Thursday, February 21, 2013

Suatu Ketentuan Ilahi




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Bersilaturahim di Lapangan Terbang


Saigon menjelang malam Ahad 17 Februari 2013 bersamaan 6 Rabiul Akhir 1434H . . .

Suasana di lapangan terbang antarabangsa bandaraya itu yang diberi nama Tan Son Nhat International Terminal biasa sahaja.

Sejak tiba di airport ini pada jam 6 petang tadi . . . aku perhatikan memang sudah ramai orang di situ.

Mereka, seperti aku dan kawan-kawanku Jamil, Abu Bakarudin dan Nadim sedang menunggu pesawat Air Asia untuk membawa kami pulang ke Malaysia. Penerbangan ke Kuala Lumpur dijadualkan berlepas pada jam 9:15 malam.

Setibanya kami berempat di ruang kaunter check-in penumpang . . . aku ternampak ada kerusi kosong di antara beberapa buah kerusi yang dikhaskan untuk para pengunjung dan penumpang yang singgah di ruang itu.

Aku terus menuju ke kerusi kosong di sebelah seorang lelaki . . . segak dan berpakaian kemas . . . yang pada hematku berusia kira-kira antara lewat 50-an dan awal 60-an. 

Aku lantas memberikan salam . . . menegurnya. Lelaki itu membalas salamku . . . dan aku pun duduk di kerusi bersebelahannya. 




Kawan Baru
Penulis duduk bersebelahan Tuan Hj Idris Che Harun




Dari kiri: 
Hj Abu Bakarudin, Hj Sani, Penulis, Hj Idris Che Harun


Lelaki itu yang kemudiannya aku ketahui bernama Idris bin Che Harun . . . tinggal di Bandar Seri Damansara. Beliau berasal dari Kelantan. Beliau sudah bersara daripada kerjayanya di sebuah bank tempatan yang terkenal.





Tuan Haji Idris Che Harun



Beliau bersama-sama keluarganya melancong ke Saigon buat kali pertama . . . tetapi sebelum ini telah pernah pergi ke Hanoi . . . ibu negara Vietnam yang terletak nun jauh ke utara . . . berhampiran sempadan dengan negeri China.







Keratan Peta: 
Saigon (Ho Chi Minh City) di sini
bahagian selatan Vietnam 






Keratan Peta:
Ha Noi di sini
bahagian utara Vietnam






Peta Fizikal:
keseluruhan Vietnam 


Sembang punya sembang . . . berbagai kisah saling kami ceriterakan. Kisah-kisah harian biasa. Tiada topik politik. Tiada umpat-mengumpat atau keji-mengeji.

Cerita kami lebih bersifat kekeluargaan. Hal kerjaya sebelum pencen. Hal anak-anak masing-masing. Kisah-kisah berasaskan pegangan dan kepercayaan agama . . . dan berbagai lagi cerita yang boleh dijadikan motivasi atau diambil iktibar daripadanya oleh kami berdua.






Dari kiri:
Menantu perempuan dan anak lelaki Hj Idris, Hj Sani 



Alhamdulillah . . . kemesraan daripada pertemuan yang singkat ini cepat dapat aku rasakan. Sahabat yang baru aku kenali ini peramah dan mudah diajak berbicara . . . dan dari tutur katanya selama berbicara itu . . . aku percaya beliau seorang jujur yang berperwatakan sederhana dan tulus. 

Para pembaca yang budiman . . . aku menulis kisah ini bukan dengan tujuan memberi sanjungan yang tidak bertempat terhadap seseorang yang baru aku kenali.

Aku menulis ini untuk memaparkan sebuah kisah menarik yang diceritakan beliau kepada aku. Kisah Idris bin Che Harun menunaikan ibadah Haji pada tahun 2009.

Aku terkenangkan zaman aku kanak-kanak dulu. Ustaz yang mengajar aku di sekolah agama rakyat (Masjid Alam Shah, Kuala Lumpur) sering menyebut tentang orang Islam mesti menunaikan Rukun Islam ke-5 . . . apabila sudah benar-benar mampu dari segala segi keperluan menunaikan rukun tersebut.

Selalu aku terfikir . . . kalaulah seseorang itu belum berkemampuan dari segi kewangan . . . bagaimana? 

Cara mana dia hendak melaksanakan tuntutan Rukun Islam ke-5 itu? Tentu sahaja dia mesti terlebih dahulu mencukupkan tabungan wang simpanannya untuk tujuan tersebut!

Menurut cerita Idris Che Harun . . . beliau belum punya cukup wang untuk menunaikan fardu haji pada waktu itu. Maklumlah banyak hal diri dan keluarga yang perlu dibereskan terlebih dahulu. 

Keutamaan perlu beliau berikan kepada urusan kebajikan keluarganya yang masih muda . . . sekitar tahun-tahun awal alaf 2000.

Namun demikian . . . Idris Che Harun tetap bersabar sambil berdoa kepada Allah swt agar mengabulkan hasratnya yang terpendam sejak lama untuk ke Tanah Suci.

Beliau meneruskan kerja-kerja amal dan kerja-kerja kebajikan terhadap masyarakat yang biasa dilakukannya secara sukarela melalui masjid di kariahnya.

Idris Che Harun sering dipanggil dengan panggilan nama 'Haji' oleh para jemaah dan ahli-ahli kariah masjid tempat beliau tinggal walaupun ketika itu beliau belum lagi berstatus sedemikian. 

Berkat sabar dan tekun beramal ibadat . . . kuasa dan ketentuan Allah swt lantas memainkan peranan dan menjadikan impian serta hasrat Idris Che Harun itu suatu kenyataan.

'Kun' kata Allah swt . . . maka berlakulah ia dalam sekelip mata sahaja.

Suatu hari seorang berstatus Datuk bertanya kepada beliau," Idris . . . awak belum haji lagi ke?"

"Belum," jawab Idris singkat.

"Mengapa orang sini panggil haji?" Tanya Datuk itu lagi.

"Entahlah . . . ".

Kemudian Datuk yang juga ahli kariah masjid Bandar Seri Damansara itu terus membuat suatu tawaran kepada Idris. Tawaran yang memeranjatkan . . . tetapi  menggembirakan beliau. Tawaran yang tidak mungkin ditolak oleh mereka yang cukup beriman dan siuman!

Datuk yang budiman itu ingin menghantar Idris suami isteri ke Tanah Suci untuk menunaikan fardu haji. Idris tentunya menyambut tawaran Datuk itu dengan penuh kesyukuran terhadap Allah swt.

Maka segala keperluan kewangan dan urusan pemergian Idris suami isteri ke Tanah Suci pun diuruskan oleh Datuk itu . . . dan berjayalah Idris Che Harun mencapai cita-citanya menunaikan fardu haji lebih awal daripada masa yang dijangkakan. Alhamdulillah.





Keluarga Bahagia

Dari kiri:
 Anak perempuan, isteri, Hj Idris Che Harun, anak perempuan



Tuan Haji Idris Che Harun menyatakan beliau amat bersyukur kepada Allah swt dan berterima kasih kepada Datuk yang berkenaan.

Tuan Haji Idris Che Harun juga menyatakan bahawa ini benar-benar suatu ketentuan Allah swt. Ketentuan-NYA yang disalurkan melalui Datuk budiman itu.

Akhirnya . . . setelah aku 'desak' berkali-kali . . . aku ketahui Datuk itu bernama Zaharul Anuar.

Dan . . . sesungguhnya menjadi suatu kebetulan pula . . . aku pernah mendengar nama Datuk ini disebut oleh  Halmy Zahari (anak sulung lelaki aku) sebagai seorang kawan yang simple, humble dan low-profiled.

[Small world . . . kata omputih . . . he, he.]

Dan . . . begitulah juga pandangan dan pendapat Tuan Haji Idris Che Harun terhadap insan yang bergelar Datuk ini. Secara ikhlas beliau merumuskan begini:

"Datuk ini baik hati dan sentiasa merendah diri sungguh. Bayangkan dia begitu mudah mesra dan ramah-tamah terhadap sesiapa sahaja yang datang ke masjid kariah saya. Malah . . . Datuk ini sanggup bersalaman dengan kanak-kanak sekali pun . . . " 

Mudah-mudahan Allah swt memurahkan rezeki dan memudahkan lagi segala urusan dan kerja baik mereka yang budiman dan berhati ikhlas selama di dunia ini . . . dan . . .  seterusnya memberkati dan merahmati kehidupan merka di akhirat jua buat selama-lamanya kelak.

Amin . . .  Ya Rabbulalamin!



Bamuda
dsuarang.blogspot.com