Tuesday, May 3, 2016

Silap Istilah atau Salah Faham?









Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera









Yang Mana Satu?






Ate . . . apa tunggu lagi. Bio le teman sambung aje cerite keliru Pn Alimah, isteri teman tu. 

Kisah ini berlaku pada awal tahun-tahun 1970-an di pekarangan mereket Tapah. 

Ketika itu mereket Tapah terletak di Jalan Bukit Baldwin . . . atau lebih popular di kalangan warga Tapah sebagai 'Jalan Lubuk Katak' . . . kata kome!

Alimah masuk ke dalam mereket bersama ibu teman untuk membeli ikan dan sayur-sayuran. Teman nunggu di luar aje!

Sedang ibu mentua dan menantu itu asyik membelek-belek barang yang hendak dibeli, seorang wanita (yang kemudiannya teman ketahui adalah sanak saudara kami) datang menuju ke arah mereka.

Dia menyapa emak teman lalu bersalam-salaman dengan isteri teman sekali.

Dia lantas bertanya kepada emak teman: 

"Yong, ini ke tunang Majid?"

Emak teman mengangguk. Alimah keliru! Habis le di situ . . .

Sepi . . . dalam kereta sepanjang perjalanan pulang ke rumah. 

Teman perasan isteri teman termenung aje. Ghiso pulak teman ngenangkan. Mana pulak tak kenanya!

Tiba-tiba pecah kesepian yang sudah lebih kurang sepuluh minit berlalu! Alimah bertanya kepada emak teman:

"Mak, kenapa orang tu tadi tanya saya ni tunang Uda (panggilan terhadap diriku dalam keluarga). Kan kami dah kahwin. Dia tak tahu ke?"

Emak teman senyum aje. Kemudian dengan selamba emak teman menerangkan kepada isteri teman:

"Orang kat sini sebut 'suami' tu 'tunang'."

Isteri teman tunduk diam. Ha . . . Satu lagi istilah daerah kampung teman telah didengarinya . . . Alimah dalam keadaan masih bingung dan terkial-kial!

Teman pulak tepikio . . . mana le isteri teman tak keliru. Teman sendiri pun heran. 

Mana ase terbitnya erti tersendiri yang dipahami oleh oghang Perak bagi perkataan 'tunang' tu! 

Pande-pande aje deme 'buat' *istilah dan beri pulak makna ikut sesuka hati masin-masin!

*{ Entri 'tunang' dalam Kamus Dewan Edisi Keempat diberikan erti:

tunang bakal isteri atau suami, laki-laki dan perempuan yang telah mengikat perjanjian utk menjadi suami isteri }

Eh . . . maka bagaimana dengan status pasangan yang telah berkahwin secara sah? 

Oghang Perak masih memanggil 'suami' atau 'isteri' (sesuatu pasangan) dengan panggilan 'tunang'. . .

Jadi kalau gitu oghang yang telah berpuluh-puluh tahun hidup sebagai suami isteri pun akan tetap dianggap sedang berada di zaman seghonok 'betunang' le . . . he,he,he . 

Pada sudut pandangan orang Perak . . . best le begitu!

Namun apabila istilah yang tak tepat 'maksudnya' digunakan . . . kekeliruan pasti timbul di kalangan penerima 'asing'.

Begitu pendapat isteri teman, Alimah.

Ah ini tak boleh jadi! Yang mana satu? Salah guna istilah atau silap pahaman maksud kata daerah yang telah berlaku . . .

Sebagai anak Perak (yang ada le belajo hukum bahasa sedikit) pada pikio teman . . . bio le perkataan 'tunang' tu dipahami mengikut pemahaman warga daerah-daerah di Perak (sebagaimana yang dema paham sekarang!)

Memang le ada berlaku ketidaktepatannya jika dimaksudkan sebagai pengertian universal bahasa ini. 

Tapi . . . katakan kalau sesuatu bentuk 'cakap' atau 'ucapan' itu boleh difahami dan boleh diterima sesuatu golongan masyarakat penggunanya . . . maka itu le bahasa.

Entah le. Wallahuaklam.

Si jiran omputih teman masuk campur lagi. Dengan angkuhnya dia berkata:

"Married couples are simply addressed as Mr & Mrs . . . Things are done that simple in English hmm . . . Call a spade a spade. Problem solved!"

Hendak aje teman ngatakan pada si omputih tu gini:

"Tengkorak kamu. Yang masalah guna pake gelaran 'Ms' untuk golongan wanita tu apa ke penyelesaiannya? 

Sampe sekarang pun tak tentu ujung pangkenya . . . mana satu nunjukkan yang dah kawin . . . mana pulak yang belum?

Yeah . . . my omputih neighbour . . . 'Ms' usage amongst women is something very confusing now. It doesn't clearly show their marital status! Howzat!"

Isshh . . . ngata dulang paku serpih . . .

Kepada isteri teman . . . sorry le jika pemahaman erti perkataan 'tunang' di kampung teman ni mengganggu emosi mike. 

Teman tak dapat le ngubahnya . . . biasakan le diri nerima maksud kata ni bila besembang dengan oghang kampung teman! 

Alah bisa tegal biasa, weh!

Tiba-tiba teman pulak tepikio tentang perkataan (istilah?) 'piring' yang dimaksudkan untuk 'pinggan' di kampung isteri teman . . . 

Camno lak tu, Alimah ooi . . .

Dan . . . bagaimana pula dengan penerimaan maksud perkataan 'menyorok' di daerah-daerah dalam negeri Kedah?

Hmm biarkan . . . Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya!






Bamuda
dsuarang.blogspot.com


Berkat Didikan Seorang Bapa



















Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera







Perbincangan Sihat
 Membawa Berkat 







Aku amat percaya dengan amalan ini. Amalan berbincang untuk melaksanakan sesuatu tugas ringan ataupun berat, berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah remeh ataupun besar, berbincang untuk mencapai sesuatu hasrat ataupun matalamat dengan baik dan berkesan. 




Aku juga mempercayai bahawa segala sesuatu yang dibincangkan dengan penuh kematangan fikiran dan keterbukaan minda serta keikhlasan hati dapat menciptakan hasil positif yang diharapkan oleh semua pihak yang terlibat dalam mana-mana perbincangan itu.



Rigkasnya . . . aku percaya dengan cara atau amalan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian dalam menghadapi sesuatu krisis atau kemelut hidup kerana aku sudah terdidik sedemikian oleh bapaku. 




. . . salah satu cara aku dan bapaku berkomunikasi pada zaman dahulu apabila jarak yang memisahkan tidak membolehkan perhubungan / perbincangan langsung secara bertentang mata . . . 












.  . . antara surat yang pernah dikirim bapaku Baharom Mohd Shariff kepadaku ketika aku ingin melaksanakan hasratku melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1975.











Isi surat yang mempamerkan betapa prihatinnya seorang ayah terhadap keperluan anaknya dalam sesuatu keadaan krisis atau masalah . . . walau bagaimana kecil sekalipun masalah itu. 




Terang-terang aku akui . . . aku tidak akan mampu membalas segala kebaikan budinya sampai bila-bila pun. 


Dari dulu lagi . . . aku dilatih menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi dengan berbincang secara bijaksana . . . bukan dengan bertindak melulu atau membuat keputusan ketika diri penuh beremosi. 





Ketua Keluarga Disegani

{Petikan daripada dsuarang. blogspot.com}
THURSDAY, MAY 20, 2010



Terima Kasih Pak 



Walaupun beliau pergi untuk selama-lamanya ketika aku sudah berusia tahap melebihi pertengahan umur . . . aku masih amat terasa akan pemergiannya itu. 

Aku kehilangan tempat "berbicara" dan tempat "berbincang". Dalam bahasa mudah . . . aku sesungguhnya hilang tempat "mengadu hal".

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh bapaku Baharom bin Mohd Shariff dan semoga roh Allahyarham ditempatkan di setinggi-tinggi dan semulia-mulia tempat di sisi Allah swt. 


 . . . al-Fatihah . . . Amin.








Ketua Keluarga Disegani








Catatan Puisi Penghargaan 
daripada seorang anak yang terhutang budi 









Tuan Hj Baharom Mohd Shariff









bamuda
dsuarang.blogspot.com





Berkat didikan itu! Aku kini berpegang teguh kepada apa yang telah diajarkan bapaku. 


Sehingga ini . . . apa yang aku amalkan daripada ajaran ayahandaku itu tidak pernah mengecewakan atau merugikan aku. 



Terima kasih bapak . . . Baharom bin Mohd Shariff. Nilai yang murni ini memang sudah lama tersemat kuat di dalam jiwaku.

Berkat didikanmu! 








Bamuda
dsuarang.blogspot.com


Azah Aziz Budayawan Budiman







Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera







Beruntung Mengenalinya
 Dari Dekat




. . . al-Fatihah aku bacakan berulang kali untuk Kak Azah sebaik sahaja mengetahui bahawa Budayawan Budiman ini sudah pergi mendahului kita menyahut seruan Ilahi pada Isnin 9 Julai 2012 bersamaan 19 Sya'aban 1433 H.


Aku baru menyedari Almarhumah sudah tiada setelah pulang dari Surabaya dan diberitahukan berita menyedihkan itu oleh anak-anakku.


Kemudian aku dapat membaca dalam siaran sebuah blog bahawa Kak Azah pernah menghasilkan penulisan buku-buku berunsur budi pekerti dan kebudayaan. Antaranya beberapa buah buku Pantun Kanak-kanak.


[Aku langsung teringat peristiwa menghadiri majlis pelancaran dan soal jawab buku-buku Pantun Kanak-kanak terbitan syarikat penerbitan (tempat aku bertugas) bersama Kak Azah pada tahun 1982.

Kak Azah mahukan juga aku hadir untuk menjelaskan kepada pihak media beberapa perkara / masalah tertentu menyangkut penerbitan buku-buku berkenaan yang ketika itu di bawah tanggung jawabku.]


Bagiku . . . Kak Azah tidak perlu diperkenalkan lagi kepada kalangan masyarakat berbudaya.

Nama beliau cukup sinonim dengan bidang budaya dan kebudayaan Melayu di Malaysia. Kegigihan dan keyakinan beliau dalam usaha memartabatkan budaya bangsa dan negara tidak boleh disangkal.


Aku memang tidak mahu menulis panjang tentang hebatnya insan yang nama sebenarnya . . . Sharifah Azah Mohammad Alsagoff . . . tetapi amat popular dengan panggilan . . . Azah Aziz.


Cukuplah jika aku katakan aku beruntung pernah berkesempatan berinteraksi dengan beliau dalam bidang penerbitan buku ketika aku menjadi editor dan kemudian pengurus penerbitan di OUP/PFB dari tahun-tahun 80-an hingga bersara pada tahun-tahun 2000.












Budayawan Budiman . . .  Azah Aziz sentiasa dalam kenangan








Mengembalikan nostalgia terhadap waktu-waktu kami aktif berurusan . . .





Aku juga mengenali beliau secara dekat kerana sering meminta pandangan atau pendapat beliau dalam apa saja hal berkaitan budaya Melayu khususnya budaya berpakaian.


Suatu kenangan yang tidak mudah aku lupakan . . . pernah meminjam koleksi busana 'kebudayaan' milik beliau .


Sebenarnya aku ingin menyewa pakaian-pakaian itu untuk 'model-model' di syarikat tempat aku bertugas membuat persembahan dalam satu majlis keraian tahunan . . . tetapi Kak Azah dengan amat bermurah hati telah meminjamkan kepada aku busana itu tanpa mengenakan sebarang bayaran!


Kak Azah cuma mahukan pihak kami menjaga baik-baik pakaian-pakaian miliknya itu . . . dan mengembalikannya kepada beliau nanti dalam keadaan yang baik dan sempurna.


Kami kembalikan busana itu kemudiannya kepada beliau setelah 'dicuci kering' dan 'dibungkus rapi'. 

Kak Azah berterima kasih sangat kepada kami dan menyatakan penghargaannya terhadap apa yang telah kami lakukan.


Begitulah budimannya Kak Azah. Kami yang sepatutnya banyak berterima kasih kepada beliau. Sebaliknya pula yang berlaku!











Beberapa keratan akhbar daripada buku skrap . . .









Berkatilah segala usaha murni kak Azah . . . Ya Allah . . . Ya Tuhan . . .




Demikan secebis ingatan . . . di antara banyak lagi . . . yang menggembirakan aku selama mengenali dan bekerjasama dengan Kak Azah . . . baik secara profesional dan formal . . . atau pun tidak.






Kak Azah . . .
bersemadilah kau di sana
dengan jaminan terpelihara
daripada segala susah dan fitnah
di bawah jagaan-NYA
Yang Maha Kuasa . . .
Allah swt.




al-Fatihah. Amin.










Bamuda
dsuarang.blogspot.com


Ulang Kenang : Pertemuan Dengan Sahabat Haj Zon Selatan ( 1 )














Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera




Hectic yet Fantastic 1
(Bertemu Hj Kamarudin dan Hjh Hapsah) 




Seminggu dua ini aku agak sibuk berpergian. Ke sana ke mari walau cuma dalam negeri.

Si Omputih jiranku sempat memerhatikan segala aktivitiku sepanjang beberapa minggu kebelakangan . . . hinggakan dia bertanya kepada aku:

Bro . . . I did noticed . . . you've been through a few hectic weeks lately. Been travelling again eh? Guess all those travel streak must have brought along things fantastic!


Aku terus sahaja menjawab . . . dalam hati: 

"Yeah, right on target man. You're absolutely correct Mat Saleh ooi."

Aku tak mahu menjawab dengan suara yang kedengaran kepada si jiranku itu. Kalaulah dia tahu serkap jarangnya itu mengena . . . hui . . . berlagak bukan main le dia!

Memang perangainya begitu . . . egonya akan memuncak setiap kali tekaannya betul. Biarkanlah . . . after all . . . dia kan omputih! 

Maka demikian mukadimah yang aku rasakan paling sesuai bagi aku memulakan episod penulisan kali ini.

Aku bersyukur amat ke hadrat Ilahi . . . kerana masih memberikan kepada aku dan isteriku peluang bertemu lagi dengan sahabat-sahabat sejemaah haji kami.


Alhamdulillah. Setelah agak lama 'terpaksa' menyepi . . . aku kini kembali ke laptop! Macam biasa dengar tagline ini?

Begitulah sebenarnya. Aku baru sahaja ada sedikit waktu senggang untuk mencatatkan sesuatu dalam ruangan blog aku ini.

Pada hari Selasa 20 Mac 2012 aku dan isteriku Alimah menemankan anak kami Alyn ke Johor Baharu. 

Alyn ada tugas rasmi di sana. Dia tidak mahu memandu berseorangan ke sana. Dia mempelawa kami bersamanya.


Aku dan Alimah terus saja berkata OK. Kami ada kelapangan dari segi waktu dan kesihatan. Apa salahnya. 

Lagipun . . . aku terfikir . . . aku ada sahabat-sahabat se jemaah haji di JB. 

Why not! Nanti boleh juga aku menemui mereka. Dapat insya-Allah kami mempereratkan silaturahim antara diri.

Kami tiba di hotel Grand Blue Wave, JB pada kira-kira jam 8:00 malam. Sebelum itu kami ada menelefon beberapa orang sahabat di sana.

Aku berhajat menemui Tuan Hj Kamarudin Abdullah dan isteri beliau Pn Hjh Hapsah Omar.

Hj Kamarudin rakan sebilik aku ketika di Madinah dulu. Hjh Hapsah pula rakan sebilik isteriku . . . juga di Hotel Movenpick Madinah.








Tuan Haji Kamarudin Abdullah











Pn Hjh Hapsah Omar





Pada kira-kira pukul 9:20 malam . . . loceng kamar kami berbunyi. 

Ada suara orang memberi salam. Suara yang sudah biasa aku dengar. 

Sebaik sahaja pintu terbuka aku lihat Hj Kamarudin berdiri di situ bersama Hjh Hapsah.










Hj Kamaruddin .............................................Hjh Hapsah





Aku mempelawa mereka masuk. Setelah berlaku segala formaliti yang lazim bagi sahabat-sahabat yang baru berjumpa semula selepas sesuatu tempoh yang lama . . . (kami tidak berkesempatan bersua sejak 5 Disember 2011) . . . kami pun duduk di tempat rehat dan mula saling bertanyakan khabar serta berbual-bual santai.









Hj Kamarudin mendengar sahaja perbualan dua wanita ini . . . Relaks aje Hj Kamarudin nampaknya . . . baguslah cool begitu Hj . . . atau dah keletihan main golf tadi?













Apalah agaknya yang disembangkan dua sahabat yang baru dapat bertemu di JB ini . . .














Dua Sahabat
Pn Hjh Alimah (kiri) dan Pn Hjh Hapsah





Berbual-bual sambil makan memang menyeronokkan. Apatah lagi apabila perbualan itu berlaku di kalangan sahabat-sahabat yang sudah lama tidak berjumpa. 

Macam-macam cerita dan berita yang didengari dan diperdengarkan!







Dari kiri: 

Mazlyn Hanim (memegang Ahmad Iman Iskandar), Hj Kamarudin, Hjh Hapsah dan Hjh Alimah berbual-bual sebelum makan . . . (penulis terkenang akan peristiwa seperti ini di Madinah)













Bersembang di ruang tamu bilik hotel GBW. . .








Dari kiri:

Penulis, Hj Kamarudin, Hjh Hapsah, Hjh Alimah



Aku teringat akan beberapa peristiwa menarik ketika menginap di Hotel Movenpick. 

Antaranya . . . dari bilik hotel kami dapat melihat payung-payung di sekitar dataran Masjid Nabawi . . . sama ada kembang atau kuncup . . . pada waktu-waktu tertentu.

Ini kerana kami tinggal hampir bersebelahan Masjid Nabawi. Ertinya kami juga mudah ke masjid tersebut untuk beramal ibadat. Alhamdulillah.

Kemudian . . . ada pula peristiwa kami menyidai atau mengampai pakaian basah di hadapan jendela bilik hotel kami.

Mudah keringnya kain-kain basah yang tersidai di situ . . . kerana pancaran sinar mata hari terkena terus kepada kain-kain yang tersidai itu. 

Lagipun, cuaca boleh dikatakan sentiasa kering dan panas pada siang hari di Madinah. Alhamdulillah.

Satu lagi peristiwa yang tidak mudah aku lupakan . . . makan malam di dalam bilik 3030 Hotel Movenpick bersama sahabat-sahabat sekamar ketika di Madinah dulu. 

Terkenang sangat aku akan kehadiran dan penglibatan Hj Abdul Halim Ahmad dan isteri Hjh Noral Saniah Mohd Som, Hj Mohamad Hishamudin Muda dan isteri Hjh Nor Ziera Ngah, Hj Kamarudin Abdullah dan isteri Hjh Hapsah Omar serta aku sendiri dan isteri Hjh Alimah Yasin dalam peristiwa tersebut. Alhamdulillah.

Peristiwa menimbang berat beg pakaian masing-masing dengan begitu cermat (dan kecoh) sekali di dalam bilik hotel juga tidak dapat aku lupakan begitu saja. 

Maklumlah . . . masing-masing takut kalau-kalau berlebihan pula berat luggage daripada apa yang dibenarkan oleh syarikat penerbangan kelak! 

Rupa-rupanya meleset segala dugaan . . . Tidak diperiksa pun beg-beg semua. Very nostalgic moments indeed . . .

Sembang punya sembang . . . kami tidak sedar waktu berlalu dengan pantas sekali. Sudah melampaui pukul 12:00 tengah malam rupanya!

Aku belum mengantuk lagi. Aku biasa begini. Berleka-leka . . . tak tidur cepat. Orang dah pencenlah katakan.









Sudah larut malam . . . kami masih rancak berbual-bual . . . si Ahmad tu tak mengantuk ke?












Hai kawan-kawan . . . esok dah nak pergi kerja awal pagi . . . boleh tahan ke? . . . tak apalah ya tak . . . demi semangat kesetiakawanan . . . he, he









Aku berasa kasihan juga kepada Hj Kamarudin dan Hjh Hapsah yang akan bertugas pada keesokan harinya.

Mereka belum bersara daripada pekerjaan masing-masing. Masih ada banyak tahun perkhidmatan lagi yang perlu mereka sempurnakan.

Hj Kamarudin tentunya sudah penat bertugas siang tadi, kemudian bermain golf . . . dan setelah itu datang pula ke mari.

Esok beliau akan terus bertugas dan mesti pergi ke pejabatnya di Kulai pagi-pagi lagi.

Hjh Hapsah walaupun berpejabat di JB akan ada mesyuarat dan rehearsal bersangkutan dengan aktiviti Puspanita Negeri Johor yang perlu dilaksanakan pada hari Rabu (esoknya). Hjh Hapsah Setiausaha persatuan tersebut. Takut-takut penat Pn Hjh nanti.


Maka . . . apabila mereka memohon diri untuk pulang . . . aku dan isteriku tidaklah sampai hati menghalang . . . walaupun kami rasa belum puas bertemu dan berbual dengan mereka.







Dua warga pasca mas (kiri) dan dua warga pra mas . . .








Penulis dan Hj Kamarudin








Hjh Alimah dan Hjh Hapsah




Tidak mengapalah. Insya-Allah kita dapat bersua lagi pada masa hadapan dengan peruntukan waktu yang tidak terbatas sebegini rupa.









Before we say goodbye . . . pose lagi untuk kenang-kenangan . . . sakan









Penulis dan Alimah berterima kasih dan amat menghargai kesudian sahabat-sahabat kami Tuan Hj Kamarudin Abdullah dan Puan Hjh Hapsah Omar berkunjung ke tempat penginapan kami ini . . . walaupun cuma buat seketika.

Hingga berjumpa lagi . . . salam mesra daripada kami.










Bamuda
dsuarang.blogspot.com




Ulang Kenang : Pertemuan Dengan Sahabat Haj Zon Selatan ( 2 )










Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera







Hectic yet Fantastic (2)
Bertemu Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah








Penulis dan isteri Alimah masih di Johor Baharu pada pagi Rabu 21 Mac 2012. Kami di hotel Grand Blue Wave. 

Akan berangkat pulang ke KL tengah hari nanti . . . setelah Alyn . . . selesai melaksanakan tugas rasminya.


Malam tadi ada sahabat-sahabat sekamar kami masing-masing ketika di Madinah datang berkunjung. Kami berasa amat gembira dengan kunjungan mereka.


Semalam aku juga ada menghubungi Tuan Hj Mohd Noh Mat Nordin. Beliau dan isteri Pn Hjh Khalijah Ali menjadi sahabat kami ketika kami sama-sama sejemaah Haj di Tanah Suci.


Pasangan suami isteri ini tidak pernah sekamar atau sekhemah dengan kami di mana-mana jua di Tanah Suci. Sesungguhnya pesawat penerbangan kami juga berbeza. Aku menaiki KT 70 mereka KT 88.





T




Tuan Hj Mohd Noh Mat Nordin










Puan Hjh Khalijah Ali




Kami hanya sering bertemu di meja makan dewan makan hotel Royal Eiman di Makkah. 

Setiap kali bertemu kami saling bertanyakan khabar kesihatan masing-masing. 

Perbualan kami menjurus kepada soal-soal ibadat dan kebahagiaan berkeluarga.


Alhamdulillah dengan kekerapan pertemuan yang sedemikian kami dapat merasakan kemesraan terjalin antara diri. Kami seperti sahabat baik yang sudah cukup lama mengenali antara satu sama lain.



Sementelah . . . isteri penulis Alimah dahulunya pernah tinggal lama di Singapura dan mendapat pendidikan rendah serta menengah di sana sebelum berhijrah ke KL. 

Perkara ini aku percaya menjadi faktor yang menambah eratkan silaturahim antara kami . . . apabila ternyata . . . Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah pun memang 'orang lama' dari kota singa itu. Macam jumpa geng sekampunglah jadinya!









Wah . . . 2 Hajah ni bukan main asyik berbual-bual.
 Bincang pasal apa agaknya?
















Tentu ada perkara menarik yang dibicarakan. 
Pasal Tanah Suci . . . dan ehm . . . pasal Singapura ke? Suka hatilah 2 Hajah.











Perkara tersebut di atas mungkin, menurut ramai orang, adalah sesuatu yang bersifat kebetulan. 

Namun penulis berpendapat ini suatu ketentuan . . . dan tidak boleh dinafikan bahawa silaturahim yang terbina ini adalah semata-mata atas kehendak-NYA . . . atas anugerah dan keizinan ALLAH swt jua. Alhamdulillah.



Seperkara utama yang tidak dapat dinafikan juga ialah . . . pasangan suami isteri ini peramah dan mudah mesra. 

Mereka mudah didekati walaupun ketika baru dikenali. Pendek kata mereka berhemah tinggi.










Semangat Bersahabat

Dari kiri: 
 Penulis, Hj Mohd Noh, Hjh Khalijah dan Hjh Alimah




Daripada persahabatan yang terjalin dalam tempoh yang agak singkat di sana dahulu . . . penulis berani membuat andaian awal . . . bahawa Hj Mohd Noh seorang yang tegas tetapi berfikiran terbuka dan bijaksana dalam tindak bicaranya.

Hjh Khalijah pula ternyata seorang yang periang, bertanggung jawab dan lurus dalam perhubungan antara insan.








Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah

Pasangan suami isteri yang berbahagia









Aku dapat memerhatikan bahawa Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah adalah pasangan yang cukup berbahagia. 

Semoga pemerhatianku ini tepat dan diberkati ALLAH swt. Amin.



Berbalik kepada hasrat kami ingin menemui mereka di JB . . . Hj Mohd Noh membalas panggilan telefon aku dan menyatakan akan datang ke hotel GBW tempat kami menginap.



Benarlah . . . pada jam lebih kurang 10:40 pagi . . . sahabat-sahabat kami itu tiba. Aku terus mempelawa mereka masuk dan duduk di ruang tamu.








Si cucu ni pun turut memeriahkan perbualan antara sahabat yang baru bertemu . . .












. . . sibuk dengan cara diam-diamnya aje . . . Ahmad Iman Iskandar . . .
tak menyampuk pun.








Kami saling bertanyakan khabar. Kemudian kami berbual-bual. 

Antara banyak kisah yang dibualkan . . . aku tertarik kepada kisah benar yang dialami Hj Mohd Noh sendiri di sebuah kedai gunting di Makkah.

Ceritanya kira-kira begini:




Pada suatu hari . . . selepas bertahalul muktamad . . . Hj Mohd Noh ingin membotakkan kepalanya. Beliau pun pergi ke sebuah salun gunting rambut di tingkat bawah hotel Royal Eiman. [Kalau tak silap aku nama salun si Arab tu ' Obedience Barber Shop'].







Tempat Kejadian Peristiwa  . . .



Seterusnya biarlah aku paparkan sahaja dialog percakapan antara si Arab tukang gunting itu dengan Hj Mohd Noh . . . menurut apa yang diceritakan oleh beliau.




Barber: 

Ya Sheikh . . . cut hair . . . shave head?

Hj MN:

Yes. (Dalam hati: OK lah . . . member semua kata bayarannya SR 50 sahaja.)


[Si barber pun mempersilakan Hj MN duduk di kerusi empuk tempat para pelanggan bergunting rambut di salun itu. 

Siap di balut kain ala apron leher Hj MN. Lengkap diberikan rawatan mask dan kain penutup muka berwap. 

Ada pula segala macam 'lotion' atau 'lumpur solekan' untuk mencuci atau melembutkan kulit muka. Lampu UV Ray pun dipasang . . . dan etc, etc.

Hj MN berasa pelik juga. Mengapa begitu hebat sekali treatment membotakkan kepala di salun si barber Arab ini . . . massage muka dan kepala pun diberikan.]


Hj MN: 


(Dalam hati: Wah hebat betul ni. Aku cuma nak botakkan kepala aje. Tak apalah . . . mungkin ini pakejnya!)


[Kira-kira sejam kemudian . . . selesailah kerja membotakkan kepala Hj MN. Sahabat aku itu pun dengan jujurnya hendak membayar SR 50 kepada si barber. Si barber pula dengan pantas menolak bayaran itu . . . lalu berkata, "SR 200 Sheikh!"


Hj MN terkejut dan menerangkan kepada si Arab tukang gunting itu,"I don't carry that much cash with me now. Let me go back to my hotel room . . . (di tingkat atas saja) . . . and I'll settle the payment . . . (demikian lebih kurang dialog penutup Hj MN dengan si Arab tukang gunting.)



Sama ada Arab tu faham apa yang diperkatakan Hj MN atau tidak . . . tak jadi hal. 

Apa yang menjadi kenangan ialah . . . barber itu terus saja mengangguk-anggukkan kepalanya sambil berkata sesuatu seolah-olah mengerti . . . tetapi dengan menunjukkan isyarat mengerat leher pada Hj MN!


Of course . . . kemudian Haji Mohd Noh kembali ke salun itu untuk membayar wang yang dituntut si Arab barber tadi.



Tiba-tiba aku pula yang sibuk nak decode mesej yang hendak disampaikan si Arab barber itu apabila dia membuat isyarat tadi.


Mungkin saja . . . dia hendak mempersendakan pelanggannya itu.

"Ha, terkena juga engkau . . . lehermu dah kena kerat " . . . atau . . . "Aku kerat saja lehermu jika kau tak datang bayar."


Bayangan pertama mesej itu . . . kelakar he, he. Tetapi bayangan kedua mesej yang sama (lebih berupa ugutan?) . . . agak menggerunkan . . . aggh! ]


Rupa-rupanya si Arab tukang gunting secara berdiplomasi berjaya 'memaksakan' pakej solekan muka di salunnya itu ke atas diri Hj Mohd Noh secara bersekali.

Sahabatku itu pula . . . apo nak dikato . . . terpaksalah rela menerimanya . Tak apalah Tuan Haji . . . adalah hikmahnya itu!


Banyaklah lagi tajuk-tajuk bermanfaat yang kami bualkan. Perbualan berlangsung rancak hinggakan kami tidak terasa masa pantas berlalu.








Memang tidak terasa waktu berlalu . . . sekejap sangat ketikanya dapat bertemu














Si Ahmad . . . tetap ada juga di situ . . .








Perbincangan berjalan rancak antara dua sahabat 
yang baru sempat bertemu . . . . .di Johor Baharu









Pada jam 12:30 petang Hj Mohd Noh dan Hjh Khalijah meminta diri untuk pulang.

Kami juga mesti check-out pada jam 1:00 petang.



Maka kemudian berpisahlah kami . . . masing-masing menuju ke destinasi yang berlainan . . . dengan membawa kenangan yang menceriakan.

Dan . . . insya-Allah . . . aku tidak akan mensia-siakan segala sesuatu yang diperolehi daripada perbincangan santai serta sesi 'nasihat menasihati' antara kami tadi . . . khasnya tentang Ayat 15 Surah Al-Ahqaf (Surah ke 46 dalam Al-Quran yang disentuh Hj Mohd Noh) yang berbunyi:








Keratan Ayat 15 Surah Al-Ahqaf




Maksudnya:


Dan Kami perintahkan kepada manusia agar berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan susah payah dan melahirkannya dengan susah payah (pula). Tempoh mengandung sampai tempoh menceraikan susunya ialah selama tiga puluh bulan, sehingga apabila dia (anak itu) telah dewasa dan umurnya mencapai empat puluh tahun, dia berdoa: "Ya Tuhanku, berilah aku petunjuk agar aku dapat mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau limpahkan kepadaku dan kepada kedua orang tuaku dan agar aku dapat berbuat kebajikan yang Engkau redai; dan berilah aku kebajikan yang akan mengalir sampai kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau, dan sesungguhnya aku termasuk orang muslim."


[Ref: Terjemahan Al-Quran Al-Karim - Rasm Uthmani - Dalam Bahasa Melayu terbitan Al Hidayah House of Qur'an Sdn Bhd]




Doaku . . . semoga kita dapat berjumpa lagi pada lain ketika. Terima kasih sahabat.





Bamuda
dsuarang.blogspot.com