Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera
Pertunangan Shafik - Nalliz
Hari ini . . . Sabtu 22 Ogos 2015 bersamaan 7 Zulkaedah 1436H . . . penulis, isteri serta anak dan menantu menyertai suatu rombongan meminang dari Bukit Indah, Ampang.
Rombongan meminang yang kami sertai ini sederhana ramai anggotanya dan diketuai Lt Kol Hj Basri Omar PGB (Bersara) dan Pn Hjh Zawiyah Hj Abdul Aziz. Mereka masing-masingnya adalah ayah dan ibu kepada Mohd Shafik.
Lt Kol Hj Basri Omar PGB (Bersara)
Puan Hjh Zawiyah bte Hj Abdul Aziz
Kami serombongan tiba di Wisma Perwira Kota, Kuala Lumpur . . . sebuah mes pegawai RAJD (Rejimen Askar Jurutera Diraja) . . . pada kira-kira jam 11:10 pagi.
Encik Mohd Shafik bin Basri
Mohd Shafik Basri, anak keempat pasangan suami isteri Basri dan Zawiyah, berhajat meminang gadis idamannya yang tinggal sekejiranan dengannya.
Majlis pertunangan dijadualkan bermula sebentar nanti pada kira-kira pada jam 11:30 pagi.
Ketibaan rombongan kami disambut dengan penuh mesra oleh ahli-ahli keluarga pihak bakal pengantin perempuan.
Kami dipersilakan oleh ahli-ahli keluarga terdekat pihak perempuan untuk masuk ke ruang tamu tempat majlis akan berlangsung.
Setelah kami selesa duduk dan saling bersuai kenal antara satu sama lain, acara pun bermula.
Acara Meminang
Acara dimulakan oleh juru cakap pihak tuan rumah pada lebih kurang jam 11:30 pagi.
bukan lebah sebarang lebah,
lebah perkasa singgah di para;
bukan madah sebarang madah,
madah pembuka wadah bicara.
Tuan Hj Mokhtarudin bin Abu Samah (bapa saudara nasab bapa bakal pengantin perempuan) bertindak sebagai juru cakap pihak perempuan manakala YBhg Datuk Haji Abdul Halim bin Abdul Hamid (bapa saudara nasab bapa bakal pengantin lelaki) bertindak sebagai wakil pihak lelaki.
YBhg Datuk Hj Abdul Halim Abdul Hamid
yang tersirat sudah tersurat,
yang tersurat semakin nyata;
yang diikat biarlah erat,
yang bermuafakat biarlah sekata.
Alhamdulillah segala urusan pinang-meminang pada pagi itu telah dapat dijalankan dengan sesempurna mungkin.
Cik Nalliz bte Zainal Abidin
Cik Nalliz bte Zainal Abidin merupakan si gadis manis yang menjadi pilihan Shafik. Nalliz ialah anak sulung Tuan Zainal Abidin bin Abu Samah dan Puan Jasliza bte Johor, pasangan suami isteri yang menjadi tuan rumah pada hari ini.
Tuan Zainal Abidin bin Abu Samah
Puan Jasliza bte Johor
Menyarung Cincin Pertunangan
Menjamu Selera
Memetik maksud kata-kata pesanan Tuan Zainal Abidin, bapa bakal pengantin perempuan, pada penghujung majlis:
. . . ada dua Pegangan(nya) terhadap keingkaran dalam ikatan pertunangan . . .
Pegangan Pertama:- janganlah ada keingkaran dalam ikatan pertunangan ini; dan,
Pegangan Kedua:- andainya berlaku juga keingkaran sama ada di pihak lelaki atau perempuan maka satu-satunya alternatif ialah kembali kepada Pegangan Pertama tadi . . .
Pegangan Pertama:- janganlah ada keingkaran dalam ikatan pertunangan ini; dan,
Pegangan Kedua:- andainya berlaku juga keingkaran sama ada di pihak lelaki atau perempuan maka satu-satunya alternatif ialah kembali kepada Pegangan Pertama tadi . . .
Cukup jelas maksudnya. Pertunangan ini hendaknya menjadi ikatan penyatuan dua insan daripada dua keluarga yang bermula baik dan berakhir baik juga.
Penulis bersetuju sepenuhnya dengan pernyataan beliau itu dan sesungguhnya ingin menambah sedikit dalam bahasa mudah:
Semoga dengan bertindak bijak akan terjaga nama baik diri sendiri dan terpelihara kemuliaan nama keluarga.
Selainnya . . . kita serahkan sahaja kepada ketentuan Allah swt.
sungguh berseri bunga selasih,
selasih datang dari Andalas;
sungguh kami berterima kasih,
budi tuan sukar dibalas.
Catatan Penghargaan:
[Terima kasih Royha'izam Basrie yang bertindak sebagai juru foto sepanjang majlis berlangsung.]
bamuda
dsuarang.blogspot.com