Wednesday, January 20, 2010

Rambut Sama Hitam & Rambut Sudah Putih


Wednesday, January 20, 2010





Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia

Jangan Sampai Terlambat


Nak berhenti merokok atau tidak? Itulah teras persoalan yang ingin saya ajukan kepada mereka yang terlibat dengan budaya merokok. Selama dua tiga hari ini (18, 19 dan 20 Januari 2010) akhbar tempatan sibuk memaparkan cerita kegagalan kempen berhenti merokok yang dianjurkan pihak berwajib. Matlamat mewujudkan 270 Klinik Berhenti Merokok sejak tahun 2001 gagal. Kegagalan itu dikatakan kerana perokok ego . Daripada tiga juta perokok di seluruh negara hanya 5,000 yang telah mendaftar untuk program berhenti merokok. Kempen anti merokok (TAK NAK) pada tahun 2004 dengan peruntukan RM20 juta untuk lima tahun dipandang sepi sahaja oleh perokok khasnya yang berstatus 'Tegar'.




Menurut laporan dalam akhbar lagi Kajian Kementerian Kesihatan mendapati 45 hingga 50 kanak-kanak bawah 18 tahun menjadi perokok baru setiap hari. Seterusnya dilaporkan setiap tahun jumlah perokok meningkat 30,000 orang. Kini negara ini ada lebih 3.12 juta orang perokok.





Keegoan perokok terserlah dalam temuramah oleh pihak media. Rakyat jelata yang tidak merokok sering diperlekehkan oleh golongan perokok. Mereka dikatakan tidak tahu apa-apa tentang rokok dan oleh kerana itu bagaimana mereka itu lebih tahu tentang cara hendak berhenti merokok!






Ramai orang kenamaan dan 'selebriti' juga telah ditanyakan pendapat masing-masing berhubung dengan masalah merokok ini. Ramai yang memberikan alasan yang pada saya (bekas PEROKOK TEGAR sejak tahun 1960an dan pernah menghisap sebanyak 80 batang rokok {4x20} sehari sekitar tahun-tahun 1990an) merupakan alasan yang lemah sekali.






Sebagai contoh saya petik beberapa alasan yang diberikan oleh para kenamaan, selebriti dan rakyat jelata sebagaimana tertera dalam akhbar utusan Malaysia Isnin 18 dan 19 Januari 2010.






Apapun alasan atau pandangan (lumrahnya berbeza atau bercanggah antara satu dengan lain) yang timbul dalam perkara sebegini, perokok tegar harus 'jujur' kepada diri mereka sendiri. Selalu persoalkan adakah "aku ini benar-benar telah mencuba untuk tidak merokok lagi". Keazaman yang sejati mesti terbit daripada hati sanubari sendiri tanpa sebarang paksaan pihak luaran. Setiap individu memang ada kekuatannya. Kekuatan inilah yang perlu digunakan tepat pada masa dan tempatnya untuk mendapatkan sesuatu hasil yang berkesan.





Sebelum kisah berhenti merokok ini terbit dalam akhbar tempatan buat kesekian kalinya, penulis telah menulis tentang azamnya untuk berhenti merokok dan kemudian cara ia berhenti merokok (blog bertarikh 1 dan 3 Januari 2010 masing-masingnya bertajuk 'Terkenang Resolusi Tahun Baru' dan 'Hendak Seribu Daya'). Diharap ada juga manfaatnya bagi perokok yang ingin mencuba cara yang penulis telah lakukan. Entah . . .cubalah.

Seperkara lagi yang ingin saya sampaikan ialah kalaupun sudah jadi perokok, tegar ataupun sebaliknya, hormatilah sedikit mereka yang tidak merokok di luar sana. Janganlah pakai redah atau pakai boleh saja. Kalau sudah jelas tidak boleh merokok di tempat-tempat tertentu, maka patuhilah aturan itu. Janganlah 'berpelajaran' saja tetapi tidak 'berpendidikan'. Biarlah 'pandai' dan 'bijak' bersekali. Sayangilah nyawa orang yang anda sayangi walaupun jika anda tidak menyayangi nyawa anda sendiri! (Lihat laporan berita di bawah ini yang dipetik daripada akhbar Utusan Malaysia Rabu 20 Januari 2010).


BERITA UTAMA

Penguatkuasaan lemah

Seorang lelaki sedang menghisap rokok tanpa menghiraukan tanda larangan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur, kelmarin.




  • SEKURANG-KURANGNYA 20 kawasan telah diwartakan sebagai tempat larangan merokok di negara ini tetapi para perokok seolah-olah mendapat ‘kebebasan’ melanggar peraturan itu.


  • Tinjauan sehari Unit Khas Utusan Malaysia mendapati, di beberapa kawasan hospital dan pusat perubatan masih kelihatan petugas dan orang awam menghisap rokok.


  • Kegagalan pelbagai kempen kerajaan termasuk Klinik Berhenti Merokok dikaitkan dengan ‘kedegilan’ atau kurangnya kesedaran para perokok terhadap bahaya menghisap rokok.

  • Lebih baik jika perokok ini berhenti dan menabung wang itu untuk menunaikan fardu haji kerana ia merupakan satu kewajipan bagi umat Islam
    -Datuk Nooh Gadut
    Penasihat Majlis Agama Islam Johor
    Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp
    Add to Google


    Kesimpulan yang ingin saya sampaikan melalui dua coretan puisi berikut : berubahlah ke arah hidup yang lebih sihat dengan penuh keinsafan. Bertindaklah segera supaya masa tidak tersia-sia. Bagi yang merokok cubalah berhenti, dan bagi mereka yang belum lagi . . . eloklah hindari!




    Puisi 1 Pro Rokok

    Rambut Sama Hitam
    kata mereka
    kau elok dilarang
    mesti dicegah
    tiap kali kau dinyala
    acap kali kau disedut
    kau bawa susah
    sempit duit
    sakit barah
    tapi kata yang lain
    kata perokok-perokok tulen
    sungguhpun kau hanya tembakau
    dibaluti kertas
    digulung
    disumbat gabus hujung puntung
    kau bawa rona pada alam mereka:
    para seniman yang cari ilham
    si berhutang yang cari tenang
    si runsing yang cari hening
    si kecewa yang cari bahagia
    lebih-lebih si tagih:
    pada jiwanya yang lesu
    pada fikirannya yang buntu
    sebatang rokok
    diketuk
    bersemayam dicelah dua bibir
    dicucuh api
    dihisap
    lahap
    cemuh mereka
    apa sedap?
    masuk angin keluar asap!
    meletus suara pembela
    perokok saja yang rasa nikmatnya
    perokok saja yang tahu hikmatnya!

    24.8.72


    Puisi 2 Anti Rokok
    Rambut Sudah Putih
    Jangan melulu
    fikirkan dahulu ...
    ini nasihat untuk kau orang
    rokok elok dilarang
    mesti dicegah
    sekarang!
    Tiap sebatang yang dinyala
    dah sah bawa bencana
    nanti akhirnya kau orang merana!
    tiap kali rokok disedut
    jantung kurang berdenyut
    paru-paru menjadi reput!
    salur darah turut mengecut
    pernafasan jadi semput
    silap hari bulan nyawa diragut!
    insaf segera
    mengapa mahu sia-sia
    mengundang maut?
    Habis duit tak kiralah sangat
    serangan penyakit yang patut diingat
    bila dihinggapi barah
    parah!
    barah mulut
    kanser perut
    barah tekak
    kanser otak
    kerap juga barah kerongkong
    si perokok tanggung!
    Tak usah malu pada member lain
    lantaklah
    kalau kau orang
    tidak dikatakan geng tulen ...
    daripada berpenyakit
    daripada terbaring di katil pesakit
    daripada merintih penuh kesal ...
    bila kau orang terlantar di hospital!
    Tembakau
    dibaluti kertas
    digulung kemas
    disumbat gabus
    hujung puntung
    lantaklah kalau kau bawa rona pada:
    para seniman yang cari ilham
    si berhutang yang cari tenang
    si runsing yang cari hening
    si kecewa yang cari bahagia ...
    yang nyata
    penghisap jadi kaki tagih
    tak dapat rokok air liur meleleh
    akibat nikotin memenuhi saraf
    akibat konon nak jaga taraf
    akibat pendirian tidak teguh
    akibat mudah terpengaruh ...
    kau orang leka
    tidak peka
    bahawa rokok
    sungguh-sunggu
    MEMBUNUH
    sebatang rokok
    diketuk
    tersepit di celah dua bibir
    dicucuh api
    dihisap
    lahap
    apalah erti?
    cuma mempercepat mati!
    Maka kalau perokok eloklah BERHENTI
    Kalau belum merokok eloklah HINDARI!

    Ogos 4 2005






    dsuarang.blogspot.com

    0 comments:

    Nuffnang Ads

    0 comments:


    Post a Comment




    No comments:

    Post a Comment