Friday, April 27, 2012

Perihal Kawanku Bahasa 3






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera

Terkenal Kerana Nama


Kata orang . . . setiap yang baik itu menghasilkan sesuatu yang baik juga. Betapa tepatnya kata-kata ini. Sejak beliau dinamakan Bahasa oleh ibu dan bapanya . . . manusia yang bergelar Bahasa ini melalui berbagai pengalaman yang boleh disifatkan di luar dugaan.











Namun pengalaman-pengalaman tersebut menjadikan Bahasa bertambah matang dan berjaya dalam hidupnya. Maka itulah hikmahnya . . . Bahasa dinamakan Bahasa oleh kedua orang tuanya.

Kita ikuti kisah-kisah selanjutnya.


Kisah 6

Bahasa, Bahasa, Bahasa


" 'Apabila telah tamat pengajian di USM saya dilantik memegang jawatan sebagai: Pegawai Perancang Bahasa, Bahagian Peristilahan, Jabatan Pengembangan dan Penyelidikan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka. Ketika saya mula menyandang jawatan itu tugas saya amat berat sekali, iaitu setiap masalah penggunaan dan pentafsiran bahasa (dari masyarakat luar Dewan) ditujukan kepada saya. Antaranya ada panggilan dari luar Dewan yang berbunyi:















'Selamat pagi encik. Nama encik ni siapa?' Tanya suara dari corong telefon itu.

'Selamat pagi. Nama saya Bahasa. Apa masalah encik?' Jawab saya.

'Aaa . . . Bahasa. Encik jangan main-main.' Jawab orang itu.

'Betul. Nama saya Bahasa bin Othman.' Jawabku lagi.

'Saya tak percayalah. Mana ada orang bernama Bahasa, bertugas di Dewan Bahasa pula.' Kata orang itu.

'Betul, saya tidak bohong. Ya, apa masalah encik ni.' Kataku lagi.

Oklah. Saya nak tanya encik apa bezanya meriam dengan Mariam?' Tanya orang itu.

Sebelum saya menjawab persoalan orang itu, hati saya mula berkata: Orang ini nak menguji aku ke atau betul-betul dia hendak tahu makna perkataan itu?

'Beginilah jawapan dari saya. Meriam itu ialah sejenis senjata api yang lebih besar daripada senapang. Meriam itu ada dua jenis iaitu meriam buluh (meriam yang diperbuat daripada buluh) dan meriam katak (meriam yang kecil lagi pendek larasnya), iaitu satu benda tidak boleh berkata-kata. Meriam biasanya diletakkan di tepi tembok. Manakala Mariam pula ialah nama orang. Mariam ialah sejenis manusia yang boleh berkata-kata antara satu sama lain. Kadang kala sebelum nama Mariam itu ditambah Siti, iaitu jadi Siti Mariam.

'Terima kasih encik. Kalau encik ni betul-betul nama Bahasa, maka nama encik ni memang uniklah. Selamat bertugas.' Kata orang itu.

Selepas saya menjawab soalan yang diminta oleh orang itu tadi, maka saya terus menghubungi operator.

'Kak, jika ada orang bertanyakan tentang masalah bahasa maka akak sambungkanlah kepada talian yang dikhaskan pertanyaan tentang masalah bahasa itu. Di situ ada beberapa orang pegawai yang ditugaskan untuk menjawab masalah penggunaan bahasa. Kalau semua masalah saya seorang yang hendak jawab, maka parahlah saya.' Kata saya kepada operator itu.

'Oklah.' Jawab operator itu.

Walaupun telah beberapa kali saya ingatkan kepada operator itu, namun ada juga panggilan masuk ke talian saya. Lantaran itu maka saya mohon berpindah ke Bahagian Buku Teks. Permohonan saya diluluskan.

Ketika saya bertugas di Bahagian Buku Teks, saya diserahkan tugas untuk mengendalikan proses menerbitkan Buku Bahasa Melayu Tahun 1 (SRJK C/T).

Jadi, ke mana juga saya pergi tugas mengenai Bahasa Melayu tetap mengekori diri saya.

'Hai nasibku yang bernama Bahasa. Lepas ni entah apa lagi yang aku kena pikul.' Rintih hati kecilku. "



Demikian cerita benar daripada Tuan Hj Bahasa Othman sendiri.



Komen blogger:

1. Perhatian aku tertarik kepada hal si pemanggil yang bertanya tentang beza antara 'meriam' dengan 'Mariam'. Aku terfikir . . . apa nak susah-susah . . . lihat sahaja dalam Kamus Dewan. Habis cerita. Aku juga terfikir . . . mujur Tuan Bahasa kita ni lurus orangnya. Jika beliau seorang yang 'loyar' buruk dan memberikan jawapan begini:

meriam = sejenis senjata api yang 'menembak' . . .  Mariam = . . . yang 'kena tembak!' . . . Macam (yang aku ingat) dalam peristilahan bahasa dulu-dulu tentang ayat . . . 'bangun membuat' dan 'bangun kena buat' . . . (sekarang dah disebut ayat 'aktif' dan ayat 'pasif' . . . kalau tak silap aku . . .)

atau


Apabila 'Mariam' itu dieja 'Meriam' dan digunakan sebagai nama (aku sering terjumpa manusia yang menggunakan nama 'Mariam' dieja begini . . . 'Meriam'!) . . . bagaimana pula jadi penjelasannya? Maka . . . Siti 'Meriam' jadi separuh 'manusia' separuh 'peralatan'?

atau

meriam buluh = meriam yang diperbuat daripada buluh . . . 
 
meriam katak = meriam yang diperbuat daripada katak?


Penulis sekadar teringat akan peristiwa ketika menjadi editor di sebuah publishing house pada tahun-tahun 80-an dulu . . . ada seseorang menterjemahkan " catfish "  sebagai " ikan kucing ". . . Renungkanlah!



Ada lagi sambungan cerita kepada kisah-kisah berkaitan nama Tuan Hj Bahasa kita ini. Mari kita dengar seterusnya.




Kisah 7

Minta Pencen Awal


" ' Memandangkan bebanan kerja yang aku kena pikul tidak berkesudahan maka saya berazam hendak pencen awal. Rancangan saya ini akan aku lakukan selepas menunaikan fardu haji, iaitu pada tahun 2000. Apabila saya kembali sahaja menunaikan fardu haji (2000) maka saya terus mengisi borang untuk pencen awal.

'Dah pencen nanti lepaslah beban mengenai bahasa ini.' Kata hati kecilku.

Masa terus berlalu. Lebih kurang enam bulan permohonan saya untuk pencen awal telah diluluskan oleh Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam.










'Ha!! Lega. Lepas ni boleh aku tumpukan untuk meneruskan bidang penulisan buku cerita kanak-kanak dan buku bidang bahasa peringkat sekolah rendah.' Kata hati kecilku.

Belum pun sempat saya meninggalkan Dewan Bahasa untuk bersara awal, pada satu pagi ada satu panggilan telefon dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.

'Assalamualaikum tuan haji. Kalau tiada keberatan saya minta tuan haji datang ke Pejabat Dekan Fakulti Bahasa besok, iaitu kira-kira jam 10:00 pagi.' Kata suara itu.

'Ada apa tu?' Aku bertanya kepada suara sedang bercakap dengan saya itu.

'Dr. Alias Mohammad Yatim, nak jumpa tuan haji.' Kata suara itu.

Saya tidak lagi bertanya lebih lanjut, kerana Dr. Alias Muhammad Yatim itu adalah pensyarah yang pernah mengajar saya dalam bidang bahasa di USM dahulu.

'Apa hal Dr. Alias hendak jumpa ni. Tak apalah, aku kena pergi jumpa dia. Dia tu guru saya.' Kata hati kecilku.

Besoknya saya pun pergi ke UPSI. Apabila saya berada di dalam bilik Dr. Alias maka beliau pun mula berkata:

'Bahasa, saya nak lantik kamu menjadi tutor (sambilan) di Fakulti Bahasa ini. Saya tahu kamu itu. Dahlah kerja di Dewan Bahasa, kamu tu bagi saya amat layak untuk mengajar subjek Bahasa Melayu di UPSI ini.' Kata Dr. Alias.

'Kalau saya kata saya tak layak dan tidak berkemampuan menjadi tenaga pengajar (tutor) di UPSI Dr. marah kepada saya ke?' Kata saya kepada Dr. Alias.

'Bagi saya, kamu layak. Terima sahajalah.' Kata Dr. Alias lagi.

'Kalau dah begitu kata Dr. saya terimalah tawaran Dr. itu khususnya dari UPSI.' Kataku lagi.

Selepas saya memberi pengakuan sedemikian maka Dr. Alias amat suka hati.

Dalam perjalanan balik ke rumahku, hatiku berkata:
'Ini sudah ketentuan daripada Allah. Namaku Bahasa, apa sahaja yang berkaitan dengan bahasa saya juga orang nampak, orang lain bukan tak bagus malah lebih baik dari aku. Tak apalah Allah telah tentukan diri aku begini. Aku kena terima dan laksanakan tugas dengan sebaik mungkin.' Aku pun bertugaslah sebagai tutor (sambilan) di UPSI selama dua semester. Lepas itu saya terpaksa berundur diri. "

Hj Bahasa kemudiannya bercerita pula tentang kisah beliau menjadi 'pusat penghuraian bahasa' . . .  (bukan 'pusat Bahasa') . . . di kariah masjid tempat tinggal beliau. Begini kisahnya.

Kisah 8

Pakar Rujuk Bahasa


" 'Kisah kali ini berkaitan dengan seorang ustaz (Ustaz Abd. Razak Mahadi) yang sering memberi kuliah di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih (daerah tempat saya tinggal). Ustaz Abd. Razak sering menyebut nama saya ketika dia berkuliah jika dia bersua dengan sesuatu perkataan yang payah untuk dihuraikan pengertiannya dalam bahasa Melayu.







'Ha . . . Ini tugas Haji Bahasa.' Kata ustaz Abd. Razak kepada saya melalui pembesar suara yang ada di hadapannya.

'Hai !! Nasib badanku yang bernama BAHASA!!!' Kata hati kecilku.' "

Antara perkataan-perkataan yang diminta oleh Ustaz Abd. Razak Mahadi supaya dihuraikan Hj Bahasa:

1.

Pengertian - DUBUR / JUBUR
Penjenisan / spesifikasi dari segi bahasa

Perkataan dubur dan jubur adalah dikelompokkan dalam senarai kata sinonim (seerti).

Dubur / Jubur - Satu bahagian pada punggung tempat najis dan angin dikeluarkan.

Bahasa  halus (bersopan)

Najis disebut juga tahi (hampas makanan dalam perut) yang dikeluarkan melalui dubur / jubur. Angin juga keluar pada dubur / jubur.

Keluar angin = Terkentut


2.

Keluar tahi (banyak dan keras) = Biasanya disebut buang air besar.
Keluar tahi (sedikit dan cair) = Biasanya disebut terkincit

Terkincit-kincit = Cirit birit


Bahasa kasar
Berak. Hampas makanan yang dikeluarkan melalui dubur / jubur.
Bahasa kasar - Biasa disebut terberak.

Kalau kerap berlaku disebut terberak-berak.



5 Mac 2008

Berselampit (bercawat)

Cawat = Kain lampin = kain napkin = kain tuala

Pakai cawat = Pakai lampin = Pakai napkin = Pakai tuala


Bercawat = Berlampin (Berkain lampin) = Bernapkin (Berkain napkin) = Bertuala (berkain tuala) 



23 April 2008


Lungsing (tak ada dalam perbendaharaan Bahasa Melayu)

Yang Ada:

Lungsin : Benang yang memanjang pada tenunan.

SUING : Memukul (menggunakan sebarang alat) atau menumbuk (menggunakan tangan)

  

18 Mei 2008


GESEL

Perkataan yang sinonim (seerti) dengan perkataan GESEL ialah:

Gesek   Geser   Gosok   Sental   Genyeh   Gonyoh   Kesat   Tonyoh   Tenyeh

Perkataan yang sesuai bagi menggantikan perkataan GESEL ialah SENTAL (Menyental).

Maksud sental / menyental ialah menggosok dengan kuat sehingga bersih.



Penulis baru sahaja hendak memberhentikan penulisan dalam episod ini kerana Tuan Hj Bahasa telah habis bercerita . . . tetapi tiba-tiba penulis teringat akan kehebatan orang yang bernama Bahasa ini. Itu baru nama satu kerat . . . Bahasa . . . saja! Kalau nama tiga kerat bagaimana?

Contohnya . . . sudah menjadi trend orang sekarang memakai nama tiga kerat untuk anak-anak mereka. Katalah . . . 'Ahmad Iman Iskandar' atau 'Azim Muqry Basrie' atau 'Umar Ilham Majid' atau 'Dian Seri Aishah'. Bayangkan betapa lebih hebatnya kalau nama satu kerat 'Bahasa' itu menjadi nama tiga kerat seperti mereka yang disebutkan di atas . . .  maka 'Bahasa' berkemungkinan menjadi 'Bahasa Jiwa Bangsa' pula . . .Waduh pak . . . meletup!

Hingga di lain waktu atau episod . . . salam mesra daripada penulis dan . . . hidup Bahasa!



Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Wednesday, April 25, 2012

Perihal Kawanku Bahasa 2




Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Namaku Istimewa


Untuk menyambung cerita tentang berbagai-bagai perkara luar dugaan yang dialami kawan baik aku . . . Tuan Hj Bahasa Othman . . . bersangkutan dengan namanya . . . aku meminta beliau sendiri meneruskan kisah-kisah yang ada kalanya serius dan ada waktunya pula humorous . . . agar gaya penceritaannya menjadi lebih autentik. 






Hj Bahasa bersetuju dengan cadangan itu. Maka . . . beliau pun meneruskan kisah-kisah yang berkaitan dengan keistimewaan namanya . . . Bahasa.


Kisah 3

Era Baru - Bidang Kerjaya



" 'Apabila saya sampai ke DBP saya terus jumpa pengawal yang bertugas ketika itu.

'Assalamualaikum.' Kataku kepada pengawal itu.

'Mualaikumsalam.' Jawab pengawal itu.

'Encik, di DBP ni ada kerja kosong ke?' Tanya saya kepada pengawal itu.

'O . . .  Itu kena tanya Bahagian Pentadbiran dan Perjawatan. Bahagian itu terletak di tingkat 4.' Jawab pengawal itu.

Selepas diberikan pas melawat kepada saya, maka saya pun pergi di Bahagian Pentadbiran dan Perjawatan itu. Apabila saya sampai ke Bahagian Pentadbiran dan Perjawatan itu maka saya pun bertanya kepada kerani di situ.

'Encik, saya datang ni nak cari kerja. Di sini ada kerja kosong ke?' Tanya saya kepada kerani itu.

'Ada, iaitu pekerja setor (sambilan). Jika kamu mahu sila isi borang ini. Pihak kami akan hubungi kamu bila jawatan itu hendak mula diisi.' Kata kerani itu.

Saya tidak berfikir panjang. Saya pun isi borang yang diberikan kepada saya. Apabila saya telah selesai mengisi borang itu saya pun beredar dari DBP.

Lebih kurang dua minggu saya pun terima surat tawaran kerja dari DBP sebagai Pekerja Stor (sambilan).

Saya beri tahu ayah dan ibu saya bahawa saya dapat kerja di DBP itu.

'Terpulanglah kepada kamu. Jika kamu hendak kerja itu pergilah.' Kata ayah dan ibu saya.

Besoknya saya pergi ke DBP untuk memulakan tugas sebagai pekerja stor.

Setelah beberapa hari bekerja di Stor itu maka ada seorang pekerja di Stor itu bertanya kepada saya.

'Kamu ni orang baru ke?' Tanya pekerja yang bernama Zam Ashari kepada saya.






'Ya.' Jawabku pendek.

'Siapa nama kamu?' Tanya si Zam lagi.

'Nama saya Bahasa.' Jawabku pendek.' "


(Kisah perbualan saya ini terdapat di dalam majalah Anis Jun 2010, iaitu pada tajuk Pelik Tetapi Benar - ms 88-89).










Kemudian aku meminta Hj Bahasa bercerita pula tentang kisah bagaimana beliau meningkat naik setahap demi setahap dalam kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).







Sambil itu Hj Bahasa ada juga menyelitkan episod lucu dalam kisah yang diceritakannya itu. Mari kita sama-sama ikuti kisah ini.


Kisah 4

Peningkatan Kerjaya


" 'Kisah seterusnya ialah saya amat bernasib baik kerana dilantik memegang jawatan sebagai kerani. Pada ketika ini saya ditugaskan buat seketika di kaunter jualan buku di Kedai Buku (ketika itu kedai buku itu berada di bahagian bawah bangunan DBP).

Satu pagi datang seorang berbangsa Cina ke kedai buku itu. Dia asyik memandang saya sahaja.

'Apa hal orang ni.' Kata hati kecilku.

'Encik. Dewan Bahasa ini encik punya ke?' Tanya orang yang berbangsa Cina itu.

'Saya pekerja di sini. Dewan Bahasa ini kerajaan yang punya.' Jawabku kepada soalan orang Cina itu.

'Encik jangan bohong. Itu nama yang ada pada poket baju itu tertulis Bahasa. Jadi, bangunan ini sudah tentu encik yang punya.' Kata orang Cina itu. 


 



Ketika itu saya terkejut mendengar kata-kata sedemikian, kerana selama ini saya tak terlintas langsung di dalam minda saya bahawa ada orang prangsangka begitu.

'Encik, kita orang Cina, jika bangunan itu tertulis Tan Chong Motor, maka bangunan itu pemiliknya bernama Tan Chong. Jika pada tembok bangunan itu tertulis Lee Rubber maka tauke yang memiliki kilang getah itu bernama Lee. Jadi bangunan ini encik yang punya, kerana pada atas bumbung sana ada tulis nama encik. Wa . . . Encik banyak kaya la.' Kata orang Cina itu.

Belum sempat lagi saya berkata, tiba-tiba dia memegang tangan saya dan membawa saya ke luar bangunan DBP. Apabila sampai di luar pagar DBP maka orang Cina itu lalu dia menunjukkan jari ke arah nama DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA  terletak di bahagian atas bangunan Dewan itu (Bangunan lama).

Berkali-kali saya terangkan kepada orang Cina itu, tapi dia masih mengatakan bahawa saya ini orang kaya dan DBP itu saya yang punya.

Apa boleh buat, saya terpaksa terima hakikat sebegitu.' "

 (Ada disiarkan dalam Bacaria 26 Nov 2005)







 Hj Bahasa kemudiannya bercerita lagi. Aku leka mendengarnya.






 Kisah 5

Melanjutkan Pelajaran

" 'Masa terus berlalu. Memandangkan di DBP banyak kemudahan untuk mendapat bahan bacaan berbagai bidang maka saya telah ubah strategi hidup saya. Saya telah ambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Berkali-kali juga saya menduduki peperiksaan STP akhirnya dengan kelayakan yang saya perolehi saya berjaya menyambung pelajaran (Pelajar Luar Kampus di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang). Saya dan pelajar-pelajar lain lazimnya pada setiap hujung tahun kena masuk belajar di dalam kampus di USM itu selama tiga minggu.

Ketika saya berada di kampus itu terjadi lagi satu cerita yang menggelikan hati. Cerita ini dipaparkan oleh sdr. Muhammad Mat Yakim dalam surat khabar Bacaria 26 Nov 2005  . . 
.









dan SINAR HARIAN 17 Mac 2011 - Khamis. 






Demikian kisah yang dapat diceritakan Hj Bahasa kepada aku. Katanya ada lagi kisah selepas ini. Kita tunggulah kisah-kisah beliau selanjutnya . . . insya-Allah selepas siaran ini. 







Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Tuesday, April 24, 2012

Perihal Kawanku Bahasa





Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera


Apa Ada Pada Nama?


Jangan sekali-kali kita nafikan bahawa nama amat mempengaruhi ruang dan suasana hidup seseorang. Sering kita dengar orang menyatakan, "Apa ada pada nama. Tak penting pun . . . hanya merupakan panggilan atau sebutan bagi seseorang, sesuatu barang atau sesutau tempat dsb.

Namun mengapa ramai pula pihak yang sanggup bermati-matian mencari atau mempertahankan nama? Jawapannya . . .  demi kehormatan, kebaikan, kemasyhuran, pujian dan paling penting kerana maruah.

Andai seseorang bertanya kepadaku apalah penting sangat sesuatu nama atau apalah ada pada nama . . . aku akan jawab, "Macam-macam ada!"

Ada nama hebat ada nama biasa. Ada nama panjang ada nama pendek. Ada nama moden ada nama klasik. Ada nama simple ada nama bombastik . Ada nama mengelirukan ada juga nama yang menggelikan hati. Pendeknya ada macam-macam nama yang membawa macam-macam maksud atau pengertiannya yang  tersendiri.

Seorang kawan baik aku punya nama yang mudah sahaja . . . tetapi namanya itu kerap menyebabkan beliau mengalami hal-hal yang menarik dalam hidupnya . . . kadang-kadang perkara yang di luar dugaan . . . semata-mata kerana nama yang dianugerahkan kepadanya oleh orang-orang tuanya dahulu amat signifikan sifatnya dalam kehidupan kita sehari-hari.

Nama itu . . . Bahasa. Kawan baik aku itu bernama Bahasa bin Othman. Memang nama betulnya. Ada beberapa kisah lucu tentang nama kawan baik aku ini.



Penulis (kiri) dan Tuan Hj Bahasa Othman 


 Hj Bahasa menyampaikan ceritanya . . . 


Siap dengan potongan artikel 
daripada akhbar/majalah dsb 


Aku cuba turunkan di sini cerita-cerita yang disampaikan oleh Tuan Hj Bahasa bin Othman . . . mantan Pegawai Perancang Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) KL . . . tentang pegalaman beliau menyangkut namanya itu.



 

Penulis meneliti keterangan/maklumat diberi Hj Bahasa




Pose untuk dsuarang ni Ji


Cerita-cerita itu disampaikan kepadaku ketika Hj Bahasa berkunjung ke rumahku pada hari Khamis 22 Mac 2010.

Kisah 1

Suka kepada pelajaran Bahasa 
Hj Bahasa menceritakan:


" Pada usiaku pada peringkat kanak-kanak, keganjilan namaku yang bernama BAHASA tidaklah menjadi tanda tanya kepada diri saya atau lebih tepatnya tidaklah menjadi keanehan pada diri saya sepanjang usia muda (peringkat sekolah rendah).

Jadi saya tidak berasa hairan dan kagum kenapa kerani sekolah rendah tempat saya mula-mula mengenal huruf dan seterusnya tahu membaca iaitu di Sekolah Kebangsaan Tapak, Padang Lebar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan, menaipkan di ruang 10. Kebolehan yang istimewa atau kecenderongan yang tertentu . . . dalam SIJIL TAMAT PELAJARAN SEKOLAH RENDAH (1963) bahawa saya ini Suka kepada pelajaran Bahasa. "









Kisah 2

Mencari Kerja di KL
Hj Bahasa bercerita lagi:



" Apabila sudah tamat sekolah menengah pula, iaitu selepas keputusan SPM diumumkan pada tahun 1969 nasib saya kurang baik iaitu hanya dapat pangkat 3 sahaja. Jadi saya tidak berpeluang untuk meneruskan pelajaran ke tingkatan enam.

Memandangkan untuk meneruskan pelajaran tidak ada peluang lagi maka saya pun mencari kerja di Kuala Lumpur.

Apabila sampai di Kuala Lumpur (Perhentian Bas Pudu Raya) saya pun tahan sebuah teksi untuk hantar saya ke DBP. Tetapi sebelum teksi mula bergerak dari Pudu Raya, pemandu teksi itu tanya macam-macam kepada saya.

' Awak dari mana?' Tanya pemandu teksi itu.

'Dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan.' Jawabku akan persoalan pemandu teksi itu.

'Apa hal awak hendak pergi ke DBP?' Tanya pemandu teksi itu lagi.

'Saya nak cari kerja.' Jawabku pendek.

'Apa kelulusan kamu. Untuk kerja di DBP itu kamu mesti pandai mengarang. Kamu ni pandai mengarang ke?' Kata pemandu teksi itu.

'Saya berkelulusan SPM sahaja. Saya bukan hendak cari kerja sebagai pengarang.' Kataku lagi. 

'Aa . . . Siapa nama awak ni?' Tanya si pemandu teksi itu lagi.

Ketika itu saya terfikir di dalam otak saya, kenapa pemandu teksi ni banyak tanya. 'Agaknya pemandu teksi di Kuala Lumpur ini memang peramah.'

'Aa . . . Nama saya Bahasa.' Jawabku pendek.

'Aaa . . . Bahasa! Awak ni siuman ke tidak?' Tanya si pemandu teksi itu.

'Betul!! Nah ini kad pengenalan saya. Encik lihatlah sendiri,' kataku sambil menunjukkan kad pengenalan saya itu  kepada pemandu teksi itu.

Selepas pemandu teksi itu membelek-belek kad pengenalanku itu maka dia pun berkata:

'Pelik!! Pelik!! Rupa-rupanya ada orang bernama Bahasa. Kalau begitu kamu memang layak kerja di DBP itu. Saya doakan kamu berjaya bekerja di DBP itu nanti.' Kata pemandu teksi itu dan terus bawa saya ke bangunan DBP."


 Komen blogger: 

1. Aku ingin tahu berapa orang yang bernama Bahasa di Malaysia ini? Adakah kawan baik aku ini seorang sahaja yang memakai nama ini? Aku memang tiada kawan atau kenalan lain yang bernama Bahasa. Memang eksklusif nama ini!

2. Rupa-rupanya nama pun boleh memainkan peranan atau menjadi kriteria bagi mendapatkan pekerjaan  untuk seseorang di organisasi yang ada sangkut pautnya dengan nama itu. Atau . . . mungkin juga si pemandu teksi itu merupakan salah seorang daripada mereka yang doanya terkabul hinggakan Tuan Hj Bahasa  dapat bekerja di DBP itu. Wallahuaklam. 


Terima kasih Tuan Haji Bahasa kerana sudi menceritakan cerita-cerita yang menarik ini. Cerita-cerita selanjutnya daripada beliau . . . harap para pembaca tunggu terbitnya ya. ( Bahasa billboard wayang: Next Change . . . Pertukaran Akan Datang . . .)




Bamuda
dsuarang.blogspot.com

Monday, April 23, 2012

Travelog Ipoh: Bertemu Hj Abdul Halim Ahmad



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera


Kunjung Sahabat di Utara 2


Kami meninggalkan rumah Hj Mohd Rodzi Abdul Rahman di Taman Pauh Jaya, Permatang Pauh pada jam  12:00 tengah hari. Penulis dan isteri Alimah, anak Mazlyna Hanum (Anum), menantu Royhai'zam (Roy) dan cucu Azim Muqry Basrie (Ajim) meneruskan perjalanan pulang ke KL.

Pada hari Sabtu 24 Mac 2012 itu kami dengan tenang menelusuri Lebuhraya Utara-Selatan arah KL. Kami tidak perlu bergegas atau tergesa-gesa dalam perjalanan ini kerana tiada apa yang hendak dikejarkan di KL itu.

Sepanjang perjalanan  . . . terasa wujud suatu kepuasan kerana telah dapat menemui Hj Rodzi sekeluarga pagi tadi. Kini aku berhasrat singgah di Ipoh pula untuk bertemu sahabat haji kami yang tinggal di sana.

Sahabat haji kami kali ini ialah Tuan Hj Abdul Halim bin Ahmad dan isteri beliau Puan Hjh Noral Saniah bt Mohd Som. Mereka ini pernah menjadi teman sebilik kami masing-masing ketika di Madinah. Hj Halim sebilik denganku manakala Hjh Noral sebilik dengan isteriku Alimah. Aku dan Hj Halim juga tinggal sekhemah di Mina. 





Tuan Hj Abdul Halim Ahmad

Pn Hjh Noral Saniah Mohd Som

Walaupun kami sebilik dan sekhemah selama lebih kurang 11 hari sahaja . . . waktu tersebut sudah mencukupi untuk kami menjalinkan persahabatan yang rapat dan penuh dengan persefahaman yang tulen. Tali silaturahim antara kami terikat erat. Alhamdulillah.

Pasangan suami isteri ini baik orangnya dan berbudi tinggi. Penulis dapat memerhatikan bahawa mereka suka menolong atau membantu sahabat-sahabat lain yang memerlukan pertolongan atau bantuan ketika di Tanah Suci. Allah sahaja yang dapat membalas segala keikhlasan hati mereka bertindak sedemikian itu.



 Kami mengikuti rapat kereta Hj Halim

Penulis dan keluarga tiba di susur keluar Tambun pada lebih kurang jam 2:30petang. Ketibaan kami ditunggu Hj Halim di pekan Tambun berhampiran sebuah outlet 7-Eleven. Hj Halim 'terpaksa' menunggu kami di situ kerana kami tidak tahu lokasi rumah beliau di Taman Ampang Indah, Ipoh . . . walaupun rumah itu terletak selari bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan arah KL.



Ajim gembira macam di rumah sendiri saja . . . ok le Ajim . . .




Ajim bermain-main dengan abang-abang . . . 2 putera Hjh Noral dan Hj Halim

Apa mainan tu abang? Alah Ajim . . . kamu main aje le . . . sure best punya . . .



Tuan rumah melayan tetamu dengan mesra sekali . . . Terima kasih kami ucapkan




Hjh Noral tuang air hidangan . . . Anum tonton TV . . . Ajim simply not interested



Anum dan Ajim . . . Ajim asyik menoleh . . . nak join abang yang sedang relaks tu . . .

 Di rumah Hj Halim dan Hjh Noral . . . kami memperkenalkan anak menantu dan cucu kami . . . dan mereka juga memperkenalkan anak-anak mereka.




Dari kiri: Hjh Noral Saniah, Royhai'zam,
 Hjh Alimah, penulis, Hj Halim


Sembang-sembang Yeop . . . dah lama tak jumpa . . . 

 Tu le yang teman maleh . . . 
dah dapat besembang payah beno nak ghentinya 

Begambo le pulak . . . weh

Pose Istimewa Dua Sahabat 

Dari kiri: Penulis, Hjh Alimah, Hjh Noral Saniah, Hj Halim

Kami saling bertanya khabar dan bersembang berbagai perkara sambil mengenang kembali berbagai peristiwa yang tidak mudah dilupakan ketika berada di Tanah Suci.

Dua sahabat yang bertemu di Tanah Suci . . . dan hari ini Alhamdulillah bertemu lagi


Sesi telefon menelefon . . . kat member haj lain . . .  agenda berasingan tidak dirancang . . .

Pada kira-kira pukul 4:30 petang kami memohon diri untuk pulang ke KL dengan berjanji akan datang mengunjungi mereka lagi . . . andai diizinkan Allah swt kelak.

 

Hingga berjumpa lagi . . . semoga selamat sejahtera semuanya . . . 



  Tak habih-habih begambo kome . . .
 Buat kenang-kenangan ye dak 

Demikian adanya . . .
 kunjungan yang sungguh menggembirakan 

Bye


Mereka juga kami harapkan dapat ke rumah kami apabila ada kelapangan waktu. Insya-Allah niat yang baik itu . . . pasti ditunaikan oleh-NYA jua.

Sekian dulu secebis kisah pertemuan sahabat haji di Ipoh. Salam.


Bamuda
dsuarang.blogspot.com