Thursday, May 19, 2016

Ramah Biar Bertempat






Assalamualaikum 
dan 
Selamat Sejahtera




Selamba vs Selamba!










Perasan atau tidak, setiap hari ramai orang mengemukakan soalan-soalan pelik kepada orang lain. 

Mereka tentulah mendapat jawapan yang pelik juga daripada orang yang disoal itu.

Ada orang melakukan perbuatan ganjil tanpa menyedarinya. Perbuatan dilakukan secara bersahaja. Tidak terfikir oleh pelaku sama ada perbuatan itu patut atau tidak. 

Orang lain biasanya dapat melihat keganjilan atau ketidakpatutan sesuatu soalan atau perbuatan itu.

Situasi sedemikian mempengaruhi dan mewarnai perjalanan hidup kita sehari-hari. 

Mari kita lihat contoh soalan dan jawapan yang agak bersahaja tetapi akan menimbulkan keadaan yang pelik apabila dihalusi maksudnya:


Situasi 1 :

 Serkap jarang aje

Seorang jiran yang peramah berjalan melalui tepi rumah Kak Mah. Ketika itu Kak Mah berada di ruang dapur. Jiran tak nampak apa Kak Mah buat. Tetapi kerana hendak berlaku mesra si jiran membuat andaian Kak Mah sedang memasak. Jiran itu pun menegur.


Jiran: 
“Hai, apa buat tu?…masak nampaknya”.

Dengan selamba Kak Mah memberi respons.

“Ha,ah. Memang masak … dengan mesin basuh yang selalu buat kerenah ni!”


(Inilah yang dikatakan ramah tak kena tempat. Pakai teka aje. Salah teka pulak tu!)




Situasi 2:

Saja suka menyebok


Pak Tam menegur budak bujang yang berlari ke arah sebuah pondok untuk berteduh ketika hujan turun dengan lebat. 

Ada sebuah paip bomba dekat pondok itu.

Pak Tam: 
“Hujan lebat … Nak berteduh ke?”

Budak bujang:
 “Tak Pak Tam, air pancut bomba ni dah terbuka. Saya nak tutupkan”.


(Si bujang itu malas nak layan lama-lama. Dah sah tahu, bertanya juga lagi. Entahlah.)


Situasi 3: 

Sudah Gaharu Cendana Pula

Hari hujan lebat. Anum sudah basah kuyup berjalan di dalam keadaan hujan yang lebat itu.

Dia meneruskan perjalanan. Ketika melintasi hadapan rumah Cik Jah, terdengar sapaan …


Cik Jah: 
“Anum … basah ke?”

(Anum senyum sahaja … dan terus berjalan. Tak payah respons le.)



Situasi 4: 

Lain-lain Pengertian

Makcik sedang melintasi jalan kecil di taman perumahan. Makcik terlihat dua orang gadis asing bertolong-tolongan menjemur kain basuhan di ampaian. Makcik pun menegur:

Makcik: 
“Wah rajinnya … tolong-menolong … jemur kain basah ke?”

Gadis 1: 
“Tak, orang jemur kalu, mesti kain kering Cik!”

Gadis 2: 
“Ha, ah Cik … Orang jemur mana kain ada basah … mesti kering punya!”


(Makcik kebingungan mentafsir dua maksud jawapan gadis-gadis itu!)


Situasi 5: 
Orang Tua-tua Boleh

Seorang bapa sedang mengangkat barang-barang ke tingkat atas rumahnya yang baru siap diubahsuai.

Anaknya (baru bersekolah rendah) berselisih dengannya di tangga yang menuju ke bahagian atas rumah itu. Si anak bertanya:

Anak: 
“Ayah nak naik atas ke?”


Bapa: 
“Ha le, kalau ‘naik’ … mesti le ke ‘atas’, kan.”

Anak: 
“Tapi kenapa Ayah selalu cakap ‘turun bawah’bila ajak saya makan bersama keluarga. ‘Turun’ memang ke ‘bawah’ kan Ayah?”

Bapa: 
“Itu lain. Kita memang biasa cakap begitu. Naik atas, turun bawah!”


(Anak hairan tetapi terfikir agaknya orang yang lebih ‘berkuasa’ berhak memutar belitkan kenyataan!)



Situasi 6: 
Dulu Lain Sekarang Lain


Sekumpulan suri rumah sedang mengerumuni sebuah lori penjual ikan dan sayur-sayuran.

Masing-masing sibuk hendak membeli.

Tiba-tiba Mak Ipah lalu. Dulu Mak Ipah adalah pelanggan tetap peniaga ikan ini.

Sekarang, semenjak suaminya naik pangkat, tidak lagi. 

Mak Ipah pun menegur mereka.


Mak Ipah:
 “Assalamualaikum. Beli ikan ke?”

Suri Rumah 1: 
“Waalaikumsalam. Ya, apa lagi”.

Mak Ipah: 
“Tak le ... ikan jual kat sini kecik sangat. Kat pasar sana tu leih besar dan segar”.

Suri Rumah 2:
 “Tak apa le Mak Ipah. Kami beli ikan ni pun untuk kucing di rumah tu … macam Mak Ipah selalu cakapkan dulu. Jadi tak perlulah pergi ke pasar!”

Suri Rumah 3:
Lagi pun ikan besar tak sedap, tak manis … seperti Mak Ipah selalu katakan dulu juga!



(Mak Ipah berlalu tanpa berkata apa-apa lagi. Teringat masa lalu … masa suami belum naik pangkat le! Masa itu Mak Ipah banyak memberi alasan untuk ‘cover line’ hidup susah … kena berdikit-dikit. )


Situasi 7: 
 Faham Lain-lain

Jamal kaki memancing. Satu hari sedang dia memancing lalu seorang kawannya. Kawan itu bertanya.


Kawan:
 Memancing ke?

Jamal:
 Main-main, sikit aje.

Kawan: 
Mengapa … Ikan tak ada ke?

Jamal: 
Tak … belum ada rezeki.

Kawan: 
Selalu banyak ke?

Jamal:
 Ha, ah.


(Lepas itu kedua-dua mereka senyap. Kawan jamal berlalu dari situ. Jamal terus memancing. 

Sebenarnya kawan Jamal menanyakan di tempat Jamal memancing itu ada banyak ikan atau tidak. 

Jamal pula ingat kawannya nak tahu dia dapat ikan ke tidak dan selalunya dia dapat banyak tak. 

Begitulah jadinya kalau salah mengerti pertanyaan orang atau salah terima jawapan orang. 

Masing-masing dengan pengertian sendiri-sendiri!)




Bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments:

Post a Comment