Wednesday, July 10, 2013

STOP, STOP n STOP






Assalamualaikum dan Selamat Sejahtera



Untuk Kesekian Kalinya "Berhenti" Merokok! 


Hari ini, Rabu 10 Julai 2013, seluruh umat Islam di Malaysia sudah mula berpuasa Ramadan 1434H.

Bersempena hari dan bulan yang mulia lagi penuh keberkatan ini, penulis ingin menyarankan agar para perokok beragama Islam cuba mengambil kesempatan daripada keadaan tidak merokok pada siang hari, terus tidak merokok pada malamnya pula . . . dan setelah itu . . . tidak merokok pada bulan-bulan lain selepas Ramadan dan kemudian . . . tidak merokok langsung!


Bagaimana . . . boleh cuba? 

Tak kan nak buat sampai cam ni baru 'Tak Nak'! 








Keratan akhbar Harian Metro
 Jumaat 5 Julai 2013









Puisi lamaku 

tentang masalah rokok dan merokok


Penulis turunkan di bawah ini beberapa penulisan 'ulang terbit' yang ada kaitan dengan saranan berhenti merokok ini. 

Mudah-mudahan peringatan yang sedemikian dapat menimbulkan sedikit rasa kesedaran dalam jiwa para perokok . . . sama ada perokok tegar atau tidak . . . untuk membuang tabiat suka merokok mereka.


Akhir kata marilah kita sama-sama bermohon kepada Allah SWT agar mengabulkan doa kita supaya dapat menghapuskan kebiasaan merokok atau menghindari kita daripada mula merokok. Amin.



STOP, STOP n STOP





------------------------------------------------------------------------------------------------------------


ULANG TERBIT (1)




TUESDAY, JANUARY 1, 2013



Perokok dan Tabiat Merokok




Assalamualaikum  





Sekadar peringatan pada awal Tahun Baru 2013 . . . aku turunkan semula tulisan yang pernah dipaparkan dalam siaran blog ini pada Ahad, Januari 2010 menyentuh perokok dan tabiat merokok . . . dan ikhtiar bagaimana aku keluar daripada tabiat buruk dan tidak menguntungkan ini.

Cara aku berhenti merokok ini tidak semestinya yang terbaik. Setiap perokok individu tentu ada caranya yang tersendiri. Amalkanlah cara yang paling selesa dan sesuai dengan diri anda.

Sekarang terpulanglah kepada para pembaca yang budiman (khasnya ahli-ahli keluarga, kaum kerabat dan sahabat-sahabatku yang tersayang) sama ada sudi terus membaca tulisan dalam siaran di bawah ini . . . dan setelah itu . . . mempertimbangkan dan berusaha untuk menjadikan azam berhenti merokok ini suatu kenyataan.

Jika sebaliknya . . . biarkanlah sahaja segala-galanya berlalu bagai berlalunya sesuatu yang tidak membawa sebarang kesan . . . ibarat mencurahkan air di daun keladi!

Demikian catatan serba ringkasku. Aku harap dapat jua membawa manfaat kepada usaha berhenti merokok di kalangan ramai perokok tegar!

Maaf jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dengan kata-kataku ini . . . tetapi sayangilah diri anda . . . dan mereka yang menyayangi anda.

Mulakannya sekarang dengan penuh azam!






ULANG TERBIT (2)




Hendak Seribu Daya

SUNDAY, JANUARY 3, 2010


Assalamualaikum dan salam 1 Malaysia

Akhirnya 'Tak Nak' Jua 




Seperti yang aku janjikan kelmarin ... ini lanjutan cerita bagaimana aku berhenti merokok. Tidak ada sebarang petua yang aku ikut. Tiada apa-apa pantang yang aku turut. Aku cuma berpegang kepada ketabahan hati dan keazaman diri. Aku percaya dengan ungkapan "Hendak Seribu Daya". . .

Dulu pada suatu ketika dalam tahun-tahun 80-an aku pernah berhenti merokok. Aku cuba mengunyah bunga cengkeh dan memakan gula-gula dsb. kononnya sebagai ganti. Tak menjadi. Lepas empat bulan berhenti, aku merokok kembali. Malah makin menjadi-jadi. Tak mujarab. Aku merokok semakin kerap!

Aku terfikir akan suatu resmi biasa manusia. Barang yang mudah dapat mereka tak suka. Barang yang sudah terlalu banyak jadi tidak berharga. Sesuatu yang berlebihan boleh memualkan. Aku terfikir lagi apa salahnya aku cuba 'membosankan' diriku dengan melihat terlalu banyak rokok di merata-rata kelilingku. Baik aku praktikkan teori mudah sendiri-sendiri ini.

Aku pun membeli berkatun-katun rokok. Aku biarkan tersimpan di sana sini. Lantaklah terletak di mana pun. Aku biarkan saja kotak-kotak rokok yang belum dibuka, yang penuh, yang separuh penuh,yang hampir kosong dan yang sudah kosong tersepah di merata-rata. Di rumahku, di pejabatku, di dalam keretaku. Pendeknya di mana-mana tempat kebiasaanku. . . Aku akan terlihat rokok, rokok dan rokok!

Rokok yang telah aku hisap seluruh atau separuh akan aku biarkan bertaburan di tempat-tempat kebiasaanku yang tersebut tadi. Aku tak benarkan sesiapa mengemas tempat-tempat itu. Aku tak mahu puntung-puntung rokok itu dibuang.

Paling drastik . . . apabila aku teringin sangat hendak merokok aku letakkan saja sebatang rokok di bibirku. Aku biarkan rokok itu berada di bibir selama waktu yang aku mahu. Aku tidak menyalakannya! 

Biasanya tembakau rokok itu akan basah dan rokok menjadi lembut atau patah kerana disalut air liur secara berterusan. Bau tembakau yang bersalut air liur . . . tahu-tahu sajalah . . . memang tidak menyenangkan!

Aku ingat aku selalu berbuat demikian ketika memandu kereta dari rumah ke pejabat pada setiap hari bekerja. Jarak perjalanannya tidak jauh. Hanya kira-kira 50 kilometer. Tetapi, laluan merentas jalan yang sentiasa sesak dengan 'jam' dan seribu satu macam kerenah pengguna jalan raya memang mencabar kesabaran. 

Dan, ketika itulah pula aku sentiasa ketagihkan rokok! Aku akan melakukan perkara yang serupa berturut-turut hari, minggu dan bulan. Sepit rokok yang tidak dinyalakan api pada celah jari atau bibir.

Aku juga masih ingat akan ada mempunyai sebatang rokok yang tidak dinyalakan tersepit sama ada di celah jariku ataupun di celah bibir hampir setiap waktu aku berihat atau bekerja. 

Pada waktu-waktu begitu ramai ahli keluarga dan kawan-kawanku agak kehairanan melihat telatah aku. Mereka selalu menegur kenapa aku tidak menyalakan api pada rokok yang macam hendak aku hisap itu!

Mereka mungkin ingat aku terlupa berbuat demikian . . . Pada hal mereka inilah juga yang kuat mendesak aku supaya berhenti merokok. Agaknya mereka sudah bosan menasihati aku. Lantas pegang saja pada ungkapan Inggeris,"You can't beat them join them". Mujur mereka itu tidak ekstrem sampai terikut jadi perokok pula!

Sesungguhnya (pasti dengan izin-NYA jua), lama-lama usaha aku itu berkesan. Aku jemu melihat rokok. Aku hilang rasa ketagih terhadap rokok. Kepada asap rokok pun aku sudah tidak sudi. Aku jadi benci. Aku tidak teragak-agak. Aku dah 'Tak Nak' (curi ilham iklan nasihat KK le sikit).



Sekian ceritanya. Pengalaman aku tentang usaha berhenti merokok. Ini cara aku sendiri. Aku lakukan semampu aku. Kalau nak cuba ... ... ... cubalah. Atau, kalau ada cara lain yang lebih sesuai ... ... ... lakukanlah.

PEROKOK BOLEH Insya Allah!









Blog @: Bamuda d' SUARANG




ULANG TERBIT (3)




TUESDAY, DECEMBER 25, 2012


Terkenang Resolusi Tahun Baru


Assalamualaikum dan Salam Sejahtera 


Ubah Pendirian Biar Bertempat







Biar aku ucapkan Selamat Tahun Baru 2013 kepada semua terlebih awal. Semoga apa saja resolusi anda "tahun demi tahun" telah pun tercapai atau sekurang-kurangnya sedang menuju ke arah pencapaian.

Bercakap tentang azam tahun baru, aku sebenarnya sudah jemu dan sesungguhnya hampir-hampir berada di tahap meluat dengan soalan klise:

"Dah tercapaikah azam tahun lepas? Apakah pula azam untuk tahun ini?"

Penat sungguh memenatkan!

Aku bukan nak cakap sangat fasal azam tahun baru. Aku nak cerita saja. Nak cerita bagaimana dulu aku pernah berazam tahun demi tahun untuk berhenti merokok. Setiap awal tahun aku bina azam. Hujung tahun azam tak pernah tercapai. Macam berniaga buluh kasap ... hujung lepas pangkal lesap! Tak tercapai apa pun.














[Aksi-aksi seorang perokok tegar ketika berada di mana-mana ]



Aku memang perokok tegar. Sudah lebih daripada 30 tahun aku merokok. Setiap hari aku memerlukan paling kurang 4 kotak rokok . . . 20 batang rokok setiap kotak!

Aku termasuk di dalam golongan 'chain smoker'. Aku menghisap rokok bertali arus terutamanya apabila aku sedang melaksanakan tugas-tugas penerbitan . . . sebagai seorang editor.



















[Lagi aksi penulis merokok di mana-mana pada zaman dahulu. Zaman sebelum "Tak Nak"]




Berakhir tahun 1999 . . . menjelang pula tahun 2000. Aku berasa amat gembira.

Aku gembira kerana sudah mula mendapat kekuatan diri untuk berhenti merokok. Alhamdulillah . . . Tuhan telah membukakan pintu hatiku untuk berbuat demikian pada ketika zaman sedang beralih ke alaf (milenium) baru.

Dan . . . akhirnya aku behenti merokok. STOP!

Aku bangga dan gembira kerana tahun 2000 itulah juga merupakan tahun aku bebas daripada kongkongan pekerjaan rasmiku.

Dalam pengertian mudah , aku sudah pencen! Mungkin aku gembira sebab nanti aku tak perlu bayar lagi harga yang tinggi untuk rokok ... dan paling penting tak perlu nanti kena bayar harga tertinggi untuk nyawaku!

Aku berhenti di sini dahulu. Nanti aku ceritakan pula cara aku berjaya berhenti merokok. Tu..ng..gu..uuuuuu.

Buat sementara waktu aku tidak malu menunjukkan perubahan pendirian secara mendadak. Aku juga tidak menyesal berbuat demikian.

Mengapa aku harus malu atau menyesal berubah pendirian?Aku bukan ahli politik . . . atau wakil rakyat . . . yang berubah kem atau yang melompat parti. Aku bukan pemimpin yang menjual hak. AKU HANYA SEORANG PEROKOK yang sudah insaf . . . seorang perokok tegar yang kini berubah pendirian.

Pesanku kepada yang masih merokok . . . ubahlah pendirian . . . kerana perubahan ini kena pada tempatnya!


Renumg renungkan . . .













Bamuda 
dsuarang.blogspot.com 

------------------------------------------------------------------------------------------------------------




Catatan kaki:


Menjadi harapan penulis . . . paparan-paparan di atas dapat mengubah pendirian perokok tegar beransur-ansur menjadi golongan yang 'tidak gemar' kepada rokok dan akhirnya 'membenci' rokok sama sekali!









bamuda
dsuarang.blogspot.com