Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Erti Sebuah Persahabatan
Berpandukan semangat kemuliaan serta keriangan Aidilfitri dan berlandaskan semangat silaturahim serta kesetiakawanan sejak di zaman persekolahan . . . penulis dan keluarga telah berkunjung ke rumah Tuan Hj Sani Saeran (Jamil) untuk sama-sama meraikan kehadiran Syawal 1435.
Peristiwa berlaku pada hari Selasa 29 Julai 2014 bersamaan hari kedua sambutan Aidilfitri. Kemeriahan terdapat di dalam dan di luar rumah.
Suasana di dalam rumah cukup selesa. Siap dengan hidangan kuih muih yang berbagai jenis dan rasa. Alhamdulillah dapatlah semua menjamu selera.
Di pekarangan hadapan rumah situasi sedikit berbeza. Cucu-cucu penulis bergerak bebas dan berlari-lari ke sana ke mari sepuas hati.
Ada pula aktiviti memetik buah pulasan yang dianjurkan tuan rumah.
Keriangan pada petang itu amat ketara. Apa tidaknya . . . segala kemahuan mereka dituruti dan dilayan sepenuhnya oleh Atuk Jamil dan Nenek Jijah. Apa lagi bak kata orang . . . naik pucuk le budak-budak tu!
Kemesraan yang terjalin adalah hasil daripada persahabatan yang terisi dengan rasa saling hormat menghormati dan sayang menyayangi antara dua sahabat . . . Jamil dan penulis . . . sejak di zaman persekolahan lagi dan tinggal bersama-sama di asrama tunjangan pemerintah dulu.
Kesinambungan ikatan silaturahim di kalangan semua ahli kedua-dua keluarga ini sekarang melambangkan berkesannya persahabatan antara kedua-dua sahabat lama . . . dan memperkukuhkan erti sebuah persahabatan yang ikhlas.
Mudah-mudahan semangat persaudaraan sebegini antara kedua-dua keluarga Jamil dan penulis diizinkan kelangsungannya oleh Allah SWT sehingga akhir waktu.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
Maaf Zahir Batin.
bamuda
dsuarang.blogspot.com
No comments:
Post a Comment