Bola Oh Bola
I
Malam 20 Julai 2009
Stadium Nasional Bukit Jalil menyaksikan
pasukan bola sepak kebangsaan
ketewasan!
kali ini kepada kelab gergasi,
MANCHESTER UNITED,
walaupun sebelumnya pasukan kita
nampak begitu komited!
AMB turut menjadi saksi
peristiwa kelesuan buat kesekian kali!
sesungguhnya AMB amat terkilan
kekalahan 0-2 di tangan lawan
sepatutnya tidak terjadi
kalaulah ada nama-nama sebegini mewakili …
II
nama-nama seperti penyerang hebat
Raja Bola Ghani Minhat,
Dutton, Wai Hong, Chin Aun, Namat, Chandran
yang pernah tersohor sebagai kapten;
Govindarajoo, Gunasegaran, Gabrielle, Syed Ahmad,
Hassan Sani, James Wong, Dali Omar, Bakri Ibni,
Kuppan, Siang Hock, Abdullah Ali dan ramai lagi
yang kencang berlari di sayap kanan mahupun kiri;
Tak kurang handalnya Rahim Omar, Kim Leng, Robert Choe,
Choon Wah, Arthur Koh yang sentiasa bersungguh-sungguh
menyerang dan merempuh gawang lawan sampai rapuh;
apatah lagi dengan larian dan rembatan kudrat Super Mokh
striker berkaliber tinggi alias Mokhtar Dahari;
juga Syed Ahmad, Isa Bakar, Thanabalan, Ibrahim Mydin,
Karathu, Zulkifli Norbit, Shaharuddin Abdullah
yang sentiasa menyerlah di posisi depan atau tengah;
tonggak pertahanan Ahmad Nazri, Tuck Choy, Jalil Che Din,
Seng Choy, Siang Teik, Abdullah Nordin dan lain-lain
tak mudah goyah tak kenal lelah;
belum cukup kalau tak disebut kekebalan
Inder, Soosay, Chin Aun The Towkay, Santokh,
Serbegeth, Roslan Buang di barisan belakang;
Lourdes, Yusof Bakar, Chee Keong, Cheng Lee, Arumugam
Ong Yew Tiang semua cemerlang mengawal gawang;
III
kenangan ku lantas kembali
kepada zaman gemilang yang pernah dilalui
ketika pasukan bola sepak kebangsaan sahih hebat
dan para pemain disanjung tinggi!
AMB masih ingat
bermula sekitar lewat tahun-tahun 50an
Malaya amat disegani sebagai sebuah pasukan
dan kemudian bertukar nama kepada Malaysia
masih tetap digeruni oleh banyak pasukan lawan
khasnya China, Jepun dan Korea Selatan
manakala pasukan jiran Asean
sering jadi bahan belasahan!
Malaysia dihormati di rantau Asia
kerana pasukan kita berwibawa;
Sekarang ketiga-tiga negara pesaing utama itu
dan negara-negara Asean tertentu
semuanya sudah meningkat jauh lebih maju
di kancah bola sepak antara bangsa
mereka terbilang di persada dunia!
IV
Kita bagaimana dan di mana?
Semua nampaknya serba tak kena …
kini semua dah macam letih
macam dah laih,
tidak cergas dan tangkas seperti zaman itu
banyak yang longlai banyak yang layu,
siapa yang lalai siapa yang keliru …
sudah tiadakah Raja Bola seperti dulu
tak mampukah dilahirkan lagi Super Mokh
sudah hapuskah pemain setangkas Spiderman
sudah pupuskah pelapis sekebal Towkay yang diidamkan;
Entahlah, mari kita sama-sama cari
kita nanti …
Kalau gagal, kita lipatgandakan usaha
agar harapan menjadi kenyataan
tidak asyik
berkhayal dengan
nostalgia bola
sampai bila-bila!
*Amb
Selasa Julai 22 2009
(*Teruja menulis seperti di atas setelah melihat pasukan kebangsaan tewas kedua-dua permainan menentang Man U. Kali pertama kalah 2-3 pada Sabtu 18 Julai 2009. Meminati pasukan bola sepak kebangsaan Malaya/Malaysia dan Selangor sejak tahun-tahun 50an hingga 80an. Selepas itu ‘gitu-gitu aje’. Ingin menjadi peminat semula kalau kena gayanya.)
Blog @: Bamuda d'SUARANG