Monday, January 4, 2016

Secebis Kisah BM vs BI








Bahasa Ibundaku

{ulang terbit siaran
Saturday, December 29, 2012}







Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



One atau Wan 




Duduk-duduk bersendirian menonton TV pagi tadi . . . dan mendengarkan beberapa pengacara TV daripada berbagai saluran TV tempatan menyebut beberapa perkataan Inggeris . . . teman tiba-tiba terkenangkan 'kekecohan' yang timbul tidak berapa lama dahulu tentang isu hangat rakyat Malaysia mesti fasih berbahasa Inggeris . . . mesti mempelajari bahasa Inggeris bersungguh-sungguh . . . jika pun tidak 'bermati-matian'! 


Semua ini kerana hendak menjamin generasi yang akan datang tidak ketinggalan dalam perlumbaan mengejar kemajuan . . . terutama sekali dalam 'dunia' yang semakin galak berbahasa Inggeris sekarang.


Teman setuju saja dengan usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat Malaysia . . . khasnya bagi orang kita Melayu . . . tapi janganlah pula sampai wujud keadaan yang 'pelik-pelik' seperti contoh di bawah ini dalam kegigihan mencapai tujuan 'murni' itu. 


Sambil berusaha mengetengahkan kebiasaan 'bercakap omputih' . . . janganlah pula sampai kita lupakan budaya bahasa tok nenek yang sudah sebati dalam jiwa bangsa kita . . . terutamanya para pemastautin di desa-desa atau di daerah-daerah luar bandar (kampung le tu) . 


Janganlah juga kita masing-masingnya 'malu' atau tidak mahu langsung cuba meningkatkan keupayaan berbahasa ibunda kita sendiri (bahasa Melayu le tu) . . . dengan mengamalkannya di tempat-tempat yang sepatutnya. 


Janganlah biarkan matlamat menghalalkan cara!


Tentang usaha mengetengahkan 'cakap omputih' ini . . . teman rasa biarlah kena pada tempatnya juga. 'Tak berapa kena pada tempatnya' jika seperti dalam kisah berikut: 


Teman teringat akan suatu kisah lama . . . kisah seorang kawan baik teman (orang Melayu le) yang balik ke kampungnya di N9 bersama isteri dan anak-anaknya pada suatu ketika. 


Kawan baik teman itu dahulunya tinggal lebih daripada sepuluh tahun di Amerika Syarikat bersama isteri (juga orang Melayu) dan dua orang anaknya. Ketika itu anak-anaknya baru berusia 6 dan 8 tahun.


Kepulangan mereka sekeluarga sudah tentulah disambut meriah oleh sanak saudara di kampung . . . termasuk ibu kawan baik teman (nenek budak-budak tu le). Kenduri besar-besaran dan bacaan doa selamat diadakan sebagai menyambut ketibaan mereka itu.


Apa yang menyedihkan ialah . . . anak-anak kawan baik teman itu langsung tidak boleh berbahasa ibunda mereka. Tak fasih cakap Melayu le. Agaknya asyik berbahasa Inggeris saja di sana (salah siapa?).


Tak kisahlah tu. Apa yang ingin teman ceritakan ialah kelucuan dalam salah faham yang terjadi apabila salah seorang daripada anak kawan baik teman tu meminta pisang daripada neneknya (yang dipanggil Wan di N9). Begini dialognya:


Budak: "Granny, do let me have one banana."

Wan: "Apo kato kau?. . . Wan (one) mana (banana)? Ini Wan ekau ha! Dah tak kona lai . . . Ha tulah poi lai lamo-lamo kek noghori omputih tu . . . dah tak suman jadi eh . . . "

Budak: (Sambil menunjuk kepada pisang dalam bakul di atas meja . . .) "One banana, one banana . . . I want one banana."



Untuk menyelamatkan keadaan . . . isteri kawan baik teman tu cepat-cepat menyatakan kepada ibu mertuanya:



Menantu: "Dia nak pisang tu mak!"

Wan: "Hantu kau jang . . . wan mana, wan mana (one banana) . . . tengkorak kau! Sobut pisang sumo orang faham lahai."



Budak-budak itu terpegun. Entah apa yang mereka fikirkan. Tuhan saja yang tahu.

Aku pula berpegang kepada keupayaan berfikirku sendiri. Bagiku ini soal jati diri. Soal sama ada seseorang itu menitikberatkan bahasa ibundanya sambil lancar bertutur dalam bahasa asing!


'Alah bisa tegal biasa!' Aku bukan anti BI. Tapi penggunaannya biarlah kena pada tempat dan masanya.


Aku bolehlah bercakap omputih . . . sikit-sikit. Bagus tidaknya terpulanglah kepada penilaian orang yang mendengar aku berkomunikasi dalam bahasa itu.


Dahulu masa aku bersekolah Inggeris aku kena ambil peperiksaan dalam mata pelajaran English Literature. Aku belajar sastera Shakespeare le kata orang zaman tu! 


{Alahai bukan nak tunjuk-tunjuk . . . tapi aku score jugak le dalam subjek tersebut . . . dan ini aku lakukan tanpa mengenepikan bahasa ibunda ku hingga jadi terpinggir!}



Fikir-fikirkanlah . . . jika para pembaca yang budiman masih mencintai bahasa Melayu . . . bahasa ibunda bangsaku. 








bamuda
dsuarang.blogspot.com


Berkat Didikanmu








Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera




Perbincangan Sihat Membawa Berkat 




Aku amat percaya dengan amalan ini. Amalan berbincang untuk melaksanakan sesuatu tugas ringan ataupun berat, berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah remeh ataupun besar, berbincang untuk mencapai sesuatu hasrat ataupun matalamat dengan baik dan berkesan. 


Aku juga mempercayai bahawa segala sesuatu yang dibincangkan dengan penuh kematangan fikiran dan keterbukaan minda serta keikhlasan hati dapat menciptakan hasil positif yang diharapkan oleh semua pihak yang terlibat dalam mana-mana perbincangan itu.

Rigkasnya . . . aku percaya dengan cara atau amalan berbincang untuk mencari jalan penyelesaian dalam menghadapi sesuatu krisis atau kemelut hidup kerana aku sudah terdidik sedemikian oleh ayahandaku. 











Antara surat yang pernah dikirim ayahanda Baharom Mohd Shariff kepadaku ketika aku ingin melaksanakan hasratku melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1975.








Isi surat yang mempamerkan betapa prihatinnya seorang ayah terhadap keperluan anaknya dalam sesuatu keadaan krisis atau masalah . . . walau bagaimana kecil sekalipun masalah itu. 

Terang-terang aku akui aku tidak akan mampu membalas segala kebaikan budinya sampai bila-bila pun. 

Dari dulu lagi . . . aku dilatih menyelesaikan sesuatu masalah yang dihadapi dengan berbincang secara bijaksana . . . bukan dengan bertindak melulu atau membuat keputusan ketika diri penuh beremosi. 










Ketua Keluarga Disegani
{Petikan daripada dsuarang. blogspot.com}
THURSDAY, MAY 20, 2010


Terima Kasih Pak 




Walaupun dia pergi untuk selama-lamanya ketika aku sudah berusia tahap melebihi pertengahan umur . . . aku masih amat terasa akan pemergiannya itu. Aku kehilangan tempat "berbicara" dan tempat "berbincang". Dalam bahasa mudah . . . aku sesungguhnya hilang tempat "mengadu hal".

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Ayahandaku Baharom bin Mohd Shariff dan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam setinggi-tinggi dan semulia-mulia tempat di sisi Allah swt. 

Al-Fatihah . . .









Ketua Keluarga Disegani












Tuan Hj Baharom Mohd Shariff







bamuda
dsuarang.blogspot.com







Berkat didikan itu! Aku kini berpegang teguh kepada apa yang telah diajarkan ayahandaku. 



Sehingga ini . . . apa yang aku amalkan daripada ajaran ayahandaku itu tidak pernah mengecewakan atau merugikan aku. 



Terima kasih ayahanda Baharom bin Mohd Shariff. Nilai yang murni ini memang sudah lama tersemat kuat di dalam jiwaku. Berkat didikanmu! 





bamuda
dsuarang.blogspot.com