Monday, August 26, 2019

Ingatan Yang Murni


Assalamualaikum 



{Artikel ini diulang siar drpd terbitan asal 2013.

Setinggi-tinggi penghargaan aku tujukan kepada Sdr Zulkifli Jamaasim . . . penulis yang mengendalikan blognya SigapSiaga . . . kerana mengizinkan aku menerbit semula tulisannya yang cukup menyentuh perasaan dan jelas bermaksud mulia. 

Aku bersyukur kerana beliau sempat jua menghasilkan peringatan begini dalam hambatan kesibukan tugas rasminya sehari-hari. Memang perkara yang menyangkut nilai-nilai kekeluargaan seperti ini sudah mulai luntur daripada menjadi pegangan hidup ramai ahli institusi kekeluargaan dalam komuniti kita sekarang. 

Semoga para pembaca yang budiman mendapat sesuatu manfaat daripada membaca isi artikel Sdr Zulkifli di bawah ini.}




MASA ISTIMEWA KITA MASA ISTIMEWA IBU BAPA KITA


APABILA kita diberi masa, jagailah masa itu dengan selayaknya dan dengan sebaik-baiknya kerana akan tiba suatu masa nanti kita tidak mempunyai masa dan kesempatan tersebut lagi. Pada masa itu kelak, kita langsung tidak berpeluang untuk berpatah balik kerana masa itu telah menjadi sejarah; masa itu telah menjadi kenang-kenangan.
                                                              
Ibu bapa sebenarnya sebahagian daripada masa kita. Mereka telah lama mendepani sepak terajang kehidupan sebelum kita ada. Dengan sifat Rahman dan Rahim Allah, Dia mengurniai kita kepada ibu dan bapa kita – sebagai zat yang menyukakan dan yang lebih besar daripada itu adalah sebagai amanah untuk dilaksanakan dengan sepatutnya.


Masa itu, kita tidak tahu apa-apa – kita akan menangis kehausan atau kelaparan jika ibu kita tidak menyuapkan susu atau makanan kepada kita. Kita akan terbiar kedinginan jika ibu atau sekali-sekala bapa kita tidak membedung kita. Kita akan terus bergelumang kencing dan tahi jika ibu atau bapa kita tidak menyucikan najis-najis itu daripada menggelumangi kita.


Masa itu, walaupun kita ini zat yang menyukakan mereka, sebenarnya kita sebahagian daripada beban yang ditanggung oleh ibu bapa kita. Mental mereka perlu diangkat ke tahap maksimum demi kita. Mereka tidak berupaya untuk bangun solat tahajud, tetapi berupaya untuk melawan kantuk bagi menyusukan kita pada waktu-waktu dinihari.


Masa itu masa istimewa kita. Kitalah raja yang tidak boleh dihadap. Kehendak semula jadi dan kehendak hakiki kita sebagai bayi terpenuhi semuanya. Ibu bapa kita berasa sangat bersalah dan sangat berdosa apabila mereka tidak memenuhi kehendak semula jadi dan kehendak hakiki kita itu. Mereka bersedia untuk berkorban jiwa demi membesarkan dan “menghidupkan” kita.


Kita kemudiannya membesar dengan segala keistimewaan – berakal dan bijaksana, berkat makan minum yang diatur oleh ibu bapa kita semasa kita bayi dahulu. Kalau kita tidak cerdik dan menjadi insan yang berjaya dalam pelajaran, setidak-tidaknya kita masih dikurniai akal untuk membedakan yang baik dengan yang buruk, yang kotor dengan yang murni.


Bagaimanakah dengan masa istimewa ibu bapa kita? Bagaimanakah kita memanfaatkan masa yang ada sekarang, mengorbankan masa yang ada sekarang untuk melayan insan-insan istimewa itu? Masihkah kita berhelah dan beralasan untuk pulang menziarahi mereka? Masihkah kita menanti dan mencari-cari waktu lapang untuk menjengah mereka yang menanti kita penuh rindu?


Untuk kita, masa itu emas, tetapi kita lupa bahawa ibu bapa kita “lebih emas” daripada masa. Seperti yang dikatakan pada awal tadi, mereka itu sebahagian daripada masa kita. Kita harus memperuntukkan masa dalam kehidupan harian kita untuk ibu bapa kita – berkirim surat, berhubung melalui telefon, menziarahinya setiap minggu atau setiap bulan, dll.


Ibu bapa kita harus kita sayangi dengan sepenuh hati, sepenuh jiwa, sepenuh raga kita kerana tiada mereka tiadalah kita. Tiada mereka, siapalah kita. Tanpa pengorbanan mereka, kita tidak akan menjadi siapa-siapa. Kita mungkin diserahkan kepada orang lain untuk menjadi anak angkat orang lain, tetapi itulah ketentuan Allah Yang Maha Mengetahui apa-apa yang lebih baik untuk kita.


Masa untuk kita hidup sangat singkat. Masa untuk kita membalas jasa ibu bapa kita lebih singkat lagi sedangkan ibu bapa kita melalui masa yang panjang untuk membesarkan kita. Masa istimewa untuk ibu bapa kita sepanjang masa. Baik kita terhadap mereka, baiklah balasan yang diterima mereka di alam abadi kelak. Apabila tiba giliran kita ke sana, kebaikan itu bermanfaat kepada kita.

PERINGATAN KEPADA ANAK-ANAK

Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya; ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir penyusuannya), dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” [14]
[Surah Luqman]

“Dan Tuhanmu telah memerintahkan (engkau) supaya engkau tidak menyembah melainkan Dia semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika seorang daripada kedua-duanya, atau kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (dengan sebarang perkataan kasar) meskipun (dengan) perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi berkatalah kepada mereka (dengan) perkataan yang mulia (yang bersopan santun). [23] Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): ‘Wahai Tuhanku! Cucurkanlah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil’. [24] Tuhan kamu lebih tahu akan apa-apa yang ada di dalam hati kamu; kalaulah kamu orang-orang yang bertujuan baik mematuhi perintah-Nya, maka sesungguhnya dia Maha Pengampun bagi orang-orang yang bertaubat.” [25]
[al-Isra’, ayat 23-25]

“Pembalasan bagi setiap dosa akan ditangguhkan sampai hari kiamat kelak, kecuali (dosa) menderhakai ibu atau bapa. Maka sesungguhnya Allah akan menyegerakan pembalasan kepada pelakunya dalam hidupnya (di dunia) sebelum dia meninggal dunia.”
[Riwayat Hakim]

“Seorang lelaki datang mengadu kepada Nabi Muhammad SAW katanya, ‘Sesungguhnya ayahku telah merampas hartaku’. Nabi berkata, ‘Dirimu dan hartamu adalah milik ayahmu, anak-anak kamu adalah hasil usaha kamu yang terbaik. Oleh itu, kamu berhak memakan harta mereka.”
[Riwayat Ibnu Majah]

 “Aku bertanya Nabi Muhammad SAW, ‘Apakah amal yang paling disukai oleh Allah?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Solat dalam waktunya’. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Kemudian berlaku ihsan kepada kedua-dua ibu bapa’. Aku bertanya lagi, ‘Kemudian apa lagi?’ Nabi Muhammad menjawab, ‘Berjihad fi sabilillah’.
[Riwayat al-Bukhari]

“Keredhoan Allah terletak pada keredhoan ibu bapa, manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibu bapa.”
[Riwayat al-Tirmidzi]

3 comments:

  1. As-Salam adinda Zul,

    Syabas . . . suatu penulisan yang cukup baik dan pasti disenangi semua ibu bapa yang berkesempatan meluangkan masa membacanya.

    Uda sangat tersentuh dengan kandungan dan maksud tulisan adinda ini.Tahniah sekali lagi.

    Mudah-mudahan dapat menyedarkan dan MENGINSAFKAN banyak pihak!

    Catatan: Bolehkah Uda memohon izin Zul untuk menerbitkan semula tulisan (siaran) ini dalam blog dsuarang? Tk.
    ReplyDelete
  2. As-Salam, Uda,
    Terima kasih, Uda kerana meluangkan masa untuk membaca coretan teman ini.

    Teman berusaha untuk mengingatkan anak-anak kita tentang peranan mereka terhadap ibu bapa, malah teman ingin mengingatkan diri teman sendiri tentang tanggungjawab teman terhadap abah dan mak teman yang masih berhayat itu.

    Doa Uda, teman aminkan kerana Allah Taala.

    Uda boleh pada bila-bila masa menerbitkan mana-mana coretan teman semula dalam Blog d'Suarang Uda. Teman sangat berbesar hati terhadap kesediaan Uda itu. Silakan.
    Reply
  3. As-Salam adinda Zul,

    Terima kasih kerana mengizinkan teman menerbitkan semula artikel mika yang pada teman cukup tinggi nilai kemurniannya.

    Teruskanlah penulisan dalam subjek begini rupa untuk kita cuba pupukkan dan kukuhkan kesedaran yang mendalam akan pentingnya menghargai pengorbanan mereka yang telah amat berjasa kepada kita.

    Mudah-mudahan Allah swt memberkati segala apa yang kita usahakan.

    Catatan: Beruntunglah sesiapa yang ayah dan ibu mereka masih dipanjangkan hayat oleh-NYA. Bersyukurlah . . .
    ReplyDelete


No comments:

Post a Comment