Tuesday, April 1, 2014

Sulung dengan Bongsu






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Fahmi n Hajar









Hari ini, Sabtu 29 Mac 2014 bersamaan 27 Jamadil Awal 1435H . . . penulis dan isteri menyertai suatu rombongan merisik dan meminang dari Seremban N9. 

Kami menyertai rombongan yang sederhana ramai anggotanya ini ketika mereka sampai di sebuah taman perumahan di Selayang, Selangor.


Rombongan berkenaan diketuai Tuan Zahari Ujang dan Pn Fadhila Mokhtar. Mereka masing-masingnya adalah ayah dan ibu kepada Amir Fahmi Zahari.

Amir Fahmi Zahari, anak sulung keluarga ini, berhajat merisik dan meminang gadis idamannya yang tinggal di Selayang.







Amir Fahmi Zahari


Gadis manis yang menjadi idaman Fahmi (panggilan popular untuk Amir Fahmi Zahari) bernama Siti Hajar Nasrodin.






Siti Hajar Nasrodin



Siti Hajar tentunya suatu nama yang mudah diingat di kalangan kita yang beragama Islam. Nama yang berkongsi keindahan persamaan dengan nama isteri seorang Nabi yang hebat . . . Ibrahim alaihissalam.

Nama yang sering dijadikan contoh semangat dan kegigihan seorang ibu yang terus-terusan berikhtiar menghadapi ujian daripada Allah SWT . . . demi kebajikan anak dan keluarganya!

Tidak akan pernah terlupakan kisah bagaimana Siti Hajar mencari air buat menghilangkan dahaga anaknya yang masih terlalu kecil ketika berlaku peristiwa itu . . . anaknya yang bernama Ismail Ibrahim.


Demikian secara ringkas penulis ingin menggambarkan harapan tinggi Fahmi terhadap gadis pilihannya Siti Hajar Nasrodin. 


Mudah-mudahan harapan yang menggunung itu tidak tinggal harapan belaka. Mudah-mudahan harapan si jejaka ini menjadi sesuatu yang nyata berisi manfaat.  

Siti Hajar Nasrodin yang senang dipanggil Hajar sahaja oleh ahli-ahli keluarga dan sahabat handainya ialah anak bongsu Tuan Hj Nasrodin Abd Wahab dan Pn Hjh Habibah, pasangan suami isteri yang menjadi tuan rumah pada hari ini.

Tergerak di hati penulis membuat kesimpulan sendiri bahawa pertunangan dua insan anak sulung dengan anak bongsu ini menampakkan sesuatu petanda awal yang baik.  

Penulis mengandaikan sedemikian berdasarkan  kepercayaan orang tua-tua dahulu bahawa "penjodohan si sulung dengan si bongsu lazimnya membawa lebih banyak keberkatan".

'Sejuk' . . . kata mereka yang bijak pandai itu. Maklumlah . . . yang sulung 'matang' yang bongsu 'manja'! 

Wallahuaklam . . . Allah SWT sahaja yang maha mengetahui akan permulaan dan kesudahan sesuatu. Kita hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk pasangan ini. 


Rombongan merisik dan meminang tiba di perkarangan rumah Hj Nasrodin dan Hjh Habibah pada kira-kira jam 3:30 petang.


















Ketibaan rombongan kami disambut dengan penuh mesra oleh anggota keluarga pihak perempuan . . . keluarga Hajar.


Kami dipersilakan masuk ke ruang tamu tempat majlis akan berlangsung.  








































\




Setelah selesa duduk dan saling bersuai kenal antara satu sama lain, acara pun bermula. 




























Acara dimulakan oleh juru cakap pihak tuan rumah pada lebih kurang jam 3:40 petang.




bukan lebah sebarang lebah,
lebah perkasa singgah di para;
bukan madah sebarang madah,
madah pembuka wadah bicara.

































Tuan Hj Mohd Sha'ari Abd Wahab bertindak sebagai juru cakap pihak perempuan manakala penulis menjadi wakil pihak lelaki.






Penulis (kiri) bersama Hj Sha'ari



Hj Sha'ari, mantan pegawai kanan kerajaan dan pensyarah. Beliau yang sudah lama bersara daripada perkhidmatan awam adalah bapa saudara (nasab bapa) kepada Siti Hajar.


Beliau abang sulung Hj Nasrodin yang juga seorang pensyarah bersara. Mereka ini kesemuanya 8 beradik. 



Perwatakan kedua-dua Hj Sha'ari dan Hj Nasrodin cukup ramah dan mesra. Amat nyata mereka berhemah tinggi. Dapat diperhatikan juga bahawa mereka mempunyai deria lelucon yang mendalam (possessing a deep sense of humour.)



Penulis yang mewakili pihak perempuan pula adalah bapa saudara (nasab ibu) kepada Fahmi. Ibu Fahmi, Pn Fadhila adik sepupu penulis.  









Dari kiri:
 Zahari Ujang, penulis, Hj Sha'ari






Puan Fadhila Mokhtar






 Zahari (kiri) bersama penulis




Majlis bermula dengan acara merisik, diikuti acara meminang, bacaan doa selamat, acara menyarung cincin / memakaikan rantai tangan, sesi bergambar dan berakhir dengan jamuan minum petang . . . selepas beberapa ketika kedengaran azan asar berkumandang daripada corong pembesar suara di masjid berhampiran. 




Acara Merisik





































Tuan Hj Nasrodin Abd Wahab
[Bapa bakal pengantin perempuan]



















Acara Meminang








































































yang tersirat sudah tersurat,
yang tersurat semakin nyata;
yang diikat biarlah erat,
yang bermuafakat biarlah sekata.



Alhamdulillah segala urusan merisik dan meminang hari ini dapat dijalankan dengan lancar.





Menyarung Cincin 
dan
Memakaikan Rantai Tangan



























Sesi Fotografi 



























































Kini Fahmi dan Hajar telah selamat dirasmikan sebagai pasangan yang telah bertunang . . . belum lagi sebagai pasangan suami isteri.


Insha Allah dalam jangka masa kira-kira setahun, lebih atau kurang, mereka akan mencapai juga status itu. Status suami isteri yang sah setelah bernikah. 




















Memetik maksud kata-kata Hj Nasrodin, bapa bakal pengantin perempuan, pada penghujung majlis:


" . . . pertunangan ini hendaknya menjadi ikatan penyatuan dua keluarga yang bermula baik dan berakhir baik juga . . . ini bukan permit untuk mereka melakukan apa sahaja menurut sesuka hati!"  



Penulis bersetuju sepenuhnya dengan pernyataan Hj Nasrodin dan sesungguhnya ingin menambah, dalam bahasa mudah:



"Sesuatu pertunangan bukan 'lesen besar' bagi pasangan yang bertunang itu! "



Maka penulis (Pak Uda) dengan ikhlas hati berharap Fahmi dan Hajar faham dan ingat akan pesanan ini yang semata-mata bertujuan memelihara etika pasangan yang baru bertunang. 



Menjamu Selera













Semoga dengan bertindak bijak akan terjaga nama baik diri sendiri dan terpelihara kemuliaan nama keluarga.




Sebelum Bersurai












Finale






Maka selain daripada itu . . . kita serahkan sahaja kepada ketentuan ilahi. 






sungguh berseri bunga selasih,
selasih datang dari Andalas;
sungguh kami berterima kasih,
budi tuan sukar dibalas.



lagunya 'Geylang si Paku Geylang',
Geylang bertempat di Singapura;
Doa kami sebelum pulang,
Yang tinggal nanti biarlah gembira.




Hingga tiba masa bermajlis kembali . . . 
Assalamualaikum



Catatan:

[Penghargaan kepada Nurain Faiqah Zahari yang sempat menjadi juru foto sebilangan rakaman gambar bahagian awal dalam siaran blog kali ini, dan juga buat Nadia Farhana Zahari yang sudi berkongsi sejumlah besar gambar peristiwa di penghujung majlis khususnya selepas acara merisik dan meminang. Terima kasih.]



bamuda
dsuarang.blogspot.com