Namaku Istimewa
Untuk menyambung cerita tentang
berbagai-bagai perkara luar dugaan yang dialami kawan baik aku . . .
Tuan Hj Bahasa Othman . . . bersangkutan dengan namanya . . . aku
meminta beliau sendiri meneruskan kisah-kisah yang ada kalanya serius
dan ada waktunya pula humorous . . . agar gaya penceritaannya menjadi lebih autentik.
Hj Bahasa bersetuju dengan cadangan itu.
Maka . . . beliau pun meneruskan kisah-kisah yang berkaitan dengan
keistimewaan namanya . . . Bahasa.
Kisah 3
Era Baru - Bidang Kerjaya
" 'Apabila saya sampai ke DBP saya terus jumpa pengawal yang bertugas ketika itu.
'Assalamualaikum.' Kataku kepada pengawal itu.
'Mualaikumsalam.' Jawab pengawal itu.
'Encik, di DBP ni ada kerja kosong ke?' Tanya saya kepada pengawal itu.
'O . . . Itu kena tanya Bahagian Pentadbiran dan Perjawatan. Bahagian itu terletak di tingkat 4.' Jawab pengawal itu.
Selepas diberikan pas melawat kepada
saya, maka saya pun pergi di Bahagian Pentadbiran dan Perjawatan itu.
Apabila saya sampai ke Bahagian Pentadbiran dan Perjawatan itu maka saya
pun bertanya kepada kerani di situ.
'Encik, saya datang ni nak cari kerja. Di sini ada kerja kosong ke?' Tanya saya kepada kerani itu.
'Ada, iaitu pekerja setor (sambilan).
Jika kamu mahu sila isi borang ini. Pihak kami akan hubungi kamu bila
jawatan itu hendak mula diisi.' Kata kerani itu.
Saya tidak berfikir panjang. Saya pun
isi borang yang diberikan kepada saya. Apabila saya telah selesai
mengisi borang itu saya pun beredar dari DBP.
Lebih kurang dua minggu saya pun terima surat tawaran kerja dari DBP sebagai Pekerja Stor (sambilan).
Saya beri tahu ayah dan ibu saya bahawa saya dapat kerja di DBP itu.
'Terpulanglah kepada kamu. Jika kamu hendak kerja itu pergilah.' Kata ayah dan ibu saya.
Besoknya saya pergi ke DBP untuk memulakan tugas sebagai pekerja stor.
Setelah beberapa hari bekerja di Stor itu maka ada seorang pekerja di Stor itu bertanya kepada saya.
'Kamu ni orang baru ke?' Tanya pekerja yang bernama Zam Ashari kepada saya.
'Ya.' Jawabku pendek.
'Siapa nama kamu?' Tanya si Zam lagi.
'Nama saya Bahasa.' Jawabku pendek.' "
(Kisah perbualan saya ini terdapat di dalam majalah Anis Jun 2010, iaitu pada tajuk Pelik Tetapi Benar - ms 88-89).
Kemudian aku meminta Hj Bahasa bercerita
pula tentang kisah bagaimana beliau meningkat naik setahap demi setahap
dalam kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sambil itu Hj Bahasa ada juga menyelitkan episod lucu dalam kisah yang diceritakannya itu. Mari kita sama-sama ikuti kisah ini.
Kisah 4
Peningkatan Kerjaya
" 'Kisah
seterusnya ialah saya amat bernasib baik kerana dilantik memegang
jawatan sebagai kerani. Pada ketika ini saya ditugaskan buat seketika di
kaunter jualan buku di Kedai Buku (ketika itu kedai buku itu berada di
bahagian bawah bangunan DBP).
Satu pagi datang seorang berbangsa Cina ke kedai buku itu. Dia asyik memandang saya sahaja.
'Apa hal orang ni.' Kata hati kecilku.
'Encik. Dewan Bahasa ini encik punya ke?' Tanya orang yang berbangsa Cina itu.
'Saya pekerja di sini. Dewan Bahasa ini kerajaan yang punya.' Jawabku kepada soalan orang Cina itu.
'Encik jangan bohong. Itu nama yang ada pada poket baju itu tertulis Bahasa. Jadi, bangunan ini sudah tentu encik yang punya.' Kata orang Cina itu.
Ketika itu saya terkejut mendengar kata-kata sedemikian, kerana selama ini saya tak terlintas langsung di dalam minda saya bahawa ada orang prangsangka begitu.
'Encik, kita orang Cina, jika bangunan
itu tertulis Tan Chong Motor, maka bangunan itu pemiliknya bernama Tan
Chong. Jika pada tembok bangunan itu tertulis Lee Rubber maka tauke yang
memiliki kilang getah itu bernama Lee. Jadi bangunan ini encik yang
punya, kerana pada atas bumbung sana ada tulis nama encik. Wa . . .
Encik banyak kaya la.' Kata orang Cina itu.
Belum sempat lagi saya berkata,
tiba-tiba dia memegang tangan saya dan membawa saya ke luar bangunan
DBP. Apabila sampai di luar pagar DBP maka orang Cina itu lalu dia
menunjukkan jari ke arah nama DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA terletak di bahagian atas bangunan Dewan itu (Bangunan lama).
Berkali-kali saya terangkan kepada orang
Cina itu, tapi dia masih mengatakan bahawa saya ini orang kaya dan DBP
itu saya yang punya.
Apa boleh buat, saya terpaksa terima hakikat sebegitu.' "
(Ada disiarkan dalam Bacaria 26 Nov 2005)
Hj Bahasa kemudiannya bercerita lagi. Aku leka mendengarnya.
Kisah 5
Melanjutkan Pelajaran
" 'Masa
terus berlalu. Memandangkan di DBP banyak kemudahan untuk mendapat
bahan bacaan berbagai bidang maka saya telah ubah strategi hidup saya.
Saya telah ambil peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP).
Berkali-kali juga saya menduduki peperiksaan STP akhirnya dengan
kelayakan yang saya perolehi saya berjaya menyambung pelajaran (Pelajar
Luar Kampus di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang). Saya dan
pelajar-pelajar lain lazimnya pada setiap hujung tahun kena masuk
belajar di dalam kampus di USM itu selama tiga minggu.
Ketika saya berada di kampus itu terjadi
lagi satu cerita yang menggelikan hati. Cerita ini dipaparkan oleh sdr.
Muhammad Mat Yakim dalam surat khabar Bacaria 26 Nov 2005 . .
.
.
dan SINAR HARIAN 17 Mac 2011 - Khamis.
Demikian kisah yang dapat diceritakan Hj Bahasa kepada aku. Katanya ada lagi kisah selepas ini. Kita tunggulah kisah-kisah beliau selanjutnya . . . insya-Allah selepas siaran ini.
Bamuda