Assalamualaikum
dan
Selamat Sejahtera
Perlukah Lenyapkan Budaya?
Tiba-tiba aku teringat akan sesuatu. Aku teringat akan nilai yang berkaitan dengan hidup ini. Nilai hidup seharian masyarakat bangsaku.
Nilai-nilai yang mungkin kepada sesetengah orang begitu remeh untuk diambil pusing.
Mungkin tidak perlu diambil berat. Tak perlu dipersoal. Tak perlu dipedulikan. Tak perlu dijadikan sesuatu yang 'mengecohkan'.
Nilai-nilai hidup yang semakin berubah menjadi 'norma' dalam kehidupan bangsaku masa kini.
Bangsaku semakin progresif. Ya ... bangsaku yang semakin maju mengikut sukatan atau ukuran diri masing-masing sudah begitu sibuk mengejar kemajuan itu hingga alpa banyak perkara.
Aku tak ambil yang besar-besar atau yang serius amat. Aku hanya mampu tunjukkan yang kecil-kecil yang tak diambil serius oleh ramai mereka yang sudah maju atau baru separuh maju!
Maka demi cara dan pendirian aku sendiri ... dan setelah ku renung dan ku pandang berkali-kali ... aku sah sudah menjadi seorang yang kehilangan sabar dalam hal ini.
Aku mesti mencurahkannya di mana-mana. Maka penulisan inilah hasilnya. Ruang inilah wadahnya.
Mudahkan cerita ... nilai-nilai yang aku maksudkan itu terdiri daripada beberapa kebiasaan yang semacam sudah menjadi amalan golongan bangsaku yang maju sekarang.
Entah secara sedar atau tidak, entah separuh sedar atau bawah sedar atau dalam situasi yang lain lagi, kebiasaan ini berlaku di sekeliling kita tanpa banyak perhatian.
Kebiasaan yang terdapat di kalangan keluarga kita dan dalam komuniti kita ini seolah-olah rela diterima.
Situasi-situasi contoh seperti berikut:
Situasi 1
"Ini uncle Majid . . . kawan abah."
Begitu aku diperkenalkan kepada anak-anak mereka oleh ramai kawan-kawanku. Kawan-kawanku dan keluarga mereka sebangsa dengan aku. Bahasa ibunda aku dan mereka sama. Begitu mudah perkataan yang digunakan. Tapi aku rasa tak selesa apabila diperkenalkan demikian. Entah mengapa aku lebih senang andainya aku diperkenalkan begini:
"Ini pakcik Majid . . . kawan abah."
Situasi 2
Seorang gadis kawan anakku datang ke rumah. Dia sebangsa dan seagama denganku. Setiba di pintu rumahku gadis itu terus saja masuk dan menegurku . . .
"Hello uncle, how are you?"
Aku ketika itu baru habis menunaikan solat maghrib. Aku berkain pelekat dan masih bersongkok. Aku seolah-olah tidak mempercayai apa yang baru aku dengar diucapkan si gadis manis sebentar tadi.
Lagi sekali aku tidak selesa. Aku mungkin mengharapkan sapaan yang begini:
"Assalamualaikum pakcik, apa khabar?" . . . atau setidak-tidaknya . . . " Apa khabar pakcik?" (tanpa salam jika orang itu tidak biasa memberi salam).
Situasi 3
Pada suatu pagi di halaman rumahku . . . Isteriku menegur seorang kawannya (jiran kami) . . . seorang nenek yang membawa cucunya bersiar-siar di kawasan perumahan kami.
"Hai, nak ke mana tu pagi-pagi ni?"
"Alah kak, bawak budak ni jalan-jalan ha . . . mak dan ayahnya baru pergi kerja."
Isteri aku yang peramah pagi itu bertanya pula kepada anak kecil tu . . . (baru berusia kira-kira setahun dua) . . .
"Ha, adik comel . . . emak mana . . . ayah mana?"
Anak kecil itu terkebil-kebil tanpa jawapan . . . Tiba-tiba si nenek tadi yang bersuara:
" Emak wok (bunyi untuk perkataan work rupanya setelah aku dengarkan dengan teliti) . . . ayah pun wok."
Aku yang mendengar kata bicara itu tersenyum sendirian. Aku bukan hendak memperlekehkan si nenek itu.
Cuma . . . kan lebih baik jika anak kecil itu dibiasakan dengan bahasa ibundanya (yang belum pun dapat dikuasainya) terlebih dahulu sebelum disogokkan bahasa yang begitu asing kepadanya.
Situasi 4
Kisah selanjutnya . . . Ada beberapa insiden pasangan-pasangan tua muda yang datang berkunjung (membawa anak-anak atau cucu-cucu mereka) ke rumahku.
Aku agak terkejut dengan cara 'bersosial' dari segi pertuturan dan tindakan mereka masing-masing.
Agaknya aku masih berfahaman macam budak kampung walaupun sudah membesar sejak dari zaman kanak-kanak, bersekolah hingga bekerja di KL.
Antara arahan-arahan BI yang sering aku dengar dilontarkan kepada budak-budak kecil yang berkenaan (berusia dalam lingkungan 1 hingga 4 tahun) adalah begini:
"Come here boy/girl." "Don't be naughty." " Atuk ?/ Uncle scold".
Paling hebat . . . "What did I tell you . . . Don't misbehave . . . understand, understand!"
Aku lihat budak-budak yang berkenaan itu tak faham sepatah haram pun.
Mereka tercengang-cengang. Sampailah aku masuk campur dengan mengatakan:
"Jangan usik buku atuk tu . . . " atau "Ha, jangan panjat almari/kerusi tu . . . nanti jatuh!"
Dan, mereka lebih faham! Terus berhenti melakukan apa yang mereka buat.
Tak taulah . . . kot-kot mereka tu lebih takut kepada aku . . . berbanding kepada ibu bapa atau atuk dan nenek mereka sendiri . . . he,he.
Situasi 5
Ada lagi kisah orang 'tua-tua' cakap omputih dengan 'kanak-kanak' yang masih mentah sangat (dari segi usianya).
Kisah tersebut amat mempengaruhi minda aku setelah mendengarnya daripada mulut seorang junior.
Rasa geli hati pun ada kecewa sendiri pun ada.
Ceritanya si junior tu amat kagum dengan seorang anak kecil yang baru berusia dua tiga bulan yang kononnya hanya memahami BI sebagai bahasa 'arahan' atau 'perbualan'.
Aku fikir kata-kata arahan yang bagaimana! Rupanya kata-kata arahan seperti :
"Go to sleep now boy/girl." "Be a good boy/girl." "Don't cry." "Come, it's dinner time" . . . atau "That is a cat, meow meow." "That s a rabbit, rabbit." "That is a cow,cow". . . atau "No boy/girl no, no."
Apabila diunjukkan gambar harimau pula ... kononnya budak kecil itu tak faham kalau tak disebut 'tiger'.
Alahai mak bapaknya sebangsa denganku ... dan bahasa ibunda kami pun sama!
Cakap Melayu sudah ...
Si junior tu kagum memikirkan anak kecil itu bijak BI kot!
Apa yang si junior tu tak mengerti ialah anak kecil tu sebenarnya langsung tak faham apa-apa.
Dia kelihatan macam faham apabila diagah dan dituturkan kata-kata . . . yang bunyinya mungkin melucukan atau menakutkan . . . hingga dia sama ada ketawa atau menangis menurut situasi yang bersesuaian dengan moodnya pada sesuatu ketika!
Ada banyak lagi situasi seumpamanya yang boleh dikisahkan. Cuma rasanya memadailah dahulu dengan situasi yang diterbitkan sebagai contoh di atas.
bamuda
dsuarang.blogspot.com
No comments:
Post a Comment