Thursday, June 17, 2010

Waktu Mematangkan Manusia?


Thursday, June 17, 2010



Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Cari Serasi


Habis berbicara tentang "Waktu Berkualiti" aku terpanggil pula untuk meneliti, menilai dan memastikan (daripada pemerhatian terhadap ahli-ahli keluarga terdekat) sama ada waktu benar-benar "mematangkan" manusia.










Aku duduk bersendirian memikirkan tentang waktu yang aku lalui sepanjang tempoh hidupku. Ah, tak dapat aku kenangkan kembali semuanya! Namun apa yang masih segar dalam ingatanku ialah zaman aku mula-mula memasuki 'kelab' manusia yang telah berkahwin. Aku menjadi ahli 'kelab' tersebut sekitar usia 27 tahun yakni pada tahun 1972.

Ketika itu tidak ada kursus khas untuk pasangan yang bakal berkahwin. Maka tentunya tiadalah tempat untuk mendapatkan nasihat secara rasmi/formal bagi "mendirikan rumah tangga" yang boleh dikira menjaminkan perkongsian hidup yang teratur, saling bersefahaman dan saling selesa menyelesakan.

Namun aku tetap dapat menyesuaikan diri dengan ibu dan bapa mertuaku serta seluruh ahli keluarga isteriku dengan kadar yang segera. Aku tidak "kekok" bila bersama mereka!









Bakal pasangan pengantin pada zaman itu rata-ratanya tidak akan 
mengenali keluarga pasangan mereka secara dekat. Pihak bakal pengantin lelaki mungkin sekali dua bertemu dengan keluarga bakal pengantin perempuan (itupun biasanya dengan ibu/bapa bakal pasangan pengantin perempuan sahaja) untuk membicarakan hal risikan, pertunangan dan pernikahan dsb.








Pada zaman sekarang, seperti yang lumrah kedapatan, pasangan-pasangan yang ingin mengikat tali perkahwinan telah siap menghadiri kursus dan menjalani segala macam lagi persiapan bersama-sama.

Mereka selalunya bersama-sama pergi melaksanakan keperluan yang dituntut oleh pihak berwajib terhadap hal-hal berkaitan syarat-syarat dan peraturan perkahwinan bagi orang Islam di negara ini. Mereka juga lumrahnya telah mengenali keluarga bakal pasangan mereka dari dekat sejak awal perhubungan mereka lagi.

Malah ada yang sudah teramat rapat hubungannya dengan keluarga bakal pasangannya. Bukan setakat dengan ibu bapa bakal pasangan tetapi juga dengan bakal ipar lamai dan sanak saudara di luar lingkungan keluarga terdekat bakal pasangan!










Nah, apa lagi yang hendak diperkatakan tentang mencari waktu untuk serasi! Selama mana lagi tempoh "percubaan" yang kononnya mesti dilalui sebelum boleh tercapai "keserasian" sesama pasangan dan ahli-ahli keluarga yang telah pun dikenali sejak awal perhubungan berlaku antara pasangan-pasangan moden sekarang?

Anehnya bila diteliti . . . mereka (pasangan-pasangan moden sekarang) memang cukup terpelajar, cukup berkedudukan, cukup berkasih sayang (dengan panggilan intim yang hebat-hebat) terhadap pasangan masing-masing serta (kononnya) cukup memahami kehendak hati masing-masing!










Ada pula pendapat yang mengatakan supaya mereka itu diberikan sedikit waktu untuk menjadi lebih 'matang' melalui peningkatan usia kelak. Apakah mereka yang kebanyakannya sekarang berkahwin pada usia lingkungan 30-an (kononnya setelah teguh bekerjaya) dianggap 'mentah' atau belum cukup 'matang' berbanding orang dulu-dulu yang rata-ratanya berkahwin pada usia pertengahan atau lewat 20-an? Timbang-timbangkanlah sendiri!







Sesungguhnya masih terngiang-ngiang dibenakku . . . apakah waktu benar-benar dapat mematangkan manusia . . . atau manusia tidak akan matang-matang selagi sentiasa beralasan perlu waktu yang berkepanjangan begitu!








Paling dahsyat . . . ada pasangan yang masih dibelenggu 'cara hidup negatif 'ayah bonda tanpa cuba mengubah kepada pegangan hidup sendiri . . . yang sepatutnya lebih ceria dan terbuka!

Wallahuaklam!


















dsuarang.blogspot.com
Nuffnang Ads