Thursday, September 19, 2013

Era 80-an : Rumah Mewah Oxford






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



AMB di Wolvercote



Dalam entri kali ini biarlah aku sambung kisah 80-an . . . kisah Angin Barat Gelombang Barat. Selama di Oxford aku diuntukkan sebuah rumah yang cukup mewah di suatu kawasan kejiranan yang cukup senyap dan tenteram di Wolvercote. Sebuah rumah berkembar semi-D. 
  







Pada tahun-tahun 80-an rumah begini sudah dianggap hebat (walau di England sekali pun!) . . . hinggakan warga Wolvercote menggelarnya "Oxford Luxury House". 







Rumah dua tingkat yang terletak tidak jauh dari Oxford University ini lengkap dengan kemudahan asas 3 bilik tidur, ruang tamu, dapur, 2 bilik air dan tandas. 

Di setiap bilik tidurnya tersedia katil besar (double bed) dan almari pakaian. Bilik tidur tidak berhawa dingin. Tak payah terkejut. Memang tak ada 'aircon'. Kat sini hawanya dingin asli. Jadi . . . mereka mesti pakai alat pemanas (heater)!

Di ruang dapurnya pula tersedia dapur memasak elektrik dan gas, peti sejuk, mesin basuh dan pengering pinggan mangkuk, mesin basuh dan pengering pakaian, peralatan menyeterika pakaian dll.

Bilik airnya lengkap dengan sekatan berdinding akrilik untuk mandi dan ruang untuk menyalin pakaian. Alat pemanas air juga tersedia. 

Ruang tamunya sederhana luas lengkap dengan sofa yang empuk dan meja untuk minum kopi. Di situ ada juga tempat berdiang (fire place) . . . yang tak pernah sekali pun kami gunakan. Cukup pakai heater saja.








Aku sering juga dikunjungi para tetamu di sini. Mereka sama ada golongan profesional atau pelajar.

Telefon untuk kegunaan peribadi disediakan di ruang tamu ini. Perkarangan rumah berpagar dan agak luas, depan dan belakang.
   














Setiap pagi aku akan menaiki bas dari rumah ke Oxford University. Aku naik di terminal yang terletak berhampiran rumah tempat tinggalku . . . di suatu kawasan ke belakang yang tidak jauh daripada beberapa blok flats. 

Ketika pulang pula aku akan menaiki bas dari mana-mana perhentian berhampiran Oxford University ke rumah. 

Aku memang ada diuntukkan sebuah kereta buat kegunaan peribadi. Tapi aku tidak menggunakannya untuk ke kampus universiti setiap hari. 









Aku akan hanya menggunakan kereta pada hari cuti di hujung minggu. Lagi pun apa perlunya sangat aku memandu kereta ke kampus! Jarak perjalanan dari rumah ke universiti tidak terlalu jauh. Hanya dalam 20 - 30 minit perjalanan. 








Pengangkutan awam pun tersedia. Perkhidmatan bas yang menampung keperluan warga setempat beroperasi dengan cukup cekap dan berdisiplin. Tepat waktu setiap hari. Perjalanan mengikut jadual.

Drebar bas juga ramah dan berpegetahuan tentang hal ehwal sekitar daerah ini. Tidak sukar kita mendapatkan info yang kita perlukan berkenaan peristiwa dan hal ehwal setempat. 

Seperkara menarik yang aku perhatikan (jangan lupa ini pada era 80-an!) ialah tidak kelihatan orang berebut-rebutan apabila hendak menaiki bas!

Mereka (termasuk kaum pendatang yang sudah lama di sana) jelas berdisiplin tinggi. Beratur menunggu bas . . . dan turun naik dengan penuh sabar dan toleransi!

Ada sekali peristiwa . . . aku sudah terlambat ketika hendak pulang . . . dan terus berkejar-kejar ke hadapan . . . menuju pintu bas. Aku langsung tidak perasan (mungkin lebih tepat tidak mempedulikan!) para penumpang yang sedang berbaris panjang dengan sabar dan sopannya. 

Sesampai di hadapan orang paling depan barisan itu . . . aku tersedar akan perbuatan salah aku itu. Wah . . . sungguh aku terasa malu, malu dan malu. 

Namun . . . orang itu tidak berkata apa-apa cuma mengangguk-anggukkan kepalanya . . . dan terus membenarkan aku naik tanpa banyak bicara!

Mungkin dia malas mahu bicara dengan aku ketika itu. Mungkin dia terfikir . . . ini pendatang baru yang tak tahu kebiasaan dan adab orang di sini!

Apa pun . . .  aku terus diganggui perasaan 'tolol' dan bersalah sepanjang perjalanan pulang ke rumah!













Suatu hal yang dapat aku perhatikan juga ialah kalau kita naik pada waktu yang sama setiap pagi atau petang . . . kita akan bertemu para penumpang yang sama!

Ertinya, bas beroperasi menepati waktu. Jadual perjalanan tidak berganjak! Maka para penumpang yang menaiki bas juga sama dan tidak bertukar orang!

Para penumpang bas akan bertukar orang jika kita naik pada trip yang berlainan waktu . . . walaupun awal ataupun lewat 5 minit!

Bayangkan semacam ada clockwork precision dalam perkhidmatan bas awam di sini!

Masih dengan cerita pengalaman naik bas di Wolvercote setelah hampir sebulan aku berada di daerah ini . . . pada suatu hari aku ditanya oleh drebar bas ketika mahu turun di hadapan rumah tempat tinggalku:

" Getting down here sir? "

" Yes," jawabku tenang.


" But, this is an exclusive area for . . . ," katanya lagi.


Aku tidak sempat mendengar sampai habis kata-kata si drebar bas kerana sudah turun di kala itu.

Esoknya, ketika aku mahu turun di tempat yang sama . . . aku tidak lagi ditanya soalan seperti semalamnya oleh drebar yang sama. 

Kehairanan, aku pula yang bertanya kepadanya . . . sementelahan hanya tinggal dua tiga penumpang yang masih di dalam bas:

"You were trying to tell me something yesterday?"

"It's okay. You're an Oxford editor yeah . . . I found that out from the house maids and your neighbours," terangnya.


Terus aku faham. Rupa-rupanya mereka ini mengambil berat siapa jiran-jiran mereka walaupun mereka tidak kelihatan sedemikian. 

Dan . . . si drebar bas ini juga tidak ketinggalan jadi sedikit busybody dalam situasi ini.

Dan rupa-rupanya . . . flats di belakang kawasan perumahan tempat aku tinggal itu . . . dan yang tidak jauh juga dari terminal bas yang aku gunakan setiap hari . . . dipenuhi penghuni yang mendatang . . . entah dari mana-mana. 

Yang pasti aku kemudiannya diberitahu . . . mereka itu kebanyakannya dari West Indies dan negara-negara Asia dan Afrika. 

Dan . . . paling tidak digemari warga tempatan ialah mereka itu kerap terlibat dalam perlakuan jenayah dan mereka bersikap tidak silu-silu melanggar peraturan dan undang-undang setempat.

Sekarang (selepas 25  tahun!) . . . setelah berada di Malaysia dan melalui pengalaman yang sama . . . baru aku faham mengapa warga setempat di Wolvercote dahulu berpendirian begitu!

Banyak juga pengajaran yang aku dapat selama di sini . . . selain daripada yang 'akademik' semata-mata!

Alhamdulillah.






bamuda
dsuarang.blogspot.com