Monday, April 9, 2012

Kenangan di Bukittinggi







Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Santai di ranah Minang 


Aku sering mendengar teman-temanku bercerita tentang tanah di daerah Minangkabau di Sumatera, Indonesia. Tentang keindahan pemandangannya. Tentang keunikan budayanya. Tentang kemesraan orangnya. Paling seronok mereka katakan tentang makanannya yang enak-enak!




Walaupun aku sudah biasa ke tempat-tempat lain di dunia ini . . . aku  belum pernah menjejakkan kaki di bumi Bukittinggi atau Padang dan di kota-kota atau daerah-daerah sekitarnya.




Sering sangat sebutan nama-nama tempat di tanah Minang kedengaran di telingaku. Sesungguhnya kerana terlalu sering . . . nama-nama tempat itu menjadi sebati dan tentunya familiar dengan diriku.





Tempat-tempat seperti Pariaman, Padangpanjang, Batusangkar, Payakumbuh, Pagar Ruyong dll sering kedengaran disebut dalam lagu-lagu yang memuliakan daerah-daerah di ranah Minang.







Ada beberapa lagu sedemikian yang menjadi kegemaranku. Antaranya lagu "Ayam Den Lapeh", "Mudiak Arau", "Risaulai", "Bugih Lamo", "Kampuang Nan Jauh Di Mato".

Maka apabila Jamil . . . sahabat karibku sejak zaman persekolahan dahulu . . . mengajak aku ke sana . . . aku tidak menolak.
















Pada jam 3:00 petang Sabtu 31 Mac 2012 kami berlepas dari LCCT Sepang menuju ke Padang. Kami berempat iaitu aku dan isteriku Alimah serta Jamil dan isterinya Azizah.


Jamil dan isterinya sudah banyak kali ke Padang dan Bukittinggi. Mereka sudah cukup faham dan biasa dengan selok-belok di daerah-daerah 'nagari urang awak' itu. Sesungguhnya Jamil menguruskan segala hal dan keperluan perjalanan serta penginapan kami semua di sana dengan efficient sekali.




















Pada jam 5:05 petang kami tiba di Bandar Udara Internasional Minangkabau, Padang (Bandara . . . dalam istilah tempatan. Lapangan Terbang ini baru. Bandara lama di Tebing) selepas sejam penerbangan (jangan keliru . . . memang waktu di Sumatera Barat mundur satu jam daripada waktu di Malaysia.)








Jarak perjalanan dari lapangan terbang itu ke tempat kami menginap di Bukittinggi kira-kira 72 kilometer. Masa yang diambil selama kira-kira 2 jam setengah melalui jalan sederhana kecil dan berliku-liku. Jalannya banyak berbukit dan bergaung. Terasa gerun juga bagi mereka yang belum biasa melalui jalan-jalan seperti ini!













Kami berempat bernasib baik mendapat khidmat seorang pemandu pelancong bernama Pak Budi yang cekap, cermat dan bertimbang rasa. Sebenarnya Pak Budi memang sentiasa menjaga keperluan dan kebajikan Jamil (Pak Sani atau Pak Haji sebagaimana beliau dikenali mesra di sini) dalam setiap kunjungannya ke daerah ini.







Pak Budi yang baik hati







Penulis, Alimah, Azizah dan Jamil




















Pak Budi memang berbudi. Beliau membawa kami ke mana sahaja yang kami inginkan. Jamil pula menerajui rancangan perjalanan atau route of visit kami itu.

Banyak juga tempat yang sempat kami kunjungi. Sepanjang kunjungan itu Pak Budi memberikan penerangan yang jelas dan berguna khasnya bagi pengunjung kali pertama seperti aku . . . (lainlah sahabat aku Pak Sani tu . . . dah famous kat sini!).




















Terima kasih sahaja yang mampu aku ucapkan kepada mereka berdua yang telah menjadikan kunjungan aku ini berisi dengan pengamatan yang penuh bermakna.


Kami berada selama empat hari dan tiga malam di Bukittinggi. Selama di sana kami mendapat layanan yang baik lagi mesra daripada pihak pengurusan dan staf hotel tempat kami menginap.














Foto kiri: Alimah, Azizah, Endang, Dhea Nurul VHRi + Pak Sani ... Foto kanan: Wanita sama + Penulis



Alimah, Endang, Azizah .......................Alimah, Endang, Dhea Nurul, Azizah



Dhea Nurul, Endang, Azizah, Alimah ..............Pak Budi dan Pak Sani bersama teman










Di daerah sana aku juga dapat banyak pengalaman baru tentang kehidupan . . . terutama yang berkaitan dengan sikap dan pendirian manusia serta pandangan dan nilai kemanusiaan.
















Kami bertemu keluarga Pak Yon Hendri (GM The Hills) ketika bersiar-siar di pekarangan  (belakang) shopping complex Ramayana, Bukittinggi














Banyak kebenarannya kata-kata teman-temanku di atas tadi. Pemandangan dan suasana sekitar daerah-daerah yang dapat aku lawati itu . . . memang menarik.
 


















Budaya hidup penduduknya unik. Orangnya baik-baik belaka. Peramah dan mesra. Ada kelainannya dengan budaya hidup di tempatku . . . walaupun kita dikatakan bangsa serumpun.






















Makanannya yang beraneka jenis dan juadahnya yang bermacam rasa . . . waduh, tidak terkata lazatnya. Hinggakan . . . kami asyik makan . . .  hampir saban waktu.









[Dalam perjalanan ke Bukit Tinggi dari airport internasional Minangkabau, Padang (selepas tiba) kami singgah makan petang di Rumah Makan Lamun Ombak dan secara kebetulan Jamil bertemu sahabat baiknya  Pak Yon Hendri (GM The Hills, Bukittinggi) bersama temannya Pak Deswin. Kami bergambar kenangan di situ.] 















Pak Sunarno (suami Endang)





Waktu berlalu pantas. Pada petang Selasa 3 April 2012 kami dengan berat hati memulakan perjalanan pulang ke tanah air sendiri. (Aku lebih-lebih lagi merasakannya . . . maklum meninggalkan tanah kelahiran Almarhum datukku Hj Mohd Shariff bin Hj Ismail).









Namun . . . ribuan kenangan manis tentang Bukittinggi dan daerah-daerah sekitarnya tetap kami bawa pulang bersama hasil daripada kunjungan ini . . . kunjungan yang menambah khazanah pengalaman melihat sendiri rantau orang.











Kami berada di LCCT Sepang semula pada jam 5:45 petang Selasa setelah berlepas dari Bandar Udara di Padang pada jam 3:35 petang. Penat sedikit tetapi gembira.





Demikian secara asas dan ringkas tentang kunjungan aku ke nagari Seberang. Nanti akan aku coretkan lagi secara lebih terperinci pengalamanku berinteraksi dengan warga tanah Minangkabau yang begitu berhemah tinggi . . . sesuai dengan nama tempat yang aku kunjungi . . . Bukittinggi.

Tung-gu-u-u-u coretanku berikutnya . . .



Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Thursday, April 5, 2012

Travelog Pulau Mutiara: Bertemu Hj Mohd Rodzi





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Kunjung Sahabat di Utara 1


Setelah pulang ke KL dari JB pada hari Rabu 21 Mac 2012 . . . aku berkesempatan pula pergi ke utara tanah air. Kali ini aku dan ahli-ahli keluarga ke Pulau Pinang.

Anakku Mazlyna Hanum dan suaminya Royha'izam berhasrat mengunjungi seorang adik saudaraku di sana yang keuzuran sedikit ketika itu.

Maka pada pagi Sabtu 24 Mac 2012 aku dan isteriku Alimah ikut pergi dengan anak dan menantu kami itu yang juga membawa bersama anak mereka, Azim Muqry Basrie (Ajim).

Setibanya kami di George Town, Pulau Pinang kami terus sahaja ke rumah adik saudaraku Amir Yusof untuk melihat sendiri dan memastikan keadaan kesihatan beliau.

Alhamdulillah beliau beransur sihat dan sesungguhnya sudah boleh bergerak dengan kecergasan yang kian meningkat.

Pada keesokan harinya . . . pagi Ahad 25 Mac 2012 kira-kira jam 10:30pagi . . . aku bersama Alimah, Roy, Anum dan Ajim singgah sebentar di Taman Pauh Jaya. Kami dalam perjalanan pulang ke KL.

Aku sekeluarga ke taman perumahan tersebut di Permatang Pauh, Seberang Prai untuk mengunjungi Tuan Hj Mohd Rodzi bin Abu Bakar dan keluarganya.


Tuan Hj Mohd Rodzi bin Abu Bakar



Hj Mohd Rodzi adalah sahabat sekhemah aku ketika di Arafah dan di Mina. Kami sejemaah haj KT 70.

Di Taman Pauh Jaya . . . kami sempat juga bertemu isteri dan anak-anak Hj Rodzi di rumahnya.


Tuan Hj Mohd Rodzi dan Puan Masrani Mansor
bersama anak bongsu mereka Mohd Fakhrul Razzi



Isteri Hj Mohd Rodzi bernama Masrani Mansor manakala tujuh orang anak beliau yang terdiri daripada 4 lelaki dan 3 perempuan, masing-masingnya bernama Nor Amirah, Nor Aisyah, Mohamad Fakhrul Daniel, Mohd Fakhrul Farid, Nor Ain, Mohamad Fakhrul Firdaus dan Mohamad Fakhrul Razzi.




Keluarga penulis bersama keluarga Hj Mohd Rodzi




Mesra sekeluarga: Hj Abu Bakar dan Hjh Safiah bersama-cucu-cucu mereka



Aku dapat merasakan ada semacam disiplin yang tegas tetapi mesra dalam cara Hj Mohd Rodzi mengendalikan aktiviti dan pergerakan ahli keluarganya. Ahli-ahli keluarganya berhemah tinggi lagi berbudi bahasa. Berkat pimpinan ketua keluarga yang masih muda tetapi bertanggung jawab . . . keluarga muda ini aman dan berbahagia. Amin.



Anak dan Bapa
Hj Mohd Rodzi (kanan) dan Hj Abu Bakar



Selain itu kami amat berbesar hati dapat berkenalan dengan ibu bapa Hj Mohd Rodzi iaitu Tuan Hj Abu Bakar bin Ibrahim dan Puan Hjh Safiah binti Abdul Rahman. Mereka sememangnya ramah dan mudah mesra.



Tuan Hj Abu Bakar Ibrahim dan
Puan Hjh Safiah Abdul Rahman




Seperti biasa dengan diriku . . . aku lantas sahaja bersembang dengan keluarga Hj Mohd Rodzi sambil aku dan ahli-ahli keluargaku dijamu makanan dan kuih muih dan dilayan mesra. Ada ketikanya timbul juga rasa segan di hatiku . . . kerana banyak sangat bercakap!



Di meja jamuan . . . penulis dan isteri dilayan mesra oleh tuan rumah Hj Mohd Rodzi





Bergambar di ruang tamu
dari kiri:
Hj Abu Bakar, Hj Mohd Rodzi, Penulis dan Royha'izam (pangku Ajim)



Kiri ke kanan:
Hjh Safiah, Hj Abu Bakar (pangku Nor Ain),
Hj Mohd Rodzi (pangku Mohd Fakhrul Razzi),
Penulis, Royhai'zam (pangku Azim Muqry Basrie), Hjh Alimah

Namun secara jujur aku perkatakan di sini bahawa aku amat senang dapat bertemu lagi dengan sahabatku Hj Mohd Rodzi serta keluarganya ini. Maka banyaklah bicara dan cerita yang timbul setelah agak lama tidak bertemu. Terubat juga rasa rindu terhadap waktu-waktu kami sama-sama di Tanah Suci dahulu.



Penulis dan Hj Mohd Radzi



Bergambar ramai sebelum memohon diri untuk pulang

Pertemuan yang tetap menjadi khazanah kenangan



Lagi pun . . . perkara yang kami bicarakan berkisar sekitar kisah keluarga dan kekeluargaan dan cerita hidup dan kehidupan. Kami saling belajar daripada pengalaman hidup masing-masing.

Sembang punya sembang . . . kami tidak sedar jam telah menunjukkan pukul 12:00 tengah hari. Kami memohon diri untuk meneruskan perjalanan pulang ke KL.



Bergambar kenangan di pekarangan rumah Hj Mohd Rodzi


Dari kiri: Penulis, Hj Rodzi, Hj Abu Bakar,
Hjh Safiah, Pn Masrani dan Hjh Alimah

Kenalan baru bersalam-salaman

Aku ingin pula singgah di Ipoh dalam perjalanan pulang ini nanti . . . untuk menemui sepasang lagi sahabat sejemaah haj kami di sana. Insya-Allah.

Terima kasih aku ucapkan kepada Hj Mohd Rodzi sekeluarga atas kesudian mereka menerima kunjungan kami. Diizinkan-NYA . . . kita pasti dapat bertemu lagi. Salam.


Keluar bicara tutur dan kata,
Biar bahasa jujur dan nyata;
Berhemah tinggi berbudi halus,
Berfalsafah murni berhati mulus.




Bamuda

dsuarang.blogspot.com

Thursday, March 29, 2012

Travelog JB: Bertemu Hj Mohd Noh dan Isteri





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Hectic yet Fantastic 2


Aku dan isteriku Alimah masih di Johor Baharu pada pagi Rabu 21 Mac 2012. Kami di hotel Grand Blue Wave. Akan berangkat pulang ke KL tengah hari nanti . . . setelah Alyn . . . selesai melaksanakan tugas rasminya.

Malam tadi ada sahabat-sahabat sekamar kami masing-masing ketika di Madinah datang berkunjung. Kami berasa amat gembira dengan kunjungan mereka.

Semalam aku juga ada menghubungi Tuan Hj Mohd Noh Mat Nordin. Beliau dan isteri Pn Hjh Khalijah Ali menjadi sahabat kami ketika kami sama-sama sejemaah Haj di Tanah Suci.

Pasangan suami isteri ini tidak pernah sekamar atau sekhemah dengan kami di mana-mana jua di Tanah Suci. Sesungguhnya pesawat penerbangan kami juga berbeza. Aku menaiki KT 70 mereka KT 88.



Tuan Hj Mohd Noh Mat Nordin


Puan Hjh Khalijah Ali


Kami hanya sering bertemu di meja makan dewan makan hotel Royal Eiman di Makkah. Setiap kali bertemu kami saling bertanyakan khabar kesihatan masing-masing. Perbualan kami menjurus kepada soal-soal ibadat dan kebahagiaan berkeluarga.

Alhamdulillah dengan kekerapan pertemuan yang sedemikian kami dapat merasakan kemesraan terjalin antara diri. Kami seperti sahabat baik yang sudah cukup lama mengenali antara satu sama lain.

Sementelah . . . isteriku Alimah dahulunya pernah tinggal lama di Singapura dan mendapat pendidikan rendah serta menengah di sana sebelum berhijrah ke KL. Perkara ini aku percaya menjadi faktor yang menambah eratkan silaturahim antara kami . . . apabila ternyata . . . Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah pun memang 'orang lama' dari kota singa itu. Macam jumpa geng sekampunglah jadinya!

Wah . . . 2 Hajah ni bukan main asyik berbual-bual. Bincang pasal apa agaknya?




Tentu ada perkara menarik yang dibicarakan. Pasal Tanah Suci . . . dan ehm . . . pasal Singapura ke? Suka hatilah 2 Hajah.

Perkara tersebut di atas mungkin sesuatu yang bersifat kebetulan. Namun tidak boleh dinafikan bahawa silaturahim yang terbina ini adalah semata-mata atas kehendak-NYA . . . atas anugerah dan keizinan ALLAH swt jua. Alhamdulillah.


Seperkara utama yang tidak dapat dinafikan juga ialah . . . pasangan suami isteri ini peramah dan mudah mesra. Mereka mudah didekati walaupun ketika baru dikenali. Pendek kata mereka berhemah tinggi.

 


Semangat Bersahabat
Dari kiri - Penulis, Hj Mohd Noh, Hjh Khalijah dan Hjh Alimah


Daripada persahabatan yang terjalin dalam tempoh yang agak singkat di sana dahulu . . . aku berani membuat andaian awal . . . bahawa Hj Mohd Noh seorang yang tegas tetapi berfikiran terbuka dan bijaksana dalam tindak bicaranya. Hjh Khalijah pula ternyata seorang yang periang, bertanggung jawab dan lurus dalam perhubungan antara insan.



Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah
Pasangan suami isteri yang berbahagia



Aku dapat memerhatikan bahawa Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah adalah pasangan yang cukup berbahagia. Semoga pemerhatianku ini tepat dan diberkati ALLAH swt. Amin.

Berbalik kepada hasrat kami ingin menemui mereka di JB . . . Hj Mohd Noh membalas panggilan telefon aku dan menyatakan akan datang ke hotel GBW tempat kami menginap.


Benarlah . . . pada jam lebih kurang 10:40 pagi . . . sahabat-sahabat kami itu tiba. Aku terus mempelawa mereka masuk dan duduk di ruang tamu.
 

Si cucu ni pun turut memeriahkan perbualan antara sahabat yang baru bertemu . . .


. . . sibuk dengan cara diam-diamnya aje . . . Ahmad Iman Iskandar . . . tak menyampuk pun.



Kami saling bertanyakan khabar. Kemudian kami berbual-bual. Antara banyak kisah yang dibualkan . . . aku tertarik kepada kisah benar yang dialami Hj Mohd Noh sendiri di sebuah kedai gunting di Makkah. Ceritanya kira-kira begini:

Pada suatu hari . . . selepas bertahalul muktamad . . . Hj Mohd Noh ingin membotakkan kepalanya. Beliau pun pergi ke sebuah salun gunting rambut di tingkat bawah hotel Royal Eiman. [Kalau tak silap aku nama salun si Arab tu ' Obedience Barber Shop'].


TKP . . .

Seterusnya biarlah aku paparkan sahaja dialog percakapan antara si Arab tukang gunting itu dengan Hj Mohd Noh . . . menurut apa yang diceritakan oleh beliau.

Barber: Ya Sheikh . . . cut hair . . . shave head?

Hj MN: Yes. (Dalam hati: OK lah . . . member semua kata bayarannya SR 50 sahaja.)

[Si barber pun mempersilakan Hj MN duduk di kerusi empuk tempat para pelanggan bergunting rambut di salun itu. Siap di balut kain ala apron leher Hj MN. Lengkap diberikan rawatan mask dan kain penutup muka berwap. Ada pula segala macam 'lotion' atau 'lumpur solekan' untuk mencuci atau melembutkan kulit muka. Lampu UV Ray pun dipasang . . . dan etc, etc.

Hj MN berasa pelik juga. Mengapa begitu hebat sekali treatment membotakkan kepala di salun si barber Arab ini . . . massage muka dan kepala pun diberikan.]

Hj MN: (Dalam hati: Wah hebat betul ni. Aku cuma nak botakkan kepala aje. Tak apalah . . . mungkin ini pakejnya!)

[Kira-kira sejam kemudian . . . selesailah kerja membotakkan kepala Hj MN. Sahabat aku itu pun dengan jujurnya hendak membayar SR 50 kepada si barber. Si barber pula dengan pantas menolak bayaran itu . . . lalu berkata, "SR 200 Sheikh!"

Hj MN terkejut dan menerangkan kepada si Arab tukang gunting itu,"I don't carry that much cash with me now. Let me go back to my hotel room . . . (di tingkat atas saja) . . . and I'll settle the payment . . . (demikian lebih kurang dialog penutup Hj MN dengan si Arab tukang gunting.)

Sama ada Arab tu faham apa yang diperkatakan Hj MN atau tidak . . . tak jadi hal. Apa yang menjadi kenangan ialah . . . barber itu terus saja mengangguk-anggukkan kepalanya sambil berkata sesuatu seolah-olah mengerti . . . tetapi dengan menunjukkan isyarat mengerat leher pada Hj MN!

Of course . . . kemudian Haji Mohd Noh kembali ke salun itu untuk membayar wang yang dituntut si Arab barber tadi.

 
Tiba-tiba aku pula yang sibuk nak decode mesej yang hendak disampaikan si Arab barber itu apabila dia membuat isyarat tadi.

Mungkin saja . . . dia hendak mempersendakan pelanggannya itu. "Ha, terkena juga engkau . . . lehermu dah kena kerat " . . . atau . . . "Aku kerat saja lehermu jika kau tak datang bayar."

Bayangan pertama mesej itu . . . kelakar . . . he, he. Tetapi bayangan kedua mesej yang sama . . . (lebih berupa ugutan?) . . . agak menggerunkan . . . aggh! ]

Rupa-rupanya si Arab tukang gunting secara berdiplomasi berjaya 'memaksakan' pakej solekan muka di salunnya itu ke atas diri Hj Mohd Noh secara bersekali. Sahabatku itu pula . . . apo nak dikato . . . terpaksalah rela menerimanya . Tak apalah Tuan Haji . . . adalah hikmahnya itu!

Banyaklah lagi tajuk-tajuk bermanfaat yang kami bualkan. Perbualan berlangsung rancak hinggakan kami tidak terasa masa pantas berlalu.



Memang tidak terasa waktu berlalu . . . sekejap sangat ketikanya dapat bertemu

 

Si Ahmad . . . tetap ada juga di situ . . . 


Perbincangan berjalan rancak antara dua sahabat yang baru sempat bertemu . . . di Johor Baharu

Pada jam 12:30 petang Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah meminta diri untuk pulang. Kami juga mesti check-out pada jam 1:00 petang.


Maka kemudian berpisahlah kami . . . masing-masing menuju ke destinasi yang berlainan . . . dengan membawa kenangan yang menceriakan.



Pose istimewa penulis dan Hj Mohd Noh



Dan . . . insya-Allah . . . aku tidak akan mensia-siakan segala sesuatu yang diperolehi daripada perbincangan santai serta sesi 'nasihat menasihati' antara kami tadi . . . khasnya tentang Ayat 15 Surah Al-Ahqaf (Surah ke 46 dalam Al-Quran yang disentuh Hj Mohd Noh) yang berbunyi:



Keratan Ayat 15 Surah Al-Ahqaf


Maksudnya:

Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Tempoh mengandung sampai tempoh menceraikan susunya ialah selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (anak itu) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa: "Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redai; dan berilah aku kebajikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan sesungguhnya aku termasuk orang muslim."

[Ref: Terjemahan Al-Quran Al-Karim - Rasm Uthmani - Dalam Bahasa Melayu terbitan Al Hidayah House of Qur'an Sdn Bhd]

Doaku . . . semoga kita dapat berjumpa lagi pada lain ketika.
Terima kasih sahabat.




Bamuda
dsuarang.blogspot.com