Saturday, April 12, 2014

Selamat Jalan Pak Anjang





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Ke Suatu Destinasi Abadi


Selamat Jalan Pak Anjang:
doaku berulang kali
sendiri-sendiri
mengiringi perjalananmu
ke destinasi yang abadi;
aku yakin sama jua doa
sahabat handai, sanak saudara
lebih-lebih lagi ahli keluarga;
cuma gaya pengucapannya
yang mungkin berbeza-beza.

Selamat Jalan Pak Anjang:
segala jasa dan baktimu
akan kami kenang selalu;
segala usaha
yang tidak mengenal erti lelah
dan ikhtiar yang sentiasa segar
akan kami jadikan iktibar;
dan semangatmu
yang tidak mudah patah
akan menjadikan kami tabah. 

Selamat Jalan Pak Anjang:
terima kasih atas tunjuk ajar dan teguran
yang tidak jemu-jemu kau berikan;
terus terang
kami banyak menimba ilmu
membina pengalaman 
daripada berbagai tunjuk ajar dan teguran;
terus terang
kami banyak mengetahui tentang kehidupan
menerapi semangat dan cara yang kau tunjukkan;
terus terang
kami merasa amat terharu
atas pemergianmu.

Selamat Jalan Pak Anjang:
harapanku
biar semangat bersilaturahim
yang kental dalam dirimu
mengalir terus dalam jiwa
sanak saudara dan kaum keluarga;
harapanku
biar ketaatan dalam beribadat
yang menjadi amalanmu
menyerap subur dalam diri kami semua;
harapanku
biar kesederhanaan caramu 
menjadi ikutan kami dalam menempuh hidup
di alam fana.

Selamat Jalan Pak Anjang:
sejahteralah engkau di sana
sambil kami menunggu saat menyusuli jua;
kami akan terus berdoa
biar hidup dan mati kami
semudah hidup dan matimu;
kami akan terus berdoa
agar kita  semua dapat berkumpul
di Jannah yang amat istimewa;
dengan suasana jauh lebih menggembirakan
daripada segala kegembiraan
yang pernah kami semua rasa
bersamamu di dunia yang fana.


paling pasti
ramai yang resah kehilangan
seseorang
yang mesra dipanggil Pak Anjang;
paling pasti pemergianmu
membangkitkan kehebatan rindu,
lebih-lebih lagi
di kalangan
setiap anggota famili.


al-Fatihah
semoga tenang
segala yang gundah;
semoga setiap kebaikanmu
terserlah
di sisi Allah.




bamuda
dsuarang.blogspot.com



[Penulis ingin mendedikasikan penghargaan ini buat kenang-kenangan peristiwa pengebumian Allahyarham Pak Anjang, Hj Lokman Mohd Shariff pada 6:20 ptg Jumaat 11 April 2014.]














Manusia mati meninggalkan nama . . . 

 kita sedekahkan al-FATIHAH untuknya . . . Aamin