Showing posts with label Allahyarham Pak Anjang Lokman. Show all posts
Showing posts with label Allahyarham Pak Anjang Lokman. Show all posts

Tuesday, July 29, 2014

Seimbas Imbauan Kenangan






Assalamualaikum and Greetings




Perasaan Manusia Biasa


Kehadiran Aidilftri 1435H kali ini membawa kenanganku berbalik kepada waktu-waktu silam yang aku lalui.


Berbagai-bagai peristiwa suka duka telah aku alami . . . peristiwa-peristiwa yang meneguhkan lagi kepercayaan dan kekagumanku terhadap kudrat dan iradat Allah SWT.


Antara kenangan yang mengusik jiwa sepanjang Ramadan 1435H (2014) ialah kembalinya ke rahmatullah seorang bapa saudaraku yang juga seorang 'sahabat' . . . Allahyarham Hj Lokman Mohd Shariff kira-kira dua bulan sebelum tiba Ramadan 1435H.







Penulis bersama Ayhn Hj Lokman Mohd Shariff
{foto ihsan adinda Muhammad Asraf Lokman) 



Kami telah cuba sedaya upaya merealisasikan harapanmu dan akan cuba seterusnya melaksanakan impianmu setakat yang kami termampu, insha-Allah.  

Semoga rohmu sentiasa aman dan selesa di bawah perlindungan dan kasih sayang  Allah SWT. Al-Fatihah. 


 . . . keratan drpd puisi asal AMB tertulis pada tahun 2009 . . . 


Kadangkala
kita lupa menghargai
sesuatu yang kita ada
selagi ia masih di sisi
selagi ia kita miliki;

Kadang kala
kita tidak berterima kasih
kepada mereka yang berbudi
sehingga mereka dah tiada lagi;

Aduhai
jangan nanti
dah tiada baru terasa
dah tinggal baru menyesal
dah hilang baru walang
dah berpisah baru gundah
dah habis baru menangis!



{Sumber: Puisi AMB 2009}






bamuda
dsuarang.blogspot.com


Sunday, May 4, 2014

Tinggal Kenangan






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Vakum di Mana-mana  


Jam menunjukkan pukul 2:30 ptg waktu tempatan. 

Aku, Alimah, Halim, Hazry dan Marlyana baru sahaja sampai di rumah kami dari Taman Seri Segambut.

Tadi kami sekeluarga telah menghadiri suatu majlis membaca surah Yasin dan bertahlil arwah. 

Majlis diadakan khusus bagi mengenang sebulan berlalunya tempoh pemergian Almarhum Tuan Hj Lokman bin Mohd Shariff menghadap Allah SWT.

Aku tiba-tiba terkenang akan bapa saudaraku . . . Hj Lokman ini . . . yang aku panggil Pak Anjang.

Selalunya . . . beliau sendiri yang akan menyambut kedatangan aku ke rumahnya. 

Setiap kali aku tiba dan memarkir keretaku di hadapan rumahnya, beliau akan membuka pintu pagar untuk mempersilakan aku masuk. 

Wajahnya kelihatan bersahaja. Namun nada keriangan sentiasa kedapatan terselit di sebalik kata-katanya menyambut kedatanganku: " Ha masuklah . . . !"

Tadi, ketika berada di rumah yang sering aku kunjungi di Taman Seri Segambut itu . . . aku terasa amat kehilangan. Vakum di mana-mana.

Wajah beliau tidak lagi kelihatan. Suara beliau tidak lagi kedengaran. Telatah beliau tidak lagi kewujudan.   

Kehadiran semangat beliau sahaja yang masih dapat aku rasakan melalui aura yang ditinggalkannya di Bagas Impian.

Di tengah-tengah ramai ahli keluarga dan sanak saudara serta sahabat handai yang berkunjung datang menjayakan majlis membaca surah Yasin dan bertahlil arwah tadi aku amat terasa akan sesuatu 'kekosongan' yang melanda majlis.  

Cara dan nada suara Hj Lokman mengepalai bacaan surah Yasin dan bertahlil sudah tiada lagi. Sudah lenyap buat selama-lamanya. 

Aku sempat berbicara dengan anak-anak Almarhum Hj Lokman . . . dan dari nada dan warna bicara aku bersama mereka tadi . . . amat jelas mereka juga berperasaan seperti aku . . . atau mungkin tidak keterlaluan jika aku andaikan lebih 'parah' kepiluan dan kekosongan yang mereka rasakan berbanding aku!

Akhirul kalam kali ini ingin aku petik maksud kata-kata Johari menantu Almarhum Hj Lokman:

"Abah tak pernah menunjukkan sifat amarah kepada kami . . . especially anak menantunya. Dia seorang yang baik dan tidak cerewet . . . Susahlah nak ikut macam cara dia. Kalau dia datang ke rumah kami . . . dan hendak minum cendol . . . kami belikan dan hidangkan saja. Abah akan menikmati hidangan kami itu tanpa banyak bicara. Begitulah mudahnya cara dan gaya hidup Abah . . . "

Perasaanku bertambah terusik dengan pengakuan begitu. Memang aku juga amat mengenali beliau . . . bukan sahaja sebagai seorang bapa saudara tetapi juga sebagai seorang sahabat.

Insha Allah dapat aku bercerita lagi dalam keluaran yang akan datang tentang Lokman bin Mohd Shariff sebagai bapa saudara dan juga sahabatku. 

Namun dia yang pergi tetap telah pergi. Kita yang tinggal cubalah sebaik mungkin melaksanakan pesanan dan merealisasikan harapan dia yang telah pergi. 

Marilah kita sama-sama bacakan dan sedekahkan al-Fatihah sebanyak-banyaknya buat insan yang sama-sama kita sayangi ini . Insan yang bergelar Abah kepada anak-anaknya, Anjang kepada isteri dan adik-adiknya, Pak Anjang kepada anak-anak saudaranya,  Atuk dan Atuk Anjang kepada cucu-cucunya, Onyang kepada cicit-cicitnya. . . . dan Lokman atau Tuan Hj Lokman kepada kaum kerabat dan para sahabat handainya. 


Aku tak akan lupa sebaris kata-kata yang sering diucapkan beliau tentang kematian ketika ada hayatnya:

"Kalau anak-anak bagi Visa atau Mastercard pun . . . tak laku kat sana . . ."

Jadi kita fahamkanlah maksud yang tersirat bersama-sama dan . . . al-Fatihah yang berterusan buat Almarhum Pak Anjang. Amin. 




bamuda
dsuarang.blogspot.com

Monday, April 14, 2014

Ke Mana Arah PTS Selepas Ini?






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Kehilangan Tonggak Keluarga


Kali terakhir aku menemui beliau pada 8 Mac 2014. Sabtu itu ada majlis akikah dan pemasyhuran nama buat tiga orang cucuku. 

Majlis untuk Aish Muqry Basrie bin Royhai'zam, Kasih Camelia Majid bt Halmy Zahari dan Nia Airyn Sofea bt Halim Zaharyn diadakan di rumahku. Majlis bermula dari jam 10:00 pagi hingga 5:00 ptg.


Tuan Hj Lokman bin Mohd Shariff yang terkenal di kalangan anak-anak saudaranya dengan panggilan Pak Anjang tiba di rumahku selepas waktu zohor. Hampir jam 3:30 ptg pada hari itu.










Pak Anjang, bapa saudaraku itu, terus sahaja menemui aku lalu berbisik memberi tahu :



"Maaf, Pak Anjang lewat sikit Jid. Tadi pergi check mata di Hospital Tun Hussein Onn."



Aku tidak terniat langsung untuk mempersoalkan kelewatan Pak Anjang tiba. Sesungguhnya Pak Anjang tidak perlu memohon maaf daripada aku. Tidak perlu pun memberikan sebab beliau kelewatan itu.















Bagiku bapa saudaraku ini memang seorang yang istimewa. Beliau amat teliti dalam hal-hal sebegini. Hal-hal yang bersangkutan silaturahim sesama insan.

Beliau seorang yang rajin berkunjung muhibah ke rumah-rumah ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai ketika hayatnya.


Pak Anjang amat mengambil berat untuk pergi ke tempat sesuatu majlis diadakan ahli keluarga, sanak saudara dan sahabat handai sekiranya diundang ke majlis itu.

Beliau sedaya upaya akan cuba hadir andainya kesihatan beliau mengizinkan dan kelapangan waktunya sesuai.  





















Majlis-majlis yang aku sekeluarga adakan juga tidak terkecuali. Pak Anjang akan menyerikan majlis kami dengan kehadirannya apabila diundang.

Beliau sering aku undang untuk memimpin majlis tahlil, membaca doa selamat, kenduri kesyukuran, acara sosial dan keagamaan keluarga, dsb. 

Pak Anjang sentiasa tidak keberatan. Begitulah prihatinnya Pak Anjang terhadap kepentingan orang lain. 


Pak Anjang juga insan yang bertanggung jawab menggerakkan terus aktiviti-aktiviti kekeluargaan dan kebajikan Pakatan Tubuh Sekeluarga (Mohd Said, Mohd Shariff dan Konah).

Sesungguhnya beliau adalah orang yang berusaha keras menghidupkan aktiviti bertarawih sesama ahli keluarga pada setiap bulan Ramadan tahun demi tahun.




Kg Melayu Subang



















Shah Alam
























Taman Tenaga Puchong























Taman Sri Segambut



























































Kg Melayu Rawang




































AU 3











































Pak Anjang tetap tabah dalam mempraktikkan kegiatan yang bermanfaat ini walaupun aktiviti berkenaan sering kurang mendapat sokongan yang menggalakkan daripada ahli-ahli PTS sendiri.


Masih terngiang-ngiang di telingaku kata-kata Pak Anjang pada tahun lepas . . . selepas acara bertarawih di rumahku.











Pak Anjang amat bersemangat apabila menyatakan begini:



"Kalau Pak Anjang dah tak ada pun . . . you all carry on le juga. Mesti ada pelapis. Mesti ada yang boleh bawak tu."

"Sampai bila-bila pun tak apa . . .," tambah Pak Anjang sambil beliau ketawa kecil. 



Beliau mengucapkan kata-kata itu dengan nada yang bersahaja. Beliau mahu acara kekeluargaan seperti ini diteruskan. 


Pak Anjang percaya ini boleh dilakukan. Malah beliau cukup yakin dengan apa yang diperkatakannya itu.





































Keyakinan yang berasaskan kemuafakatan dan kerjasama setiap ahli keluarga. Dalam hal ini . . . kesepakatan di kalangan ahli-ahli PTS sendiri!

Kini Pak Anjang sudah pergi buat selama-lamanya. Allahyarham telah kembali menemui Penciptanya. 














Aku tertanya-tanya ke arah mana PTS selepas ini? 


Aku tertanya-tanya. Mahukah dan mampukah ahli-ahli PTS meneruskan apa yang telah diusahakan Allahyarham Pak Anjang selama ini? 

Dapatkah dipertahankan harapan yang pernah dicurahkan Allahyarham terhadap kewujudan / kesinambungan aktiviti dan fungsi PTS? 


Akan kedengarankah lagi 'legato' dalam 'muzik' PTS? 

Terpulang kepada kita semua memupuk dan meneruskan cita-cita mulia Allahyarham Pak Anjang. 

Mudah-mudahan cita-cita mulia Allahyarham Tuan Hj Lokman bin Mohd Shariff @ Pak / Atuk Anjang yang sama-sama kita semua kasihi itu tercapai jua.

Mudah-mudahan ahli-ahli PTS khasnya generasi sekarang yang muda-muda, kreatif, bertenaga serta berfikiran terbuka dapat mendukung dan menghidupkan lagi PTS kita yang sudah puluhan tahun diwujudkan orang tua-tua kita. 

Dengan keikhlasan dan kesungguhan kita bersama . . . harapan dan cita-cita Allahyarham insha-Allah tercapai jua.

Terima kasih Pak Anjang atas segala budi dan jasamu. Allah SWT sahaja yang mampu membalas segala kebaikanmu itu dengan kebaikan yang berlipat ganda.

Al-Fatihah . . . Aamin.





bamuda
dsuarang.blogspot.com