Showing posts with label Ramadan Oh Ramadan. Show all posts
Showing posts with label Ramadan Oh Ramadan. Show all posts

Friday, July 25, 2014

Retrospeksi Ramadan '79






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Persembahan Nasyid 


Ramadan '79 tidak mudah dilupakan penulis. Setiap kali Ramadan datang dan pergi Penulis akan teringat suatu peristiwa yang menjadi kenangan manis penulis hingga ke hari ini.



Peristiwa: 
Musabaqah Membaca al-Quran 
(Peringkat Antarabangsa). 

Tarikh:
 9 hingga 14 Ogos 1979. 

Tempat: 
Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.





Ketika itu penulis berkhidmat di Kementerian Pelajaran Malaysia dan aktif menganggotai Kumpulan Nasyid Kementerian tersebut. 

Kumpulan kami telah dipinta pihak penganjur membuat persembahan nasyid di dalam majlis tahunan yang amat dinanti-nantikan ramai warga Islam Malaysia pada ketika itu . . . 'Musabaqah Membaca al-Quran.'


'Musabaqah Membaca al-Quran' diadakan bertujuan meninggikan syiar Islam. 

Majlis tahunan yang dianjurkan Kerajaan Malaysia ini pertama kali berlangsung dengan nama 'Pertandingan Membaca al-Quran'. Kemudian nama ini diubah menjadi 'Musabaqah Membaca al-Quran'.

Sekarang acara ini dikenali dengan nama 'Ujian Tilawah al-Quran' pula.

Dua buah nasyid telah dapat dipersembahkan dengan jayanya oleh kumpulan kami dalam majlis Musabaqah Membaca al-Quran (Peringkat Antarabangsa) Kali ke-20 . . . pada malam Ramadan 1399H.








 Kumpulan Nasyid Kementerian Pelajaran Malaysia 1979
di Stadium Merdeka KL 
(penulis bertanda x) 



Penulis dan teman-teman sekumpulan tentu saja amat teruja apabila nama kumpulan nasyid kami diumumkan dengan lantangnya melalui sistem pembesar suara di Stadium Merdeka yang penuh bersejarah pada malam itu.


Maklum sajalah . . . perjalanan setiap acara dalam majlis berkenaan telah disiarkan secara langsung (live) ke hampir seluruh negara Islam di dunia ini.








[Maka pada saat 'glamour' itu . . . semacam punya perasan jadinya para penyanyi amatur semua . . . he, he, hmm!]



Kumpulan Nasyid Kementerian Pelajaran Malaysia ketika itu dibimbing dua pakar muzik tempatan . . . Allahyarham Tuan Hj Abd Hamid Baharuddin dan Tuan Hj Mahzan Manan.


Allahyarham Abd Hamid Baharuddin pada waktu itu seorang Nadzir Sekolah (Bhg Muzik) di Jemaah Nadzir Sekolah, Malaysia manakala Mahzan Manan pula seorang Pensyarah Seni Muzik di Maktab Perguruan Islam, Kuala Lumpur.


Alhamdulillah . . . pengalaman ini cukup indah dan merupakan sesuatu yang tidak mudah terlupakan hingga sekarang.

Istimewanya . . .  majlis ini terus diadakan pada setiap tahun hinggalah sekarang.





bamuda
dsuarang.blogspot.com

Thursday, July 24, 2014

Ramadan Semakin Berlalu






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Hebatnya Ramadan 



Dua tiga hari lagi Ramadan 1435H akan meninggalkan kita.

Penulis ucapkan selamat jalan Ramadan. Semoga kita semua akan masih diizinkan Allah SWT untuk bertemu Ramadan lagi dan seterusnya menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan yang mulia ini pada waktu-waktu mendatang. 


Sebenarnya setiap kali Ramadan tiba penulis sering terfikirkan sesuatu. Penulis terfikir alangkah baik andainya selepas Ramadan pun keadaannya terus begini.

Para jemaah begitu ramai beramal ibadat di surau-surau mahu pun di masjid-masjid. 

Umat Islam berlumba-lumba ke tempat-tempat ibadat yang suci itu. Maka penuh sesaklah surau-surau dan masjid-masjid di seluruh ceruk dan pelosok negara.

Maka semaraklah semangat umat Islam memakmurkan surau-surau dan masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan.


Hampir setiap pagi selepas waktu subuh penulis sempat menonton berbagai rancangan dalam slot-slot keagamaan di stesen-stesen TV memaparkan tindakan meluas umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadan tahun demi tahun. 

Sambutannya meriah. Sungguh meriah! Suasana di surau-surau dan di masjid-masjid kelihatan ceria dan segar dengan kehadiran begitu ramai para jemaah yang bersolat fardu, bersolat Tarawih, berzikir, dan yang bertadarus . . . dan sebagainya. Alhamdulillah.


Namun apa yang sering terfikir di benak penulis yang bukan ustaz ini ialah tentang keadaan nyata yang wujud setiap kali setelah Ramadan berlalu. 


Para jemaah regular di surau-surau dan masjid-masjid yang berkenaan kebanyakannya bersetuju bahawa kehadiran para jemaah Ramadan di surau-surau dan masjid-masjid pasti berkurangan menjelang pertengahan Ramadan . . . dan merosot teruk pada penghujungnya.  


Penulis sendiri mengamati bahawa lazimnya selepas berakhir Ramadan pada sesuatu tahun surau-surau dan masjid-masjid akan menjadi 'lengang'. Para jemaah tidak ramai lagi. Tidak seperti sepanjang bulan Ramadan!


Kadangkala hendak memenuhkan dua saf para jemaah bersolat pada waktu-waktu sembahyang fardu pun susah. Waktu subuh lebih teruk keadaannya!

Antara beberapa persoalan yang selalu bermain di benak penulis: 

1. Ke mana hilangnya para jemaah yang begitu ramai mengunjungi surau-surau dan masjid-masjid pada setiap bulan Ramadan?

2. Adakah para jemaah itu bukan orang dari kalangan penduduk kariah surau-surau atau masjid-masjid yang berkenaan itu sendiri?

3. Adakah para jemaah Ramadan cenderung mengamalkan ibadah "bermusim". 

Jawapannya . . . Allah saja yang maha mengetahui!

Penulis ingin menyentuh sedikit tentang hal bersolat Tarawih.

Memang eloklah semua orang berlumba-lumba menunaikan solat sunat Tarawih di surau-surau atau di masjid-masjid.

Keadaan akan lebih sesuai lagi kalau mereka yang berlumba-lumba itu sudah siap menunaikan dengan penuh dan lengkapnya segala solat fardu terlebih dahulu.

Paling cantik kalau mereka itu memang merupakan golongan yang sudah tidak meninggalkan solat fardu sepanjang bulan bukan Ramadan pun!


Penulis tidak berniat mengutuk atau mencela sesiapa atau mana-mana pihak jua. 

Memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling pada setiap Ramadan kadangkala menimbulkan tandatanya di benak penulis. 

Cubalah bayangkan keadaan apabila ada di antara pengamal ibadah 'bermusim' ini sewenang-wenangnya mengkategorikan orang yang tidak kelihatan oleh mereka bersolat Tarawih sebagai orang tidak cukup 'Islam'!


Seterusnya orang yang dikategorikan tidak cukup 'Islam' itu akan dikelaskan pula sebagai orang yang tidak mengerti hukum hakam agama, tidak warak atau tidak mematuhi ajaran agama seperti mereka . . . kononnya. 

{Sesungguhnya, pada hemat penulis, mereka yang gemar 'menghukum' orang lain itulah biasanya golongan yang jarang-jarang sekali atau kurang kelihatan mengunjungi surau-surau atau masjid-masjid pada musim bukan Ramadan. Mereka itu juga besar kemungkinannya tidak konsisten melaksanakan tanggungjawab bersolat fardu yang wajib ke atas diri masing-masing.} 


Dan, sebaik Ramadan berlalu . . .  golongan itu akan terus lenyap dari pandangan . . . hinggalah tiba waktunya untuk muncul semula apabila Ramadan datang lagi!

Entahlah . . . sekali lagi, Tuhan saja yang tahu mengapa hingga terjadi sedemikian!

Penulis lantas teringat akan penjelasan Ustaz di kampung penulis dahulu. Ustaz kampung-kampungan. Bukan Ustaz elitis bandaran. 

Tidak seperti para Ustaz hebat . . . yang di sana-sini memberi ceramah perdana dan sebagainya. Tidak seperti mereka yang memimpin majlis tazkirah dan syarahan di tempat-tempat yang istimewa.


Seperti biasa . . . dengan gaya low profile beliau . . . Ustaz di kampung penulis itu memberikan penjelasan secara mudah. Dia menerangkan bahawa bersolat Tarawih hukumnya sunat.

Tidak salah kita menunaikannya asalkan kita tidak tersilap memberi keutamaan yang berlebihan terhadapnya.

Mengerjakannya dapat pahala, meninggalkannya tidak berdosa . . . sambung Ustaz itu lagi. 

Mari kita fikirkan secara mudah. Kalau kita sanggup berjemaah solat Tarawih di surau-surau atau di masjid-masjid setiap malam pada bulan Ramadan, mengapa tidak kita berbuat demikian juga dengan solat-solat fardu lima waktu sehari semalam pada waktu bukan Ramadan?


Bertambah sedih lagi apabila suasana menjadi semakin lengang di surau-surau dan di masjid-masjid pada waktu-waktu solat fardu hari-hari biasa!


Pendeknya, janganlah sampai kita lebih utamakan solat sunat Tarawih daripada solat-solat fardu.

Bayangkan bagaimana jadinya jikalau saban malam sepanjang bulan puasa kita tidak putus-putus bersolat Tarawih manakala solat fardu lima waktu sehari semalam kurang kita beri perhatian atau tidak kita hiraukan langsung pelaksanaanya!


Tentunya akan sia-sia saja penat lelah dan lapar dahaga kita berpuasa! Tunggang-langgang nanti jadinya pegangan kita.






Maka pastikan kesempurnaan amalan yang wajib dahulu sebelum kita menambahkan ibadah kita dengan yang sunat pula.

Mari kita amati sepotong hadis soheh yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim, tentang kata-kata A'isyah r.a. yang maksudnya lebih kurang begini:


"Nabi Muhammad SAW menunaikan solat di masjid (pada malam pertama) dan beberapa orang pun bersolat bersama-sama baginda. Baginda bersolat lagi pada malam kedua. Ramailah lagi orang bersolat bersama-sama baginda. Pada malam ketiga dan keempat lebih ramai orang berkumpul dan menunggu kehadiran baginda untuk bersolat bersama-sama. Rasulullah SAW tidak muncul (bertemu mereka). Apabila waktu Subuh baginda (bertemu mereka) dan bersabda,' Aku lihat apa yang kamu lakukan malam tadi. Tiada apa-apa yang menghalang aku daripada bertemu kamu melainkan kerana aku takut ia (solat Tarawih) diwajibkan ke atas 'kamu'. Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadan."


Penulis berharap kita mendapat mesej yang cukup jelas daripada penerangan di atas. 

Segala ibadah yang kita lakukan, khususnya pada bulan Ramadan ini, harus dengan cara paling tertib dan sikap yang rasional. Yang dahulu didahulukan. Yang kemudian dikemudiankan.


Jangan sekali-kali perlekehkan mereka yang kelihatan seolah-olah kurang warak. Mungkin mereka lebih alim berbanding kita!

Akhir kalam . . . marilah kita sama-sama berdoa agar segala cara beramal ibadat yang telah kita zahirkan sepanjang Ramadan akan menjadi ciri kekal dalam diri kita . . . 'berterusan' dan tidak 'berlalu' seperti berlalunya bulan Ramadan dua tiga hari lagi.    

Wallahuaklam.





bamuda
dsuarang.blogspot.com

Wednesday, July 16, 2014

Bertarawih Sahaja?






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Pandangan Seorang Bukan Ustaz


Setiap kali berpuasa pada bulan Ramadan kita tidak pernah dilepaskan atau terlepas daripada kewajipan bersolat fardu lima waktu sehari semalam. 

Kenanganku menelusuri zaman aku kanak-kanak. Ingatanku kembali kepada ajaran dan nasihat Ustaz kampungku dulu.

Ketika itu aku tidak begitu mengerti tentang apa yang patut dipentingkan atau mana yang harus lebih diutamakan.  

Aku belum dapat memahami sedalam-dalamnya ajaran dan nasihat Ustaz kampungku pada waktu itu . . . setiap kali dia membicarakan betapa pentingnya perkara paling asas dalam mempelajari sesuatu difahami terlebih dahulu . . . lebih-lebih lagi berkaitan hal-hal menyangkut hukum hakam keagamaan. 


Hal berpuasa pada bulan Ramadan dan kemestian bersolat fardu dalam menjalankan ibadat puasa itu (malah bersolat fardu wajib sepanjang hayat!) sering ditekankan Ustaz kampungku kepada kami.  


Hingga kini suara Ustaz yang bernada lembut tetapi tegas itu seolah-olah masih kedengaran menerangkan:



Rukun Islam lima perkara. Pertama mengucap dua kalimah shahadat. Kedua sembahyang lima waktu sehari semalam. Ketiga puasa pada bulan Ramadan. Keempat mengeluarkan zakat dan fitrah. Kelima naik haji ke Baitullah.


Ajaran dan nasihat yang bertubi-tubi diasak ke telingaku menjadikan aku amat hafal dengan susunan Rukun Islam . . . malah aku mampu 'mengajuk' intonasi (selamba dan berlagu) Ustaz kampungku ketika mengajar. 


Aku masih dapat membayangkan perwatakan Ustaz kampungku yang berhemah tinggi itu. Tidak menengking. Tidak marah-marah . . . jauh sekali bersikap bengis. 


Ustaz kampungku tidak gemar menghina atau memerli orang. Tidak suka menghukum hamba Allah yang lain. Tidak memperlekehkan sesiapa pun. Beliau mengajar kerana Allah SWT.


Tidak berjeda masa berlalu. Sudah melampaui banyak batas waktu. 

Tebal kesedaran dalam diri bahawa bersolat lima waktu sehari semalam harus lebih penting kedudukannya berbanding berpuasa pada bulan Ramadan (tanpa menafikan bahawa kedua-dua rukun ini diwajibkan ke atas semua umat Islam.)


Ringkasnya . . . kepada aku yang bukan ustaz ini . . . bersembahyang lima waktu sehari semalam (yang disifatkan sebagai tiang agama itu) jelas berada di tangga teratas berbanding berpuasa pada bulan Ramadan.


Namun senario 'ganjil' yang sering kita temui pada bulan Ramadan hari ini ialah hampir semua orang kuat berpuasa. Kuat bersembahyang Tarawih (sunah muakkadah). Namun tidak ramai yang kuat mendirikan solat fardu lima waktu sehari semalam. 


Hampir semua orang bermati-matian menjaga dan mempertahankan puasa mereka. Tetapi tidak ramai pula mereka yang bersungguh-sungguh mengerjakan solat fardu lima waktu sehari salam ketika berpuasa Ramadan. 

Keadaan ini semakin ketara menjelang Hari Raya Aidilfitri. Pada ketika itu ramai yang akan terlalu sibuk dengan persediaan untuk menyambut kedatangan 1 Syawal hinggakan terlalai untuk bersembahyang. 


Pandangan yang ingin penulis ajukan melalui ruang siaran kali ini ialah . . .  elakkanlah sekadar berkejar-kejaran melakukan solat bermusim seperti ini!

. . .  dan . . . 


Janganlah biarkan tanggung jawab menunaikan solat fardu menjadi semacam amalan yang kian hilang karekter 'wajib' dalam tuntuan agama kita. 


Mengapa sampai jadi begini ? Entahlah . . . mungkin terlepas pandang, tak punya kesempatan waktu atau semata-mata kerana tidak pandai bersyukur! 


Sekadar ingatan bersama. Wallahuaklam.




bamuda
dsuarang.blogspot.com