Sunday, May 22, 2016

Bila Ramadan Datang Lagi





Assalamualaikum 
n
 Selamat Sejahtera


Ramadan dan Tarawih



Menjelang Ramadan 1437H bersamaan bulan puasa tahun 2016 aku ucapkan selamat berpuasa Ramadan kepada semua umat Islam. 


Senario biasa setiap kali tiba bulan Ramadan al-Mubarak . . . amat ramai jemaah di surau-surau atau di masjid-masjid. 

Begitu ramai orang beragama Islam berkejar-kejar dan berebut-rebut ke tempat-tempat ibadat yang suci itu. 

Maka penuh sesaklah surau-surau dan masjid-masjid di seluruh ceruk dan rantau negara yang merdeka dan berdaulat ini! 

Maka bersemaraklah semangat memakmurkan surau-surau dan masjid-masjid pada bulan Ramadan ini!









Foto hiasan: 
Para jemaah bersembahyang Tarawih




Meriahnya, sungguh meriah! Surau-surau dan masjid-masjid disemarakkan dengan kehadiran penuh sesak para jemaah yang menunaikan solat Tarawih, yang berzikir, yang bertadarus.

Alhamdulillah, suasana begini sungguh memberangsangkan.

Tetapi, apa yang sering aku terfikir ialah tentang keadaan nyata yang akan wujud setiap kali setelah berlalunya bulan Ramadan. 

Apabila tiba pertengahan dan akhir Ramadan akan berkuranganlah bilangan para jemaah yang mengunjungi surau-surau dan masjid-masjid. 

Akan susutlah para jemaah di saf-saf. Tinggallah mereka yang agak regular saja.


Malang lagi, pada pengamatanku, apa yang kebiasaannya terjadi selepas habis "musim" Ramadan surau-surau dan masjid-masjid tidak lagi dibanjiri para jemaah.

Kadangkala hendak dapatkan dua saf penuh para jemaah pada waktu-waktu sembahyang fardu pun susah. Lazimnya pada waktu subuh lebih teruk keadaannya. 

Ke mana perginya para jemaah yang begitu ramai mengunjungi surau-surau dan masjid-masjid pada bulan Ramadan? 

Mereka bukan orang dari kariah itu sendiri? Adakah mereka itu mengamalkan ibadah "bermusim". 

Entahlah, Allah swt saja yang mengetahui!


Tentang bersolat Tarawih pula. Memang eloklah semua orang berkejar-kejar ke surau-surau atau ke masjid-masjid untuk menunaikan ibadat sunat muakad itu. 

Lebih baik lagi kalau mereka itu sudah siap menunaikan dengan penuh dan selengkap-lengkapnya segala solat fardu terlebih dahulu. 

Paling cantik kalau mereka itu memang merupakan golongan yang sudah tidak meninggalkan solat fardu sepanjang bulan bukan Ramadan pun!


Aku tidak berniat mengutuk atau mencela. Tapi apa yang aku lihat berlaku di sekelilingku pada setiap bulan Ramadan kadangkala menimbulkan tandatanya dalam benakku. 

Bayangkan ada antara pengamal ibadah bermusim ini yang sanggup mengkategorikan orang yang tidak kelihatan oleh mereka bersolat Tarawih sebagai orang yang tidak cukup "Islam". 

Orang itu dikelaskan sebagai orang yang tidak mengerti hukum agama, tidak warak atau tidak mematuhi ajaran agama seperti mereka kononnya. 

Dan peliknya . . . sebaik selepas Ramadan, mereka (para jemaah bermusim tadi) akan terus menghilang daripada pandangan khalayak hinggalah ke tahun hadapan bila Ramadan datang lagi! 

Entah ke mana, Allah swt sahaja yang maha mengetahui!










Petikan daripada siri puisi AMB 2008




Aku teringat Ustaz di kampungku yang dahulu. Ustaz kampung-kampungan. Bukan Ustaz elitis bandaran. Tidak seperti Ustaz-Ustaz hebat yang di sana-sini memberi ceramah perdana dan sebagainya. Mereka yang memimpin majlis tazkirah dan syarahan di tempat-tempat istimewa.

Ustaz di kampungku itu menjelaskan secara asas. Dia menerangkan bahawa bersolat sunat Tarawih tidak salah asalkan kita tidak tersilap memberi keutamaan kepadanya. Mengerjakannya dapat pahala, meninggalkannya tidak berdosa.


Dalam hal ini lebih afdal jika kita fikirkan secara mudah begini. Kalau kita sanggup berjemaah solat Tarawih di surau-surau atau di masjid-masjid pada bulan Ramadan, mengapa kita tidak sanggup berbuat demikian dengan solat-solat fardu lima waktu sehari semalam? 

Sedih sekali apabila suasana menjadi semakin lengang di surau-surau dan di masjid-masjid pada waktu-waktu solat fardu hari-hari biasa!

Pendeknya, janganlah sampai kita lebih utamakan solat Tarawih daripada solat-solat fardu. 

Bayangkan pada malam hari dalam bulan puasa kita tidak putus-putus bersolat Tarawih walhal pada siang harinya solat fardu lima waktu tidak kita lakukan dengan sempurna ataupun tidak kita lakukan langsung. Sia-sia sahaja kelak kita berpenat lelah dan berlapar! 

Maka buatlah yang wajib dahulu sebelum kita menambahkan ibadah kita dengan yang sunat pula.


Aku pernah terbaca sepotong hadis soheh yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim, bahawa A'isyah r.a. berkata yang maksudnya lebih kurang begini:


"Nabi Muhammad SAW menunaikan solat di masjid (pada malam pertama) dan beberapa orang pun bersolat bersama-sama baginda. 

Baginda bersolat lagi pada malam kedua. Ramailah lagi orang bersolat bersama-sama baginda. 

Pada malam ketiga dan keempat lebih ramai orang berkumpul dan menunggu kehadiran baginda untuk bersolat bersama-sama. Rasulullah SAW tidak muncul (bertemu mereka). 

Apabila waktu Subuh baginda (bertemu mereka) dan bersabda:

'Aku lihat apa yang kamu lakukan malam tadi. Tiada apa-apa yang menghalang aku daripada bertemu kamu melainkan kerana aku takut ia (solat Tarawih) diwajibkan ke atas kamu'. 

Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadan.


Maka sebaik-baiknya lakukanlah ibadah kita dengan cara yang setertib-tertibnya. Yang dahulu didahulukan. Yang kemudian dikemudiankan.

Janganlah pula kita perlekehkan mereka yang nampak macam kurang warak daripada kita. Mungkin mereka lebih arif.

Wallahuaklam.









Bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments:

Post a Comment