Saturday, November 14, 2015

Di Rumah Berbudi, Di Jalanan Pembuli






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera






Kita sembang lagi tentang ‘resmi’ atau ‘amalan’ orang Malaysia dulu berbanding sekarang.

Kali ini tentang perubahan mendadak sikap ramai pemandu di negara kita . . . sebaik sahaja mereka memandu di jalan raya!

Dulu orang kita betul-betul belajar memandu kereta, van, lori, atau treler, dsb.

Pengajar dari sekolah memandu tegas mengajar cara memandu yang betul dan selamat. 

Undang-undang dan peraturan jalan raya dan lalu lintas mesti dipatuhi. Para pemandu lain perlu dihormati apabila sama-sama menggunakan jalan raya.

Banyak perkara diajar walaupun nampak remeh. Pemandu kenderaan kena tahu apa yang diperlukan daripada mereka.

Bukan setakat ambil kunci kereta dan terus memecut secara tergesa-gesa atau terburu-buru.

Bayangkan pada waktu dulu cara memberi signal atau isyarat ketika memandu pun ditunjuk ajar oleh pengajar dengan terperinci.

Dulu tiada signal automatik . Kena pakai signal tangan. Kena buka tingkap. Kena hulurkan tangan keluar dan tunjukkan isyarat hendak membelok ke kanan atau ke kiri. 

Kena tunjukkan isyarat tangan untuk memperlahankan kelajuan kenderaan atau isyarat untuk berhenti, dll.

Orang dulu-dulu tetap menuruti nasihat pengajar dari sekolah memandu itu. Paling penting mereka mengamalkan apa yang telah diajarkan. 

Sekarang orang kita dah tak ambil berat tentang pentingnya beretika apabila memandu di jalan raya.

Memandu di bulatan (round about):

Ramai pemandu tidak tahu atau tidak mahu tahu (atau tidak diajar?) siapa harus lalu dahulu dan siapa pula kemudian. 

Kebanyakan mereka tak peduli bahawa sepatutnya pemandu kenderaan yang berada di sebelah kanan mereka yang harus diberikan laluan dahulu. 

Memandu keluar dari jalan kecil ke jalan utama:

Ramai pemandu terus sahaja keluar dari jalan kecil ke jalan utama tanpa memberi laluan kepada kenderaan yang datang dari arah jalan utama itu.

Maka selalu berlaku perlanggaran. Tercetus pertengkaran atau pergaduhan.

Sepatutnya pemandu dari jalan kecil itu tahu memberi jalan kepada pemandu kenderaan yang bergerak di sebelah kanannya di atas jalan utama itu.

Memandu sambil menggunakan telefon bimbit: 

Ramai yang melakukannya sekarang. Khayal bercakap ( bercinta?) melalui telefon bimbit ketika memandu. 

Ada yang baca dan hantar atau balas SMS sekali! Mereka seolah-olah berfikir, "Fon aku yang punya ... kereta pun aku punya. Orang lain peduli apa!" 

Bila kena hon .. ada yang buat selamba, macam yang bersalah bukan mereka. Ada pula yang naik marah, macam orang lain yang bersalah! 

Macam-macam dunia punya dalam. 'Accident' kalu baru pucat ... terdiam!

Tukar lorong tanpa beri isyarat (signal):

Memang ramai pemandu yang berperangai begitu. Entah kenapa teman tak tahu. Berat atau penat sangat nak beri 'signal'? 

Puas si pereka atau pencipta kereta menyediakan kemudahan alat memberi 'signal' supaya perjalanan selesa dan pemandu semua selamat. Apo nak dikato ... ramai yang degil ya amat!

Membuang sampah sarap di jalanan ketika memandu:

Tak faham-faham agaknya orang kita ni. Pemandu (dan penumpang sekali ) gemar betul membuang puntung rokok, sisa makanan, beg plastik, kertas tisu, botol air atau tin minuman dsb. di atas jalan raya ketika memandu.

Macam bila berada dalam kereta, van, bas, lori , treler dsb. mereka sudah mendapat lesen untuk bebas membuang sampah merata-rata.

Agaknya mereka lakukan sedemikian juga di rumah mereka? Kata orang, "Alah bisa tegal biasa."

Pemandu yang gemar memotong Q (queue):

Tiba-tiba terus nak ke depan. Bila pemandu lain dah beri jalan, isyarat terima kasih pun tidak ditunjukkan. Kasihan … mana insan yang tadinya (sebelum memandu) bersifat sopan? 

Semakin memecut bila lampu trafik warna hijau bertukar ke warna kuning sebelum terpapar warna merah.

Pemandu sepatutnya bersedia untuk berhenti bila lampu berwarna kuning menyala.

Bukan tambah daya pecutan untuk ‘meredah’ lampu trafik itu. Hairan! 

Namun ada yang lebih menghairankan. Ramai penunggang motosikal yang setelah sanggup berhenti dan menanti begitu lama ketika lampu trafik memaparkan warna merah, tiba-tiba memecut awal 3 - 4 saat sebelum lampu warna hijau menyala! 

Macam dah tak boleh tunggu sekejap saja lagi hingga lampu trafik bertukar warna hijau. Macam nak tayang ‘pickup’ motor ‘power’ gila! 

Teman tak kisah … cuma resah … takut mika ‘berdentum’ dengan lori sampah! 

Tentang perbuatan memberi ‘signal’ . . . kalau dulu orang malas berbuat demikian patut jugalah. Nak kena keluar tangan, nak putar tangan ikut arah jam atau lawan jam atau ke atas dan ke bawah dan berbagai macam lagi. Mungkin meyusahkan sedikit.

Sekarang semua dah automatik … pun susah juga nak beri signalkah? Petik sahaja suis yang berkenaan … biarlah lampu ‘signal’ itu ‘berluplapluplip’ (maaf DBP ini istilah buatan sendiri).

Apa takut habis bateri atau takut mentol ‘signal’ itu terbakar kalau berbuat demikian?

Berilah ‘signal’ menunjukkan arah yang hendak dituju. Kasihanilah pemandu lain yang datang dari hadapan atau yang mengikuti di belakang … takut-takut tak tercium mulut nanti tercium punggung !


Anehnya orang kita . . . mereka amat berbudi bahasa. Mereka berhemah tinggi. Mereka bersopan santun. 

Memang benar mereka sedemikian . . . malangnya hanya apabila mereka tidak memandu! Ketika mereka tidak di jalanan!

Dapat saja pegang stering (atau dulu-dulu dipanggil ‘kayu mati’) mereka yang sama tadi terus bertukar sikap dan watak. 

Mereka terus besit . . . macam pelesit. Konon nak sampai cepat takut tak sempat.

Kadangkala pemandu jenis ini macam tak ketahuan hala  . . .  seperti orang yang perutnya 'memulas' dan mesti serta merta mencari tandas untuk ‘melepas’.

Pi mai pi mai para pemandu yang berkejar-kejar . . . tak jauh pun meninggalkan pemandu yang bersabar. Beza masa? Pun, tak jauh mana.

Agak-agaklah kawan . . . kita sama-sama bayar cukai jalan! 

Kalau pun tak sayang nyawa sendiri, fikirkanlah tentang nyawa orang yang disayangi. 


Renung-renungkan! 



Stop n Ponder









Kadangkala

Kadangkala
kita lupa menghargai
sesuatu yang kita ada
selagi ia masih di sisi
selagi ia kita miliki;

Kadangkala
kita leka mensia-siakan
anugerah dan pemberian
kerana kurang pengertian;




Kadangkala
kita tidak berterima kasih
kepada mereka yang berbudi
sehingga mereka dah tiada lagi;

Kadangkala
kita tidak peduli sangat
tentang kebajikan dan kemanusiaan
sudah terhakis rasa keihsanan;



Kadangkala
kita tidak ikhlas dan suci hati
terhadap mereka yang …
membimbing
menasihati
mengambil berat
memahami
menyayangi;

Kadangkala
kita mudah terlajak kata
mudah terlanjur aksi
lupa tatasusila
lupa diri;
Paling dahsyat
kita selalu alpa
mensyukuri nikmat kurniaan Ilahi!


Aduhai
jangan nanti
dah tiada baru terasa
dah tinggal baru menyesal
dah hilang baru walang
dah berpisah baru gundah
dah habis baru menangis!








Sometimes



Sometimes
one forgets to appreciate
things that come one’s way
things that by one’s side stay
faithful in one’s possession
continuously for a long duration

Sometimes
one simply put to waste
special things
splendour and grace
a habitual result of
failing and lacking
in compromising

Sometimes
one is never grateful
to those whose good deeds abound
until they are no more around

Sometimes
one does not heed
that much
about well-being and humanity
leaving so faint a trace of generosity


Sometimes one is neither sincere
nor filled with gratitude
towards those who
Guides
Counseled
Cares
Comprehends
Loves …

Sometimes
one speaks without tact
and in action tends to overact
forgetting manners
and all awareness
and worse
one frequently fails
to acknowledge
the endowment
so rich and heavenly
from the Almighty!

Alas
for goodness sake
don’t brood when all’s gone for good
no regrets with feelings of emptiness
alone,forlorn and filled with sadness
the pain, the sorrow
will show sooner or later
because by then
no fear
when all’s gone
then falls many a tear!




'Sometimes’ is the English equated version of my poem entitled ‘Kadangkala’ (posted on my blog of November 15, 2009).

It is not an exact translation of the original piece. It tries to provide a very close similarity to the meanings contained in the original poem.

Hopefully English users will find this version helpful to really grasp the meanings in between the lines of the ‘poetic’ renderings (self-acclaimed!) in that beautiful Malay version (self-proclaimed now!)


Simply be thankful of what you have and are presently enjoying. Help maintain this situation for eternity. Be grateful that we are still experiencing undisturbed peace and freedom in this Malaysia of ours.

The comfort and prosperity offered and provided by this our country must never be allowed to be put at stake. Love your family, your kin, your friends and definitely your motherland. Love your good luck too while you still have the time and while you still can.













bamuda
dsuarang.blogspot.com


Saturday, November 7, 2015

Bila JDT Menjuarai Piala AFC . . .







Assalamualaikum 
dan 
Selamat Sejahtera





Rentetan peristiwa bersejarah pasukan bola sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) menjuarai pertandingan Piala AFC  pada minggu yang lalu . . . dan kemudian mengikuti kisah bagaimana pasukan ini diberikan sambutan yang luar biasa setelah kembali ke negeri Johor Darul Ta'zim oleh para peminat bolasepak JDT khasnya dan Malaysia amnya . . . diketuai oleh DYMM Sultan Johor sendiri , penulis kekaguman . . .  



{Baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar juga sempat berada bersama pasukan JDT di Republican Central Stadium  di Dushanbe, Tajikistan sepanjang perlawanan akhir Piala AFC 2015 menentang pasukan tuan rumah FC Istiklol pada 31 Oktober 2015. JDT menang 1-0). 



Maka penulis tanpa ragu-ragu lagi membuat kesimpulan bahawa sahih negeri Johor Darul Ta'zim bertuah mempunyai Sultan dan kerabat Diraja berjiwa rakyat.



Dan, berlanjutan daripada peristiwa-peristiwa tersebut . . . penulis lantas sahaja terkenang akan suatu entri ringkas yang pernah penulis catatkan dalam blog dsuarang.blogspot.com (keluaran Thursday, November 25, 2010). 


Sebuah catatan tentang pengalaman istimewa penulis berurusan rasmi secara dekat dan langsung dengan DYMM Tuanku Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah . . . seorang lagi kerabat Diraja Johor Darul Ta'zim yang juga sah berseni dan berjiwa rakyat! 


Berikut catatan penulis yang dirujuk: 








Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Nota kenangan dan penghargaan 
buat Permaisuri berjiwa rakyat



Penulis dengan segala hormat takzimnya merafak sembah menjunjung kasih dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah yang kini bergelar Duli Yang Maha Mulia Tuanku (Raja Permaisuri Johor).







Tajuk berita muka hadapan Utusan Malaysia Isnin 22 November 2010



Baginda Sultan Johor DYMM Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan mengurniakan gelaran DYMM 'Tuanku' kepada Raja Zarith Sofia Sultan Idris Shah sempena sambutan ulang tahun hari keputeraan baginda ke-52 pada 22 November 2010 bersamaan 15 Zulhijjah 1431H.








Petikan daripada akhbar Utusan Malaysia Isnin 22 November 2010





Penulis terpanggil untuk menulis nota ringkas dalam blog ini kerana teringat akan waktu berurusan rasmi dengan (pada ketika itu) YAM Raja Zarith Sofiah pada tahun 1994/95 dahulu. Ketika itu Raja Zarith Sofiah masih belum bergelar DYMM Tuanku (Permaisuri). Baginda isteri kepada DYAM Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tengku Ibrahim Iskandar yang kini sudah bergelar DYMM Sultan dan Yang Dipertuan bagi Negeri Johor dan Jajahan Takluk Johor Darul Ta'zim.


Waktu itu penulis bersama pengarang buku Sejarah Johor, Datuk Shaharom Hussain, Pengarah Penerbitan OUP/PFB, Drs Ahmad Fadzil Yassin dan Pengarah Rekabentuk, Charles Yeoh dipelawa ke Istana Pasir Pelangi untuk menguruskan tugas penerbitan buku yang ada kaitannya dengan pihak istana itu. Kami dijemput makan tengah hari bersama baginda di Istana Pelangi, Johor Bahru. Suatu penghormatan yang kami sanjung tinggi! (Rujuk: Entri blog Kenangan di Istana Pasir Pelangi, Thursday, June 10, 2010).








Dari kiri: 
Datuk Shaharom Hussain, Raja Zarith Sofiah,
Drs Ahmad Fadzil Yassin & Abdul Majid Baharom



Raja Zarith Sofiah seorang yang mudah didekati dan mesra didampingi. Kami tidak menghadapi sebarang halangan atau kesukaran dalam tugas rasmi kami sepanjang berurusan dengan baginda itu.


Baginda amat bersedia dan jujur dalam memberikan kerjasama dan sokongan terhadap projek yang dijalankan. Raja Zarith Sofia bijak berbicara dan cekap berurusan. Keramahan dan kemesraan baginda dapat kami rasakan ketika baginda berbincang mahupun berbual-bual dengan kami sama ada di ruang tamu ataupun di meja makan. Baginda amat bersahaja bercakap-cakap sambil menjamah makanan yang terhidang. Baginda juga nyata amat berpengetahuan dan bijaksana dalam hal berkaitan nilai-nilai estetika.









Dari kiri: 
Datuk Shaharom Hussain, Drs Ahmad Fadzil Yassin,
Raja Zarith Sofiah & Abdul Majid Baharom




Seperkara yang terpahat dalam ingatan penulis . . . Raja Zarith Sofiah memang tajam keprihatinan baginda berhubung soal artistik mahupun estetika. Ini terbukti secara terbuka ketika pembantu istana menyediakan pinggan mangkuk untuk mengisi hidangan makanan kami pada tengah hari itu.



Baginda penuh berdiplomasi menegur pembantu istana apabila baginda terlihat dari jauh bahawa corak atau bunga pada pinggan yang bakal menjadi tempat menghidang makanan itu tidak sama bentuk atau warnanya. Pada hal perbezaannya sedikit cuma. Tidak akan ketara langsung kepada mata yang 'biasa-biasa'.









Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah
Foto 1994/95




Maka tidak hairanlah jika baginda juga amat artistik dan prihatin terhadap segala detail karya atau hasil penulisannya. Kalau tidak silap penulis, baginda sedang berbicara tentang beberapa halaman lukisan untuk buku cerita kanak-kanak/klasik yang agak mewah penerbitannya pada ketika itu.


Setelah hampir seharian berurusan dengan baginda Raja Zarith Sofiah, penulis dan rakan-rakan membuat kesimpulan yang hampir serupa nadanya. Baginda Raja Zarith Sofiah sememangnya layak digelar Raja mesra rakyat . . . dan tentunya sekarang ini bertambah sesuailah baginda diberi gelaran DYMM Tuanku (Permaisuri) mesra rakyat.








Petikan daripada akhbar Utusan Malaysia
(Selasa 23 November 2010)




Alhamdulillah, semoga rakyat bertambah sayang kepada DYMM Tuanku. Semoga negeri Johor khasnya dan negara Malaysia amnya mendapat manfaat daripada keprihatinan Tuanku terhadap masaalah rakyat jelata dan kebijaksanaan Tuanku mengendalikan urusan kebajikan mereka.



Dirgahayu Tuanku Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.


Penulis ingin mengakhiri penulisan entri ini dengan memetik serangkap pantun daripada sebuah buku pantun kanak-kanak karya Kak Azah Aziz, seorang budayawan terkenal di negara kita:



Banyak ubi bernama ubi,
Ubi yang mana ditanam orang?
Banyak budi bernama budi,
Budi yang mana dikenang orang?



Memetik dan menyesuaikan serangkap pantun lagi daripada koleksi Kak Azah Aziz dalam bukunya 'Kenangan Budi' maka jawapan kepada pantun di atas tentu saja begini:




Tanam lagundi tumbuh kelapa,
Terbit bunga pucuk mati;
Budi Tuanku patik tak lupa,
Sudah terpaku di dalam hati.






dsuarang.blogspot.com
Posted by Bamuda d' SUARANG at 8:00 AM
Labels: Tuanku Raja Zarith Sofiah




Demikian sebuah kenangan peribadi penulis yang tidak mudah dilupakan. 





bamuda
dsuarang.blgspot.com




Thursday, November 5, 2015

Tentang Matang dan Kematangan





Assalamualaikum 
dan 
Selamat Sejahtera




Colour, Colour, Colour ?*
*( khas untuk renungan rakan fb . . . 
semoga mesej kesampaian ) 



Manusia ada kalanya alpa akan peredaran dan kemampuan perlakuan masa. 

Setiap detik yang berlalu menambahkan 'ketuaan' manusia melalui proses 'penuaan' yang ditentukan Allah swt. Ini pasti!

Setiap detik yang berlalu juga seharusnya menambahkan 'kematangan' manusia. Ini pasti? 

Masa tidak pernah gagal menjadikan terlaksana apa yang harus terlaksana sebagai hukum alam. 

Bercakap tentang 'ketuaan' dan 'proses' penuaan . . . serta tentang 'kematangan' . . . penulis teringat akan peristiwa yang penulis alami ketika bertugas di sebuah organisasi penerbitan antarabangsa dahulu. 

Peristiwa berlaku sekitar tahun-tahun 1980-an di UK. Begini kisahnya: 


Aku menghadiri suatu majlis sosial rasmi. Sedang aku duduk-duduk di meja . . . adalah pulak omputih tu yang tiba-tiba 'celupar' mulut berkata kepadaku:



 



Kenangan di Oxford (1988)
(tiada kaitan dgn kisah blog)










"You're not that old I'm sure . . . yet I can see greys popping up . . ."

Pada ketika itu muzik rentak bossanova sedang dirperdengarkan oleh sebuah 4 piece live band. Band-in-attendance malam itu.

Aku spontan menjawab:

" Blame it on d bossanova . . . every beat of d music pops a grey . . . " 


Sebenarnya aku tidak punya jawapan yang sesuai diberikan pada detik mendesak begitu. 


Jadi aku sebut sahaja tentang muzik rentak bossanova yang belum begitu difahami atau digemari ramai generasi waktu itu. 


[Anehnya, hingga sekarang aku tidak faham sebab mengapa aku memberikan jawapan yang sedemikian!]


Pada waktu itu . . . aku tidak peduli apa orang nak fikir atau kata. 


Biarkan si 'minah saleh' yang menyoal aku tadi turut tidak memahami apa maksudku. Biar dia keliru. Senang cerita.


Selepas itu entah apa lagi yang aku cakap 'mengarut' . . . aku pun dah tak ingat!







 Oxford University Press
 1988






  Oxford 1988
(foto hiasan)






 Oxford 1988 
(foto hiasan)





Oxford 1988 
(foto hiasan)




Aku begitu sensitif mungkin tentang rambutku yang dikatakan beruban itu!


Ataupun . . . aku belum benar-benar cukup matang walaupun dah berusia 40-an ketika itu untuk menerima teguran (kritikan?) sedemikian. Entahlah . . . 


Kira-kira 20 tahun kemudian . . . perkara yang serupa berlaku kepada aku di KL dalam satu majlis makan malam pula.


Kali ini ketika aku menjadi emcee annual dinner sebuah organisasi ternama di Malaysia.







. . . bersama co-host 
(foto hiasan) 




Sedang aku berehat (menantikan tugas pengacaraan seterusnya) . . . sambil meminum minuman ringan . . . datang beberapa orang yang baru aku kenali malam itu.



Baru kenal tu OK lah. Tapi rupanya mereka ini sama (lebih mungkin?) bermulut 'celupar' macam si omputih dalam peristiwa dulu tu!







  . . . bersama rakan sejawat
(foto hiasan)




Salah seorang daripada mereka (perasan posh amat?) berkata kepada aku:


" U OK tau . . . penampilan diri OK, voice OK, humor OK, persembahan OK . . . cuma rambut aje kureng . . ."








. . . bersama top brass . . .
(foto hiasan) 




Aku tak kisahlah. Memang rambut aku semakin menipis! Tidak tergerak hati langsung untuk marah.

Aku lantas bertanya kepada si lady perasan posh itu:


" Apanya yang tak kena tu?"


"Alah colour lah sikit rambut u . Nampak lebih segak."


Aku ketawa kecil sendirian. Aku langsung tak marah kali ini. Langsung tak tersinggung. Malah aku sempat menoleh kepada lady perasan posh tu sebelum meneruskan pengacaraan . . . 


Aku berkata dengan yakin kepadanya:


" Tak apa. Tak payah colour colour . . . Dah dekat 60 tahun I tunggu ni tau (sambil menunjuk kepada rambut aku yang dah mulai beruban). 

One real long wait man! Baru dapat. So . . . why must I let all this waiting go to waste now!"


Mulut lady perasan posh hampir ternganga. Kenalan baru yang lain tu ketawa mengiakan jawapan aku tadi.


Ada semacam kepuasan di dalam hatiku. Aku sudah mampu bertindak matang kali ini! 

Aku juga mahu mereka yang mendengar jawapanku itu faham bahawa kita harus bersyukur dengan apa yang kita ada . . . apa yang Tuhan berikan kepada kita pada sesuatu waktu! 


Belum tentu semua orang diberikan Tuhan rambut yang beruban kemudian nanti!


Paling penting . . . belum tahu lagi semua orang sempat sampai ke fasa kehidupan mereka seterusnya dengan rambut beruban!




Sambil berjalan naik ke pentas semula untuk meneruskan tugas . . . aku terfikir . . . kalaulah aku bersikap begini dalam peristiwa 20 tahun dahulu tu . . . kan bagus!




Masa dan peristiwa telah mengajar penulis erti kematangan (walaupun dalam perkara sekecil ini).


Mudah-mudahan kita sama-sama akan sentiasa menyedari dan menghargai peredaran masa yang berlaku dan akan terus berlaku tanpa henti-henti . . . sehingga akhir waktu. 


Mudah-mudahan para pembaca budiman dapat menghuraikan mesej yang tersirat dalam kisah ini. 


Mudah-mudahan maksud yang cuba disampaikan penulis melalui penulisan ringkas ini juga difahami jelas. 


Memang masa berlalu begitu pantas . . . terlalu pantas!


"Yeah . . . How time flies," echoed my jiran si omputih tu!





bamuda
dsuarang.blogspot.com

Tuesday, November 3, 2015

Bila Penyakit TB Menular








Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera





 Dulu Dikata Gila . . .  
Sekarang Nak Kata Apa?



Mari kita sembang-sembang sikit tentang ‘adat’ dan ‘pantang larang’ orang kita Malaysia . . . 'adat' dan 'pantang larang' dulu berbanding yang sekarang. 

Dulu amat menghairankan khalayak ramai jika terlihat seseorang bercakap-cakap seorang diri. 

Tambah teruk jika seseorang itu dilihat melakukan berbagai-bagai aksi aneh bersendirian. 

Pantang . . . memang menjadi suatu kepantangan  . . . melihat tindak-tanduk yang dikira luar biasa begitu. 

Orang yang ketawa atau menangis bersendirian sambil mengangkat-angkat tangan, menuding jari, menggoyang-goyangkan kepala, berjalan mundar-mandir, terkinja-kinja atau terloncat-loncat tak ketahuan hala dsb tanpa diketahui sebabnya akan dicap tidak berapa 'betul', 'senget' atau mungkin juga 'mereng'.  

Kalau orang yang sedang memandu atau menunggang 'mesin berenjin' di jalan-jalan raya pula berperangai begitu . . . mereka sudah tentu dicap 'tak siuman' atau sudah 'hilang akal' dan menjadi 'gila tak menentu'!

Sekarang dah lain. Keadaannya sudah amat berbeza. Sekarang orang kita dengan selamba berbuat demikian. 

Mereka tidak pula dicap 'tak berapa betul', 'mereng', 'tak siuman' atau 'gila' seperti kata-kata yang dahulunya dilemparkan kepada orang zaman-zaman silam. 

Mengapa begitu? Apakah yang menyebabkan mereka boleh bebas bertindak macam kurang siuman atau beraksi lepas laku?

Mengapakah keadaannya berubah sama sekali? Puh kanan, puh kiri . . . 

Jawabnya mudah. Angkara TB. Benar . . . TB yang punya onar! 

Bukan Tuberculosis atau penyakit Batuk Kering . . . tetapi TELEFON BIMBIT (TB) yang telah berbuat angkara!





foto hiasan



TB amat mempengaruhi kehidupan manusia masa kini. 




TB sudah menjadi suatu alat 'kemestian' dalam hidup manusia moden. Semacam mesti dimiliki oleh setiap individu.



Penggunaannya di dalam dan di luar bangunan, di dalam kenderaan, di lautan dan di daratan, di angkasa dan di merata bumi nyata, di tengah bandar atau di penghujung hutan dan belukar . . . 


Pendeknya di mana-mana sahaja di pelusuk alam ini . . . TB tetap berperanan sebagai teman setia!

Malangnya, tanpa disedari, TB boleh menjadi teman setia yang merugikan . . . semata-mata kerana ia kerap disalahgunakan.  



Ramai orang terbunuh atau tercedera dalam kemalangan lalulintas akibat asyik 'ber-telefon' atau 'ber-sms' menggunakan TB ketika memandu kendaraan bermotor di sepanjang perjalanan.  







foto hiasan





Paling dahsyat bila pejalan kaki atau penunggang motosikal pun ramai yang terlibat dalam kemalangan lalu lintas begini.



Mereka asyik dengan TB masing-masing ketika menunggang motosikal atau berjalan kaki hingga terlalu leka dan tidak peka lagi tentang keselamatan diri mereka di jalan raya.

Maka berlakulah kecelakaan jalan raya. Banyak jiwa yang ranap! Longlai! 


Penggunaan peralatan berteknologi tinggi, moden lagi canggih yang boleh memudahkan kita berhubungan dalam kehidupan sehari-hari memang dialu-alukan. 

Apa pun . . . janganlah sampai langsung tidak diambil peduli bahaya-bahaya yang sentiasa mengancam . . . semata-mata kerana 'asyik maksyuk' dengan kecanggihan TB.

Nyawa lagi 'mahal' . . . lagi 'canggih' ooi! Renung-renungkan ...



bamuda
dsuarang.blogspot.com