Thursday, November 24, 2016

Lagu Imigresen Malaysia







Assalamualaikum 
dan 
Selamat Sejahtera




Sumbangan Kecil



Kira-kira sebulan dua yang lalu aku tergerak hati untuk melayari laman web Jabatan Imigresen Malaysia (JIM). 

Ada maklumat penting yang ingin aku cari. Aku nak tahu sesuatu tentang JIM.

Cari punya cari aku telah membuka halaman Bahagian Komunikasi dan Khidmat Korporat JIM. 

Aku terlihat pada tanda 'lagu rasmi' (anthem) JIM

Bila aku tekan pada 'punat' tanda lagu itu keluarlah senikata lagu rasmi Jabatan Imigresen Malaysia. 

Tiada langsung catatan nama pencipta lagu atau nama penulis liriknya. Namun demikian aku terus meneliti senikata yang terpapar di situ. 

Rasa macam biasa sangat dengan lirik lagu itu. 

Sejurus kemudian aku sedari akulah yang telah menulis lirik lagu tersebut pada tahun 1980! 

Lagu itu masih ada dalam simpananku. Dalam buku skrap kerja seniku.









[Allahyarham Encik Hamid Baharudin dan Loh Wai Lan memerhatikan
 penulis bermain piano dalam sesi muzik Kelab Muzik JNS,
Kementerian Pelajaran Malaysia sekitar tahun-tahun 1980-an]




Aku tidak berlengah lagi. Mesti cari siapa yang boleh aku hubungi untuk menjelaskan duduk perkara yang sebenar.

Nak beritahu orang JIM siapa pencipta dan siapa penulis lirik lagu rasmi mereka. 

Aku bukan nak tuntut royalti. Aku cuma nak hasil karya kami diberikan sedikit akuan. 

Mungkin selama ini pihak pengurusan JIM sekarang tidak pernah mengetahui kami berdua yang terlibat dalam pembikinan lagu rasmi mereka. 

Maklum saja perkara itu telah berlalu begitu lama. Dan, rakan sejawat aku yang mencipta lagu itu pun sudah tiada.











Aku terus melayari laman web yang memaparkan senarai terbaru nama para pegawai Jabatan Imigresen. 

Aku terlihat akan nama dan alamat email seorang Pegawai Imigresen Tinggi di Bahagian Komunikasi dan Khidmat Korporat (Unit Hubungan Luar).

Pegawai itu bernama Lily Liew. Maka pada 18 Disember 2009 aku pun menghantar suatu email kepadanya dengan salinan kepada Ketua Pengarah Imigresen.

Aku sertakan surat penghargaan yang aku terima daripada JIM sekitar tahun 1980 dahulu sebagai bukti 






.





Aku menerima panggilan telefon daripada Sdri Lily Liew tiga empat hari selepas aku menghantar email kepadanya.

Beliau menjelaskan bahawa (selepas berbincang sesama pegawai yang berwajib) telah dipersetujui nama kami berdua dicatatkan masing-masingnya sebagai pencipta dan penulis lirik yang terlibat dalam pembikinan lagu rasmi JIM.

Aku bersyukur sekurang-kurangnya sumbangan kecil aku dan rakan sejawatku Allahyarham Abdul Hamid Baharudin diambil ingatan.

Terima kasihlah Sdri Lily Liew dan terima kasih juga kepada Jabatan Imigresen Malaysia.

Namun, alangkah baiknya kalau ada surat bertulis daripada golongan baru pihak pengurusan JIM dihantar kepada aku . . . menyatakan dengan ringkas akuan yang bersesuaian dengan gaya masa sekarang . . . (walaupun surat yang lama dahulu tentunya masih relevan !).

Dapat juga aku simpan sebagai kenang-kenangan yang diperbarui.

Sambil itu ingatanku kembali pada kawan lamaku yang 'sempoi' dalam episod blog terdahulu "What's Your Contribution?"

Bila dia bertanya apa sumbanganku kepada masyarakat . . . dan aku jawab tak ada apa-apa . . . kawanku itu lantas mengatakan aku warga yang baik . . . semata-mata kerana aku tak timbulkan apa-apa masalah kepada mana-mana pihak pun. 

Menurutnya dengan tidak menimbulkan apa-apa masalah itu aku sudah cukup menyumbangkan sesuatu yang baik kepada negara!

dan, ... ... ... agaknya kalau ketika itu dia tahu aku dan rakanku sama-sama berusaha sehingga wujudnya lagu rasmi JIM (walaupun kecil sangat sumbangan kami itu) apalah pula agaknya tindakan kawan lamaku yang 'sempoi' itu nanti.

Aku yakin dia tidak akan teragak-agak memberikan aku penghargaan dalam bentuk yang sangat 'sempoi' juga tetapi berkesan!

Maka jika ada anggota pihak berwajib JIM terbaca akan tulisan dalam blog aku ini . . . haraplah mereka akan berfikir seperti kawan lamaku yang 'sempoi' itu juga.








Blog @: Bamuda d'SUARANG

Botak Bukan Fesyen









Assalamualaikum
dan
Selamat Sejahtera



Botak Head



{Setelah selesai segala kerja haji yang rukun dan wajib ke atas diriku . . . dan setelah melihat wajahku berkepala botak di cermin . . . tiba-tiba aku terbayang kembali suatu kisahku di bangku sekolah dahulu . . . }








Kisahnya . . . 

Tahun 1956. Aku dalam darjah lima di sekolah rendah. Pasar Road English School (One) sesi petang. 


Pada masa itu bapa saudaraku Lokman Shariff tinggal bersama di kuarters bapaku bernombor PWD 2139-2.


Kuarters Kerajaan itu terletak di Jalan Nakhoda Yusuff, Kg Pandan (off Circular Road).


Aku sering melihat bapa saudaraku itu bercukur. Pada suatu hari aku teruja hendak mencuba bercukur juga!

Aku masuk ke bilik bapa saudaraku itu setelah beliau pergi bekerja di pejabatnya.

Lantas . . . aku mengambil blade pencukur yang terletak di atas almari bujang bapa saudaraku itu.

Aku pun mula cuba menggunakan blade itu! 

Nah . . . oleh kerana aku tidak punya janggut atau misai ketika itu, maka aku halakan saja blade pencukur itu kepada rambutku le!

Memang aku tidak pro menggunakan blade pencukur itu. 

Apa lagi tobek sana tobek sinilah jadinya. Macam gaya tikus membaiki labu!


Pada sebelah petang hari itu bapa aku pulang dari pejabatnya. 

Bapaku terus sahaja terlihat akan keadaan rambut yang bertobek-tobek di sekeliling kepalaku.

Bapak amat marah lantas menyuruh aku duduk di atas sebuah kerusi dan berkata:

"Duduk sini . . . biar bapak botakkan saja kepala kamu ni!"

Aku sangka bapak hanya hendak menakut-nakutkan aku. 

Rupa-rupanya, beliau betul-betul membotak licinkan kepalaku!

"Ya Allah . . . macam mana aku nak ke sekolah esok hari," fikirku. "Mesti kena ejek punya" .

Pada zaman persekolahan aku dulu . . . 'membotakkan kepala' bukan suatu trend seperti masa kini.

Bukan menjadi  macam suatu fesyen seperti lumrah sekarang! 

Ketika itu . . . sesiapa yang berkepala botak memang tidak lepas daripada usikan dan ejekan orang di sekeliling . . . rakan sebaya khasnya!

" Botak head, botak head," dan siap dengan berbagai pantun seloka yang kurang sedap diterbitkan di sini!

Aku tentulah amat malu dan marah apabila di ejek-ejek begitu.

Lama juga aku berkeadaan sedemekian. Menanggung malu . . .  hinggalah rambut aku tumbuh semula!

Apa yang aku tidak faham ketika itu ialah mengapa bapa aku menjadi amat marah. 

Apalah salahnya aku try mencukur sedikit sahaja rambutku.

Aku tidak terfikir langsung . . . rupanya bapaku amat risau kiranya aku melukakan diriku sendiri dengan memandai-mandai menggunakan blade pencukur yang amat tajam itu!

Jadi, tindakannya membotakkan kepala aku itu adalah untuk mengelakkan aku daripada melakukan kerja-kerja 'bodoh' seperti itu lagi.

Memang aku pun cukup jeran selepas peristiwa itu!


Seperkara lagi yang telah aku  pelajari ialah anak-anak gemar meniru perlakuan orang dewasa walaupun mereka tidak memahami hujung pangkal sesuatu perlakuan itu.

Monkey see monkey do!

Dan, untuk mengelakkan kemalangan, orang dewasa pula harus berhati-hati meletakkan atau menyimpan peralatan yang tajam atau berbahaya supaya jauh daripada jangkauan kanak-kanak.


Sekadar bercerita untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan teman-teman dan para pembaca yang budiman.





bamuda
dsuarang.blogspot.com