Monday, May 9, 2016

Puasa Rajin, Solat Bagaimana?






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera







Ramadan dan Solat Fardu 







Bamuda
dsuarang.blogspot.com



Berbicara tentang puasa pada bulan Ramadan kita tidak akan terlepas daripada memperkatakan tentang solat lima waktu sehari semalam.

Justeru aku teringat kembali kepada ajaran Ustaz di kampungku (Kampung Pandan, Kuala Lumpur) dulu. 

Ketika itu aku di zaman kanak-kanak. Tidak begitu faham tentang mana lebih penting daripada apa. 

Tidak benar-benar mengetahui mengapa Ustaz kampungku itu selalu menekankan kepada kami (murid-muridnya) akan pentingnya memahami perkara paling asas dalam mempelajari sesuatu. 

Ini termasuklah apabila membicarakan perkara keagamaan. Ini termasuklah tentang puasa dan solat.

Aku masih ingat hingga sekarang. 

"Rukun Islam itu lima perkara," katanya. 


Ustaz kampungku itu seterusnya memberitahu kami:

"Pertama mengucap dua kalimah shahadat. Kedua sembahyang lima waktu sehari semalam. Ketiga puasa pada bulan Ramadan. Keempat mengeluarkan zakat dan fitrah. Kelima naik haji ke Baitullah."


Begitulah setiap hari telinga kami diasak hinggakan kami amat hafal susunan rukun tersebut. 

Bukan itu sahaja. Kami dapat membacanya secara berlagu mengikut (mengajuk) intonasi Ustaz kampungku yang mengajar dengan bersahaja malah dengan cara selamba. 

Ustaz kampungku itu tidak marah-marah. Tidak bengis langsung. Tidak memerli orang. Tidak menghukum hamba Allah yang lain. Tidak memperlekehkan sesiapa seperti yang gemar dilakukan oleh segelintir ustaz sekarang. 

Dia mengajar kerana Allah!


Nah, setelah dewasa aku pun sedar bahawa mendirikan solat lima waktu sehari semalam itu lebih penting kedudukannya berbanding kedudukan berpuasa pada bulan Ramadan (walaupun kedua-duanya diwajibkan ke atas semua umat Islam.) 

Ini kerana telingaku juga diasak oleh orang tua-tuaku bahawa sembahyang lima waktu sehari semalam itu tiang agama.

Lagu P. Ramlee berjudul "Rukun Islam" pun ada mengingatkan sedemikian.

Tidak mungkin mereka yang bertalu-talu mengalami asakan-asakan begini mudah lupa yang mana patut lebih diutamakan daripada yang mana.


Erti mudahnya . . . bersembahyang lima waktu sehari semalam itu lebih mesti dipentingkan berbanding berpuasa sahaja pada bulan Ramadan. 

Namun keadaan "ganjil" yang sering kita temui pada bulan Ramadan ini ialah hampir semua orang kuat berpuasa. Tetapi tidak ramai orang yang kuat mendirikan solat fardu lima waktu itu. 

Hampir semua orang bermati-matian menjaga dan mempertahankan puasanya. Tetapi tidak ramai orang yang bermati-matian bersolat lima waktu sehari semalam. 

Keadaan ini lebih ketara menjelang Hari Raya Idilfitri. 

Pada ketika itu ramai yang akan terlalu sibuk dengan persediaan untuk hari raya hinggakan terlalai untuk bersembahyang. Solat fardu seolah-olah tidak lagi penting dilakukan. 

Entah mengapa, wallahuaklam. Terlepas pandang, tak kuasa atau malas saja agaknya!


Ada juga aku dengar mereka yang bijak pandai dalam hal 'hukum menghukum' orang lain ini mengatakan bahawa orang yang berpuasa tetapi tidak bersembahyang lima waktu itu akan dikira terbatal puasanya. 

Puasanya akan sia-sia sahaja. Malah ada yang megatakan orang itu boleh dikategorikan sebagai 'kafir'. 

Ini semata-mata kerana perbuatan menegakkan sembahyang lima waktu sehari semalam itu merupakan kayu ukur yang membezakan antara 'kafir' dengan yang mukmin. 

Dan, pada mata mereka yang menghukum ini juga, tidak mungkin puasa orang 'kafir' diterima Allah!


Aku tidaklah "sebijak pandai" mereka. Tetapi aku pernah terbaca beberapa buah buku yang mencatatkan pendapat jumhur (majoriti fuqaha) sama ada daripada golongan salaf ataupun khalaf menyatakan bahawa orang yang meninggalkan solatnya (ketika mengerjakan ibadah puasa) hukumnya hanya 'fasik'.

Maka puasa orang itu tetap sah asalkan tidak melanggar larangan-larangan yang membatalkan puasa.



Aku tiada langsung berniat menganjurkan bahawa mereka yang berpuasa itu tidak "penting" bersolat lima waktu sehari semalam.

Aku hanya terfikir bahawa Allah SWT dengan segala kebesarannya tentu tidak sekali-kali akan berlaku zalim menidakkan amal seseorang itu. 

Dan, aku kuat meyakini bahawa, tidak seperti mereka yang gemar menghukum orang lain itu, Allah SWT tidak pernah menzalimi walau sebesar zarah pun orang yang telah beramal baik.

Maksud ayat 7-8 dalam surah Al-Zalzalah memperteguh keyakinanku ini.












[Ayat 7-8 : 
Petikan daripada Surah (99) AL-ZALZALAH (Kegoncangan). 
Surah ini terdiri daripada 8 ayat (Madaniyyah)]




Ayat 7: Maka barang siapa mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.

Ayat 8: Dan barang siapa mengerjakan kejahatan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.




Kepada aku, janganlah kita cepat hendak menghukum orang lain tanpa melihat sedalam-dalamnya kepada diri kita sendiri dahulu.

Apa sempurna benarkah kita ini? Tiada langsung cacat cela pada amalan kita? 

Atau siapa kita untuk menghukum hamba Allah yang lain? Siapa kita untuk mengatakan puasa kamu terbatal! 

Bukankah kita dengan mereka itu sama caranya akan diadili Allah?












[Ayat 47: Petikan daripada Surah (21) AL-ANBIYA' (Nabi-Nabi).

Surah ini terdiri daripada 112 ayat Makkiyyah)]



Ayat 47: Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka sesiapa pun tidak rugi walau sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawi pun, pasti Kami mendatangkan (pahala)nya. Dan cukuplah Kami yang membuat perhitungan.






Wallahuaklam.


Bamuda
dsuarang.blogspot.com




No comments:

Post a Comment