Assalamualaikum
Kebiasaan yang kurang elok ...
Pernahkah anda melalui pengalaman begini pada bulan Syawal setiap tahun. Sebilangan besar penganut agama Islam biasanya akan merayakan Aidilfitri yang mulia selama sebulan. Bagiku, pada setiap hari raya setelah ke sana sini, aku akan berehat sahaja di rumah. Aku hanya terfikir . . . jika ada tetamu datang . . . berikan sambutan dan layanan yang sewajarnya.
Suatu hari ... setelah selesai membaca berbagai-bagai berita suka duka, pilu ngilu, geli ngeri, sedih pedih, parah dan marah di dalam akhbar tempatan . . . aku terlena seketika di atas kerusi kayu di ruang hadapan rumahku. Agaknya kerana sudah banyak sangat memakan juadah musim raya atau . . . badan dah cepat terasa penat sekarang . . . (maklum si badan ni dah 'lama' juga berkhidmat).
Tiba-tiba aku dikejutkan daripada berkhayal pada waktu siang hari. Aku terdengar suara orang memberi salam di hadapan pintu pagar rumahku.
"Assalamualaikum. Kami datang nak raya . . ."
Aku masih pisat berbaring. Aku terdengar lagi ucapan salam diulangi. Sudah masuk tiga kali salam diberi. Dan, sudah tiga kali juga kata penyambung salam iaitu . . . "Kami datang nak raya" . . . aku dengari.
Sah itu suara sekumpulan kanak-kanak (sekitar usia 6 hingga 10 tahun) yang pergi dari pintu ke pintu di kawasan taman perumahan untuk beraya. Entah dari mana mereka itu. Mereka bukan anak-anak dari kawasan ini.
Sebaik sahaja aku bangun untuk ke pintu hadapan rumah, kumpulan kanak-kanak itu sudah beredar pergi ke arah rumah sebelah. Aku perhatikan mereka kemudiannya ke rumah-rumah yang lain pula.
Aku terfikir, "Ah . . . mungkin mereka itu tahu. Mungkin ada ustaz atau guru atau ahli keluarga atau sesiapa yang telah memberitahu mereka. Kalau dah beri salam 3 kali di hadapan rumah orang . . . tak ada jawapan . . . bergeraklah. Tandanya mungkin penghuni rumah tidak mendengar ucapan salam itu . . . atau, si penghuni tidak sudi melayan kedatangan atau kehadiran tamu . . . apatah lagi tamu yang tidak diundang!"
Apa pun, bukan soal salam kanak-kanak itu terjawab atau tidak yang menjadi pokok perkara dalam situasi ini. Ada perkara lain yang harus diambil berat khasnya oleh para penjaga atau ibu bapa kanak-kanak itu. Soal keselamatan diri mereka!
Kanak-kanak sekarang memang berhati 'berani'. Tidak macam kanak-kanak zaman aku dulu. Hendak bercakap dengan orang tidak dikenali pun takut. Sementelahan . . . hendak pergi berkunjung ke rumah-rumah orang yang tidak dikenali secara bersendirian! Entahlah, tidak terangkat kaki ini rasanya!
Dalam situasi ini penulis tahu bahawa kanak-kanak tadi berharap untuk mendapat 'duit raya' daripada para penghuni rumah yang mereka kunjungi kelak. Memang sudah resmi kanak-kanak seperti mereka berhati telus. Mereka tidak sekali-kali berfikiran 'negatif' terhadap orang lain, walau pun orang itu tidak mereka kenali.
Bayangkan apa yang boleh terjadi kepada kanak-kanak itu sekiranya ada di antara penghuni rumah-rumah yang mereka kunjungi itu tidak stabil dari segi mental. Atau, jika ada pula penghuni itu yang bersifat penjenayah seksual dsb. Dengan mengumpan sedikit wang atau benda permainan yang menarik minat kanak-kanak segala kemungkinan boleh terjadi.
Kanak-kanak bukan macam orang dewasa yang mudah berprasangka terhadap orang lain. Mereka tidak pandai menyimpan perasaan syak wasangka terhadap orang . . . lebih-lebih lagi orang dewasa. Kepada mereka semua orang itu mesti baik.
Ya . . . memang kanak-kanak sekarang berhati 'berani' dan kelihatan 'maju' dari segi percampuran berbanding dengan kanak-kanak zaman dahulu. Tetapi, barang diingat masyarakat dahulu kuat 'mengajar' anak-anaknya supaya lebih berhati-hati dan teliti dalam segala tindak tanduk mereka. Berwaspada dalam segala urusan atau hubungan dengan orang lain.
Malangnya segala cara pengajaran dan pendidikan zaman dahulu sering dianggap 'kolot' sehinggalah setelah sesuatu perkara buruk berlaku. Sudah terhantuk baru tengadah. Apa gunanya.
Renung renungkan . . .
Bamuda
dsuarang.blogspot.com
No comments:
Post a Comment