Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Tetamu dari Negeri di Bawah Bayu
Selagi Allah swt mengizinkan . . . pertemuan antara insan pasti terjadi.
Benarlah kata orang . . . jodoh, pertemuan, ajal dan maut di tangan Tuhan. Ini memang tidak boleh disangkal oleh sesiapa pun.
Sebaliknya tanpa ditakdirkan 'jadi' oleh Allah swt dengan fiman-NYA kun fayakun (jadi, maka jadilah) . . . sesuatu majlis atau pertemuan pasti menemui jalan kebuntuan atau gagal terus . . . sekalipun setelah diatur segala perancangan dan persiapan paling rapi dan teliti!
Maka aku bersyukur apabila doaku untuk bertemu lagi dengan sahabat-sahabat Haj aku mendapat keizinan-NYA.
Alhamdulillah pada hari Ahad 3 Februari 2013 bersamaan 22 Rabiul Awal 1434H Tuan Hj Salleh Ibrahim dan isteri beliau Pn Hjh Juliah Partono dari Kota Kinabalu, Sabah telah sempat berkunjung ke rumahku.
Tuan Hj Salleh Ibrahim
Pn Hjh Juliah Partono (kiri) dan Tuan Hj Salleh Ibrahim
Mereka sudi berada di rumahku dari kira-kira jam 1:30 ptg hingga 4:30 ptg. Aku sekeluarga pula senang menerima kehadiran mereka.
Pertemuan kami ini merupakan pertemuan semula kali kedua setelah kami berpisah daripada mengerjakan ibadat haji pada tahun 2011.
Saling bertanyakan khabar dan bersembang-sembang . . .
Banyak benar kisah kenangan di Tanah Suci 2011 . . .
yang tidak mudah dapat dilupakan dua sahabat ini . . .
Hjh Alimah dan Hjh Juliah
Kali pertama dulu . . . pada tahun 2012 . . . kami bertemu di Melaka ketika mereka berdua datang ke Melaka kerana menguruskan majlis perkahwinan anak lelaki mereka (Mohd Fairuz aka Johan) di Kuala Sungai Baru (KSB).
Kali kedua ini . . . kami bertemu di d'SUARANG pula. Tuan Hj Salleh dan Pn Hjh Juliah langsung sahaja ke Kuala Lumpur setelah bertandang ke negeri Hang Tuah yang penuh bersejarah . . . untuk mengesahkan status mereka sebagai "datuk" dan "nenek" kepada seorang cucu perempuan di sana . . . hasil perkongsian hidup Johan dan isterinya yang berkahwin di KSB pada tahun 2012 itu.
Berbual lagi sambil menjamu selera . . .
Alhamdulillah segalanya berjalan lancar sepanjang kunjungan mereka ke Semenanjung. Kalau pun ada kekurangan yang dirasakan . . . maka kekurangan itu terletak pada kesuntukan waktu kami bertemu itu.
Masa terasa berlalu begitu pantas hingga tanpa disedari kami terpaksa berpisah lagi . . . mudah-mudahan untuk bertemu semula pada lain ketika.
Sebelum berpisah . . .
Dalam kehidupan ini . . . bertemu dan berpisah . . . adat yang lumrah. Silaturahim antara sahabat . . . biarlah terpelihara . . . erat dan berkat. Amin.
Kalau ada sumur di ladang,
Boleh kita menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Boleh kita berjumpa lagi.
Bamuda
dsuarang.blogspot.com