Tuesday, May 17, 2016

Jelmaan Bintang






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera





Melentur Buluh, 
Menggilap Permata





Surely . . . A Star In The Making . . . kata si omputih jiranku . . . dengan yakinnya! 

Pantang ada peluang . . . menyampuk aje si jiran aku ni . . .


Aku tiba di Irama Studios milik sahabat lamaku Tuan Hj Mahzan Manan pada jam 3:30 petang. Setengah jam terlewat daripada masa yang aku janjikan.

Tiba lewat begitu bukan habit aku. Aku termasuk dalam kategori orang yang menepati waktu. 

Tadinya aku tersalah arah. Puas juga aku berputar-putar mencari arah yang betul ke studio rakaman bertuah ni!


Pesat sungguh pembangunan di daerah ini. Kemajuannya tidak terduga khususnya bagi golongan sezaman denganku.

Jalan dan laluan yang bersimpang siur mudah saja mengelirukan seseorang . . . walau pun orang yang sudah biasa lalu lalang di kawasan ini.

Andai terlepas satu simpang atau persimpangan . . . puas hendak cari jalan untuk berpatah balik! Jauh pulak tu!

Maka dalam benakku ketika itu terciptalah rangkaian kata-kata: 

Terlajak perahu boleh dibelok . . . Terlajak kata menghiris rasa . . . Terlepas simpang memang tak elok . . . Berpeluh dingin dalam kereta!

Walau bagaimanapun, setibanya aku di ruang tamu Irama Studios, Jalan Bandar 16, Pusat Bandar Puchong . . . pada petang Ahad 3 April 2011 itu . . . aku tenang semula. Aku dipelawa Mahzan duduk di meja 'runding'.









Berbincang . . . 







Berunding . . . 








Berbicara . . . 







Bersetuju . . . 







. . . untuk menghasilkan karya bermutu




Aku pandai-pandai sendiri sebut meja 'runding'. 

Ini kerana sebaik saja aku duduk dan diperkenalkan (secara tak formal) dengan mereka yang sudah sedia duduk di sekeliling meja itu . . . aku terasa macam telah berlaku satu 'rundingan'. 

Serius atau tidaknya aku tak pasti!


Pada mulanya aku berdiam diri saja. Aku cuma memerhatikan semua yang ada di situ. 

Ada kawanku Hj Mahzan Manan . . . of course . . . komposer terkenal dan pemilik studio rakaman itu.

Ada seorang lelaki dewasa yang belum aku kenal. 

Ada seorang wanita . . . juga belum aku kenal. 

Ada dua orang kanak-kanak . . . dan paling mencuri pandanganku . . . ada seorang anak gadis di situ . . . yang macam aku kenal!


Aku rasa macam pernah melihatnya. Hatiku berdetik:

I've seen her somewhere. I'm sure I've seen this girl somewhere. . . .

Ha . . . ah . . . aku ingat. Aku pernah terlihat akan dia ni kat You Tube fikirku.

Aku dah tengok dan dengar dia menyanyi di You Tube itu. Aku gemar akan suaranya.


Dan . . . aku baru nak cadangkan kepada Hj Mahzan (komposer dan penerbit projek album baru keroncong) supaya cuba dapatkan dia menyanyikan lagu-lagu keroncong yang sudah disediakan untuk rakaman album baru keroncong. 


Tiba-tiba aku tersentak. Aku terdengar Hj Mahzan menanyakan sesuatu kepada anak gadis tadi. Nada suaranya agak serius:

"Ha . . . ni keroncong jenis apa?"


Sambil itu Hj Mahzan menoleh kepadaku lalu berkata:


" Jid, inilah Jamilah yang nak nyanyikan lagu-lagu you nanti . . . "













* Jamilah Abu Bakar


* Untuk info lebih lengkap 
tentang pencapaian Jamilah Abu Bakar 
sila lihat: 





Besarnya kuasa Allah swt fikirku. 

Aku baru saja berkira-kira hendak mencadangkan kepada Mahzan agar cuba mengambil Jamilah (gadis yang baru kini aku kenali sebagai penyanyi setelah melihatnya dalam You Tube tempoh hari!). 

Ternyata Hj Mahzan lebih peka terhadap kelunakan suara yang 'berkemampuan'. Hj Mahzan lebih cekap bertindak.

Alhamdulillah.


Soalan yang dikemukakan Hj Mahzan tadi belum terjawab. Jamilah teragak-agak. 

Aku terdengar suara Jamilah berkata perlahan: 

" Keroncong langgam . . .".

"Langgam apa . . . jenis macam mana?" 

Tanya Hj Mahzan lagi.


Belum sempat Jamilah habis menjawab . . . Hj Mahzan dengan tegas berkata:

" Kita kena tahu jenis-jenis keroncong yang ada . . . yang kita nyanyikan. Ada banyak jenis. Ada keroncong asli, ada tradisional, ada setambul, ada moden dan macam-macam lagi. Baru orang nak hormat kat knowledge kita!"


Dalam keseriusan itu Hj Mahzan sempat juga berjenaka: 

"Sekarang dah ada juga keroncong yang jenis huru hara dan yang hak jenis caca marba."


Cara Hj Mahzan menyampaikan fakta itu memang ala gaya seorang pensyarah. 

Tak hairanlah begitu. Hj Mahzan pernah bertahun-tahun lamanya menjadi pensyarah di Maktab Perguruan Islam, dan beberapa maktab pendidikan lain di KL dahulu.

Hj Mahzan kemudiannya memperkenalkan aku dengan Encik Abu Bakar Ismail . . . bapa Jamilah yang duduk di sebelah aku. 

Encik Abu Bakar kini berusia 57 tahun. Beliau seorang pesara Petronas. Beliau berasal dari Gunung Semanggol, Perak.


Aku dapat memerhatikan bahawa Encik Abu Bakar seorang bapa yang prihatin terhadap kepentingan masa depan anaknya. 

Beliau mahu anaknya Jamilah berjaya mencapai cita-cita menjadi penyanyi dan pensyarah muzik terkenal pada suatu ketika nanti.










Perbualan Santai




Kemudian aku diperkenalkan pula kepada isteri Encik Abu Bakar . . . Puan Kamariah Che Soh. 

Aku perhatikan Puan Kamariah ini seorang yang agak pendiam. Tak cakap banyak (macam aku le :) kata orang . . . hehe.

Puan Kamariah berasal dari Pengkalan Chepa, Kelantan. 

Beliau seperti suaminya juga menyokong penuh aktiviti nyanyian dan muzik anaknya Jamilah.








Satu Hasrat Semoga Berkat




Kami pun bersembang. Berbicara tentang lagu-lagu keroncong yang bakal disempurnakan rakamannya nanti.

Bercakap-cakap tentang muzik dan tidak ketinggalan hal-hal menyentuh kehidupan harian.


Selepas itu . . . Hj Mahzan Manan yang memang tidak perlu dipersoalkan kewibawaannya dalam bidang muzik . . . atau dipertikaikan kepakarannya sebagai komposer atau penerbit dalam pembikinan album lagu-lagu berirama Malaysia, langgam, nasyid atau keroncong . . . terus lagi memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada Jamilah untuk maju sebagai penyanyi.








Konsentrasi : 
Komposer & Penulis Lirik









Berbagai tips diberikan Mahzan. Berbagai teori juga dikupasnya. Berbagai kata cabaran dilontarkan. 

Semua itu demi meningkatkan pencapaian dan keyakinan Jamilah.































Kerja. . . kerja . . . kerja. 
Semua beri tumpuan demi merealisasikan satu tujuan.





Biarlah Jamilah berkeyakinan untuk sekurang-kurangnya sampai ke tahap penyanyi-penyanyi tempatan yang evergreen dan terkenal. 

Contohnya . . . Julie Sudiro, Yusni Hamid, Mariam Ahmad, Kartina Dahari, Rafeah Buang, Sharifah Aini, Sheila Majid, Noraniza Idris, Ziana Zain, Siti Norhaliza atau Misha Omar (dua nama terakhir merupakan penyanyi yang diminati Jamilah . . .) dll . 

Jika boleh, atasi pencapaian mereka itu!









Sesi bimbingan dan tunjuk ajar . . . untuk penyanyi . . . oleh komposer/ penerbit









"Begini caranya . . . lebihkan getaran di akhir . . .
 jaga harakat . . .biar betul," kata maestro Mahzan.



Aku sempat mengetahui daripada bapa Jamilah bahawa bakat menyanyi anak gadisnya itu 'tercungkil' ketika baru berusia 7 tahun.


Begini yang diceritakan oleh Encik Abu Bakar . . . tentang bagaimana mereka sekeluarga mula mengetahui bahawa . . . Jamilah suka dan boleh menyanyi:

"Sebenarnya, kali pertama saya mendengar dia menyanyi di khalayak ramai ketika dia berumur 7 tahun. 

Masa itu ada majlis kenduri jiran. 

Saya sedang bergotong-royong membasuh pinggan-mangkuk dalam majlis kenduri yang berlangsung. 

Dia 'berani' tanpa disuruh sesiapa ke meja Deejay terus menyanyi. 

Saya yang membasuh pinggan-mangkuk tidak perasan dia yang menyanyi sehingga orang lain yang beritahu."


Sembang punya sembang, tanya punya tanya . . . ibu bapa Jamilah sendiri memang mengaku tidak begitu 'perasan' anak mereka itu berbakat sehinggalah terjadi suatu peristiwa yang agak luar biasa yang apabila difikirkan balik . . . agak melucukan. 

Melalui peristiwa inilah bakat Jamilah benar-benar 'terserlah'.

Kisahnya . . . Pada suatu hari Ahad 16 Julai 2006, Jamilah mewakili sekolah untuk Pertandingan Bintang Keroncong Remaja Peringkat Daerah Negeri Selangor 2006. Pertandingan diadakan di MPAJ.

Malangnya, Jamilah dikatakan tidak 'layak' bertanding oleh pihak penganjur. 

Alasannya, Jamilah yang ketika itu berusia 11 tahun, 'belum remaja'.


Namun . . . Jamilah dibenarkan menyanyi sebagai penyanyi jemputan dalam majlis itu. 

Jamilah menyampaikan dua buah lagu iaitu "Sayang Disayang" dan "Bisikan Hati". 

Panel Juri ketika itu terdiri daripada Tuan Hj Abdullah Safri, Tuan Hj Mahzan Manan dan Encik Khairil Johari Johar.

Nyanyian Jamilah telah menarik perhatian salah seorang daripada ahli juri pertandingan itu . . . Tuan Hj Abdullah Safri.

Beliau menawarkan untuk melatih Jamilah dalam bidang nyanyian keroncong.

Ibu Jamilah . . . Puan Kamariah kemudiannya menyambung sedikit kepada kesudahan peristiwa itu. 

Ceritanya: 

Ketika hendak mengumumkan keputusan pertandingan itu juruacara majlis meminta para penonton meneka peserta mana yang bakal menang.

Serentak terdengar respons daripada para penonton di bawah, "Jamilah".


"Siapa?" Tanya juruacara lagi.

" Jamilah, Jamilah!" sorak para penonton.



Fikirkanlah . . . apa iktibar daripada kejadian ini. Apa ukuran pengertian daripada majlis ini!


Pada 9 Februari 2007 Jamilah sekali lagi dipelawa membuat persembahan sebagai penyanyi jemputan dalam majlis sempena Pertandingan Keroncong Remaja Selangor di Shah Alam.


Di situ Jamilah dipertemukan dengan Wawang Wijaya, seorang pakar keroncong yang berasal dari Indonesia tetapi sudah menetap di Malaysia.

Wawang Wijaya mengambil Jamilah sebagai anak didiknya dan mengajarkan segala selok belok nyanyian keroncong kepada anak gadis ini.

Jamilah hanya dapat mempelajari seni keroncong dengan pakar keroncong itu selama kira-kira dua tahun lebih. Wawang Wijaya meninggal dunia pada 26 Jun 2009.

Sekarang kedua-dua ibu dan bapa Jamilah memberikan segala sokongan dan galakan kepada Jamilah sepanjang usaha memajukan dirinya dalam bidang nyanyian.

Mereka memberikan semangat dan keyakinan kepada puteri mereka ini untuk 'establish herself' sebagai seorang penyanyi pada awalnya dan mudah-mudahan sebagai biduanita terkenal suatu hari nanti.








Ibu Bapa Prihatin:
Puan Kamariah & Encik Abu Bakar




Aku diberi tahu oleh ibu bapa Jamilah Abu Bakar bahawa anak gadis yang dilahirkan pada 28/8/1995 kini menuntut dalam Tkt 4 di SMK Taman Tasik, Ampang.

Aku difahamkan juga Jamilah mendapat 8A dalam PMR tahun lalu.

Tahniah Jamilah . . . budding singer yang juga pintar di segi akademik . . . kata hatiku. 

Kesibukan menyanyi dan membuat persembahan tidak menghalang Jamilah mencapai prestasi yang baik dalam pelajarannya.

Semoga Jamilah menjadi a whole person dalam hidup ini. Amin.

Aku seterusnya difahamkan bahawa Jamilah ada mengikuti latihan vokal dengan guru vokal terkenal tanah air. 

Di samping itu, Jamilah sering diundang ke berbagai majlis anjuran berbagai badan atau agensi awam dan swasta serta pihak sekolah dan pusat pengajian tinggi.


Pada bulan Jun 2010 Jamilah telah dipilih oleh pihak Petronas untuk turut membuat persembahan dalam Konsert Keroncong Kasih Menyusur Zaman di Dewan Filharmonik Petronas KL. 

Konsert tersebut membariskan para artis hebat seperti Yusni Hamid, Bob Yusof dan Adila. 

Syabas Jamilah. Teruskan usaha hingga berjaya.

Jamilah merupakan anak ke-7 daripada 9 orang adik beradik (4 lelaki dan 5 perempuan).

Aku perhatikan Jamilah seorang anak yang mendengar kata dan menghormati ibu bapanya juga orang lain. 

Diharap perlakuan ini berterusan . . . ya Jamilah.

Elok rasanya aku paparkan sekali nama-nama adik beradik Jamilah di sini. 

{ Yeah why not . . . kata si jiran omputihku . . . menyampuk lagi! After all dad Abu Bakar has taken the trouble to list all his chidren's name . . . Oh, shut up le jiran ooi . . . bisikku!}

Adik-beradik Jamilah terdiri daripada Imtiaz Abu Bakar, Noor Farah Abu Bakar, Nor Asyikin Abu Bakar, Ahmad Hafifi Abu Bakar, Ahmad Fitri Abu Bakar, Muhammad Abu Bakar, Ahmad Akmal Abu Bakar dan Habibah Abu Bakar.

Apa pun yang dicapai penyudahnya nanti . . . paling penting dipastikan ialah jatidiri seseorang mesti kuat. Orang tua-tua yang berpengalaman dan bijak . . . sering mengingatkan kita supaya jangan sampai lupa daratan bila dah mula berjaya.

"Dont forget your roots dear Jamilah," berkata lagi si jiran omputihku . . . yang dari dulu memang suka menyampuk orang bercakap. 

Shh shh . . . dia tak kan faham . . . sebab dia ni mana ada budaya halus macam kita!

Hj Mahzan selaku komposer dan penggerak rakaman album terbaru Jamilah Abu Bakar ini dibantu dengan setianya oleh anaknya sendiri . . . Saiful Ekramm Mahzan, Pengurus Projek yang sangat berkebolehan.

Dapat diperhatikan wujudnya semangat kerjasama yang amat erat dan sihat di antara mereka berdua apabila kita melihat Hj Mahzan dan Saiful Ekramm bekerja.









Saiful Ekramm Mahzan asyik dengan tugasnya di studio.















Father & Son Team
Mahzan Manan & Saiful Ekramm








Ha . . . tentu mantap gabungan bersefahaman begini . . .








Setelah segalanya berada dalam keadaan siap sedia . . . Hj Mahzan mengajak kami semua ke bilik rakaman untuk melihat dan mendengar Jamilah mempraktikkan segala yang telah dihasilkan di atas kertas.

Cara terbaik 'attack' lagu-lagu baru itu dibincangkan berterusan. 

Semoga segala daya usaha dan tenaga yang dicurahkan selama ini tidak sia-sia.








Jamilah Abu Bakar in action . . .







Biar harapan menjadi kenyataan.








Ya, benar . . . mari kita terjemahkan segala teori tadi menjadi sesuatu yang praktik, betul dan bermakna.





,



Terkurung: 
Jamilah di dalam bilik rakaman Irama Studios 
bersendirian . . .







Aku amat berpuas hati dapat mendengar Jamilah menyanyikan (dari dalam bilik rakaman Irama Studios) dua lagu baru keroncong yang aku tuliskan liriknya.

Berdiri bulu romaku . . . macam kata Hetty Koes Endang dalam sebuah lagunya yang popular dulu!

Apa lagi yang dapat aku luahkan . . . melainkan ucapan penghargaan kepada Jamilah kerana telah menyampaikan lagu-lagu itu dengan persembahan yang berkualiti sekali.

Maka kesimpulannya . . . sesuailah Jamilah mendapat penghormatan dan meraih pencapaian* yang tinggi nilainya dalam bidang nyanyian, di sisi masyarakat . . . seperti berikut:


* Menyumbangkan nyanyian untuk lagu ciptaan komposer Mahzan Manan yang meraih kedudukan Juara pada peringkat akhir Pertandingan Cipta Lagu Irama Malaysia pada 24 julai 2010.

*Mewakili Malaysia ke International Children Festival di Turki pada 2007.

*Johan Bintang Kecil RTM Selangor 2007

*Johan Karaoke Terbuka Tahun Melawat Malaysia 2007

*Johan KLPAC Idol 2009

Terima kasih aku ucapkan kepada Sdr Abu Bakar Ismail kerana sudi memberikan info yang agak terperinci tentang Jamilah melalui emelnya kepada aku selepas pertemuan kami di Irama Studios seperti dinyatakan di atas.

Jamilah Abu Bakar pada hematku pasti mewarnai persada seni hiburan tanah air dalam jangka masa tidak berapa lama lagi.

Insya-Allah Jamilah suatu waktu kelak beroleh gelaran Ratu Keroncong, Ratu Lagu Tradisional dan lain-lain lagi dalam bidang nyanyian yang digemarinya.








Buluh yang dilentur, Permata yang digilap



And . . . last but not least A BIG HAND to Hj Mahzan . . . who endlessly seeked and strived to uphold a clean and respectable image of our very own rendering of true Keroncong . . .


PS:
Aku dah OK. Anda di luar sana nantikanlah hasilnya. Aku berani janji . . . jika semuanya berjalan lancar . . . hasil berkualiti usaha pembikinan album keroncong ini akan menemui anda sekalian tidak berapa lama lagi. Insya-Allah . . . akan terbukti . . . BAIK PUNYA!





Bamuda
dsuarang.blogspot.com








JAMILAH ABU BAKAR said...

Terima kasih kerana menulis rencana yang menarik tentang pertemuan kita Ahad lepas di Studio Hj. Mahzan Manan.

Dua lirik lagu yang saudara tulis untuk Jamilah rakamkan memang meremang bulu roma, terutama kepada anak watan yang perihatin.

Tunggulah kelahiran album keroncong Malaysia yang pertama ini nanti.


April 7, 2011 at 11:00 PM






Bamuda d' SUARANG said...

Salam Sdr Abu Bakar

Pertama sekali saya bersyukur kepada Allah . . . kerana dgn izin-NYA jua kita semua dapat bertemu pada hari itu.

Seterusnya . . . sekali lagi saya katakan saya amat senang dengan kemampuan Jamilah menyampaikan lagu-lagu itu dgn baik.

Tahniah kepadanya . . . dan syabas juga perlu diucapkan kepada Sdr suami isteri dan keluarga . . . kerana menyokong dan mengalakkan anakanda Sdr itu bergiat untuk bakal melakarkan sejarah gemilang dalam dunia seni negara kita.

Dan . . . terima kasih kerana memberikan komen 'down to earth'.


April 8, 2011 at 8:36 AM



Hj Mahzan Manan said...

Saudara Majid,

Jutaan terima kasih diucapkan kerana walaupun penulisan ini secara santai tapi penuh info, khususnya berkenaan aktiviti penerbitan album lagu keroncong di Irama Studios yang menampilkan penyanyi baru Jamilah Abu Bakar...a Keroncong star is born.

Teknik penulisan blog saudara ini simple dan direct khususnya tentang penilaian saudara terhadap nilai kehidupan seperti semangat kekeluargaan, taat pada ibubapa dan kesepaduan kekeluargaan terhasil antara insan-insan yang hadir di studio pada petang itu.

Lirik lagu keroncong Stambul bertajuk `Mana Mungkin' nukilan saudara memang menggegar semangat kenegaraan...Keep it Up!!!!. Begitu juga lagu keroncong `Tak Ku Sangka'...sama hebat...serammm

Thank you so much.

April 8, 2011 at 11:38 PM







Bamuda d' SUARANG said...

Salam Tuan Hj Mahzan,

Terima kasih sahaja yang dapat saya ucapkan atas kesudian tuan mencatatkan komen di sini.

Saya kira kata-kata sebegitu . . . daripada 'MAHZAN MANAN' khasnya tentang penulisan lirik dua buah lagu itu . . . merupakan suatu penghargaan yang amat tinggi lagi bermakna buat saya . . . yang tak seberapanya ini.

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan kita taufik dan hidayah-NYA untuk meneruskan usaha murni sebegini. Amin.

Thank you all.







Baharudin Osman said...

Majid,dah ada ke d market lagu Jamilah ni, Tuk memang minat lagu Keronchong, Abdullah Safri tu member Tuk, dia sekarang ni kurang sihat dekat dgn rumah Tuk.

April 9, 2011 at 11:16 AM






Bamuda d' SUARANG said...

Salam Tok Din,

Mudah-mudahan sentiasa sihat walafiat dipelihara Allah SWT.

Album keroncong yang dimaksudkan dalam siaran blog Jid ni . . . sebenarnya sedang dalam pembikinan.

Insya-Allah akan dapat disiapkan dalam sedikit waktu lagi.

I am happy to note that you still keep an active interest in the development of local music . . . especially keroncong. {Alahai Tok . . . teman ni dah terpengaruh pulak dengan cara cakap jiran omputih teman ni . . . lantok le ye!}

Apapun . . . 'Once a musician always a musician.' Betul tak Tok?

Insya-Allah kita jumpa lagi.


April 9, 2011 at 11:04 PM






Bamuda d' SUARANG said...

Salam & Selamat Sejahtera,
Sedikit info utk anda di luar sana:

Tok Din yang saya sebut (jawab pertanyaannya) dalam 'comment window' di atas adalah my 'grand uncle'(cakap omputihnya). Pangkat Melayunya . . . 'Atuk Saudara' le!

Tak kisah le tu! Apa yang teman nak kome tau ialah Tok Din ni . . . nama penuhnya Hj Baharudin bin Hj Osman . . . dulunya seorang pemuzik handal dan terkenal di kalangan penggemar muzik di KL khasnya dan Persekutuan Tanah Melayu amnya.

Beliau pemimpin band Rangkaian Sukma KL yang aktif sepanjang pertengahan tahun-tahun 1950-an hingga 1960-an.

Teman masih ingat band Rangkaian Sukma sering membuat persembahan di Studio atau Auditorium Radio Malaya di KL.

Ketika itu Radio Malaya masih beroperasi dari bangunan Federal House (Rumah Persekutuan) KL.

Tok Din memang seorang pemuzik hebat . . . kata kome weh!


(Hopefully more info about him will be available for publication soon . . .)


April 9, 2011 at 11:33 PM


Anonymous said...

Salam sejahtera. Tahniah utk semua yang terlibat. Semoga album ini mendapat sambutan. Kepada Bamuda, tak sabar nak dengar lirik yang diperkatakan.

April 16, 2011 at 8:23 AM


Bamuda d' SUARANG said...

Salam. Terima kasih atas kepedulian Anon.

Insya-Allah dengan doa Anon tu . . . akan tercapai jua hasrat yang terpendam dalam semangat pembikinan album berkenaan.

Kena bagi 'warning' dulu . . . lirik tu biasa aje . . . sekadar ingin membangkitkan kesedaran . . .








No comments: