Wednesday, July 31, 2019

One atau Wan

Assalamualaikum



Duduk-duduk bersendirian menonton TV pagi tadi, aku asyik mendengar beberapa orang pengacara TV daripada berbagai saluran TV tempatan menyebut beberapa perkataan Inggeris.

Aku tiba-tiba terkenang akan 'kekecohan' yang timbul baru-baru ini berkaitan isu hangat rakyat Malaysia mesti fasih berbahasa Inggeris, harus 'bermati-matian' mempelajari bahasa Inggeris! 

Semua ini mesti dilakukan demi menjamin generasi muda rakyat Malaysia sekarang dan yang akan datang tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kemajuan ... terutama sekali dalam 'dunia' yang semakin galak berbahasa Inggeris sekarang.

Aku setuju saja dengan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia khasnya bagi orang kita Melayu. Akan tetapi dalam kegigihan mencapai tujuan murni itu janganlah pula sampai wujud keadaan yang 'pelik-pelik'. Sambil berusaha mengetengahkan kebiasaan 'bercakap omputih' janganlah budaya bahasa tok nenek yang sudah sebati dalam jiwa bangsa kita diketepikan. 

Kita juga tidak harus 'malu' atau tidak mahu langsung cuba meningkatkan keupayaan berbahasa ibunda kita sendiri (bahasa  Melayu le tu) dengan mengamalkannya di tempat-tempat yang sepatutnya! 

Jangan biar matlamat menghalalkan cara.

Tentang usaha mengetengahkan 'cakap omputih' ini aku rasa biarlah kena pada tempatnya juga. 'Tak berapa kena pada tempatnya' jika berlaku perkara seperti dalam kisah berikut: 

Aku teringat akan suatu kisah lama. Kisah seorang kawan baik aku (orang Melayu le) yang balik ke kampungnya di N9 bersama isteri dan anak-anaknya pada suatu ketika. 

Kawan baik aku itu dahulunya tinggal lebih daripada sepuluh tahun di Amerika Syarikat bersama isteri (juga orang Melayu) dan dua orang anaknya. Ketika itu anak-anaknya baru berusia 6 dan 8 tahun.


Kepulangan mereka sekeluarga sudah tentulah disambut meriah oleh sanak saudara di kampung termasuk ibu kawan baik aku (nenek budak-budak tu le). Kenduri besar-besaran dan bacaan doa selamat diadakan!

Apa yang menyedihkan ialah . . . anak-anak kawan baik aku itu langsung tidak boleh berbahasa ibunda mereka. Tak fasih bercakap Melayu le. Agaknya asyik berbahasa Inggeris saja di sana (salah siapa?).

Tak kisahlah tu. Apa yang ingin aku ceritakan ialah tentang kelucuan dalam salah faham yang terjadi apabila salah seorang daripada anak kawan baik aku tu meminta pisang daripada neneknya (yang dipanggil Wan di N9). Begini dialognya:


Budak: "Granny, do let me have one banana."

Wan: "Apa kato kau?. . . Wan (one) mana (banana)? Ini Wan ekau ha! Dah tak kona lai . . . Ha tulah poi lai lamo-lamo kek noghori omputih tu . . . dah tak suman jadi eh . . . "



(Sambil terpinga-pinga menunjuk ke arah pisang dalam bakul di atas meja ...)
Budak: "One banana, one banana . . . I want one banana."


(Untuk menyelamatkan keadaan salah faham itu isteri kawan baik aku tadi cepat-cepat menyatakan kepada ibu mertuanya ...)
Menantu: "Dia nak pisang tu mak!"

Wan: "Hantu kau jang . . . wan mana, wan mana (one banana) . . . tengkorak kau! Sobut pisang sumo orang faham lahai."


Budak-budak itu terpegun. Entah apa yang mereka fikirkan. Tuhan saja yang tahu.

Aku pula berpegang kepada keupayaan berfikirku sendiri. Bagiku ini soal jati diri. Soal sama ada seseorang itu menitikberatkan bahasa ibundanya sambil lancar bertutur dalam bahasa asing!

'Alah bisa tegal biasa!' Aku bukan anti BI. Tapi penggunaannya biarlah kena pada tempat dan masanya.

Aku bolehlah bercakap omputih . . . sikit-sikit. Bagus tidaknya terpulanglah kepada penilaian orang yang mendengar aku berkomunikasi dalam bahasa itu.

Dulu pada zaman aku bersekolah Inggeris aku kena ambil peperiksaan dalam subjek English Literature. Tidak ada pilihan melainkan belajar sastera Shakespeare pada zaman itu (1960-an)! 

Alahai bukan nak tunjuk-tunjuk. Aku score juga dalam subjek tersebut. Aku melakukannya tanpa meminggirkan bahasa ibunda ku!

Fikir-fikirkanlah . . . jika para pembaca yang budiman masih mencintai bahasa Melayu . . . bahasa ibunda bangsa kita.  




Bamuda
dsuarang.blogspot.com


Saturday, July 27, 2019

Which is Which



Assalamualaikum



Talking about those with a simple mind and form of action ... there was this other friend of mine who dropped by when passing my house a few days ago .... as I was having tea with members of my family.

He was of course invited to join us. It was a no 'hal' occasion for him (he just wanted to say 'hello' and relax for a while). We chatted while enjoying our tea with some 'kuih'.

All of a sudden this friend of mine remembered something. 

He excused himself and rushed to his car which was parked about a stone's throw from my house.

He soon came back with a laptop. He said (in Northerner's slang bahasa Malaysia):

"Takut tinggai ni dalam bonet keta ... nanti member kebaih habih".
[I'm afraid to leave this in the bonnet of the car ... it might  get stolen.]

I looked at him and cheekily said:

"Ha ... nasib hang baik ... natang tu tak rosak boh kat enjin keta ..." [Lucky you ... that thing isn't spoilt when left in the engine compartment.]




He asked me why I said that. I just replied that the engine compartment is almost always (except for very few brand of cars) situated in the bonnet. People keep their things and/or baggage in the boot of the car.




My friend just smiled and brushed off the explanation ... with this remark:

"Dah besa orang kata lagu tu dalam bahasa Malaysia ... amik barang kat bonet keta ... orang tak kata but pun ..."
[It's normal for people to say that in bahasa Malaysia ... get the things from the bonnet ... people don't mentioned the boot at all.]

Which is which? I thought to myself!

Well, to him what's the difference. It's OK as long as people understand what you want to say. So long as they knew what you meant.

I did not say more. After all he was that brilliant student who scored an A (Distinction) for English in the OSC (Overseas School Certificate) exam in the sixties.

It's fun to have friends of such character sometimes. I am sure you have such friends too ...



Bamuda
dsuarang.blogspot.com


Wednesday, July 24, 2019

Mantera Seorang Pesara



Assalamualaikum 



Mantera Seorang Pesara


I

Duit adalah sikit-sikit. Bolehlah menyara hidup. Taklah terhimpit sampai perlu menjerit. Badan kadang-kadang tidak berapa betah. Sana lenguh sini lemah. Tak apalah. Ujian daripada Allah. Barang kemas untuk anak isteri adalah satu dua utas. Harta benda sekadar yang asas.

Leluhurku tiada meninggalkan pusaka bergedung-gedung. Atau, sawah bendang berelung-relung. Atau, tanah getah berekar-ekar. Sekuriti saham? Bunyinya kelakar! Namun aku tetap ingat akar salasilah. Dulu kami punya suaka khas tempat bermusyawarah. Waktu gah atau murung. Waktu cerah atau mendung. Sebuah rumah tua di kampung.

Rumahku sendiri pula kecil sahaja. Atas tanah sekangkang kera. Di pinggir kota. Syukurlah ada juga! Kerjayaku sebelum bersara . . . Walau tak seberapa . . . Aku bangga. Aku diamanahkan menyebar ilmu. Melalui buku-buku yang editornya aku. Mudah-mudahan saja Tuhan mempertimbangkan usahaku dengan setara.



II

Anak-anakku tidaklah dapat bermewah-mewah.Tapi apa yang tercapai dengan susah payah membanggakan aku sebagai seorang ayah. Alhamdulillah. Pendidikan dan pelajaran kalian moga-moga menjana pemantapan sahsiah. 

Isteriku amat setia memainkan peranan. Menyokong usaha memajukan keluarga. Dengan berbagai-bagai cara. Tanpa segan dan banyak bicara. Hingga tercapai segala yang diidam. Menyebabkan aku rasa tenteram.

Peluang yang kini tersedia . . . harap akan membuka jalan untuk kalian. Membina hidup yang lebih berkesan. Pada masa hadapan. Insya-Allah dengan izin Tuhan.

Maka dengan penuh tasbih . . . dariku 'Terima Kasih'.


AMB
dsuarang.blogspot.com

Tuesday, July 23, 2019

Penampilan Diri Penting




 Assalamualaikum 




Cerita sikit tentang penampilan diri. Memang penting dijaga pada setiap masa. Seseorang mungkin disalah anggap itu dan ini jika penampilan dirinya tidak kemas, tidak segak atau tidak bergaya senantiasa. Kisah agak lucu ini berlaku padaku suatu hari dua minggu lalu. Jam kira-kira 10:00 pagi.

Pada pagi hari yg berkenaan aku di rumah berihat-rihat sahaja. Aku berkain pelikat dan berbaju singlet pagoda putih lusuh ... pakaian kegemaranku bersantai di rumah. Sedang aku membaca 'paper' (istilah popular orang sezamanku untuk 'surat khabar') terdengar bunyi motosikal berhenti di hadapan get rumahku.  Kuat derumannya. 

Aku menjenguk ke luar dan ... ya benar ada sebuah motosikal di situ. Penunggangnya seorang pemuda Melayu beruniform Pos Laju Malaysia.

Pemuda Pos Laju: Ini utk Mazlyn.
{Tanpa memberi salam apa pun kepadaku terlebih dahulu!}

Aku: Ya ada apa utk Mazlyn.

Pemuda Pos Laju: Ini sapa?

Aku: Saya bapa Mazlyn.

Pemuda Pos Laju: Ha... Nama apa? 
{Aku terfikir budak ini tak ada budi bahasa. Tak belajar cara berkomunikasi dengan orang ke ...}

Aku: Majid.

{Dia pun catat lagi pada HP-nya. Kemudian dia tanya no IC aku pula.}

Aku: 3304112.

Aku beri no lama IC aku. Aku lebih mudah ingat no lama IC aku berbanding no yg baru. Dia catat lagi pada HP-nya. Kemudian dia serah barang kiriman untuk Mazlyn kpd aku. Aku pun hendak melangkah masuk ke rumahku. Tiba-tiba terdengar suara pemuda Melayu Pos Laju Malaysia itu bertanya dengan suara yg agak kuat ...

Pemuda Pos Laju: Dulu pencen apa? 

{Masih tak ada panggilan Pakcik atau Atuk atau apa2 sapaan terhadap diriku. Aku tersentak dan dengan spontan bertanya pula kepadanya ...}

Aku: Mengapa ya?

Pemuda Pos Laju: Takdelah ... saja nak tanya ...

Aku: Editor ... Tahu ke?

Aku bertanya begitu kerana ketika aku bertugas sebagai Editor dulu ada beberapa orang guru sekolah anakku sering keliru apa jenis tugasku itu. Pemuda Pos Laju itu tahu pulak. Dia mengisyaratkan dengan tangannya seperti seseorang yang sedang menaip. Dia berkata lagi ...

Pemuda Pos Laju: Wah ... Dewan Bahasa? 

Aku: Bukan. Oxford.

Pemuda Pos Laju: Wow ... Hebat tu! Buat buku?

Aku: Buat kamus. Mengapa pulak?

Pemuda Pos Laju: Takde apa-apalah ... PAKCIK ... 

Pemuda Melayu Pos Laju Malaysia itu mengangguk-anggukkan sahaja kepalanya sambil bersiul-siul kecil memandang kepadaku dan kemudian terus berlalu pergi dgn motosikalnya.

Barulah sekali ini aku terdengar sapaan PAKCIK keluar drpd mulutnya  sejak berurusan denganku tadi!

{Sebenarnya pemuda Melayu Pos Laju Malaysia tersebut memang selama ini pun tidak pernah menyapa aku dengan apa-apa panggilan nama khas PAKCIK ke Atuk ke dll ... apabila berurusan menyampaikan barang kiriman pos ke alamat rumah ku! Mungkin setiap kali dia tetap melihat aku memakai kain pelekat dan baju singlet Pagoda putih lusuh!} 

Mungkin pada awal tadinya pemuda Melayu Pos Laju Malaysia itu terus beranggapan aku ini orang tua tukang kebun atau penjaga rumah atau apa-apa sahaja ... al maklum aku masih hanya berkain pelekat dan berbaju singlet Pagoda putih lusuh ketika dia menyampaikan barang kiriman itu! Atau, mungkin sahaja kepada budak itu penampilanku bawah 'standard' normal penampilan diri orang bandar! Wallahuaklam.



Bamuda
dsuarang.blogspot.com