Tuesday, July 26, 2016

Setelah Berlalu Ramadan







Assalamualaikum
 dan 
Selamat Sejahtera



Ramadan dan Kehebatannya



Selamat jalan Ramadan. 



Mudah-mudahan kita semua akan diizinkan Allah swt untuk bertemu Ramadan lagi. 


Semoga kita  seterusnya berkesempatan menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan yang mulia ini pada waktu-waktu mendatang. 

Sebenarnya setiap kali Ramadan tiba penulis sering terfikirkan sesuatu. 



Penulis terfikir alangkah baik andainya selepas Ramadan pun keadaannya terus begini! 

Para jemaah begitu ramai beramal ibadat di surau-surau mahu pun di masjid-masjid. 

Umat Islam berlumba-lumba ke tempat-tempat ibadat yang suci itu.



Maka penuh sesaklah surau-surau dan masjid-masjid di seluruh ceruk dan pelosok negara.

Maka semaraklah semangat umat Islam memakmurkan surau-surau dan masjid-masjid sepanjang bulan Ramadan.

Dan, hampir setiap pagi selepas waktu subuh penulis sempat menonton berbagai rancangan dalam slot-slot keagamaan di stesen-stesen TV tempatan memaparkan tindakan meluas umat Islam menyambut ketibaan bulan Ramadan tahun demi tahun. 

Sambutannya meriah. Sungguh meriah! Suasana di surau-surau dan di masjid-masjid kelihatan ceria dan segar dengan kehadiran begitu ramai para jemaah yang bersolat fardu dan berbagai-bagai jenis solat sunat. Paling ketara bersolat sunat Tarawih dan  berzikir, bertadarus . . . amalan lazim sepanjang bulan pussa.

Alhamdulillah.

Namun apa yang sering terfikir di benak penulis ialah tentang keadaan nyata yang wujud setiap kali setelah Ramadan berlalu. 

Para jemaah regular di surau-surau dan masjid-masjid yang berkenaan kebanyakannya bersetuju bahawa kehadiran para jemaah Ramadan di surau-surau dan masjid-masjid pasti berkurangan menjelang pertengahan Ramadan . . . dan merosot teruk pada penghujungnya. 

Penulis sendiri mengamati bahawa lazimnya selepas berakhir Ramadan pada sesuatu tahun surau-surau dan masjid-masjid akan menjadi 'lengang'. 

Para jemaah tidak ramai lagi. Tidak seperti sepanjang bulan Ramadan!

Kadangkala hendak memenuhkan dua saf para jemaah bersolat pada waktu-waktu sembahyang fardu pun susah. Waktu subuh lebih teruk keadaannya!



Antara beberapa persoalan yang selalu bermain di benak penulis: 

1. Ke mana hilangnya para jemaah yang begitu ramai mengunjungi surau-surau dan masjid-masjid pada setiap bulan Ramadan?

2. Adakah para jemaah itu bukan orang dari kalangan penduduk kariah surau-surau atau masjid-masjid yang berkenaan itu sendiri?

3. Apakah para jemaah Ramadan cenderung mengamalkan ibadah "bermusim". 



Jawapannya . . . Allah saja yang maha mengetahui!



bamuda 
dsuarang.blogspot.com

No comments: