Wednesday, July 24, 2019

Mantera Seorang Pesara



Assalamualaikum 



Mantera Seorang Pesara


I

Duit adalah sikit-sikit. Bolehlah menyara hidup. Taklah terhimpit sampai perlu menjerit. Badan kadang-kadang tidak berapa betah. Sana lenguh sini lemah. Tak apalah. Ujian daripada Allah. Barang kemas untuk anak isteri adalah satu dua utas. Harta benda sekadar yang asas.

Leluhurku tiada meninggalkan pusaka bergedung-gedung. Atau, sawah bendang berelung-relung. Atau, tanah getah berekar-ekar. Sekuriti saham? Bunyinya kelakar! Namun aku tetap ingat akar salasilah. Dulu kami punya suaka khas tempat bermusyawarah. Waktu gah atau murung. Waktu cerah atau mendung. Sebuah rumah tua di kampung.

Rumahku sendiri pula kecil sahaja. Atas tanah sekangkang kera. Di pinggir kota. Syukurlah ada juga! Kerjayaku sebelum bersara . . . Walau tak seberapa . . . Aku bangga. Aku diamanahkan menyebar ilmu. Melalui buku-buku yang editornya aku. Mudah-mudahan saja Tuhan mempertimbangkan usahaku dengan setara.



II

Anak-anakku tidaklah dapat bermewah-mewah.Tapi apa yang tercapai dengan susah payah membanggakan aku sebagai seorang ayah. Alhamdulillah. Pendidikan dan pelajaran kalian moga-moga menjana pemantapan sahsiah. 

Isteriku amat setia memainkan peranan. Menyokong usaha memajukan keluarga. Dengan berbagai-bagai cara. Tanpa segan dan banyak bicara. Hingga tercapai segala yang diidam. Menyebabkan aku rasa tenteram.

Peluang yang kini tersedia . . . harap akan membuka jalan untuk kalian. Membina hidup yang lebih berkesan. Pada masa hadapan. Insya-Allah dengan izin Tuhan.

Maka dengan penuh tasbih . . . dariku 'Terima Kasih'.


AMB
dsuarang.blogspot.com

No comments: