Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Regim Pol Pot
Neraka Empat Tahun
Rakyat Kemboja
Rakyat Kemboja
Penulis sudah lama mahu melihat sendiri (dari dekat / secara langsung) padang pembunuhan Choueng Ek.
Padang pembunuhan bersejarah yang terdapat di Pusat Genosid Choueng Ek ini paling terkenal berbanding lebih 300 padang pembunuhan lain di seluruh Kemboja.
Pusat Genosid Choueng Ek terletak di bahagian tenggara Kemboja kira-kira 15 km dari pusat bandar di Komun Choueng Ek, Khan Dangkor, Phnom Penh.
Dengan bayaran USD 3 seorang . . . para pelancong asing boleh memasuki dan melawati taman memorial di Pusat Genosid Choueng Ek.
Taman memorial ini dibuka setiap hari dari jam 7:30 pagi hingga jam 5:30 petang.
Tambahan USD 3 lagi setiap seorang . . . akan membolehkan pelawat dibekalkan (dipinjamkan sahaja) alat audio / headphone untuk kemudahan mendengar penerangan tentang setiap hentian yang dilawati dan peristiwa yang berkaitan dengan sesuatu hentian itu . . . (penerangan terdapat dalam bahasa Melayu/Inggeris dll?)
Penulis melakukan Lawatan Audio ke padang pembunuhan ini pada hari Isnin 27 Oktober 2014 bersamaan 3 Muharam 1436H.
Melalui alat audio / headphone . . . penulis dapat mendengar kisah sedih lagi mengerikan . . . lebih kurang begini:
Zaman Khmer Rouge (1975–1979) merujuk kepada era Pol Pot, Nuon Chea, Ieng Sary, Son Sen, Khieu Samphan dan pemerintahan Parti Komunis Kampuchea di Cambodia yang dinamakan semula Demokratik Kampuchea oleh Khmer Rouge.
Tempoh pemerintahan selama empat tahun itu menyaksikan kira-kira 2 juta nyawa manusia melayang akibat berbagai peristiwa pelaksanaan hukuman mati atas sebab-sebab politik, penyakit, kebuluran dan perburuhan paksa.
Pol Pot dilahirkan (dengan nama Saloth Sar) di sebuah kampung kecil di provinsi Kompong Thom, Cambodia pada 19 Mei 1928.
POL POT
Beliau merupakan seorang pemimpin dalam pergerakan Komunis Kemboja. Beliau menjadi Perdana Menteri kerajaan Demokratik Kampuchea (DK) dari 1976 hingga 1979.
Beliau bertanggung jawab mengarahkan pembunuhan beramai-ramai lebih sejuta anak bangsanya sendiri yang terdiri daripada golongan intelek, profesional, dan penghuni bandar.
Disebabkan terlalu banyak berlaku kematian ketika itu . . . era pemerintahan Khmer Rogue mendapat jolokan sebagai era pemusnahan besar-besaran Kemboja atau penghapusan bangsa Kemboja.
Ada beberapa lokasi yang dijadikan padang pembunuhan di Kemboja. Ramai orang telah dibunuh atau ditanam hidup-hidup oleh rejim komunis Khmer Rouge. Ini terjadi ketika Khmer Rouge memerintah di negara tersebut dari 1975 hingga 1979 sebaik saja berakhir Perang Saudara Kemboja (1970-1975).
Tugu paling terkenal berhubung dengan padang pembunuhan di Kemboja terletak di Choeung Ek.
Taman memorial di Choeung Ek telah dibina merangkumi sekitar perkuburan massa ribuan mangsa yang di hukum mati setelah mereka dipindahkan dari Penjara S-21 di Phnom Penh.
Penghormatan tertinggi diberikan kepada mangsa pembunuhan beramai-ramai melalui berbagai hentian bertanda di seluruh taman.
Kelihatan masih banyak perkuburan yang belum digali di sekitar kawasan sini.
Biasa terdapat tulang-temulang dan pakaian muncul ke permukaan bumi selepas hujan lebat kerana banyak jasad masih tertanam beramai-ramai dalam kubur yang dangkal.
Mereka yang dihukum mati telah ditanam dalam kubur beramai-ramai.
Hukuman mati itu selalunya dilaksanakan dengan menggunakan racun, penyodok atau buluh runcing untuk menjimatkan peluru.
Dalam kes-kes tertentu kanak-kanak dan bayi dibunuh dengan menghentakkan kepala mereka kepada batang pokok Chankiri.
Alasan yang diberi ialah supaya " mereka tidak sempat membesar dan menuntut bela atas kematian ibu bapa mereka."
Ramai mangsa dipaksa mengorek kubur mereka sendiri. Mereka yang lemah pasti tidak terdaya menggali cukup dalam.
Askar yang melaksanakan hukumann mati kebanyakannya pemuda atau pemudi yang rata-ratanya merupakan kader tentera degil dan berhati keras.
Kebanyakan mereka baru menjangkau usia lebih sedikit daripada awal belasan tahun. Mereka amat teruja bersekongkol dengan kegiatan kejam / ganas rejim setelah dijanjikan kemewahan hidup.
Mereka yang berasal daripada golongan petani miskin itu sudah tidak punya keluarga lagi (kebanyakannya mati dalam peperangan yang berterusan di Kemboja) dan diasuh segala selok-belok keganasan dan kekejaman.
Hati mereka seperti tidak langsung punya perasaan. Tiada belas kasihan terhadap insan lain!
Kerajaan Khmer Rouge menangkap, menyiksa, dan akhirnya menghukum mati sesiapa sahaja yang ada hubungan dengan kerajaan lama atau dengan kerajaan asing atau sesiapa yang disyaki termasuk dalam golongan berbagai kategori yang dikira sebagai musuh.
Kategori yang dianggap "musuh" itu ialah mereka yang profesional dan yang terjumlah sebagai para intelek yang secara amalannya termasuklah hampir kesemua orang berpendidikan, mereka yang memahami bahasa asing . . . hinggakan mereka yang hanya berkaca mata pun!
Peliknya Pol Pot sendiri berpendidikan universiti (walaupun dia pelajar tercicir) yang menggemari sastera Perancis dan fasih pula bertutur bahasa Perancis.
Para artis dan penghibur tempatan juga tidak terlepas daripada kekejaman rejim Pol Pot sepanjang empat tahun pemerintahan rejim itu.
Ada antara artis itu yang menjadi terkenal hingga ke hari ini setelah mereka mati dibunuh rejim pada tahun-tahun 1970-an.
Ramai ahli perubatan turut dihukum mati ataupun dilarang terus mengamalkan kemahiran mereka.
Anggota elit parti dan angkatan tentera mendapat peruntukan khas perubatan Barat dan keistimewaan masuk ke hospital yang memberikan layanan berpatutan.
Rakyat biasa terutamanya "orang baru" hanya cukup dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan tradisional dan penawar herba yang keberkesanannya boleh dipertikaikan.
Golongan lain termasuklah mereka yang berketurunan Vietnam, China, Thai dan lain-lain.
Juga golongan minoriti di Eastern Highland, Kristian Kemboja, Islam dan Buddhist.
Mereka yang diketahui menyembah Tuhan / bersembahyang / berdoa atau menampakkan sentimen keagamaan lazimnya dibunuh.
Komuniti Kristian dan juga Islam lebih-lebih lagi dihukum kerana mereka dilabel sebagai sebahagian daripada sfera kosmopolitan pro Barat yang mengganggu budaya dan masyarakat Kemboja.
Sebagai contoh kekejaman ini . . . gereja Roman Katolik Phnom Penh telah dimusnahkan seluruhnya.
Khmer Rouge memaksa orang Islam memakan daging babi yang diharamkan agama Islam.
Mereka yang enggan menurut perintah telah dibunuh. Golongan paderi Kristian dan para imam Islam telah dihukum mati. Seratus tiga puluh satu masjid Cham telah dimusnahkan.
Golongan minoriti Islam Cham keturunan migran kerajaan lama Champa telah dipaksa menerapkan bahasa dan adat Khmer.
Komuniti mereka yang secara tradisinya wujud berasingan daripada kampung-kampung Khmer dipecah-belahkan.
Empat puluh ribu orang Cham telah dibunuh di dua daerah Provinsi Kampong Cham.
Penduduk minoriti berbangsa Thai yang tinggal berhampiran sempadan Thai telah juga ditindas dan dianiaya.
Mereka yang tertuduh melakukan 'sabotaj ekonomi' pula kebanyakannya terdiri daripada bekas penghuni bandar (yang tidak mati kebuluran!) tetapi tetap dianggap bersalah kerana kurang kebolehan bertani.
Menurut perangkaan yang lebih tepat melalui sumber-sumber yang layak dipercayai sekurang-kurangnya 1,386,734 mangsa telah dihukum mati.
Jumlah kematian akibat kezaliman rejim Khmer Rogue termasuklah yang berpunca daripada penyakit dan kebuluran.
Kira-kira 1.7 hingga 2.5 juta mangsa keseluruhannya terlibat daripada populasi 8 juta orang di Kemboja sekitar tahun 1975.
Sistem penyiksaan telah direkabentuk sebegitu kejam hingga menyebabkan 'banduan-banduan' mengakui sahaja akan segala pertuduhan jenayah yang dibuat terhadap mereka oleh pihak yang menangkap / menawan mereka.
Dalam pengakuan itu, 'banduan-banduan' disuruh menjelaskan latar belakang peribadi masing-masing.
Jika mereka ahli parti, mereka kena menyatakan bila mereka mula menyertai revolusi dan menjelaskan tugasan dan peranan mereka dalam penentangan terhadap Demokratik Kampuchea.
Kemudian para 'banduan' dipaksa menceritakan / mereka cerita segala aktiviti derhaka yang kononya telah mereka lakukan mengikut turutan kejadian peristiwa.
Pada akhir pengakuan, 'banduan-banduan' yang disiksa akan dipaksa mencatatkan nama kawan, rakan sejawat atau kenalan mereka dalam senarai yang kononnya menunjukkan orang yang berpaling tadah menjadi musuh rejim.
Ada senarai mengandungi lebih beratus nama. Mereka yang nama masing-masing tersenarai itu akan dipanggil dan disoal siasat secara penuh kekerasan.
Pada tahun 1975, pihak komunis Vietnam telah menyerang Demokratik Kampuchea dan menggulingkan rejim Khmer Rouge.
Dith Pran, seorang wartawan Kemboja, membentuk dan mempopularkan penggunaan istilah killing fields setelah berjaya melepaskan dirinya daripada cengkaman rejim.
Kerajaan Kemboja sekarang kurang memberi tumpuan di sekolah-sekolah terhadap kekejaman yang pernah dilakukan Khmer Rogue.
Kemboja mempunyai populasi yang amat muda dan menjelang tahun 2005 tiga per perempat daripada populasi Kemboja masih terlalu muda untuk mengingati tahun-tahun pemerintahan Khmer Rogue.
Generasi muda sekarang akan hanya mengetahui tentang Khmer Rogue ini melalui penceritaan lisan (mulut ke mulut) daripada ibu bapa dan orang tua-tua.
Pada bulan Julai 1979 Pol Pot dibicarakan dan dihukum mati (in absentia = tanpa kehadirannya) atas kesalahan membunuh rakyatnya sendiri.
Hukuman itu dijatuhkan oleh kerajaan baru Republik Rakyat Kampuchea yang tertubuh dengan bantuan pasukan keselamatan Vietnam.
Namun pada akhirnya, Pol Pot dihukum penjara seumur hidup. Ketika menjalani hukuman tahanan rumah, beliau telah meninggal dunia akibat sakit jantung pada 15 April 1998.
Penulis sempat mengunjungi muzium dalam taman di Memorial Choeung Ek untuk menonton video yang memaparkan kekejaman Khmer Rogue vis-a-vis pembunuhan beramai-ramai rakyat mereka sendiri.
Ketika mahu meninggalkan tempat yang sepatutnya menimbulkan banyak keinsafan dalam diri para pengunjungnya, penulis bena-benar terasa bertuah menjadi rakyat Malaysia.
{Apatah lagi penulis berkaca mata, pernah belajar di universiti, bermain muzik, menulis serta beraktiviti dalam bidang sastera dan budaya sepanjang tahun-tahun 1975 hingga 1979 itu . . . semua kriteria dan aktiviti peribadi yang langsung tidak boleh diterima atau diketahui wujud dalam diri rakyat Kemboja oleh rejim Khmer Rouge ketika itu!}
Alhamdulillah . . . penulis amat gembira dan menghargai keizinan dan kesempatan yang dianugerahkan Allah swt kepada penulis untuk terus menetap di negara 'Tanah Tumpah Darahku' yang sungguh bertuah lagi aman ini!
Anda bagaimana?
bamuda
dsuarang.blogspot.com
No comments:
Post a Comment