Tuesday, July 26, 2016

Kelaziman Amalan di Bulan Puasa






Assalamualaikum 
dan 
Selamat Sejahtera





Solat Tarawih





Penulis ingin menyentuh sedikit tentang hal bersolat Tarawih.

Memang eloklah semua orang berlumba-lumba menunaikan solat sunat Tarawih di surau-surau atau di masjid-masjid sepanjang Ramadan.

Keadaan akan lebih sesuai lagi kalau mereka yang berlumba-lumba itu sudah siap menunaikan dengan penuh dan lengkapnya segala solat fardu terlebih dahulu.


Paling cantik kalau mereka itu memang merupakan golongan yang sudah tidak meninggalkan solat fardu sepanjang bulan bukan Ramadan pun!


Memerhatikan apa yang berlaku di sekeliling pada setiap Ramadan kadangkala menimbulkan tandatanya di benak penulis. 


Cubalah bayangkan keadaan apabila ada di antara pengamal ibadah 'bermusim' ini sewenang-wenangnya mengkategorikan orang yang tidak kelihatan oleh mereka bersolat Tarawih sebagai orang tidak cukup 'Islam'!


Seterusnya orang yang dikategorikan tidak cukup 'Islam' itu akan dikelaskan pula sebagai orang yang tidak mengerti hukum hakam agama, tidak warak atau tidak mematuhi ajaran agama seperti mereka . . . kononnya. 


{Sesungguhnya, pada hemat penulis, mereka yang gemar 'menghukum' orang lain itulah biasanya golongan yang besar kemungkinannya tidak konsisten melaksanakan tanggungjawab bersolat fardu yang wajib ke atas diri masing-masing.} 


Dan, sebaik Ramadan berlalu golongan itu akan terus lenyap dari pandangan . . . hinggalah tiba waktunya untuk muncul semula apabila Ramadan datang lagi!


Penulis lantas teringat akan penjelasan Ustaz di kampung penulis dahulu. Ustaz low profile bukan elitis bandaran. 


Secara mudah dia menerangkan bahawa bersolat Tarawih hukumnya sunat.

Tidak salah kita menunaikannya asalkan kita tidak tersilap memberi keutamaan yang berlebihan terhadapnya.

Mengerjakannya dapat pahala, meninggalkannya tidak berdosa . . . sambung Ustaz itu lagi. 


Mari kita fikirkan secara mudah. Kalau kita sanggup berjemaah solat Tarawih di surau-surau atau di masjid-masjid setiap malam pada bulan Ramadan, mengapa tidak kita berbuat demikian juga dengan solat-solat fardu lima waktu sehari semalam pada waktu bukan Ramadan?

Bayangkan pula bagaimana jadinya jikalau saban malam sepanjang bulan puasa kita tidak putus-putus bersolat Tarawih manakala solat fardu lima waktu sehari semalam kurang kita beri perhatian atau tidak kita hiraukan langsung pelaksanaanya!


Tentunya akan sia-sia saja penat lelah dan lapar dahaga kita berpuasa! 


Mari kita amati sepotong hadis soheh yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim, tentang kata-kata A'isyah r.a. yang maksudnya lebih kurang begini:




"Nabi Muhammad SAW menunaikan solat di masjid (pada malam pertama) dan beberapa orang pun bersolat bersama-sama baginda. Baginda bersolat lagi pada malam kedua. Ramailah lagi orang bersolat bersama-sama baginda. Pada malam ketiga dan keempat lebih ramai orang berkumpul dan menunggu kehadiran baginda untuk bersolat bersama-sama. Rasulullah SAW tidak muncul (bertemu mereka). Apabila waktu Subuh baginda (bertemu mereka) dan bersabda,' Aku lihat apa yang kamu lakukan malam tadi. Tiada apa-apa yang menghalang aku daripada bertemu kamu melainkan kerana aku takut ia (solat Tarawih) diwajibkan ke atas 'kamu'. Peristiwa itu berlaku pada bulan Ramadan."



Penulis berharap kita mendapat mesej yang cukup jelas daripada penerangan di atas. 


Segala ibadah yang kita lakukan, khususnya pada bulan Ramadan ini, harus dengan cara paling tertib dan sikap yang rasional. Yang dahulu didahulukan. Yang kemudian dikemudiankan.



Jangan sekali-kali perlekehkan mereka yang kelihatan seolah-olah kurang warak. Mungkin mereka lebih alim berbanding kita!


Akhir kalam . . . marilah kita sama-sama berdoa agar segala cara beramal ibadat yang telah kita zahirkan sepanjang Ramadan akan menjadi ciri kekal dalam diri kita . . . 'berterusan' dan tidak 'berlalu' seperti berlalunya bulan Ramadan.  


Wallahuaklam. 






bamuda
dsuarang.blogspot.com

No comments: