Friday, April 22, 2011

Penangan Si 'Babi'

 

 

 

Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

 

 

Ini Sahajakah Ukuran Keislaman? 

 

 

Memang sudah lama soal ini bertakhta di benakku. Mengapa kita orang Melayu-Islam amat tidak takut atau tidak peduli akan perkara-perkara atau perbuatan-perbuatan haram . . .  selain daripada yang menyangkut soal atau  hal 'babi'?

 

Alhamdulillah, Zulkifli Jamaasim (ZJ) melalui blognya  SigapSiaga telah mengupas soal ini dengan cara bersahaja dan mudah difahami dalam sajaknya Islamnya Hanya Pada "Babi" yang tersiar pada Jumaat 15 April 2011.

 

Beberapa komen (respons) mudah telah diberikan para pembaca blog beliau dan ini mencetuskan penulisan selanjutnya oleh Zulkifli pada Khamis 21 April 2011 tentang hal yang serupa. 

 

Saya turunkan dua siaran penulisan Zulkifli  itu untuk kemudahan para pembaca (khsanya para pengikut blog dsuarang) meneliti dan memahami maksud isinya.

 

Berikut dipaparkan artikel yang dipetik daripada blog SigapSiaga kelolaan Zulkifli:

 

Thursday, April 21, 2011

 


Kamus Dewan: “Babi”, “Arak”, “Judi”, dan “Rasuah”nya

 

(Terima kasih dan Dedikasi kepada Abdul Majid Baharum)


“Islamnya Hanya pada ‘Babi’”, begitulah tajuk sajak saya yang tersiar dalam Blog SigapSiaga ini pada 15 April 2011 yang lalu. Sajak itu sajak langsung yang maksud keseluruhannya saya sampaikan secara tersurat supaya dapat difahami oleh khalayak pembaca yang berbeda-beda tahap pemahamannya dengan mudah dan sekali baca sahaja.


Nilai estetika sajak itu? Memang nihil saya kira; kalau ada pun yang estetikanya, mungkin pada unsur asonansi dan aliterasinya sahaja. Jadi, tidak usahlah dibicarakan hal estetika ini. Yang sangat saya pentingkan dalam sajak itu ialah sasarannya — orang yang mengabaikan lima rukun Islam, tetapi menitikberatkan soal haramnya “babi”.


Siapakah orang yang dimaksudkan dalam sajak itu? Tidak ada susuk yang spesifik, sebenarnya. Mereka boleh jadi saya atau kaum keluarga saya sendiri, atau mungkin tetangga saya, atau mungkin juga rakan baik saya. Yang pasti, orang itu adalah daripada kalangan kita juga. Sdra/Sdri tidak pernah menemukan orang seperti ini?


“Babi” memang menjijikkan umat Melayu-Islam di negara ini. Bukan sedikit orang yang membenci “babi” malah bukan sedikit juga orang yang melenting marah apabila orang lain bersewenang-wenang mem“babi”kan mereka dalam pertengkaran. Barangkali, kerana jijik dan benci itulah pernah dimunculkan “khinzir” sebagai ganti “babi”.


Kerana “babi”, banyak Melayu-Islam yang ragu-ragu untuk menjamu selera di restoran Cina atau Hindu kerana ada antara kaum itu yang makan “babi” dan memperniagakannya. Mereka boleh melakukannya kerana “babi” tidak haram kepada kaum itu (walaupun kalau saya tidak salah, agama Buddha dan mungkin juga Hindu melarang (tidak menggalakkan?) penganutnya makan daging).


Yang lebih istimewa, “babi” turut menimbulkan rasa jijik kepada Melayu-Islam yang tahi segala kejahatan — rasuah, judi, arak. Sebagai buktinya, para “petahi” itu tidak pernah menjadikan “babi” sebagai menu makanan mereka walaupun arak tetap diteguk, wang rasuah dan wang judi pula dikaut untuk menyara hidup dan bermewah-mewah!


Rasa fobia dan rasa benci umat Melayu-Islam terhadap “babi” memang lebih dahsyat daripada rasa fobia dan rasa benci mereka terhadap “arak” dan “judi” apatah lagi “rasuah”! Hal ini seronok untuk ditinjau kalau Sdra/Sdri rajin untuk merujuk kepada Kamus Dewan Edisi Keempat dengan melihat entri “babi” yang kita bicarakan ini.

babi I 1. sj binatang mamalia yg berbadan gemuk, berkaki pendek, berkulit tebal, dan bermuncung (diharamkan bagi orang Islam); 2. bk kata makian yg digunakan kerana marah (sangat benci akan seseorang, sesuatu, dsb); 3. nama kartu (dlm permainan ceki)

Kemudian, Sdra/Sdri rujukilah entri “arak” pula dalam kamus yang sama:

arak I sj minuman yg mengandungi alkohol dan memabukkan, minuman keras

Selanjutnya, Sdra/Sdri selak-selaklah Kamus Dewan Edisi Keempat juga dan lihatlah entri “judi” pula:

judi permainan dgn memakai wang dll sbg taruhan (main ceki, main dadu, dll)

Akhir sekali, Sdra/Sdri semaklah entri “rasuah” dalam kamus yang sama:

rasuah pemberian utk menumbuk rusuk (menyogok, menyuap), (wang) tumbuk rusuk (sogok, suap)

Keempat-empat entri yang jelas berbeda maksudnya itu sebenarnya mempunyai persamaan yang sangat ketara. Cuba Sdra/Sdri amat-amati persamaan yang saya maksudkan itu. Tidak ada persamaan lain lagi selain pada frasa “diharamkan bagi orang Islam” yang malangnya hanya muncul pada entri “babi” sahaja (pada definisinya yang pertama)!


Sampai begitu sekali kita mendokumentasikan tahap haramnya “babi” di sisi Islam. Frasa “diharamkan bagi orang Islam” yang tercatat dalam kurungan pada definisi untuk entri “babi” itu menjadi peringatan kepada Melayu-Islam. Anehnya, mengapakah frasa itu tidak disertakan pada definisi untuk “arak”, “judi”, dan “rasuah”?


(Walau bagaimanapun, tanpa frasa “diharamkan bagi orang Islam” pada entri-entri “arak”, “judi”, dan “rasuah” dalam kamus Kamus Dewan Edisi Keempat itu, kita tidaklah sampai mengatakan bahawa kamus itu telah menyinggung perasaan dan menghina Melayu-Islam. Kamus Dewan Edisi Keempat bukan kitab keislaman kita!)


Sebagai kesimpulannya, daripada sudut Islam, kita perlu membuktikan keislaman kita dengan cara menunaikan rukun Islam yang lima itu dahulu kerana dengan melaksanakannya, kita sekali gus tidak akan makan babi serta menjauhi judi, arak, dan rasuah. Daripada segi bahasa, eloklah entri-entri “judi”, “arak”, dan “rasuah” itu diseragamkan definisinya dalam Kamus Dewan.


Manalah tahu kalau-kalau dengan menambah frasa “diharamkan bagi orang Islam” pada entri “arak”, “judi”, dan “rasuah” itu dan mungkin pada beberapa entri yang relevan, orang Melayu-Islam akan berasa jijik, benci, dan fobia terhadap ketiga-tiga perkara haram itu dan yang lainnya, sama seperti mereka berasa jijik, benci, dan fobia terhadap “babi”!


Manalah tahu, kan!

 

dan . . . sajaknya pada:

 


2 comments:

  1. Salam, Uda,
    Subhanallah, Alhamdulillah ... segala pujian hanya untuk Dia!

    Mengulang siar kandungan Blog teman dalam Blog Uda memang suatu penghargaan. Terima kasih, Uda.

    Usaha teman dan usaha Uda ini hendaknya akan memberikan manfaat kepada semua pembaca, insya-Allah.

    Kita haruslah berharap agar usaha kita ini diberkati Allah, amin!

    Terima kasih sekali lagi.

    ReplyDelete
  2. Salam Adinda,

    Begitulah hendaknya. Mudah-mudahan sumbangan kecil kita yang begini diberkati-NYA jua. Amin.

    Sama-sama kasihnya tu weh.

    ReplyDelete