan' sesiapa tentang soal 'bodoh' ini . . . tetapi 'kebodohan' amat terserlah pada diri individu seperti ini . . . yang tidak mahu menerima hakikat bahawa dirinya kurang cerdik.

[Tak boleh guna perkataan 'bodoh' terhadap individu seperti ini . . . kelak terjejas egonya.]

Individu kelas ini sebenarnya tergolong dalam golongan 'bodoh sombong' . . . bodohnya tak terajar, pandainya tak terikut!

Sikap individu yang egois ini menyebabkan dia sukar menerima pandangan orang lain apatah lagi mendengar atau menuruti nasihat yang diberikan kepadanya. 

Apapun, belum cacat orang yang dihukum 'bodoh' . . . lebih rosak mereka yang 'bodoh' tapi 'sombong' @ 'bodoh sombong'.


Penulis ingin mengingatkan diri sendiri sambil sekadar cuba mengingatkan para pembaca di luar sana . . .

"Jangan terlalu mudah kita menghukum orang lain 'bodoh' pada hal kita sendiri belum tentu cukup bijak!"


Biar aku akhiri siaran kali ini dengan nukilan: 


Bodoh


 Ada bodoh separuh 
Ada bodoh seluruh
Ada macam bodoh 
Ada bodoh sungguh! 

Buat bodoh?
Tak sungguh-sungguh 
Buat macam bodoh!

Bodoh-bodoh alang?
Bodoh tak matang
Bodoh alang-kepalang!

Bodoh bukan kepalang?
Bodoh pagi sampai petang
Bodoh tertiarap bodoh terlentang!

Bodoh sombong?
Bodoh tinggi hidung
Bodoh tak sedar untung
Bodoh dibenci seluruh kampung!

Bodoh gila-gila?
Bodoh tak beretika
Bodoh cari perhatian
Bodoh tak berketentuan!

Bodoh keturunan?
Bodoh budaya yang diwariskan
Bodoh ini perlu dikawal selia
Jika tidak . . . 
Bodohlah sampai bila-bila!




bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments:

Post a Comment