Sunday, May 22, 2011

Kenangan Mengusik Jiwa




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Tiba-tiba Aku Terkenang


Zaman terus saja berlalu. Semakin lama semakin jauh waktu menjarakkan antara tinggalan kesan kenangan dengan realiti dalam diri. Berbagai liku hidup telah dilalui. Berbagai cabaran kehidupan telah ditempuhi . . .  tidak kira dalam bayangan takut atau berani. Sungguh berwarna warni hidup ini. 

Aku ingin menyatakan . . . aku tetap mengingati setiap peristiwa hidup yang aku alami. Dan, paling penting aku tidak akan pernah melupai mereka yang aku sayangi . . . sepanjang hidup yang aku alami itu.

Allah SWT sahaja yang maha mengetahui . . . 

 
{Sekadar menghargai kesyahduan perasaan yang tiba-tiba datang berkunjung . . . aku kira sesuai diterakan nukilan di bawah ini . . . nukilan yang aku 'labelkan' sebagai 'puisi hiasan' . . .} 



Kunjungan



harmoni cengkerik
gilir-bergilir
begitu lunak mengiringi halimun malam

tiupan bayu
silir-semilir
begitu galak melewati rongak jendela

sebentuk maya
merewang-rewang
begitu mesra mengunjungi kamar usang
bertimpuh lantas mengusik
tubuh yang lalai di alam asyik
bentuk maya berwajah manis
paling romantis
rasa pernah bersua
samar-samar
bila dan entah di mana 

sayang seribu kali 
pisat lagi di pembaringan
empunya wajah telah tiada
maya entah ke mana . . . 

igaukah mimipi aku gerangan?
atau imaginasi keterlaluan!

yang nyata
kunjungan tadi
kunjungan bintang sejuta cahaya
sinar segala . . .


Puisi hiasan oleh AMB



5 comments:

  1. Salam Uda dan klrga!

    Tk paparan.....tiba 2 aku terkenang- asam garam hidup tapi kesedihan seringkali menenggelamkan cerita2 manis.
    Ptg/mlm Jumaat lalu di gejutkan oleh berita kematian seorang sahabat Mej Asmadi pada jam 2050(8.50) mlm akibat sakit jantung.
    Akhir jumpa Almarhum pada pagi Rabu 18 Mei lalu di Rumah Sakit ATM ,di KEMENTAH..beliau bertongkat kerana GOUT katanya..kami sembang2 lantaran sudah lama tak berjumpa....Almarhum tampak mcm biasa saja....rupanya Almarhum di ditemui itu telah dkt WAKTUnya..Innallillah!
    Alhamdullillah sempat ziarah Jenazah Almarhum di Hosp Tuanku Mizan dan bersolat di Msjd baru KEMENTAH pada jam 3.00 pg 20 Mei bersama YBhg PTD,TPTD dan puluhan makmum yg lain. ...Jenazah di bawa pulang ke Kg Tawar,Kuala
    Ketil ,Kedah slps solat...dgn diiringi Isteri dan anak2.
    Doa dan harapan Rohnya di cucuri Rahmat oleh Allah SWT...AMIN! Al fatihah...!

    ReplyDelete
  2. Salam, Uda,
    Syahdu sajak itu.

    Mengingat yang pergi akan mengingatkan kita tentang kesementaraan hidup ini.

    Berita yang adinda dengar, isteri sahabat kita, Sdr Kamil Azahar Othman, iaitu Zalikha, telah pergi menghadap Ilahi minggu lalu. Al-Fatihah. Sangat mendadak perginya, begitulah khabar yang adinda dengar.

    ReplyDelete
  3. Salam, Uda,
    Jangan terkezut. Komen awal tu rasanya menggunakan akaun bini adinda.

    ReplyDelete
  4. Salam Adinda Zul,

    Ya memang setiap yang 'baharu' itu akan 'sementara' sifatnya sampai bila-bila. Yang kekal cuma Allah SWT.

    Alhamdulillah Uda dan Kak serta anakanda Hazry dapat jua pergi ke Jeram pagi itu untuk berziarah.

    Uda diberitahu ttg pemergian Allahyarhamah Zalikha oleh bapa saudara Kamil, Cikgu Dolah(atas permintaan Kamil berkali-kali menurut khabarnya).

    Rasa tersentuh di jiwa ini kerana Kamil masih ingat untuk memberitahu Uda ttg pemergian isterinya itu . . . yang juga pernah Uda kenali rapat ketika bekerja dahulu.

    Sesungguhnya, Uda harap ikatan perhubungan/persaudaraan begini akan kekal terpelihara di kalangan kita sahabat-sahabat lama.

    Apa lagi yang dapat kita katakan. Sudah kehendak-NYA. Kita cuma sentiasa diajar bersikap 'reda' dan itulah yang seharusnya kita amalkan.

    Al-Fatihah. Semoga roh Allahyarhamah terjumlah dalam kelompok mereka yang mendapat tempat di syurga pada kemudian hari kelak. Amin.

    ReplyDelete
  5. Salam Adinda Basri,

    Ada masa lalu maka adalah masa sekarang. Ada peristiwa penggalak maka adalah peristiwa perentang.

    Dan, lumrahnya . . . bila ada gembira pasti ada pula walang.

    Apapun, takziah kepada famili Allahyarham yang tinggal. Kita sama-sama doakan roh Allahyarham terpelihara di sisi-NYA.

    Al-Fatihah . . . Amin.

    ReplyDelete